Sabtu, 28 November 2015

Minggu Adven Pertama Tahun C

Setiap tahun, ramai di antara kita akan menyambut tahun baru untuk mengingat dan bersyukur kepada Allah atas segala nikmat daripada tahun lepas dan juga mengambil kesempatan mendoakan tahun depan yang lebih baik. Tetapi bacaan dan Injil hari ini seolah-olah memberikan kita cara yang berbeza bagaimana orang Kristian harus meraikan tahun baru. Apakah bezanya cara tersebut? Bezanya ialah kita menyambut tahun baru bukan dengan melihat pada masa lalu atau tahun berikutnya tetapi memberi tumpuan pada akhir zaman atau dunia akhirat. Ia seolah-olah pelik bagi kita memberi tumpuan kepada akhir zaman, jadi mengapa kita perlu berbuat demikian, kerana sesetengah orang mungkin mendapati akhir zaman satu topik yang tidak begitu menyenangkan?

Al-Kitab pada hari ini nampaknya memberikan kita gambaran menakutkan mengenai dunia akhirat: "Dan akan ada tanda-tanda pada matahari dan bulan dan bintang-bintang, dan di bumi bangsa-bangsa akan takut dan bingung menghadapi deru dan gelora laut. Orang akan mati ketakutan kerana kecemasan berhubung dengan segala apa yang menimpa bumi ini, sebab kuasa-kuasa langit akan goncang." Bagi sesetengah orang, bencana alam mungkin kelihatan menakutkan atau ngeri, tetapi sains telah menunjukkan kepada kita bahawa bencana alam bererti bahawa bumi sedang berkembang dan berevolusi, yang merupakan tanda-tanda kehidupan dan bukannya kematian. Planet yang tidak lagi mempunyai bencana alam seperti gempa bumi, ribut, atau gunung berapi tiada kehidupan, dalam erti kata lain, tidak bernyawa. Yesus memberikan contoh-contoh seperti dari bencana alam untuk menggambarkan dunia akhirat dan memberitahu kita bahawa sesuatu yang baru bakal mengambil tempat. Ini bermakna, dari sudut pandangan ini, kita harus melihat dunia akhirat sebagai satu sambutan penuh harapan dan bukannya ketakutan.

Sebahagian daripada kita mungkin tertanya-tanya: bila dan bagaimana semua ini akan berlaku? Bila dan bagaimana tidak penting, tetapi apa yang kita harus lakukan sebagai persediaan untuk keadaan sedemikian hendaklah menjadi tumpuan kita. Sebagai permulaan, walaupun terdapat kekeliruan dalam kehidupan kita, walaupun perkara berlaku tidak mengikut perancangan, tiada siapa pun yang harus berputus asa, kerana Yesus mengingatkan kita: Apabila semuanya itu mulai terjadi, bangkitlah dan angkatlah mukamu, sebab penyelamatanmu sudah dekat." Malah, kita mungkin terdorong untuk melarikan diri atau mencari alasan atau penyelesaian lain apabila berhadapan dengan masalah dan cabaran di dunia, tetapi kita sepatutnya berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada dan bersedia, kerana Yesus mengingatkan kita: "Jagalah dirimu, supaya hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingan-kepentingan duniawi dan supaya hari Tuhan jangan dengan tiba-tiba jatuh ke atas dirimu seperti suatu jerat." Selain itu, kita mesti "berjaga-jaga dan berdoa." Ini bermakna bahawa kita mesti mengambil serius perkembangan kerohanian kita, seperti Santo Paulus dalam bacaan kedua mengesa agar setiap dan tiap-tiap seorang daripada kita untuk terus memperkembangkan kehidupan iman kita.

