Memaparkan catatan dengan label Maria. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Maria. Papar semua catatan

Rabu, 15 Ogos 2018

Perawan Maria Diangkat Ke Syurga

Di antara banyak Hari Raya dan Pesta yang kita raikan setiap bulan, satu Pesta yang sesetengah orang mungkin tertanya-tanya mengapa ia disambut adalah Pesta Perawan Maria Diangkat Ke Syurga. Ada yang tertanya-tanya sama ada kita memberi penghormatan yang terlalu banyak atau " memberi muka" terlalu banyak kepada Perawan Maria. Jika kita lihat secara teliti apa yang kita buat, kita sebenarnya bukan meraikan keagungan bonda Maria, tetapi keagungan Allah dan rahmatNya. Maria diangkat ke syurga hanya kerana rahmat Allah, yang menukarkan seorang yang patuh, rendah diri dan ringkas seperti bonda Maria kepada orang yang kita kini sanjungi. Justeru, pada Pesta ini, ia adalah Allah yang kita benar-benar muliakan dan puji.

Pesta Perawan Maria Diangkat Ke Syurga memberi kita beberapa berita iman dan harapan. Ia membantu mengukuhkan imam dan harapan kita di mana kita sebagai orang Kristian akan berkongsi kebangkitan bersama Kristus. Kita boleh percaya pada kebangkitan kerana ia telah terjadi kepada bonda Maria dan dia adalah bukti bahawa kebangkitan adalah sebuah realiti. Ia mengingatkan kita tentang kebaikan dan keindahan tubuh fizikal kita. Maria diangkat ke syurga bukan sahaja dalam roh, tetapi dalam kedua-dua tubuh dan roh ke syurga. Tubuh tidak jahat dan bukanlah punca dosa kita, sebab ia diperbuat baik oleh Allah. Kita yang tergoda dan memilih untuk berdosa dan melakukan kejahatan. Pesta Perawan Maria Diangkat Ke Syurga juga mengukuhkan semula dan mengingatkan kita akan kesatuan tubuh dan roh. Tubuh tanpa roh adalah sesuatu yang tidak bernyawa. Tetapi satu tubuh dengan satu roh merupakan seseorang yang layak dihormati dan bermaruah. Jika kita melupakan kerohanian seseorang dan menganggap mereka hanya sebagai tubuh jasmani, kita akan mula menganggap mereka sebagai benda yang boleh diperalatkan, disalahgunakan dan dibuang apabila sudah tidak bermanfaat. Kita diingatkan bahawa tubuh boleh merosot, tetapi roh kekal abadi. Oleh itu, kita harus lebih fokus pada apa yang abadi daripada memberi tumpuan kepada apa yang sementara.

Jika kita memanggil diri kita sebagai orang Kristian, maka Maria harus mempunyai tempat yang istimewa di dalam hati kita, kerana kita percaya bahawa dia adalah bonda Yesus, dan memandangkan Yesus adalah Allah dan manusia, Maria juga bonda kepada Allah. Tetapi kasih kita terhadap bonda Maria harus membawa kita ke kasih anaknya, Yesus,. Dia melahirkan Yesus ke dunia dan Yesus membawa dia ke kehidupan abadi. Justeru, kita harus bersama-sama dengan bonda Maria, memuji Allah dan berterima kasih kepadaNya kerana banyak perkara yang telah dilakukanNya dalam hidup kita, dan berterima kasih kepada Dia terutamanya pemberian Putra-Nya, Yesus.

Isnin, 21 Mei 2018

Bonda Maria, Bonda Gereja

Apakah erti sebuah gereja? Adakah gereja hanyalah sebuah bangunan? Sudah tentu tidak! Sebuah gereja adalah lebih daripada sebuah bangunan, kerana orang Kristian awal tidak mempunyai bangunan yang sesuai yang kita panggil gereja hari ini. Sebaliknya, gereja adalah umat beriman; umat Allah; komuniti dan tubuh Kristus; bersatu sebagai satu dalam kasih cinta, amal, iman dan doa. Tidak ada ruang bagi sikap individualistik atau agenda pribadi, kerana sebagai gereja, kita adalah anak lelaki dan anak perempuan Tuhan, saudara dan saudari dalam Kristus.

Dalam komuniti gereja kita, kita mempunyai seorang yang telah membimbing kita dan berdoa untuk kita dan dengan kita sejak zaman awal agama Kristian. Orang itu adalah Bonda kita, Bonda Maria. Di dalam Injil, ketika Yesus mati di kayu salib, Dia memberikan Maria kepada murid yang dikasihi, dan dalam melakukan itu, memberikan Maria kepada kita, murid-murid-Nya. Dalam bacaan, kita melihat Maria dengan para rasul, menyertai doa berterusan. Maria tidak menjauhkan diri atau mengelakkan orang lain, tetapi berada di sana berdoa dan dengan para rasul, setelah Yesus dibawa ke syurga. Bacaannya menunjukkan bahawa Maria juga bonda kita, dan itulah sebabnya kita meraikan " Bonda Maria, Bonda Gereja" hari ini.

Dengan Maria sebagai bonda kita, marilah kita terus mempercayai kasih cinta dan penjagaannya, dan mengikuti teladannya untuk menghulurkan kepada orang lain dalam kasih cinta dan doa. Marilah kita mempersembahkan kehadiran kita seperti yang dilakukannya, kepada semua yang memerlukan, terutama yang sakit, yang sudah tua, yang miskin, yang tertindas, dan ramai lagi, supaya dalam semua yang kita lakukan, Allah dapat dimuliakan.

