Sabtu, 9 September 2017

Minggu Biasa Ke-23 Tahun A

Kadang kala kita menghadapi satu situasi di mana kita kecewa atau marah dengan seseorang kerana kesalahan yang telah dilakukan. Apabila kita berhadapan dengan situasi sebegini, apa yang kita lakukan? Sesetengah kita mungkin terus mengelak bercakap dengan orang itu sepenuhnya dan tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengannya. Ada antara kita mungkin mengelak bercakap dengan orang itu, tetapi memilih untuk bercakap di belakangnya (mengumpat). Sesetengah kita boleh memilih untuk berhadapan dengan orang itu, tetapi kita berbuat demikian dengan cara yang garang atau mengancam. Berapa ramaikah daripada kita mampu untuk berhadapan dengan seseorang itu dengan kasih, kesabaran dan belas kasihan?

Dalam Injil hari ini, Yesus memberi kita satu contoh bagaimana kita harus mengasihi orang lain dan bagaimana kita harus berurusan dengan mereka yang telah melakukan kesalahan. Yesus memberitahu kita: "Apabila saudaramu berbuat dosa, tegurlah dia di bawah empat mata. Jika ia mendengarkan nasihatmu engkau telah mendapatnya kembali. Jika ia tidak mendengarkan engkau, bawalah seorang atau dua orang lagi, supaya atas keterangan dua atau tiga orang saksi, perkara itu tidak disangsikan. Jika ia tidak mau mendengarkan mereka, sampaikanlah soalnya kepada jemaat. Dan jika ia tidak mau juga mendengarkan jemaat, pandanglah dia sebagai seorang yang tidak mengenal Allah atau seorang pemungut cukai." Perhatikan bahawa urusan kita dengan seseorang yang telah melakukan sesuatu yang salah perlu dilakukan secara beransur-ansur. Pada mulanya, berseorangan dengan dia, kemudian mendapatkan satu atau dua orang saksi, kemudian mendapatkan penglibatan masyarakat. Kita tidak harus cuba melakukan sesuatu sehingga sudah membuat penilaian atau penelitian terdahulu serta mendapatkan penglibatan orang lain tanpa berurusan secara peribadi dengan orang itu terlebih dahulu. Lagipun, matlamat kita adalah untuk mengurus kesalahan yang dilakukan dan bukan memalukan, memperkecilkan atau mengaibkan seseorang itu di hadapan orang lain.

St. Paulus memberitahu kita dalam bacaan kedua: "Kasih tidak berbuat jahat terhadap sesama manusia, kerana itu kasih adalah kegenapan hukum Taurat." Kasih bukan perasaan tetapi keputusan. Kita memilih untuk mempunyai kasih, kesabaran dan belas kasihan untuk orang lain, dan sama seperti Allah mengasihi kita semua, kita juga harus mengasihi semua. Walau bagaimanapun, Kasih tidak bermakna kita tunduk pada permintaan orang lain, tetapi bersikap teguh, sabar dan tegas tetapi baik hati. Marilah kita ikhlas dalam kasih kita terhadap orang lain, bersikap teguh serta tegas bila perlu, dan lembut di hati, sama seperti Allah mengasihi dan membimbing kita sebagai anak-anak-Nya.

Sabtu, 2 September 2017

Minggu Biasa Ke-22 Tahun A

Sesetengah kita bertuah kerana hidup dalam kehidupan yang tanpa banyak masalah, kebimbangan, kesukaran, hubungan yang retak, kesakitan fizikal atau emosi, atau lain-lain bentuk penderitaan. Apabila kita tidak menghadapi situasi seperti ini, sesetengah kita mungkin mula berasa agak selesa dalam status kita sekarang, dan mungkin keberatan untuk keluar dari zon selesa kita, terlibat, dan bersedekah terhadap orang lain yang kurang bernasib baik daripada kita. Sesetengah kita mungkin hanya menderma sejumlah wang, memikirkan bahawa memberi wang akan membantu dan kita telah melakukan bahagian kita. Persoalannya ialah: adakah kita berkelakuan seperti orang Kristian dalam situasi sebegini, atau kita hanya melakukan perkara untuk mengelakkan diri daripada terlalu terlibat dengan seseorang atau dalam satu situasi?

