Memaparkan catatan dengan label 16. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 16. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Julai 2018

Minggu Biasa Ke-16 Tahun B

Ahli keluarga pada hari ini kelihatan semakin sibuk dengan perkara mereka sendiri. Ibu bapa sibuk dengan kerja, bersosial dengan rakan-rakan mereka, melakukan pelbagai tugas, dan perkara lain yang perlu. Anak-anak sibuk dengan sekolah, kolej atau universiti, bersosial dengan rakan-rakan mereka, melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, dan perkara-perkara lain yang timbul. Pekerjaan, pelajaran dan kegemaran sendiri menjadi lebih penting, menyebabkan masa dengan keluarga semakin berkurangan. Jika dibiarkan, hubungan keluarga merana. Kita mendengar lebih banyak kes pasangan bercerai, masalah sosial di kalangan anak-anak, dan apabila anak-anak ini membesar, mereka berpindah dan meninggalkan ibu bapa mereka yang tua, atau bahkan menjadi orang yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. Sebab masalah tersebut adalah ahli keluarga tidak mempunyai masa untuk satu sama lain, mereka telah hilang ikatan atau perasaan mengasihi, mereka hanyut jauh.

Apabila bercakap mengenai hubungan kita dengan Allah, kita juga boleh hanyut jauh dari Dia ketika kita kurang berdoa, ketika kita jarang pergi ke gereja, ketika kita tidak mendengar Firman-Nya dalam Alkitab, ketika kita tidak meluangkan masa mendengar Dia di hadapan Sakramen Mahakudus, dan ketika kita tidak terlibat dalam pelbagai aktiviti gereja. Kita menjadi semakin terperangkap dalam cara-cara dunia, menyebabkan kita semakin berjauhan dari Allah. Kita mula kehilangan keupayaan kita untuk mendengar suaraNya, sehingga suatu hari, kita mungkin mendapati bahawa kita telah terasing dari-Nya. Mengapa? Kerana kita telah, melalui tindakan, sikap dan tingkah laku kita, memilih untuk meninggalkan Dia, walaupun kita mungkin tidak menyedarinya sehingga sudah terlambat. Sebaliknya, Allah tidak meninggalkan kita. Malah, Dia sentiasa mencari kita, dengan bersungguh-sungguh dan lemah-lembut memanggil kita untuk kembali kepada-Nya, tetapi kita telah mengabai atau kurang sensitif untuk mendengar suara-Nya.

Dalam bacaan Injil hari ini, kita melihat bagaimana para rasul begitu bersemangat dalam tugas mereka, menyebabkan mereka lupa meluangkan masa di antara sesama mereka dan dengan Yesus. Tugas adalah baik dan penting, tetapi meluangkan masa dengan satu sama lain dan doa dan refleksi dengan Allah lebih penting. Kadang-kadang kita lupa bahawa kita bukan superman atau superwoman, kerana tanpa doa, kita tidak akan mempunyai kekuatan rohani, stamina dan tenaga untuk menghadapi pelbagai cabaran kehidupan yang akan datang. Kita akan mengalami kepenatan, keletihan dan kekecewaan.

Dalam pembacaan pertama, nabi Yeremia telah mengeluarkan amaran tegas kepada kita semua, paderi, religius dan umat awam: " Celakalah para gembala yang membiarkan kambing domba gembalaan-Ku hilang dan terserak ... Kamu telah membiarkan kambing domba-Ku terserak dan tercerai-berai, dan kamu tidak menjaganya. Maka ketahuilah, Aku akan membalaskan kepadamu perbuatan-perbuatanmu yang jahat,... "Setiap insan dipanggil dan dipilih untuk menjadi gembala mengikut situasi kita, dan kita ditugaskan dengan perkembangan moral, rohani dan pendidikan diri kita sendiri dan juga sesiapa dibawah naungan kita. Jika kita gagal atau lalai menjaga keperluan pastoral untuk mereka yang berada di bawah jagaan kita, maka Allah akan “membangkitkan gembala untuk menjaga mereka." Kita akan berdepan akibat daripada kelalaian kita. Adakah kita sedar tentang perkara ini? Adakah kita mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani perkara ini sebelum terlambat?