Maka, apa maknanya kepada kita? Ini bermakna bahawa kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan kita dan berfikir bahawa kita mempunyai banyak masa untuk berkembang lebih dekat dengan Tuhan. Sebaliknya, kita harus konsisten dan berterusan dalam usaha kita untuk memperkembangkan kehidupan rohani kita dan dalam hubungan kita dengan Allah dan dengan orang lain, seperti Santo Paulus menasihati kita dalam bacaan kedua: "Akhirnya, saudara-saudara, kami minta dan nasihatkan kamu dalam Tuhan Yesus: Kamu telah mendengar dari kami bagaimana kamu harus hidup supaya berkenan kepada Allah. Hal itu memang telah kamu turuti, tetapi baiklah kamu melakukannya lebih bersungguh-sungguh lagi." Semoga kita melakukan yang terbaik dan berjaga-jaga dan bersedia, dengan harapan dan keyakinan bahawa Allah akan menjadi takdir dan panduan kita.

Selasa, 24 November 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 34 Tahun 1

Ada sesetengah orang yang terlalu sibuk berkenaan hari kiamat atau pengakhiran dunia. Malah di televisyen juga, kita kadangkala menonton rancangan dokumentari di mana ada orang yang cuba mengumpulkan dan bersedia sekira berlakunya penghujung tamadun seperti yang difikirkan berlaku. Kepada mereka, tamatnya tamadun sama seperti tamatnya dunia, dan mereka mempercayai keadaan kucar kacir akan berleluasa dan salah satu cara untuk terus hidup ialah dengan menyediakan cukup makanan, air dan pertahanan. Tetapi semua persediaan ini hanyalah untuk kehidupan duniawi. Bagaimana pula dengan persediaan untuk kehidupan selepas kematian?

Di dalam Al Kitab hari ini, kita diberitahu, "Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama Ku dan berkata, 'Aku lah dia!' dan 'Masanya sudah tiba!' Jangan ikut mereka. Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini, mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba." Kemudian Dia berkata lagi kepada mereka, "Bangsa yang satu akan berperang melawan bangsa yang lain dan kerajaan yang satu akan menyerang kerajaan yang lain. Di pelbagai tempat akan berlaku gempa bumi yang dahsyat, kebuluran, dan wabak. Akan berlaku juga pelbagai perkara yang menakutkan dan luar biasa di langit." Jika kita sudah senantiasa tetap dan berterusan di dalam penyediaan rohani kita untuk kehidupan selepas kematian, agar semua yang di katakan oleh orang lain berkenaan pengakhiran dunia akan datang, termasuk kemungkinan berlakunya perkara luar biasa di langit, tidak menjadi perkara yang merisaukan diri kita. Apa yang harus kita risaukan ialah samada kita telah sentiasa bersedia sebaik boleh, dengan mengetahui dan meletakkan kepercayaan bahawa Tuhan akan melindungi kita tidak kira apa yang akan berlaku. Janganlah kita menjadi terlalu paranoid atau ketakutan, tetapi sentiasa mempunyai keyakinan dan kepercayaan kepada Tuhan.

Isnin, 23 November 2015

Isnin Minggu Biasa Ke 34 Tahun 1

Apabila kamu datang ke gereja menghadiri Misa, berapa ramaikah di antara kamu yang akan menyembahkan kesemua wang yang ada pada kamu kepada gereja? Kemungkinannya, ramai di antara kamu akan memasukkan beberapa dollar atau beberapa Ringgit Malaysia ke dalam bag penyembahan, sementara ada pula di antara kamu yang akan menyembahkan sebanyak mana yang kamu mampu. Ada yang akan memberikan lebih sekiranya mereka kaya dan mampu, tetapi berapa ramaikah di antara kamu yang sanggup menyembahkan segala yang kita ada dengan mengosongkan semua wang di dalam poket. Ada di antara kamu yang akan berkata itu satu perbuatan yang gila di dalam menyembahkan kesemua yang kita punyai kepada Tuhan, kerana kita masih memerlukan wang untuk makanan dan lain-lain perkara selepas Misa.

