Sabtu, 25 Jun 2016

Minggu Biasa Ke-13 Tahun C

Ramai di antara kita menggelar diri kita orang Kristian serta melakukan yang terbaik untuk menjalani kehidupan yang elok dan taat. Kita berusaha untuk pergi ke gereja sekerap mungkin, malah ada sesetengah orang yang pergi setiap hari. Walau bagaimanapun, mari kita renung sebentar: jika Yesus telah datang kepada anda dan meminta anda untuk " Mari, ikutlah Aku ," apakah jawapan anda ? Adakah anda akan berkata " ya" dengan segera, atau adakah anda akan mula memikirkan semua perkara yang anda perlu selesaikan sebelum mengikuti Yesus , atau sebaliknya membuat pelbagai alasan?

Injil hari ini memberi kita gambaran yang sangat jelas mengenai apa yang diperlukan dari kita untuk menjadi pengikut Yesus. Secara ringkas, kita mesti bersedia untuk melepaskan semua perkara yang bernilai untuk mengikut Yesus. Dalam Injil, kita melihat tiga situasi yang berbeza. Pertama, Yesus mengingatkan kita bahawa walaupun semua makhluk yang lain mungkin mempunyai rumah, Anak Manusia itu sendiri tidak mempunyai rumah yang kekal. Ini bermakna seorang pengikut perlu meninggalkan segala bentuk sekuriti seperti satu pekerjaan yang baik, sebuah keluarga yang baik, atau suatu pendidikan yang baik , untuk mengikut Yesus. Orang kedua tidak dapat mengikut Yesus dengan segera kerana dia perlu menunaikan tanggungjawab taat kepada ibu bapa untuk menguburkan ayahnya. Namun, walaupun begitu, menurut Yesus, dia ini tidak mengambil keutamaan ke atas panggilan untuk mengikut Yesus. Akhirnya, orang ketiga diingatkan bahawa jika seseorang itu mengikut Yesus, dia tidak dapat lagi berpatah balik : "Setiap orang yang siap untuk membajak tetapi menoleh ke belakang, tidak layak untuk Kerajaan Allah." Ketiga-tiga situasi ini adalah contoh betapa tingginya kos menjadi pengikut. Tetapi Yesus tidak meminta kita menjadi tidak taat atau mengabai kewajipan kita kepada ibu bapa dan orang tua kita, memandangkan khidmat kepada Tuhan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab seseorang itu terhadap ibu bapa. Namun apa yang Injil beritahu kita adalah seseorang itu mesti bersedia untuk "mati" (mengorbankan) keperluan peribadi seseorang itu, kesukaan dan ketidaksukaan, malah juga agenda untuk mengikut Yesus.

Bacaan pertama memberitahu kita tentang Elisa , yang menyahut seruan Elia, serta menyembelih pasangan lembu itu, dan membakar bajak lembu. Apa yang dilakukan oleh Elisa adalah dia menyerahkan segala-galanya: dia meninggalkan hidupnya sebagai seorang petani untuk menjadi seorang nabi dan mengikut Elia. Ini adalah suatu tanda komitmen yang tegas. Adakah kita bersedia untuk membuat komitmen yang tegas seperti dilakukan Elisa , untuk mengikut Yesus? Ingatlah bahawa sebaik sahaja kita telah benar-benar dan ikhlas memutus untuk mengikut Yesus, tidak dapat lagi berpatah balik. Adakah kita sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Yesus, demi untuk Kerajaan Allah?

Sabtu, 18 Jun 2016

Minggu Biasa Ke-12 Tahun C

Memang kelihatan menarik untuk memerhati bagaimana sesetengah orang memandang Allah. Sesetengah orang seolah-olah ternantikan Tuhan yang akan memberkati mereka dengan kekayaan dan nasib yang baik,yang akan melindungi mereka dari segala bahaya, yang akan menyelesaikan semua masalah mereka, yang akan memberikan mereka kebahagiaan dan kedamaian. Ini mungkin adalah apa yang diharapkan Petrus dalam Injil hari ini, apabila Yesus datang ke dalam hidupnya. Petrus berharap dan menganggap Yesus telah datang untuk membebaskan orang Israel dari orang Rom,dan memimpin Israel sebagai sebuah negara kembali ke zaman kegemilangan mereka yang lalu. Tetapi Yesus memberi gambaran yang sangat berbeza akan peranannya, dengan berkata diri-Nya sebagai:" harus menanggung banyak penderitaan dan ditolak oleh tua-tua, imam-imam kepala dan ahli-ahli Taurat, lalu dibunuh." Yesus sedang cuba untuk membantu Petrus dan murid-murid-Nya memahami bahawa Dia adalah Allah yang bersedia untuk menderita dan mati untuk kita kerana Dia mengasihi kita.