Menjadi gembala yang menjaga kawanan domba Allah pastinya tidak mudah. Lebih-lebih lagi, gembala bukan hanya paderi, memandangkan setiap orang di antara kita dipanggil menjadi gembala dengan cara kita sendiri dan dalam keadaan kita sendiri. Kita mesti mengikuti contoh Yesus, Gembala yang Baik, tetapi jika kita begitu terperangkap dengan kesibukan kita sendiri sehingga kita tidak mempunyai masa untuk Allah, untuk keluarga kita atau orang lain, maka bagaimanakah kita akan menjadi gembala dan saksi Injil yang berkesan? Tidak. . Kita tidak boleh membantu orang lain jika kita sendiri tidak cukup rehat atau merasa tekanan. Itulah sebabnya kita mesti mendengar suara Yesus, memanggil kita dalam Injil hari ini untuk " ke tempat yang sunyi, supaya kita sendirian, dan beristirahatlah seketika." Marilah kita tidak mengambil mudah atau sambil lewa dengan jemputan Yesus. Sebaliknya, marilah kita merebut peluang untuk berehat seketika dengan Allah dan dengan satu sama lain, agar kita bersemangat baru untuk menjadi gembala yang berkesan dalam situasi kita yang berbeza, mengikut contoh Yesus, Gembala Baik yang kita kasihi.

Sabtu, 22 Julai 2017

Minggu Biasa Ke-16 Tahun A

Apakah itu kekuatan? Apakah itu kelemahan? Kadang-kadang kita menyamakan kekuatan atau kelemahan dengan jumlah tenaga atau otot yang kita ada. Sebahagian daripada kita berfikir kekuatan bermakna kita mampu bertahan, untuk mengelak mendapat malu, mampu menangani sesuatu situasi dengan efektif untuk kebaikan sendiri. Sesetengah orang berfikir bahawa seseorang perlu untuk menjadi "kiasu" atau "takut untuk kalah" untuk menjadi kuat. Ada yang berfikir bahawa untuk menjadi kuat, seseorang perlu mahir atau mampu berlagak berani, enggan mengalah, enggan mengakui kesalahan atau kesilapan kita, enggan memohon maaf atau meminta maaf, enggan memaafkan orang lain yang mungkin telah menyakiti kita atau melakukan sesuatu yang salah. Tetapi adakah kita benar-benar kuat dalam situasi-situasi sebegini?

Bacaan-bacaan pada hari ini memberi kita pandangan atau pemahaman yang berbeza mengenai kekuatan. Kekuatan bermakna mempunyai belas kasihan. Dalam Bacaan Pertama, kita belajar bahawa asas keadilan Tuhan ialah kekuatan, namun Allah mengadili dengan belas kasihan, dan dengan sangat hati-hati memperlakukan kita. Dia dengan mudah boleh menggunakan kekuasaan-Nya untuk menghukum kita atau menghapuskan musuh-musuh kita, tetapi Dia memilih untuk tidak berbuat demikian. Ini adalah satu contoh agung mengenai belas kasihan Tuhan terhadap kita semua, tidak kira siapa kita. Dalam Bacaan Kedua, kita menyedari bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu kita dan membimbing kita, walaupun dalam kelemahan kita. Dalam Injil, kita mendapati bahawa setiap daripada kita mempunyai kebaikan dan ada juga keburukan, ada gandum dan ada lalang, semua bercampur aduk bersama-sama. Kita tidak sempurna dan tiada seorang pun benar-benar kuat atau benar-benar lemah. Dengan belajar untuk mempunyai belas kasihan, kita belajar untuk menerima kelemahan dan batasan kita sendiri. Dengan mengenal pasti kelemahan kita sendiri dan keperluan kita bagi pengampunan dan belas kasihan Tuhan, kita juga akan mula menjadi belas kasihan dengan saudara saudari kita yang tengah bergelut sama seperti kita.