Menjadi seorang Kristian bererti kita menjadi pengikut Kristus. Ini bermakna kita harus sentiasa dalam satu misi untuk membawa Khabar Baik kepada orang lain, dengan kata-kata dan perbuatan. Ia juga bermakna kita harus menyangkal diri sendiri, memikul salib kita dan mengikut-Nya. Salib mengingatkan kita pada standard Allah: seperti kebenaran, kasih, belas kasihan, pengampunan, kerendahan hati, dan pengorbanan diri. Manakala kita tidak boleh dipengaruhi dengan standard dunia: seperti pembohongan, mementingkan diri, tiada pengampunan, keganasan, bangga diri, prejudis dan mementingkan diri.

Sepanjang kehidupan kita di dunia, kita sentiasa dicabar untuk memilih salah satu daripada dua jalan. Jalan pertama adalah jalan yang mudah, di mana kita dihujani dengan kemewahan, kekayaan, populariti dan kuasa. Jalan ini mungkin kelihatan hebat, dan ada yang mungkin menjadi leka dan agak selesa untuk kekal atas jalan ini. Tetapi jalan sebegini boleh membawa kita jauh dari Allah. Apa yang difikirkan sesetengah kita sebagai pilihan bijak dengan memilih jalan ini mungkin satu hari nanti mendapati sudah terlambat (menyesal) sebab ia adalah pilihan yang kurang bijak. Jalan yang satu lagi berliku-liku, sukar, mencabar, menyakitkan dan kita mungkin menghadapi banyak penganiayaan jika kita mengikut jalan tersebut. Tetapi inilah jalan salib, jalan yang Kristus isyaratkan kepada kita, kerana ia akan membawa kita kepada Tuhan. Jalan manakah yang kita benar-benar mahu? Jalan manakah yang kita benar-benar bersedia untuk ikut?

St. Paulus dalam bacaan kedua mengingatkan kita: "Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi berubahlah oleh pembaharuan budimu, sehingga kamu dapat membedakan manakah kehendak Allah: apa yang baik, yang berkenan kepada Allah dan yang sempurna." Adakah kita bersedia untuk melepaskan keselesaan dan kekayaan sementara di dunia serta memikul salib kita, supaya kita dapat menikmati keselesaan dan kekayaan yang kekal dengan Tuhan?

Sabtu, 26 Ogos 2017

Minggu Biasa Ke-21 Tahun A

Apabila seorang pemimpin seperti paus, seorang kepala biara pria atau seorang religius dipilih atau terpilih selepas proses yang panjang, kadang-kadang kita mungkin menyoal mengapa seseorang itu terpilih. Mengikut cara-cara dunia, seseorang itu mungkin tidak dipertimbangkan, kerana dunia sering melihat populariti, kekuatan, kebijaksanaan, kuasa serta keupayaan seseorang dan kebolehan serta sifat-sifat duniawi yang lain. Tetapi menariknya, cara-cara dan pilihan Tuhan bukanlah seperti cara dan pilihan kita. Allah melihat perkara-perkara yang lazimnya tidak ketara atau lebih terperinci yang kerap kali orang tertinggal, terlepas pandang atau abai. Inilah sebabnya, dalam bacaan kedua, St Paulus mengingatkan kita: "Alangkah dalamnya kekayaan, hikmat dan pengetahuan Allah! Sungguh tak terselidiki keputusan-keputusan-Nya dan sungguh tak terselami jalan-jalan-Nya! Sebab, siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan?"

Apabila pemimpin itu dipilih, mereka kadang-kadang menukar nama-nama mereka kepada nama lain, selalunya nama seorang santo. Mereka memakai identiti baru, dan turut berdoa agar mereka dapat menjalani hidup seperti nama baru mereka dan identiti. Dalam Injil, Simon juga telah diberi nama baru. Dia telah digelar Petrus, yang bermaksud "Batu." Di dalam Injil, kita lihat Petrus jatuh dan bangun, dan kadang kala kita tertanya-tanya jika Petrus telah benar-benar hidup seperti nama dan identitinya. Kita tertanya-tanya jika Yesus telah membuat kesilapan dalam memilih bukan sahaja Petrus, tetapi juga para rasul yang lain. Lagipun, dua belas orang rasul ini terdiri daripada gabungan pelbagai jenis latarbelakang. Berdasarkan pengalaman yang lalu, kita mula menghargai dan sedar bahawa, tidak, Yesus tidak membuat kesilapan. Dia dapat melihat potensi dalam Petrus, dan juga potensi dalam para rasul yang lain. Apa yang kelihatan seperti kelemahan dan batasan boleh diubah oleh Allah agar menepati tujuan-Nya.

