Sabtu, 27 Ogos 2016

Minggu Biasa Ke-22 Tahun C

Apa maksudnya menjadi rendah diri? Menjadi rendah diri adalah suatu sifat baik Kristian, tetapi sebahagian kita mungkin keliru dan salah faham makna sebenarnya. Sesetengah orang berfikir bahawa kerendahan hati bermaksud merendahkan diri sendiri sehingga mengkritik diri, bakat dan pencapaian sendiri. Mereka tidak bercakap tentang bakat dan anugerah mereka kerana bimbang akan kelihatan seperti bermegah . Ada yang mengkritik bakat, kebolehan dan pencapaian mereka sendiri dengan berkata: "Saya tidak cukup suci, jangan memilih saya sebagai pemimpin di paroki ini; " "masakan saya hanya biasa, saya tidak fikir rasa hidangan saya hebat." (walaupun pada hakikatnya, hidangannya amat sedap dan enak); "Suara saya tidak begitu hebat, saya tidak menyanyi dengan baik." (walaupun pada hakikatnya , dia menyanyi seperti burung lark ). Masalah dan ironi dari kenyataan ini adalah : setiap kali kita mengkritik dan merendahkan diri kita, kita sebenarnya berharap dan mengharapkan orang lain untuk memuji dan mengagumi kita serta pencapaian kita. Kerendahan hati sedemikian bukan rendah hati yang sebenar tetapi dipanggil kerendahan hati yang palsu, yang merupakan samaran untuk bangga.

Sebaliknya, dalam Injil hari ini, Yesus memberitahu kita: "Sebab barangsiapa meninggikan diri, ia akan direndahkan dan barangsiapa merendahkan diri, ia akan ditinggikan." Bacaan pertama menegaskan apa yang Yesus sampaikan kepada kita : "Lakukanlah pekerjaanmu dengan sopan, ya anakku, maka engkau akan lebih disayangi dari pada orang yang ramah-tamah. Makin besar engkau, makin patut kau rendahkan dirimu, supaya kau dapat kurnia di hadapan Tuhan." Bacaan hari ini menyampaikan kepada kita agar kita tidak harus mencari sebarang ganjaran, pujian, ucapan terima kasih atau penghargaan untuk apa yang kita lakukan. Kita tidak perlu mencari kedudukan kehormat atau pengiktirafan bagi pencapaian kita, kerana sebaik sahaja kita telah menjadi ketagih dan bergantung kepada pujian dan pengiktirafan manusia, semua yang kita lakukan mungkin mempunyai motif tersembunyi. Apabila orang lain tidak memuji atau berterima kasih kepada kita , kita menjadi jemu, sakit hati dan marah. Kerendahan hati itu adalah melayan dan memberi tanpa meminta atau mengharapkan balasan; tanpa perlu untuk menggembirakan orang lain dan melakukan segala-galanya untuk kemuliaan Allah.

Maka, apa yang kita perlu lakukan? Bagaimana kita harus memahami kerendahan hati? Rendah hati adalah memahami dan menghargai kekuatan dan kelemahan seseorang. Setiap orang mempunyai kekuatan dan kelemahan. Jika kita belajar untuk menerima dan hidup dengan kekuatan dan kelemahan kita, kita sudah tentu menjadi orang yang lebih bahagia. Dengan cara yang sama, kita juga perlu mengiktiraf dan menghargai kelemahan dan kekuatan orang lain. Kita mesti sentiasa ingat bahawa tidak ada yang boleh melakukan semua perkara, tetapi semua orang boleh melakukan sesuatu. Rendah hati juga bermakna menerima semua orang lain sebagai insan seperti saudara dan saudari. Kita tidak harus memilih atau kekal hanya pada kumpulan tertentu. Sebaliknya, kita harus menganggap semua orang sebagai berharga, penting, signifikan, bernilai dan mempunyai kedudukan setaraf.

Hari ini, marilah kita mengikut contoh Yesus, yang walaupun adalah Anak Allah, merendahkan diri dan memilih untuk menjadi manusia, dan juga sangat rendah diri lagi, memilih untuk menjadi pelayan dari semuanya. Sebagai orang Kristian, kita harus mengikut Yesus serta mencontohi kerendahan hati yang sebenar, melakukan segala sesuatu untuk membina Kerajaan Tuhan dan memberi -Nya segala kemuliaan.