Tetapi, cubalah kita berfikir sejenak, bacaan Al Kitab hari ini memberitahu kita akan seorang balu yang papa kedana memberikan segala yang dia punyai untuk kehidupannya, seperti yang di katakan Yesus, "Ketahuilah, balu ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. Orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka. Tetapi balu ini, walaupun sangat miskin, mendermakan semua nafkahnya." Bila kita memasukkan wang untuk persembahan, ianya bukanlah jumlah yang di perkirakan, ia berkenaan berapa ikhlas/murah hatinya diri kita ini. Ingatlah bahawa semua yang kita miliki datangnya dari Tuhan, dan Tuhan telah begitu murah hati kepada kita di dalam pelbagai cara. Tidakkah kita mahu menjadi sebegitu murah hati di dalam sumbangan dan persembahan kemahiran kita untuk gereja?

Jumaat, 20 November 2015

Jumaat Minggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Adakah salah untuk menjual barang di kawasan gereja? Jika barang-barang agama seperti tasbih, buku-buku doa, patung-patung orang-orang kudus dan barangan lain yang berkaitan dijual pada harga yang berpatutan untuk menggalakkan iman dan doa; atau makanan yang dijual dengan harga yang berpatutan untuk menggalakan sinatulrahim dan persahabatan, dengan demikian barangan tersebut dan makanan itu dapat diterima, sekiranya paderi paroki bersetuju dengan aktiviti tersebut dan dia telah memberikan kebenaran. Ini adalah mustahak untuk mengelakkan penyalahgunaan kerana ada yang akan mengatakan dia hanya menjual barangan, tetapi dengan niat untuk meraihkan keuntungan untuk diri sendiri. Di sinilah para umat paroki sepatutnya mengumumkan dan menjelaskan kepada paderi paroki, terutama sekiranya mereka mendapati orang yang tidak dikenali atau barangan jualan yang tidak dikenali. Sekira tidak, maka kawasan gereja kita akan, dalam setengah kes, akan menjadi "sarang penyamun", di mana apa yang sepatutnya tempat yang suci dan digunakan dengan penuh hormat, menjadi sebuah pasar atau pasaraya, di mana mungkin terdapatnya penipuan dan penyelewengan berlaku.

Di dalam Al Kitab hari ini, "Yesus masuk ke Rumah Tuhan dan mula mengusir semua pedagang di situ. Yesus berkata, "Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, "Rumah Ku akan disebut rumah tempat berdoa." Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak." Rumah Tuhan telah menjadi tempat di mana berlakunya penipuan dan penyelewengan, dan apa yang lebih teruknya ialah para ketua mam-imam dan ahli Taurat membenarkan berlakunya perkara sebegitu. Bagaimana kita mengetahuinya? Al Kitab juga memberitahu kita bahawa, "Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin bangsa Yahudi hendak membunuh Dia. Tetapi mereka tidak mendapat peluang.." Sekiranya para ketua imam dan ahli Taurat ikhlas di dalam mengekalkan Rumah Tuhan sebagai tempat yang suci dan diperlakukan dengan penuh hormat, mereka tidak sepatutnya marah apabila Yesus mengusir pedagang-pedagang tersebut. Fakta bahawa mereka cuba membunuh Yesus menunjukkan bahawa mereka menyembunyikan sesuatu dan tidak mahu rugi akan perniagaan pedagang-pedagang itu.

Bagaimanapula dengan diri kita? Adakah kita sama bersalah seperti para ketua imam dan ahli taurat? Adakah kita telah melakukan gereja kita sebagai tempat di mana perniagaan dapat dijalankan dan pedagang boleh melakukan sesuka mereka asalkan kita mendapat 'sepotong' dari aktiviti tersebut? Semoga kita menyedari dan menghargai kesucian dan kepentingan gereja kita, dan melakukannya dengan sepatutnya/penuh hormat.