Apabila kita dipilih dan diberi satu identiti baru, Allahlah yang memilih kita. Tuhan memilih kita walaupun kita mempunyai kelemahan dan batasan. Tuhan memilih yang lemah untuk memalukan yang kuat, yang bodoh untuk memalukan yang bijak, orang berdosa untuk memalukan yang soleh. Pilihan Allah tidak semestinya perlu difahami atau dihargai. Ini disebabkan visi dan harapan kita kadang-kadang dikaburi dengan cara-cara duniawi.Tetapi satu perkara yang kita boleh berharap adalah, cara Tuhan dan bukannya cara kita. Fikiran-Nya bukannya fikiran kita, dan kadang-kadang cara-Nya akan bertukar menjadi cara yang lebih baik dalam jangka masa panjang. Kita hanya perlu bersabar dan percaya kepada-Nya, sebab Dia lebih mengetahui berbanding dengan kita.

Sabtu, 19 Ogos 2017

Minggu Biasa Ke-20 Tahun A

Sesetengah orang berpendapat bangsa atau kumpulan etnik mereka adalah hebat atau istimewa. Mereka berfikir bahawa orang lain perlu tunduk atau "kow tow" pada setiap kerenah dan ragam mereka. Malah di kalangan orang dari bangsa atau kumpulan etnik yang sama, kita lihat berlaku pengasingan dan diskriminasi. Mereka melayan orang lain dengan tidak adil dan hina, terutamanya pada orang yang mereka fikirkan kurang berkemampuan atau tidak berfikir atau bertindak seperti mereka. Malah dalam gereja kita, adakah kita bersifat mengasihi dan penyayang seperti saudara dan saudari dalam Kristus, seperti anak lelaki dan anak perempuan Allah? Kadang-kadang kita melihat ada orang membentuk klik atau memberi tumpuan hanya pada orang yang mereka selesa dampingi, orang yang mungkin berkongsi kumpulan umur, bahasa, budaya, minat, atau idea yang sama. Adakah kita perlu jadi seperti itu sebagai anak-anak Allah?

Dalam bacaan pertama, Yesaya mengingatkan kita: "Beginilah firman TUHAN: Taatilah hukum dan tegakkanlah keadilan, sebab sebentar lagi akan datang keselamatan yang dari pada-Ku, dan keadilan-Ku akan dinyatakan. Dan orang-orang asing yang menggabungkan diri kepada TUHAN untuk melayani Dia, untuk mengasihi nama TUHAN dan untuk menjadi hamba-hamba-Nya, semuanya yang memelihara hari Sabat dan tidak menajiskannya, dan yang berpegang kepada perjanjian-Ku,mereka akan Kubawa ke gunung-Ku yang kudus." Perhatikan di sini, semua orang yang mendengar kepada kehendak Allah adalah sebahagian daripada keluarga Tuhan. Tidak kira siapa anda, sama ada anda seorang Yahudi atau bangsa-bangsa bukan Yahudi, Allah melayan anda seperti milik-Nya, jika anda mematuhi perintah-Nya.

St Paulus pada bacaan kedua hari ini juga mengingatkan kita bahawa Dia telah dihantar kepada orang jahiliah sebagai rasul mereka, dan bahawa "Allah tidak menyesali kasih karunia dan panggilan-Nya." Nenek moyang kita yang suatu ketika dulu adalah orang jahiliah dan telah diselamatkan melalui limpah kurnia Allah. Ini menunjukkan bahawa keselamatan Allah diberikan kepada semua orang tanpa diskriminasi. Limpah kurnia Tuhan tidak dikhaskan untuk mana-mana bangsa tertentu.

Sebagai orang Kristian, kita tidak boleh mempunyai sikap memencilkan atau berfikir bahawa kita adalah lebih baik atau hebat daripada orang lain. Allah mengingatkan kita untuk "taatilah hukum dan tegakkanlah keadilan," kepada semua. Tidak kisah siapa pun kita, dari manakah datangnya kumpulan etnik kita, apakah agama yang kita anuti, Allah mengasihi semua. Kita tidak seharusnya mencela orang lain atau memperkecilkan mereka hanya kerana mereka melihat, berkelakuan, bertindak atau berfikir secara berbeza daripada kita. Kita perlu sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada mereka dan mengetepikan prasangka kita. Kita mesti membenarkan iman kita untuk mengubah budaya kita, sikap dan sejarah kita. Dengan cara ini, kita boleh menjadi saksi yang efektif untuk semua. Adakah kita bersedia untuk mengambil cabaran serta mengasihi dan saksi kepada semua, sebagai saudara saudari, anak lelaki dan anak perempuan Allah kita yang pengasih?