Kesimpulannya, kita perlu belajar untuk menjadi berbelas kasihan, sama seperti Bapa Syurgawi kita yang berbelas kasihan kepada semua. Berbelas kasihan tidak bermakna kita akan rugi akhirnya. Sebaliknya, kita akan belajar untuk menjadi lebih seperti Allah kita yang penyayang dan baik hati.

Sabtu, 16 Julai 2016

Minggu Biasa Ke-16 Tahun C

Sesetengah kita nampaknya mempunyai keinginan untuk melakukan banyak perkara dalam gereja. Sesetengah rasanya mempunyai keperluan untuk terlibat dalam banyak ministri yang berbeza, dan menolong dalam banyak projek dan aktiviti yang berbeza , berfikir tanpa bantuan atau penglibatan mereka, ministri, projek atau aktiviti mungkin gagal atau kurang berjaya. Tetapi adakah orang Kristian cuma mengenai apa yang dibuat?

Dalam Injil hari ini, kita terjumpa dua orang adik-beradik perempuan yang berbeza pandangan tentang apa yang dilakukan dan djiwai sebenarnya. Marta sibuk melayan agar Yesus berasa dialu-alukan di rumahnya.Dia adalah orang yang jenis tidak boleh duduk diam dan mesti selalu kerja kerana pasti ada seseorang perlu dijaga atau tugas tertentu yang perlu diselesaikan. Dia melakukan yang terbaik dengan menganggap bahawa melakukan yang terbaik adalah apa yang Tuhan mahu daripada dia. Tetapi soalnya bukan apa yang Marta boleh lakukan. Apa yang lebih penting ialah apa yang Yesus boleh lakukan untuk dia. Dan ini adalah apa yang Maria izin Yesus untuk lakukan. Maria duduk dekat kaki Yesus , yang pada sesetengah orang barangkali tidak berguna dan tidak melakukan apa-apa . Tetapi dia sebenarnya membenarkan Yesus menjadi Yesus, sebagai Guru, Panduan dan Tuhannya . Begitu juga, dalam bacaan pertama , Abraham berfikir bahawa dia telah memberi layanan baik kepada tiga orang lelaki , tanpa mengetahui bahawa Allah ada di tengah-tengahnya. Dia menyangka bahawa dia telah menyenangkan hati tetamunya dengan keramahannya, tetapi tetamunya , Allah, yang bakal akan melakukan nikmat untuknya. Abraham, yang tidak menpunyai anak selama bertahun-tahun lamanya, kini bakal mempunyai seorang anak, satu pemberian daripada Allah.

Kadang-kadang kita lupa bahawa Allah mengajak kita untuk mengambil bahagian dalam kerja penyelamatan-Nya. Apa pun sumbangan kita, ia tetap sentiasa merupakam kerja Tuhan, bukan kita dan kita tidak boleh mengambil kredit untuk semua orang yang kita telah bantu, kerana Allah telah memilih kita sebagai instrumen -Nya untuk membantu mereka. Jika kita gagal untuk mengenalpasti ini, maka kita mungkin membina kerajaan kita sendiri bukannya kerajaan Allah. Inilah sebabnya mengapa Santo Paulus dalam bacaan kedua boleh bercakap dengan harapan dan kegembiraan begitu kerana dia sedar bahawa dia hanya seorang hamba Allah dan hanya satu bahagian kecil dalam seluruh rencana Allah untuk menyelamat manusia. Akhirnya, Paulus tahu bahawa semua yang dia telah lakukan adalah untuk kemuliaan Tuhan.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita masih fokud dalam hanya melakukan perkara-perkara untuk Allah, tanpa meluangkan masa bersama dengan -Nya dan mendengar bisikan -Nya? Adakah kita melakukan perkara-perkara untuk menunjukkan betapa hebatnya, cerdiknya, mampunya atau pentingnya kita, atau kita telah belajar untuk memberi kepada Tuhan kemuliaan untuk semua yang kita lakukan? Marilah kita sentiasa ingat bahawa kita bukanlah tuan tetapi cuma hamba , dan kita sedang membina kerajaan Tuhan, bukannya kerajaan kita sendiri.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...