Khamis, 19 November 2015

Khamis Minggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Ada di antara kita yang mungkin pernah merasa kesal di dalam kehidupan kita. Contohnya, ada yang menyesal tidak bekerja cukup keras di dalam pelajaran atau pekerjaan, dan dengan demikian, mereka tidak melakukan dengan baik di dalam peperiksaan atau mereka terlepas peluang untuk maju di dalam kerjaya mereka atau untuk peningkatan gaji. Ada juga yang mungkin menyesal kerana tidak cukup berani atau tidak berusaha secukupnya di dalam sesuatu hubungan, dan dengan itu terlepas peluang yang baik untuk berkahwin dan berumahtangga. Adakah anda mempunyai rasa kesal yang menghantui anda?

Di dalam Al Kitab hari ini, Yesus berkata, "Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang kamu tidak dapat melihatnya." Tuhan telah memberi para Yahudi begitu banyak peluang dan kesempatan untuk mengubah cara hidup mereka, tetapi kesemua peluang dan kesempatan ini hilang kerana para Yahudi berdegil dan keras kepala, memilih untuk mengekalkan cara hidup mereka. Kita juga mungkin akan berada dalam keadaan yang sama sekiranya kita enggan mengubah cara hidup kita dan berdekatan dengan Tuhan. Semoga kita tidak berakhir dengan kekesalan dan kehilangan kesempatan untuk berdekatan dengan Tuhan kerana bila ajal sampai, ianya sudah terlambat.

Rabu, 18 November 2015

Rabu Minggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Ada di antara kita yang mengambil sahaja akan kurniaan dan bakat-bakat yang diberi Tuhan kepada kita. Kadang kala, ada yang berfikir kurniaan dan bakat-bakat ini di beri hanya untuk diri kita dan untuk kebaikan kita, dan ada yang enggan mengongsi bakat-bakat ini atau menggunakan bakat-bakat ini untuk membantu di gereja dan untuk kemuliaan Tuhan. Tetapi, apakah akan terjadi sekiranya kita menggunkan bakat-bakat ini untuk diri sendiri? Jika kita abai menggunakan bakat-bakat kita ini dan tidak melatihkannya, akhirnya kita akan kehilangan bakat-bakat tersebut. Adakah ini yang diharapkan oleh kita sebagai umat Kristian?

Di dalam Al Kitab hari ini, sepuluh hamba telah diberi satu paun setiap seorang. Dua orang dari hamba yang pertama menerimanya segera pergi untuk melaburkan wang yang diamanahkan kepada mereka, menambahkan manafaat untuk tuannya dengan lebih wang. Hamba yang ketiga mendakwa dia takut akan tuannya, tetapi melalui cara dia menerangkan dirinya, dia sebenarnya tidak mempunyai minat untuk menggunakan wangnya untuk keuntungan tuannya, akhirnya, dia dikutuk dan juga kehilangan wangnya. Inilah sebabnya Yesus berkata, "Ketahuilah, orang yang sudah mempunyai sesuatu, kepadanya akan diberikan lebih banyak lagi. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga."

Apakah yang kita dapat pelajari dari ini? Ingatlah, apa yang kita punyai: harta, bakat-bakat kita, kebolehan kita, dan kurniaan kita datangnya dari Tuhan. Segala yang telah diberi oleh Tuhan, Dia akan dengan mudahnya mengambilnya kembali. Dengan itu, tidakkah kita sepatutnya menggunakan apa yang kita perolehi untuk kebaikan semua dan untuk kemuliaanNya? Mengapa harus ada di antara kita yang kedekut dan mementingkan diri dengan apa yang kita diperolehi? Semoga kita menyedari bahawa kita hanyalah penjaga kepada segala yang kita perolehi dan semoga kita akan lebih berhati-hati dan bermurah hati dengan cara kita menggunakannya.