Selasa, 15 Ogos 2017

Perawan Maria Diangkat Ke Syurga

Kehidupan tampak sukar. Kita melihat orang bergelut hari demi hari, ada yang cuba untuk mencukupkan belanja, ada yang mengalami sakit mental atau fizikal, ada pula bimbang tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan, ada yang hatinya hancur luluh kerana baru kehilangan orang yang dikasihi. Begitu banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita menyebabkan sesetengah orang berasa murung, malah menyebabkan ada yang berputus asa atau putus harapan. Tetapi adakah ini pengakhirannya? Adakah tiada harapan yang tinggal? Tidak. Masih terdapat harapan, terdapat cahaya di hujung terowong, terdapat sinar harapan antara masa sukar.

Dalam bacaan pertama, kita melihat visi konfrontasi antara dua pihak. Kita lihat terdapat seorang perempuan sedang menderita bersalin, yang melambangkan ketidakupayaan serta lemah. Kita lihat seekor naga yang marahnya meluap-luap terhadap perempuan itu. Naga kelihatan seolah-olah tidak dapat dibendung. Tetapi Allah campur tangan. Tuhan menyelamatkan perempuan itu dan dia melahirkan seorang anak lelaki ke dunia ini, yang akan memerintah alam semesta. Pada masa ketika semua tampak lenyap, apabila kekalahan adalah pasti, Allah memberikan kemenangan kepada yang lemah dan tertindas.

Dalam Injil, Maria menyedari akan rezeki dan kemurahan Tuhan, dan dia berseru dalam Kidung Maria, yang merupakan nyanyian pujian Maria yang indah buat Allah. Dia menyanyi bagaimana Tuhan akan mempertahankan dan melindungi yang lemah dan mengalahkan yang berkuasa: "Ia memperlihatkan kuasa-Nya dengan perbuatan tangan-Nya dan mencerai-beraikan orang-orang yang congkak hatinya; Ia menurunkan orang-orang yang berkuasa dari takhtanya dan meninggikan orang-orang yang rendah; Ia melimpahkan segala yang baik kepada orang yang lapar, dan menyuruh orang yang kaya pergi dengan tangan hampa."

Hari ini, pada Pesta Maria Diangkat ke Syurga, kita diingatkan bahawa kuasa Allah adalah lebih besar daripada apa jua benda, masalah, kesukaran yang kita mungkin hadapi. Tuhan memberi kita harapan dan kekuatan untuk digalas . Dia tidak akan meninggalkan kita, walaupun ada masanya kita mungkin telah menggelak-Nya atau mengabaikan suara-Nya. Allah adalah rezeki kita, harapan kita. Adakah kita masih hidup dalam ketakutan atau ketidakpastian? Atau adakah kita belajar untuk berjalan dengan rendah hati demi Allah kita yang pengasih dan penyayang?

Sabtu, 12 Ogos 2017

Minggu Biasa Ke-19 Tahun A

Adakah anda mengasihi Allah? Adakah anda berasa selesa dengan kehadiran-Nya? Atau adakah anda takut kepada-Nya? Bagi sesetengah budaya, Allah merupakan seorang yang dingin, tegas, garang dan menakutkan (jangan bermain-main dengan Allah, seperti pendapat sesetengah budaya). Sesetengah budaya ini berfikir bahawa Allah perlu ditenteramkan dengan pemberian dan korban seperti buah-buahan, makanan, lilin, kemenyan, doa dan juga korban binatang (yang mana, dalam sesetengah budaya mungkin termasuk korban manusia), jika gagal, budaya tersebut khuatir Allah mungkin pantas menghukum mereka atau bencana tertentu mungkin berlaku. Tetapi bagaimana pula dengan kita? Apakah tanggapan anda tentang Tuhan? Adakah anda takut kepada Allah seperti sesetengah budaya tersebut?