Sabtu, 20 Ogos 2016

Minggu Biasa Ke-21 Tahun C

Apa jenis imej yang ada pada kita tentang Allah? Sesetengah kita seolah-olah memikirkan Allah seperti seorang pegawai polis atau hakim yang garang dan tegas, hanya menunggu untuk menangkap dan mengutuk kita bagi setiap perkara kecil yang kita lakukan. Sesetengah kita pula memikirkan Allah sebagai orang yang mementingkan disiplin, keluar untuk menangkap dan menyebat kita betul-betul. Tetapi adakah Tuhan sebenarnya seperti itu? Sudah tentu tidak. Bacaan pertama hari ini menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan tidak berminat untuk mengutuk kita, tetapi Dia mahu menyelamatkan kita semua, seperti bacaan memberitahu kita: "Aku datang untuk mengumpulkan segala bangsa dari semua bahasa." Pada dasarnya, rancangan Tuhan adalah untuk menyelamatkan semua orang, tanpa mengira bangsa, bahasa atau budaya.

Jadi jika sedemikian, maka bagaimana kita memahami perumpamaan pintu yang sempit dalam Injil hari ini? Bukankah perumpamaan ini seolah-olah membayangkan bahawa Allah cuba untuk memerangkap atau menyukarkan kita untuk bersama dengan-Nya? Sekali lagi, bukan. Dalam Injil , Yesus memberitahu kita: "Berjuanglah untuk masuk melalui pintu yang sesak itu! Sebab Aku berkata kepadamu: Banyak orang akan berusaha untuk masuk, tetapi tidak akan dapat." Apakah maksud ini? Apa yang Yesus cuba untuk menarik perhatian kita bukan berapa ramai orang yang akan diselamatkan, sebaliknya Dia cuba untuk menekankan kepada kita cara bagaimana kita harus menjalani kehidupan kita. Yesus mengingatkan kita bahawa untuk menjadi seorang Kristian bukanlah mudah. Cara orang Kristian, pintu yang sempit, bukan merupakan cara yang mudah. Untuk mengikut Kristus, kita mesti juga bersedia untuk menerima penderitaan, bermakna bahawa kita mesti menafikan diri, memikul salib kita dan mengikut-Nya; ia bermakna bahawa orang lain akan salah faham terhadap kita; ia bermakna bahawa orang akan mempersendakan, mengejek dan menghina kita ; dan ia bermakna bahawa kita tidak boleh mencari penghormatan dan kuasa tetapi mesti bersedia untuk menjadi pelayan orang lain : "orang yang terdahulu yang akan menjadi orang yang terakhir dan ada orang yang terakhir yang akan menjadi orang yang terdahulu."

Walaupun menjadi seorang Kristian bermakna kita perlu bersedia untuk menderita dan tidak perlu takut penderitaan, ia tidak bermakna kita harus menyeksa diri dan sengaja mencari derita. Melalui penderitaan-Nya dan kematian-Nya, Yesus memberi penderitaan makna yang baru. Penderitaan bukan hukuman bagi dosa kita. Sebaliknya, bacaan kedua menyakinkan kita bahawa : "Jika kamu harus menanggung ganjaran (derita); Allah memperlakukan kamu seperti anak. Di manakah terdapat anak yang tidak diajar oleh ayahnya? Memang tiap-tiap ganjaran pada waktu ia diberikan tidak mendatangkan sukacita, tetapi dukacita. Tetapi kemudian ia menghasilkan buah kebenaran yang memberikan damai kepada mereka yang dilatih olehnya." Orang yang telah melalui penderitaan akan menjadi lebih sensitif dan prihatin kepada penderitaan orang lain. Melalui penderitaan, seseorang belajar untuk menjadi lebih sabar dan memahami orang lain. Memanggil diri kita orang Kristian tidak cukup baik. Pergi ke gereja setiap hari minggu juga tidak cukup baik. Kita mesti mengamalkan kepercayaan yang dianuti. Hari ini, marilah kita menjadi berani dan teguh menderita untuk Kristus, dan berdoa untuk kekuatan dan keberanian untuk masuk melalui pintu yang sempit . Marilah kita juga menggalakkan orang lain untuk tabah, agar bersama-sama, kita akan berserta dengan Allah kita yang penyayang.