Selasa, 17 November 2015

Selasa MInggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Adakah kita berasa ghairah untuk bertemu dengan Yesus? Ada yang akan berkata kita ingin sungguh, tetapi tidak kelihatan untuk berusaha untuk menemui Yesus, terutama tiap hari di Misa atau di hadapan Sakramen Suci. Ada di antara kita yang tidak dapat menampakkan Yesus di dalam orang lain, terutama dalam cara kita melayani orang lain atau melalui tindak laku kita kepada orang lain. Ini menimbulkan pertanyaan: adakah kita benar benar ghairah menemui Yesus? Adakah kita mengakui kehadiran Nya? Adakah kita mahu mendekati Nya dan mengikut cara hidup Nya? Kita berkata ya, tetapi adakah apa yang kita luahkan dan lakukan menunjukkan apa yang kita perkatakan?

Di dalam Al Kitab hari ini, kita bertemu dengan Zakheus yang begitu ingin bertemu Yesus. Walaupun dia pendek, dia berusaha dengan kuat sehingga 'memanjat sebatang pokok ara, supaya dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ." Apabila Yesus meminta untuk tinggal di rumah Zakheus, Zakheus begitu gembira, sehingga sanggup mengubah hidupnya serta memperbetulkan diri sekiranya dia telah menipu sesiapa. Ini menyebabkan Yesus berkata, "Pada hari ini Allah telah menyelamatkan kamu dan keluargamu, kerana kamu juga keturunan Abraham. Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat."

Bagaimanapula dengan kita? Adakah kita seperti Zakheus, begitu ingin dan ghairah untuk bertemu Yesus, sehingga dia membuat keputusan untuk mengubah cara hidupnya? Adakah kita menghargai hubungan kita dengan Yesus sepertimana Zakheus? Atau, adakah kita sudah menjadi bersahaja dengan perhubungan kita dengan Yesus, dengan berfikirkan bahawa kita 'ok' dan bahawa tiada lagi yang perlu kita perbetulkan? Semoga kita cukup merendahkan diri, seperti Zakheus, untuk menyedari bahawa kita memerlukan Yesus untuk sentiasa menjadi penolong dan petunjuk kita.

Isnin, 16 November 2015

Isnin Minggu Biasa Ke 33 Tahun 1

Berapa kerap dan tetapkah kita bila kita memohon sesuatu daripada Tuhan? Apakah akan berlaku bila kadangkala kita memohon sesuatu daripada Tuhan tetapi tidak menerimanya secara terus menerus? Ada di antara kita yang akan merajuk dan melepaskan geram, menuntut agar Tuhan menjawap permohonan kita. Tetapi biasanya Tuhan tidak memberikan kita apa yang dipohon, walaupun dengan tingkah laku seperti ini, apa pula yang akan berlaku? Ada yang akan putus harapan, memikirkan yang Tuhan langsung tidak mendengar permohonan kita, ada pula akan tergoda untuk mencari pertolongan melalui bentuk yang lain; tetapi berapa ramaikah kita akan bersabar, berterusan dan bertetap memohon pertolongan Tuhan?

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, kita bertemu dengan seorang buta yang inginkan penyembuhan daripada Yesus. Orang buta itu berkata, "Yesus, Anak Daud! Kasihanilah saya!" Semua orang di hadapan memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi dia berseru lebih kuat lagi, "Anak Daud, kasihanilah saya!" Akhirnya orang buta itu disembuhi kerana dia mempunyai iman di dalam Yesus. Bagaimanapula dengan kita? Adakah kita, seperti orang buta itu, mempunyai iman di dalam Yesus? Adakah kita sanggup bersabar, berterusan dan bertetapan di dalam memohon Yesus untuk pertolongan? Semoga kita tidak begitu mudah di kalahkan tetapi berterusan/bertetapan dan meletakkan kepercayaan kepada Tuhan, menyedari bahawa Dia akan melakukan apa yang terbaik buat kita.

