Sabtu, 18 Jun 2016

Minggu Biasa Ke-12 Tahun C

Memang kelihatan menarik untuk memerhati bagaimana sesetengah orang memandang Allah. Sesetengah orang seolah-olah ternantikan Tuhan yang akan memberkati mereka dengan kekayaan dan nasib yang baik,yang akan melindungi mereka dari segala bahaya, yang akan menyelesaikan semua masalah mereka, yang akan memberikan mereka kebahagiaan dan kedamaian. Ini mungkin adalah apa yang diharapkan Petrus dalam Injil hari ini, apabila Yesus datang ke dalam hidupnya. Petrus berharap dan menganggap Yesus telah datang untuk membebaskan orang Israel dari orang Rom,dan memimpin Israel sebagai sebuah negara kembali ke zaman kegemilangan mereka yang lalu. Tetapi Yesus memberi gambaran yang sangat berbeza akan peranannya, dengan berkata diri-Nya sebagai:" harus menanggung banyak penderitaan dan ditolak oleh tua-tua, imam-imam kepala dan ahli-ahli Taurat, lalu dibunuh." Yesus sedang cuba untuk membantu Petrus dan murid-murid-Nya memahami bahawa Dia adalah Allah yang bersedia untuk menderita dan mati untuk kita kerana Dia mengasihi kita.

Apakah makna ini kepada kita? Ini bermakna untuk menjadi pengikut Kristus, kita mesti jadi seperti yang diberitahu Yesus di dalam Injil hari ini: "Setiap orang yang mahu mengikut Aku, ia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya setiap hari dan mengikut Aku.Kerana barangsiapa mahu menyelamatkan nyawanya, ia akan kehilangan nyawanya; tetapi barangsiapa kehilangan nyawanya kerana Aku, ia akan menyelamatkannya." Apa sahaja yang kita dapat di dunia ini semata-mata membawa kepuasan sementara, dan kita boleh menjadi mudah tidak puas hati dan mencari perkara-perkara lain yang boleh memuaskan ; tetapi tiada apa yang benar-benar dapat memuaskan tetapi kasih Tuhan. Ini juga bermakna bahawa sebagai seorang pengikut Kristus, kita adalah satu dalam Kristus, seperti Santo Paulus dalam bacaan kedua mengingatkan kita: "Sebab kamu semua adalah anak-anak Allah kerana iman di dalam Yesus Kristus. Kerana kamu semua, yang dibaptis dalam Kristus telah mengenakan Kristus. Dalam hal ini tidak ada orang Yahudi atau orang Yunani, tidak ada hamba atau orang merdeka, tidak ada lelaki atau perempuan, kerana kamu semua adalah satu di dalam Kristus Yesus." Ini bermakna bahawa sebagai orang dalam Kristus, kita perlu membantu antara satu sama lain dan bersama-sama mengalami kasih Allah.

Sesetengah daripada kita mungkin tertanya-tanya: bagaimana kita hendak menangani penderitaan? Adakah penderitaan, perkara yang tidak baik? Tidak, Yesus mengajar kita melalui teladan hidup-Nya bahawa penderitaan bukanlah satu perkara yang tidak baik atau musuh kita. Malah, Yesus menunjukkan kepada kita melalui teladan hidup-Nya yang kita semua mengalami kesakitan dan penderitaan, tetapi apabila datangnya penderitaan, kita boleh memilih sama ada untuk mengadu dan menjadi muram dan marah ; atau kita boleh memilih untuk melihat bagaimana Allah dapat membawa kebaikan daripada pengalaman ini. Hari ini, janganlah kita takut atau putus asa jika kita mengalami penderitaan, memandangkan Allah ada di sana untuk membantu dan membimbing kita, mengubah kita menjadi suatu yang lebih baik, demi kemuliaan-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...