Apakah makna ini kepada kita? Ini bermakna untuk menjadi pengikut Kristus, kita mesti jadi seperti yang diberitahu Yesus di dalam Injil hari ini: "Setiap orang yang mahu mengikut Aku, ia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya setiap hari dan mengikut Aku.Kerana barangsiapa mahu menyelamatkan nyawanya, ia akan kehilangan nyawanya; tetapi barangsiapa kehilangan nyawanya kerana Aku, ia akan menyelamatkannya." Apa sahaja yang kita dapat di dunia ini semata-mata membawa kepuasan sementara, dan kita boleh menjadi mudah tidak puas hati dan mencari perkara-perkara lain yang boleh memuaskan ; tetapi tiada apa yang benar-benar dapat memuaskan tetapi kasih Tuhan. Ini juga bermakna bahawa sebagai seorang pengikut Kristus, kita adalah satu dalam Kristus, seperti Santo Paulus dalam bacaan kedua mengingatkan kita: "Sebab kamu semua adalah anak-anak Allah kerana iman di dalam Yesus Kristus. Kerana kamu semua, yang dibaptis dalam Kristus telah mengenakan Kristus. Dalam hal ini tidak ada orang Yahudi atau orang Yunani, tidak ada hamba atau orang merdeka, tidak ada lelaki atau perempuan, kerana kamu semua adalah satu di dalam Kristus Yesus." Ini bermakna bahawa sebagai orang dalam Kristus, kita perlu membantu antara satu sama lain dan bersama-sama mengalami kasih Allah.

Sesetengah daripada kita mungkin tertanya-tanya: bagaimana kita hendak menangani penderitaan? Adakah penderitaan, perkara yang tidak baik? Tidak, Yesus mengajar kita melalui teladan hidup-Nya bahawa penderitaan bukanlah satu perkara yang tidak baik atau musuh kita. Malah, Yesus menunjukkan kepada kita melalui teladan hidup-Nya yang kita semua mengalami kesakitan dan penderitaan, tetapi apabila datangnya penderitaan, kita boleh memilih sama ada untuk mengadu dan menjadi muram dan marah ; atau kita boleh memilih untuk melihat bagaimana Allah dapat membawa kebaikan daripada pengalaman ini. Hari ini, janganlah kita takut atau putus asa jika kita mengalami penderitaan, memandangkan Allah ada di sana untuk membantu dan membimbing kita, mengubah kita menjadi suatu yang lebih baik, demi kemuliaan-Nya.

Sabtu, 11 Jun 2016

Minggu Biasa Ke-11 Tahun C

Kadangkala kita bertembung dengan orang yang berfikir bahawa mereka adalah orang Kristian yang baik kerana mereka memelihara dan mematuhi undang-undang Tuhan dan undang-undang gereja dengan taat. Mereka berfikir bergelar seorang Kristian atau memiliki iman Kristian bererti mematuhi undang-undang tersebut. Masalah dengan pemikiran sedemikian adalah tatkala kita mula berfikir yang agama kita sebagai satu set undang-undang semata-mata, iman kita kemudiannya berdasarkan rasa takut pada penghakiman dan hukuman dari Allah. Sesetengah daripada kita mula berfikir bahawa jika kita patuh pada undang-undang ini kita akan diberkati dan tiada perkara buruk akan berlaku kepada kita , tetapi jika kita melanggar undang-undang ini maka kita akan dihukum dan disumpah. Apabila agama berdasarkan perasaan takut, kita jadi menghakimi. Kita mula menghukum orang lain berdasarkan penampilan luaran dan tingkah laku, dan kita bersedia menangkap orang apabila mereka membuat kesilapan dan cepat untuk mengutuk atau memulaukan mereka daripada komuniti. Tetapi adakah ini sebenarnya Kristianiti? Sebagai orang Kristian, bagaimana kita melihat orang lain?Adakah kita sering menilai orang lain berdasarkan penampilan, mengingati dan menggunakan kesilapan mereka untuk menentang mereka?