Jumaat, 13 November 2015

Jumaat MInggu Biasa Ke 32 Tahun 1

Terdapat banyak perkara di dunia yang boleh di jelaskan secara saintifik. Apa yang satu ketika dahulu dianggap terjadi akibat daripada makhluk atau kejahatan atau hukuman ilahi, boleh secara saintifik dibuktikan. Namun, masih terdapat banyak perkara lagi di dunia ini yang mana secara saintifik tidak dapat dijelaskan atau ditemui. Contohnya, sains masih tidak dapat dengan sepenuhnya memahami atau menjelaskan bila dan bagaimana konsepsi berlaku atau bila dan bagaimana kita akan meninggal, kerana perkara demikian boleh berlaku pada saat-saat yang di luar jangkaan kita.

Inilah sebabnya pembacaan hari ini memberitahu kita: "Sungguh bodohlah orang yang tidak mengenali Allah. Mereka melihat segala yang baik di sekitar mereka, tetapi tidak mampu mengenali Allah. Mereka mempelajari hasil ciptaanNya, tetapi tidak mengenali Pencipta...kerana kalau mereka mampu mempelajari sebanyak itu dan dapat menyelidiki alam semesta, seharusnya mereka segera menemui Penguasa semuanya." Ada orang yang berfikir bahawa sains dapat menyelesaikan dan menjelaskan banyak perkara, namun berkali-kali, kita menemui situasi yang mana tidak dapat dijelaskan dengan intelek kita atau dengan sains, tetapi dengan iman dan kepercayaan bahawa Tuhan adalah di dalam persamaan itu. Semoga kita belajar menemui perkara di mana sains dapat jelaskan dan yang boleh membantu kita memahaminya, sementara dengan bertunjang teguh dalam iman bahawa Allah adalah di sana untuk memberi petunjuk kepada kita dan membantu kita.

Khamis, 12 November 2015

Khamis Minggu Biasa Ke 32 Tahun 1

Ada di antara kita yang mudah teruja ke atas perkara-perkara kecil atau sesuatu kejadian. Umpamanya, kita memandu di atas jalanraya dan tiba-tiba terdapat kesesaknn jalanraya yang teruk di hadapan, dan kemudiannya kita menyedari bahawa kesesakan itu disebabkan oleh orang-orang yang sibuk melihat dan pemandu lain yang bergerak pelahan untuk melihat akibat kemalangan yang berlaku di seberang jalan, ada di antara kita juga bergerak pelahan. Sebahagian dari kita juga tidak dapat menahan keinginan untuk melihat apa yang sedang berlaku di tempat kemalangan, walaupun sudah ada pihak-pihak tertentu yang telah sampai di tempat kejadian dan mereka sedang sedaya upaya cuba mendapatkan pemandu bergerak cepat untuk mengelakkan kesesakan yang tidak perlu.

Secara yang sama, ada di antara kita juga yang berasa amat teruja berkenaan samada kita akan bersama Tuhan di syurga atau sebaliknya. Ada di antara kita yang akan mula berasa resah dan risau terhadap apa yang akan berlaku kepada masa depan kekal diri kita. Pada sudut yang lain pula, ada yang bimbang tentang neraka, dan menjadi lumpuh dengan ketakutan kerana mereka mungkin telah melakukan sesuatu yang berdosa yang akan menghumbankan mereka ke neraka. Tetapi Yesus berkata di dalam Al Kitab hari ini, "Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat.. nanti orang akan berkata kepada kamu, 'Lihat, di situ!' atau, 'Lihat di sini! Jangan kamu keluar mencarinya.." Jika kita sentiasa konsisten dan berterusan di dalam membina kehidupan rohani kita, dan hubungan kita dengan Tuhan, jika kita telah sentiasa menghadiri misa dan pergi mendapatkan pengakuan, dengan demikian kita tidak perlu mudah menjadi terlalu teruja. Tidak penting untuk mengetahui bila Kerajaan Allah akan tiba, ataupun apa akan terjadi pada diri kita, jika kita telah melakukan bahagian kita dan telah melakukan sebaik boleh. Tidakkah kita meletakkan kepercayaan kepada Tuhan dan kurniaanNya, pertolongan dan belas kasihanNya?