Sabtu, 13 Ogos 2016

Minggu Biasa Ke-20 Tahun C

Antara salah satu penemuan penting manusia yang mengubah banyak perkara dalam hidup kita adalah penemuan api. Dengan mempelajari bagaimana membuat api dan menggunakannya bagi manfaat kita, manusia beransur-ansur meninggalkan kehidupan nomad mereka dan menetap sebagai petani, menandakan bermulanya perkampungan, pekan dan bandar. Api boleh menjadi berguna atau membinasa. Ia boleh digunakan untuk memasak makanan kita atau menyebabkan sebuah rumah habis terbakar. Ia boleh digunakan bagi mengendalikan peralatan untuk kegunaan industri, atau untuk menghasilkan senjata perang.

Dalam Injil hari ini, Yesus menggunakan api untuk memberitahu kita mengapa Dia telah datang : "Aku datang untuk melemparkan api ke bumi dan betapakah Aku harapkan, api itu telah menyala!...Kamu menyangka, bahawa Aku datang untuk membawa damai di atas bumi? Bukan, kata-Ku kepadamu, bukan damai, melainkan pertentangan." Sesetengah daripada kita mungkin mendapati kenyataan Yesus sukar untuk difahami dan diterima. Lagipun, Dia dipanggil Putera Damai oleh nabi Yesaya. Sekarang Dia berkata bahawa Dia akan melemparkan api ke bumi dan membawa pertentangan. Bagaimana kita memahami kenyataan yang sedemikian itu? Kita perlu ingat bahawa Yesus, dan kita juga, bukan hanya imam dan raja , tetapi juga seorang nabi. Dalam Perjanjian Lama, nabi palsu adalah orang yang cuba untuk menyenangkan hati audiens, terutamanya para pemerintah. Nabi palsu yang sebegitu mempunyai agenda peribadi, seperti kepuasan peribadi , kemasyhuran , populariti, kekayaan atau pengiktirafan. Sebaliknya , nabi yang sebenar mewartakan Firman Tuhan, kepada orang sezaman tanpa mengira akibatnya. Nabi yang sebenar berusaha bercakap benar, dan kata-kata dan amarannya adalah bertujuan untuk menjadikan kita melihat ke dalam diri kita dan menyedari bahawa diri kita mungkin musuh utama dan paling teruk, memandangkan sering kali, ia adalah keinginan dan perbuatan jahat kita yang menghalang kita daripada hidup menurut Firman Tuhan dan berjalan mengikut jalan-Nya. Dalam konteks inilah, kedatangan Yesus dan ajaran-Nya akan melemparkan api ke bumi dan membawa pertentangan.

Jadi apakah makna ini kepada kita? Apa yang dimaksudkan ialah Yesus sekarang meminta kita membuat pilihan kita: menyokong atau menentang-Nya ; untuk mengatakan ' Ya' kepada Allah atau mengatakan 'Tidak.' Tidak ada di-antara , tiada jika , mungkin atau tetapi. Pilihan kita akan memberi kesan yang kekal : Hidup mengikut Firman-Nya dan kita akan mempunyai hidup yang kekal ; atau bertentangan terhadap Firman-Nya dan kita akan menghadapi akibatnya, termasuk hukuman kekal. Tetapi kita tidak perlu untuk melalui ini bersendirian, kerana Yesus ada di sana untuk membimbing dan membantu kita. Dalam bacaan kedua, Santo Paulus memberikan kita kata-kata semangat ini : "Marilah kita menanggalkan semua beban dan dosa yang begitu merintangi kita, dan berlumba dengan tekun dalam perlumbaan yang diwajibkan bagi kita. Marilah kita melakukannya dengan mata yang tertuju kepada Yesus, yang memimpin kita dalam iman, dan yang membawa iman kita itu kepada kesempurnaan, yang dengan mengabaikan kehinaan tekun memikul salib ganti sukacita yang disediakan bagi Dia, yang sekarang duduk di sebelah kanan takhta Allah." Dengan kata-kata tersebut , Santo Paulus meminta kita untuk menjadikan Yesus model kita tatkala kita berlumba dalam perlumbaan hidup. Yesus memikul salib dan hina memandangkan " sukacita yang disediakan bagi Dia," dan kita juga perlu melakukan perkara yang sama. Yesus menerima kemenangan agung atas ketaatan -Nya kepada kehendak Bapa-Nya , dan kita juga boleh, jika kita hidup dengan Firman Tuhan. Oleh itu marilah kita membuat pilihan menyertai Yesus dan mengesahkan setiap hari dalam pemikiran, perkataan dan perbuatan. Marilah kita melepaskan segala-galanya yang menghalang kita, terutama dosa yang berpaut begitu mudah, dan berjalan secara berterusan dalam perlumbaan yang kita telah mula . Janganlah kita terlepas dari penglihatan Yesus, yang memimpin kita dalam iman kita dan membawa pada kesempurnaan, supaya kita akan bersama dengan-Nya untuk selama-lamanya .