Dalam bacaan hari ini, kita diingatkan tentang apa maksud sebenar menjadi seorang Kristian . Dalam bacaan kedua, Santo Paulus mengingatkan kita bahawa "tidak seorangpun yang dibenarkan oleh kerana melakukan hukum Taurat, tetapi hanya oleh kerana iman dalam Yesus Kristus." Ini bererti tidak cukup untuk hanya mengikuti satu set peraturan dan undang-undang , kerana iman kita adalah berdasarkan hubungan dengan Tuhan dan punca iman kita mestilah kasih. Tuhan berhubung dengan kita bukannya sebagai hakim menunggu untuk menghukum kita apabila kita melakukan kesalahan tetapi sebagai Allah yang mengasihi kita , seperti Santo Paulus memberitahu kita imannya: "Hidupku yang kuhidupi sekarang di dalam daging, adalah hidup oleh iman dalam Anak Allah yang telah mengasihi aku dan menyerahkan diri-Nya untuk aku."

Selain itu, kita juga dipanggil untuk berbelas kasihan dan bukan menghakimi. Injil hari ini memberi kita cerita indah mengenai Yesus dan perempuan berdosa. Dalam Injil, orang Farisi yang menjemput Yesus ke rumahnya hanya melihat seorang perempuan berdosa. Perempuan ini digambarkan sebagai seorang yang mempunyai "nama yang tidak baik di kota. " Bagi orang Farisi, dosa perempuan ini adalah terlalu besar serta tidak boleh dimaafkan, dan bahawa dia telah dikutuk dan ditakdirkan. Tetapi Yesus melihat perempuan itu dengan berbeza. Dia tahu bahawa dia adalah seorang berdosa tetapi Dia juga tahu dia boleh berubah jika diberi peluang. Belas kasih dan pengampunan mewujudkan peluang untuk perubahan, dan membolehkan kita untuk meninggalkan masa lampau di belakang. Belas kasih dan pengampunan adalah cara bagaimana Allah berhubung dengan kita dan mencabar kita untuk juga menunjukkan belas kasih dan pengampunan kepada orang lain.

Hari ini, semoga kita mula untuk menunjukkan belas kasih, faham-memahami dan pengampunan antara satu sama lain. Semoga kita menyedari bahawa kita semua adalah orang berdosa dan mengakui bahawa kita tidak sempurna. Semoga kita mengakui bahawa kita telah menyakiti satu sama lain dengan rasa bangga diri, ego, dan mementingkan diri sendiri. Tetapi jangan kita kekal terperangkap dengan kegagalan kita, kerana Allah telah menunjukkan kepada kita jalan ke hadapan melalui pengampunan dan belas kasih. Semoga kita tekad dalam perjalanan kita, tatkala kita belajar untuk memaafkan dan dimaafkan , dan biarkan Allah kita yang maha penyayang menjadi bantuan dan panduan kita.

Sabtu, 4 Jun 2016

Minggu Biasa Ke-10 Tahun C

Setiap seorang daripada kita akan melalui beberapa jenis penderitaan dalam hidup kita. Penderitaan boleh membentuk atau membinasakan kita. Kita sudah biasa dengan apa yang dilakukan sesetengah orang pada diri mereka kerana penderitaan: mereka menyisihkan diri; berasa mereka tidak boleh bertahan lagi ; malah ada yang putus asa dan menamatkan segala-galanya dengan membunuh diri. Kita juga sudah biasa dengan bagaimana sesetengah orang mengendalikan penderitaan mereka : mereka masih boleh tersenyum manis dan hidup normal, mempunyai pandangan positif dan bergantung pada pertolongan Allah dengan sabar dan yakin. Bagaimana pula dengan kita? Bagaimana kita akan respons pada penderitaan? Bagaimana pula dengan penderitaan orang lain? Apa yang telah kita lakukan apabila kita berhadapan dengan penderitaan orang lain? Apa yang telah kita lakukan apabila orang berkongsi kesakitan dan penderitaan mereka dengan kita? Adakah kita kekal tidak tergerak atau melibatkan diri kita sendiri dalam penderitaan mereka dengan mendengar luahan atau menghulurkan bantuan.