Rabu, 11 November 2015

Rabu Minggu Biasa Ke 32 Tahun 1

Kadang-kadang saya tertanya sama ada adakah di antara kita yang telah mengambil segalanya secara mudah. Pernahkah kita memikirkan tentang petani-petani yang bertungkus lumus menanam tanamannya untuk membolehkan kita mempunyai makanan di atas meja; orang yang bekerja membersihkan sisa buangan kita supaya rumah kita dan persekitaran kita bersih; ramai yang menyapu jalanraya-jalanraya dan memotong rumput supaya jalanraya dan lebuhraya kita bersih, kemas dan selamat dari serpihan; guru-guru yang meluangkan sebegitu banyak masa untuk persediaan kelas supaya kita dan anak-anak akan berpendidikan; dan seterusnya. Bila sesuatu tidak dilakukan dengan betul, kita bersungut dan membuat kecoh, tetapi bila dilakukan dengan betul untuk kesenangan dan keselamatan kita, adakah kita menghargainya, bersyukur, dan berterimakasih?

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, kita melihat contoh yang baik untuk menghargai, bersyukur dan berterimakasih ke atas apa yang dilakukan untuk kita. Di dalam Al Kitab, sepuluh orang pesakit kusta disembuhkan oleh Yesus, tetapi hanya "seorang daripada mereka berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat. Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada Nya." Sudahkah kita belajar menjadi seperti pesakit kusta yang satu itu, seorang yang menghargai, bersyukur dan berterimakasih kerana disembuhkan? Atau adakah kita masih mengambil segalanya secara mudah, memikirkan yang kita telah membuat bayaran untuknya, atau kita memang layak atau berhak ke atas pertolongan seperti itu, atau adakah kita hanya berminat pada diri sendiri dan keperluan kita? Beringatlah, semuanya datang dari Tuhan dan adalah kurniaan kepada kita. Semoga kita memberi Nya segala pujian di atas kebaikan Nya di dalam pemberianNya dan penjagaanNya.

Selasa, 10 November 2015

Selasa Minggu Biasa Ke 32 Tahun 1

Apakah yang kamu cari di dalam kehidupan ini? Ada yang mencari harta, ada yang mencari kemashyuran dan populariti, ada yang mencari pengiktirafan dan pangkat, ada yang ingin kelihatan seperti orang yang berkuasa dan menguasai, tetapi berapa ramaikah di antara kita yang sanggup di lihat sebagai seorang hamba yang hina? Di sekeliling kita, kita dapat melihat orangramai yang mengikuti arus dan daya tarikan duniawi dan mereka di dorong oleh cita-cita, kepentingan sendiri, kebanggaan, kepuasan peribadi, dan pemeliharaan diri. Dilihat sebagai seorang hamba hina dan kelihatan tidak penting, menurut arus duniawi, merupakan satu kelemahan. Namun, di sinilah yang harus kita membuat pemilihan, kita tidak dapat memilih kedua-duanya: adakah kita memilih arus duniawi, atau adakah kita memilih cara Kristus?

Di dalam pembacaan Al Kitab hari ini, Yesus mengingatkan kita makna menjadi hamba hina: "Kami hanya hamba biasa; kami hanya melakukan kewajipan" Apakah maknanya ini? Ia bermakna di dalam segala yang kita lakukan, kita lakukan untuk Tuhan, untuk kemuliaan Nya, untuk Kerajaan Nya yang akan datang. Ia juga bermakna pada pengakhiran hari, kita sedar bahawa apa yang diperolehi dari arus duniawi adalah sementara dan akan lupus di suatu hari, dan dengan demikian adalah lebih wajar untuk menumpu pada apa yang lebih kekal. Adakah kita sanggup mengalihkan tumpuan untuk masa depan kekal kita?

Isnin, 9 November 2015

Pesta Pemberkatan Basilika Lateran

Hari ini kita meraikan Pesta Pemberkatan Basilika Santo Johanes Lateran di Rom kerana ia adalah gereja utama dan gereja Bonda kepada semua gereja di dunia. Basilika Santo Johanes Lateran adalah katidral Sri Paus kerana Basilika Santo Johanes Lateran adalah Katidral Diocese Rom di mana Sri Paus juga dikenali sebagai Uskup Rom.

