Sabtu, 27 Ogos 2016

Minggu Biasa Ke-22 Tahun C

Apa maksudnya menjadi rendah diri? Menjadi rendah diri adalah suatu sifat baik Kristian, tetapi sebahagian kita mungkin keliru dan salah faham makna sebenarnya. Sesetengah orang berfikir bahawa kerendahan hati bermaksud merendahkan diri sendiri sehingga mengkritik diri, bakat dan pencapaian sendiri. Mereka tidak bercakap tentang bakat dan anugerah mereka kerana bimbang akan kelihatan seperti bermegah . Ada yang mengkritik bakat, kebolehan dan pencapaian mereka sendiri dengan berkata: "Saya tidak cukup suci, jangan memilih saya sebagai pemimpin di paroki ini; " "masakan saya hanya biasa, saya tidak fikir rasa hidangan saya hebat." (walaupun pada hakikatnya, hidangannya amat sedap dan enak); "Suara saya tidak begitu hebat, saya tidak menyanyi dengan baik." (walaupun pada hakikatnya , dia menyanyi seperti burung lark ). Masalah dan ironi dari kenyataan ini adalah : setiap kali kita mengkritik dan merendahkan diri kita, kita sebenarnya berharap dan mengharapkan orang lain untuk memuji dan mengagumi kita serta pencapaian kita. Kerendahan hati sedemikian bukan rendah hati yang sebenar tetapi dipanggil kerendahan hati yang palsu, yang merupakan samaran untuk bangga.

Sebaliknya, dalam Injil hari ini, Yesus memberitahu kita: "Sebab barangsiapa meninggikan diri, ia akan direndahkan dan barangsiapa merendahkan diri, ia akan ditinggikan." Bacaan pertama menegaskan apa yang Yesus sampaikan kepada kita : "Lakukanlah pekerjaanmu dengan sopan, ya anakku, maka engkau akan lebih disayangi dari pada orang yang ramah-tamah. Makin besar engkau, makin patut kau rendahkan dirimu, supaya kau dapat kurnia di hadapan Tuhan." Bacaan hari ini menyampaikan kepada kita agar kita tidak harus mencari sebarang ganjaran, pujian, ucapan terima kasih atau penghargaan untuk apa yang kita lakukan. Kita tidak perlu mencari kedudukan kehormat atau pengiktirafan bagi pencapaian kita, kerana sebaik sahaja kita telah menjadi ketagih dan bergantung kepada pujian dan pengiktirafan manusia, semua yang kita lakukan mungkin mempunyai motif tersembunyi. Apabila orang lain tidak memuji atau berterima kasih kepada kita , kita menjadi jemu, sakit hati dan marah. Kerendahan hati itu adalah melayan dan memberi tanpa meminta atau mengharapkan balasan; tanpa perlu untuk menggembirakan orang lain dan melakukan segala-galanya untuk kemuliaan Allah.

Maka, apa yang kita perlu lakukan? Bagaimana kita harus memahami kerendahan hati? Rendah hati adalah memahami dan menghargai kekuatan dan kelemahan seseorang. Setiap orang mempunyai kekuatan dan kelemahan. Jika kita belajar untuk menerima dan hidup dengan kekuatan dan kelemahan kita, kita sudah tentu menjadi orang yang lebih bahagia. Dengan cara yang sama, kita juga perlu mengiktiraf dan menghargai kelemahan dan kekuatan orang lain. Kita mesti sentiasa ingat bahawa tidak ada yang boleh melakukan semua perkara, tetapi semua orang boleh melakukan sesuatu. Rendah hati juga bermakna menerima semua orang lain sebagai insan seperti saudara dan saudari. Kita tidak harus memilih atau kekal hanya pada kumpulan tertentu. Sebaliknya, kita harus menganggap semua orang sebagai berharga, penting, signifikan, bernilai dan mempunyai kedudukan setaraf.

Hari ini, marilah kita mengikut contoh Yesus, yang walaupun adalah Anak Allah, merendahkan diri dan memilih untuk menjadi manusia, dan juga sangat rendah diri lagi, memilih untuk menjadi pelayan dari semuanya. Sebagai orang Kristian, kita harus mengikut Yesus serta mencontohi kerendahan hati yang sebenar, melakukan segala sesuatu untuk membina Kerajaan Tuhan dan memberi -Nya segala kemuliaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...