Sabtu, 6 Ogos 2016

Minggu Biasa Ke-19 Tahun C

Orang yang berlainan mempunyai ketakutan yang berbeza. Ada yang takut pada kegelapan ; ada yang takut pada serangga , labah-labah , cicak (terutamanya yang dikenali sebagai gecko, yang menghuni dalam rumah) atau apa jua yang menjalar dan menyeramkan; ada yang takut kepada suami atau isteri mereka atas sebab tertentu ; ada yang takut pada kekalahan, walaupun dalam perkara-perkara kecil atau kurang signifikan; serta ada yang takut pada ketinggian. Antara banyak sebab orang mungkin berasa takut, saya percaya salah satu yang agak biasa adalah takut pada kematian atau saat akhir hayat. Ramai orang tidak suka bercakap atau berfikir tentang kematian. Mungkin mereka berfikir bahawa jika mereka tidak bercakap mengenainya atau berfikir tentang hal itu , ia tidak akan berlaku. Tetapi hakikatnya ialah, kematian akan berlaku, dan kita tidak boleh mengelak kematian. Ia boleh datang pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat.

Memandangkan kita tidak boleh mengelak kematian, jadi apakah yang kita boleh buat? Adakah kita cuba untuk berlari dan bersembunyi di suatu tempat, menggeletar dan betapa bodohnya, risau pada diri kita sendiri? Sudah tentu tidak! Kita hendaklah, seperti Yesus memberitahu kita dalam Injil hari ini, "siap sedia, kerana Anak Manusia datang pada saat yang tidak kamu sangkakan." Kita tidak harus terperangkap dalam keadaan tidak bersedia tetapi sentiasa bersiap sedia. Yesus juga menyakinkan kita: "Janganlah takut, hai kamu kawanan kecil! Kerana Bapamu telah berkenan memberikan kamu Kerajaan itu." Kita tidak perlu takut pada kematian, kerana kematian mengingatkan kita bahawa terdapat permulaan dan pengakhiran pada kehidupan fizikal kita ; bahawa kita perlu memberi perhatian kepada hubungan kita dengan orang lain, terutama dengan ahli keluarga dan rakan taulan kita, ketika waktu singkat kita di dunia ; bahawa kuasa , kekayaan dan populariti semuanya sementara, dan kita harus tetap rendah hati ; bahawa kita adalah manusia, kita lemah dan kita akhirnya perlu bergantung kepada Tuhan untuk segala-galanya ; dan bahawa kita harus melihat serius ke dalam kehidupan rohani kita dan memastikan jiwa kita bersih dan bersedia untuk bertemu dengan Tuhan dan bersama dengan-Nya.

Selain itu, bacaan kedua mengingatkan kita bahawa "iman adalah dasar dari segala sesuatu yang kita harapkan dan bukti dari segala sesuatu yang tidak kita lihat." Sesetengah daripada kita takut pada kematian kerana kita takut akan sesuatu yang tidak diketahui, dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita. Tetapi iman memberikan kita jawapannya. Iman memberitahu kita bahawa Tuhan tidak akan meninggalkan kita dan akan membina sebuah rumah untuk kita dengan-Nya di syurga.

Oleh itu, marilah kita mempunyai iman dan keyakinan bahawa Allah akan menjaga kita . Jika kita percaya kepada-Nya dan menyediakan diri kita secara konsisten dan setia dengan penuh harapan dan rendah hati, maka kita tidak harus mempunyai sebarang sebab untuk takut pada kematian, kerana kita hanya orang asing dan pengembara di dunia dalam mencari tanah air sebenar kita, tanah air yang lebih baik, tanah air kita yang di syurga.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...