Dalam bacaan pertama, Elia bertemu dengan Tuhan bukan dalam fenomena alam yang kuat seperti angin, gempa bumi dan api. Allah datang kepada Elia dalam bentuk angin sepoi-sepoi bahasa. Tuhan tidak menunggu untuk membawa kemusnahan kepada sesiapa pun seperti sangkaan sesetengah orang tetapi Allah datang dekat dengan kita dan mengajak kita untuk memulakan hubungan dengan-Nya. Dia datang dengan cara yang lembut dan damai, memanggil kita untuk datang lebih dekat kepada-Nya. Dalam Injil, murid- murid berasa takut ketika melihat Yesus berjalan di atas air, dan mereka ingat mereka terlihat hantu. Yesus meyakinkan dan menenangkan mereka dengan berkata, ""Tenanglah! Aku ini, jangan takut!" Yesuslah yang membimbing kita sepanjang jatuh bangun kita, dan menyokong kita pada setiap masa.

Justeru, kita tidak perlu takut dengan Yesus. Sebaliknya, kita boleh mendekati Yesus dengan kepercayaan dan kasih sayang, kerana kita tahu Dia mengasihi kita dan mengambil berat akan kita. Dengan cara yang sama, kita juga boleh mendekati Tuhan. Kita tidak perlu takut kepada-Nya, kerana Dia ialah Bapa yang lemah-lembut dan penyayang, berbelas kasihan dan pengasih kepada semua. Dengan cara yang sama, kita juga harus mengikut Yesus dan teladan Tuhan dengan menjadi lemah-lembut, penyayang, berbelas kasihan dan pengasih kepada orang lain di sekeliling kita. Lagipun, kita gelar diri sebagai kita anak lelaki dan anak perempuan Allah, saudara saudari dalam Kristus. Adakah kita mampu melepaskan ego kita, prasangka serta keutamaan, dan mengasihi orang lain sebagaimana Allah mengasihi kita?

Ahad, 6 Ogos 2017

Pesta Penjelmaan Yesus

Dengar dan mendengar adalah kata kerja yang kita guna apabila kita merujuk kepada deria pendengaran kita- menggunakan telinga kita. Tetapi kedua-duanya mempunyai perbezaan yang signifikan dalam makna. Apabila kita dengar, ia hanya bermakna bahawa bunyi masuk ke dalam telinga kita. Perbuatan dengar adalah mengalami rangsangan bunyi secara fizikal. Selagi telinga dan otak seseorang mampu memproses gelombang bunyi, seseorang boleh dengar. Ia mungkin tidak disengajakan. Kita dengar begitu banyak perkara yang berbeza sepanjang hidup kita, sepanjang hari. Apabila kita mendengar, kita cuba untuk dengar. Ia melibatkan usaha dan tumpuan. Kita memberi perhatian dan cuba memahami setiap bunyi. Ia sengaja merangsang keupayaaan untuk mendengar. Orang yang mendengar berfikir tentang apa yang didengar, apa yang dimaksudkan, bagaimana untuk respon, dan sama ada untuk terus mendengar/ memberi perhatian.

Hari ini kita merayakan Pesta Penjelmaan Yesus. Mengapa kita meraikan pesta ini? Mengapakah Yesus memilih momen ini untuk menampakkan kemuliaan-Nya kepada murid-murid-Nya? Penjelmaan terjadi ketika Yesus mempersiapkan murid-murid-Nya untuk kematian-Nya sendiri. Dia juga turut mempersiapkan mereka untuk pemuridan yang serius (serious discipleship), dengan bersedia untuk menahan ujian, halangan, tentangan, penindasan bahkan salib yang sama seperti yang akan ditanggung oleh Yesus. Lebih penting lagi, Penjelmaan mengingatkan murid-murid-Nya, dan juga kita untuk mendengar kepada Yesus dan ditransformasi oleh kata-kata-Nya. Yesus harus menjadi fokus murid-murid dan kehidupan kita, dan kita harus mengikut contoh bonda Maria ketika ia berkata: "Apa yang dikatakan kepadamu, buatlah itu!"

Hari ini, kita dicabar oleh Pesta Penjelmaan ini untuk mendengar kepada Yesus. Kita mesti mendengar kepada Yesus pada setiap momen kehidupan kita. Kita tidak boleh mendengar Yesus sahaja apabila ia sesuai dengan kita, atau memilih apa yang kita mahu dengar. Sebaliknya, kita perlu
mendengar kepada-Nya apabila dia mencabar kita untuk benar-benar menjadi murid-Nya, dengan merendah diri dan bersedia untuk memikul salib kita dan mengikutnya. Adakah kita sanggup mengenepikan ego, prejudis dan harga diri, dan benar-benar, setia ​​dan percaya untuk mendengar kepada Yesus?

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...