Pemberkatan gereja ini adalah pesta untuk semua umat Roman Katolik kerana Santo Johanes Lateran adalah gereja paroki untuk segala gereja Katolik di mana ianya Katidral Sri Paus. Dengan meraikan pesta pemberkatan Katidral Sri Paus, kita menunjukkan kesatuan kita dengan Sri Paus dan juga cinta kasih dan hormat kepadanya, termasuk juga menunjukkan ketaatan dan kesetiaan kepada ajaran Gerjea Katolik. Ia juga menunjukkan kesatuan kita antara satu sama lain di dalam Gereja Katolik Sejagat. Santo Paulus memberi diskripsi kesatuan Gereja di dalam pembacaan kedua sebagai "Kediaman Allah, kerana Roh Allah tinggal di dalam kamu."

Dengan demikian, kita harus bersatu di dalam hati dan pemikiran dan menyembah di dalam Roh dan kebenaran agar gereja menjadi seperti yang digambarkan sebagai Rumah Tuhan di dalam pembacaan pertama:dengan air kehidupan mengalir keluar untuk membawa kepada pemyembuhan dan penyatuan, dan berbuahkan kehidupan dan cinta kasih.

Ahad, 1 November 2015

Hari Para Kudus

Siapakah seorang santo? Sesetengah orang menganggap para santo adalah mereka yang istimewa atau cemerlang dalam menjalani kehidupan suci, melakukan mukjizat yang menakjubkan atau perbuatan besar yang soleh seperti berdoa dalam masa yang lama, menahan penderitaan yang hebat untuk Kristus dan hidup tanpa dosa. Tetapi ini bukan sebenarnya ciri seorang santo, memandangkan kita terlalu memperbesarkan ciri baik para santo, sehingga lupa bahawa mereka juga mempunyai kelemahan. Jadi bagaimana seorang santo menjadi santo?

Santo menjadi "santo" berdasarkan keupayaan dan keterbukaan mereka untuk berhubung dengan ciri kemanusiaan masing-masing, dan berusaha untuk kekal suci sebagai manusia. Ucapan-ucapan dalam Al-Kitab hari ini memberi kita gambaran indah apa yang dimaksudkan untuk menjadi manusia dan menjadi suci: dengan menggambarkan orang-orang yang bahagia, diberkati, suci dan berhubung dengan kesakitan, kelemahan dan batasan mereka. Ini mengingatkan kita bahawa para santo adalah miskin di hadapan Allah, kerana mereka mengiktiraf kelemahan dan kekurangan mereka sendiri dan oleh itu mereka memerlukan Allah; mereka adalah orang-orang yang lemah lembut dan bukan ganas; mereka menegak keadilan dengan tidak berdiam diri tetapi berjuang terutamanya bagi golongan miskin, terpinggir dan orang-orang yang tidak mempunyai suara mereka sendiri; mereka mampu untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain kerana mereka juga telah menerima belas kasihan dari Allah; mereka mempunyai hati yang suci, kerana mereka tidak mempunyai agenda tersembunyi; dan mereka juga "pejuang keamanan" dalam dunia yang ganas dan penuh dendam.

Apa makna ini kepada kita semua? Ini bermakna bahawa setiap daripada kita dipanggil untuk menjadi santo. Kita dipanggil untuk mengenali kemiskinan kita, kelemahan kita, kesakitan kita, keperluan kita untuk belas kasihan, hasrat kita untuk keamanan dan keadilan, dan keperluan kita kepada Allah.Ia tidak mustahil untuk menjadi santo, semua yang perlu kita lakukan adalah untuk menjadi konsisten, rendah diri dan bersedia untuk menjalani kehidupan seperti yang dijanjikan Kristus, dan membiarkan Allah membantu dan membimbing kita.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...