Dalam bacaan hari ini, kita mempelajari bahawa terdapat orang yang benar-benar mengambil berat terhadap orang lain ; mereka tidak menjauhkan diri daripada orang lain yang berada dalam penderitaan tetapi sebaliknya melakukan sesuatu untuk membantu. Inilah yang dilakukan Elia kepada balu dari Sarfat dalam bacaan pertama, di mana Elia menyeru pertolongan Allah dan membawa anak balu itu hidup kembali.Begitu juga apa yang penduduk bandar itu lakukan dalam Injil untuk balu dari Nain, dengan menyertainya tatkala badan anaknya sedang diusung untuk dikebumikan. Yesus juga melakukan sesuatu yang menakjubkan untuk balu dari Nain, dengan membangkit anaknya hidup kembali.

Adakah kita tidak melihat/berpandukan pada contoh Elia dan Yesus dalam cara sesetengah kita mengendalikan mereka yang datang kepada kita? Apabila seseorang yang memerlukan datang kepada kita, adakah kita berusaha untuk meluangkan masa atau kita sering membuat alasan, mengatakan kepada diri kita sendiri yang kita ada perkara yang lebih penting yang perlu dilakukan? Jika kita membuat alasan dan mengelakkan diri daripada orang untuk melakukan perkara kita sendiri, maka mungkin perkataan "Allah telah melawat umat-Nya " dalam Injil hari ini tidak boleh kita ucapkan.

Hari ini, marilah kita meluangkan masa untuk orang lain apabila mereka memerlukan. Kadangkala, masa yang kita luangkan kepada mereka boleh bermakna lebih daripada semua khutbah yang boleh kita ucap, mahupun bantuan kewangan yang boleh kita tawarkan.Marilah kita menjadi lelaki dan wanita (umat) Allah, membawa kasih dan belas kasihan-Nya kepada orang lain, supaya dalam semua yang kita katakan dan lakukan,nama-Nya dimuliakan.

Jumaat, 3 Jun 2016

Hati Kudus Yesus

Bolehkah anda melihat kasih? Sudah tentu kita tidak boleh melihat kasih, jadi kita menggunakan simbol yang umum untuk mewakilinya, iaitu sebentuk hati/jantung. Apabila kita mengatakan seseorang mempunyai "berhati emas" , ia bermakna bahawa orang tersebut tidak mementingkan diri sendiri dan penyayang. Apabila kita bercakap dari hati ke hati dengan seorang kawan, kita menunjukkan keprihatinan yang mendalam dan mengambil berat terhadap seseorang yang kita kasihi. Apabila kita berkata , "mempunyai hati, " kita meminta seseorang agar menjadi lebih bertimbang rasa dan penyayang. Hati/jantung juga boleh dijelaskan dalam pelbagai aspek. Dari aspek santifik dan perubatan, ia adalah satu organ penting. Bila jantung berhenti sepenuhnya, semudah itu kita mati. Dari segi psikologi , hati itu dilihat sebagai pusat emosi dan perasaan. Dari segi moral, hati adalah punca kebaikan atau kejahatan, kerana dari hati alirnya kata-kata dan tindakan yang memberitahu kita sama ada apa yang dikatakan atau dilakukan itu baik atau buruk.

Hari ini kita meraikan Hari Raya/Pesta Hati Kudus Yesus. Hati Kudus Yesus yang kita lihat pada gambar adalah simbol yang mengingatkan kita kepada kasih ilahi Tuhan , kasih yang paling besar sekali. Hati Kudus Yesus terbakar dengan kasih, berseri-seri dengan kasih, terluka dengan kasih bagi kita setiap seorang. Imej Hati Yesus memfokus pada pengorbanan diri Yesus Kristus untuk kita. Imej Hati Kudus Yesus inilah yang mengingatkan kita bahawa Yesus adalah gembala kita, yang sentiasa menyeru kepada kita, orang berdosa, untuk kembali kepada-Nya.

Injil hari ini memberitahu kita bahawa apabila orang berdosa kembali kepada Yesus," Akan ada sukacita di syurga kerana satu orang berdosa yang bertaubat, lebih dari pada sukacita kerana sembilan puluh sembilan orang benar yang tidak memerlukan pertaubatan." Hati Kudus Yesus memanggilkan kita untuk " mempunyai hati " (berniat) dan kembali kepada Yesus , supaya kita terus hidup. Semoga kita berusaha untuk menjadi lebih dekat dengan Hati Kudus Yesus , dan membiarkan hati Yesus menyembuhkan kita, dan mengubah kita , supaya dalam semua yang kita katakan dan lakukan, kita akan memuliakan Tuhan.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...