Sabtu, 28 November 2015

Minggu Adven Pertama Tahun C

Setiap tahun, ramai di antara kita akan menyambut tahun baru untuk mengingat dan bersyukur kepada Allah atas segala nikmat daripada tahun lepas dan juga mengambil kesempatan mendoakan tahun depan yang lebih baik. Tetapi bacaan dan Injil hari ini seolah-olah memberikan kita cara yang berbeza bagaimana orang Kristian harus meraikan tahun baru. Apakah bezanya cara tersebut? Bezanya ialah kita menyambut tahun baru bukan dengan melihat pada masa lalu atau tahun berikutnya tetapi memberi tumpuan pada akhir zaman atau dunia akhirat. Ia seolah-olah pelik bagi kita memberi tumpuan kepada akhir zaman, jadi mengapa kita perlu berbuat demikian, kerana sesetengah orang mungkin mendapati akhir zaman satu topik yang tidak begitu menyenangkan?

Al-Kitab pada hari ini nampaknya memberikan kita gambaran menakutkan mengenai dunia akhirat: "Dan akan ada tanda-tanda pada matahari dan bulan dan bintang-bintang, dan di bumi bangsa-bangsa akan takut dan bingung menghadapi deru dan gelora laut. Orang akan mati ketakutan kerana kecemasan berhubung dengan segala apa yang menimpa bumi ini, sebab kuasa-kuasa langit akan goncang." Bagi sesetengah orang, bencana alam mungkin kelihatan menakutkan atau ngeri, tetapi sains telah menunjukkan kepada kita bahawa bencana alam bererti bahawa bumi sedang berkembang dan berevolusi, yang merupakan tanda-tanda kehidupan dan bukannya kematian. Planet yang tidak lagi mempunyai bencana alam seperti gempa bumi, ribut, atau gunung berapi tiada kehidupan, dalam erti kata lain, tidak bernyawa. Yesus memberikan contoh-contoh seperti dari bencana alam untuk menggambarkan dunia akhirat dan memberitahu kita bahawa sesuatu yang baru bakal mengambil tempat. Ini bermakna, dari sudut pandangan ini, kita harus melihat dunia akhirat sebagai satu sambutan penuh harapan dan bukannya ketakutan.

Sebahagian daripada kita mungkin tertanya-tanya: bila dan bagaimana semua ini akan berlaku? Bila dan bagaimana tidak penting, tetapi apa yang kita harus lakukan sebagai persediaan untuk keadaan sedemikian hendaklah menjadi tumpuan kita. Sebagai permulaan, walaupun terdapat kekeliruan dalam kehidupan kita, walaupun perkara berlaku tidak mengikut perancangan, tiada siapa pun yang harus berputus asa, kerana Yesus mengingatkan kita: Apabila semuanya itu mulai terjadi, bangkitlah dan angkatlah mukamu, sebab penyelamatanmu sudah dekat." Malah, kita mungkin terdorong untuk melarikan diri atau mencari alasan atau penyelesaian lain apabila berhadapan dengan masalah dan cabaran di dunia, tetapi kita sepatutnya berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada dan bersedia, kerana Yesus mengingatkan kita: "Jagalah dirimu, supaya hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingan-kepentingan duniawi dan supaya hari Tuhan jangan dengan tiba-tiba jatuh ke atas dirimu seperti suatu jerat." Selain itu, kita mesti "berjaga-jaga dan berdoa." Ini bermakna bahawa kita mesti mengambil serius perkembangan kerohanian kita, seperti Santo Paulus dalam bacaan kedua mengesa agar setiap dan tiap-tiap seorang daripada kita untuk terus memperkembangkan kehidupan iman kita.

Maka, apa maknanya kepada kita? Ini bermakna bahawa kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan kita dan berfikir bahawa kita mempunyai banyak masa untuk berkembang lebih dekat dengan Tuhan. Sebaliknya, kita harus konsisten dan berterusan dalam usaha kita untuk memperkembangkan kehidupan rohani kita dan dalam hubungan kita dengan Allah dan dengan orang lain, seperti Santo Paulus menasihati kita dalam bacaan kedua: "Akhirnya, saudara-saudara, kami minta dan nasihatkan kamu dalam Tuhan Yesus: Kamu telah mendengar dari kami bagaimana kamu harus hidup supaya berkenan kepada Allah. Hal itu memang telah kamu turuti, tetapi baiklah kamu melakukannya lebih bersungguh-sungguh lagi." Semoga kita melakukan yang terbaik dan berjaga-jaga dan bersedia, dengan harapan dan keyakinan bahawa Allah akan menjadi takdir dan panduan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...