Isnin, 19 Mac 2018

Hari Raya Santo Yusuf, Suami Bonda Maria

Ramai di antara kita mengetahui sesuatu tentang bapa kita dan kita telah membesar di bawah bimbingan mereka selama ini. Sesetengah daripada kita, atas satu sebab atau yang lain, mungkin tidak banyak mengenali bapa kita. Santo Yusuf, suami Bonda Maria, merupakan seorang bapa yang kita kenali sedikit. Injil tidak banyak menyebutnya, kecuali pada awal dari masa Yesus dikandung sehingga Dia hilang dan ditemui di Bait Suci ketika Dia berumur dua belas tahun.

Dari sedikit yang kita dapat himpunkan mengenai Santo Yusuf dalam Injil hari ini, kita membaca bahawa Santo Yusuf adalah “seorang yang tulus hati dan tidak mau mencemarkan nama isterinya di muka umum, ia bermaksud menceraikannya dengan diam-diam." Bagaimanapun, ketika malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya dalam mimpi dengan berita jaminan, Yusuf " berbuat seperti yang diperintahkan malaikat Tuhan itu kepadanya." Ayat-ayat tersebut memberikan kita sedikit pandangan terhadap siapakah Santo Yusuf. Walaupun dia seorang yang tegak/lurus, dia juga tunduk kepada kehendak Tuhan. Injil hari ini mengingatkan kita juga tentang peranan kita sebagai bapa. Menjadi seorang bapa atau dipanggil sebagai bapa tidak memadai; kita perlu menunjukkan contoh yang baik dan cukup rendah diri untuk mendengar suara Tuhan. Marilah kita mempunyai unsur-unsur kejantanan yang baik dan yang menyayangi dalam hubungan kita dengan Tuhan dan dengan orang lain, dan mengikuti contoh Santo Yusuf.

Isnin, 1 Januari 2018

Hari Raya Santa Perawan Maria

Pernahkah anda berhenti sebentar untuk merenungkan apakah jenis kehidupan yang anda jalani? Seorang ahli falsafah yang hebat, Socrates, pernah berkata: " Kehidupan yang tidak direnung tidak bermakna." Apabila kita tidak mengambil masa untuk menoleh ke belakang dan melihat kehidupan kita, sesetengah kita mungkin mula mendapati kehidupan begitu membosankan (biasa) dan sesetengah kita mungkin mengulangi kesilapan yang sama yang dilakukan orang lain atau bahkan diri kita sendiri, kesilapan yang boleh dielakkan jika kita benar-benar telah merenung dan mengambil perhatian apa yang sudah berlaku.

Hari ini kita diberi contoh Maria, Bonda Allah, yang dinyatakan dalam Injil kepada kita, "menyimpan segala perkara itu di dalam hatinya dan merenungkannya." Dalam usaha genting kita menyambut Tahun Baru dengan hebat, kita kadangkala lupa untuk mengikut contoh Maria yang menghargai dan mengucapkan terima kasih atas semua perkara yang telah kita terima pada tahun lepas dan merenung ke mana Tuhan memimpin kita. Kita perlu merenungkan pada kehidupan kerana hanya melalui renungan dan doa, kita akan memahami rancangan Tuhan untuk kita. Tuhan adalah panduan berterusan kita yang sentiasa berbicara kepada kita, dan jika kita tidak mengambil masa untuk berdoa dan merenung, kita mungkin mendapati diri kita beralih dari satu aktiviti ke aktiviti yang lain, mungkin tanpa arah dan tanpa tujuan. Hanya dengan doa dan renungan, kita dapat mengenali kehadiran Tuhan dalam banyak situasi kehidupan yang berbeza.

Tatkala kita merayakan Tahun Baru ini, marilah kita membuang cara lama kita, tabiat buruk kita, sifat mementingkan diri kita, dan mengikut jejak Kristus. Sesetengah kita suka untuk membuat resolusi Tahun Baru, tetapi membuat resolusi Tahun Baru itu tidak berguna, jika kita tidak menilai dari semasa ke semasa sejauh mana kita telah berkembang, dan mendapatkan bimbingan Tuhan untuk membantu kita kembali ke landasan yang betul. Perubahan boleh datang dalam kehidupan kita dan kehidupan masyarakat di sekeliling kita, jika kita sanggup meniru Maria dan mengambil masa untuk menghargai semua perkara ini dan merenungkannya di dalam hati kita. Adakah kita bersedia melakukan perubahan pada tahun ini?

Jumaat, 8 Disember 2017

Bonda Maria Dikandung Tanpa Noda

Adakah kita mempunyai amalan melakukan kehendak Allah, atau kita melakukan kehendak kita sendiri? Kadang-kadang kita mengatakan bahawa kita melakukan kehendak Allah, tetapi sebenarnya, kita melakukan perkara kita sendiri. Nampaknya lebih mudah untuk melakukan perkara yang kita senangi, serta mengelakkan perkara-perkara yang kurang diingini atau tidak menyenangkan.

Dalam pembacaan hari ini, kita melihat perbezaan antara respons Adam dan Hawa, serta respons Bonda Maria. Adam mengingkari Allah dengan memakan buah yang dilarang, dan bersembunyi dalam rasa takut serta malu. Sebaliknya, Maria memberi respons kepada dorongan Allah dan berkata, "Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataanmu itu."

Maria berkata ya kepada malaikat itu, mengetahui dengan jelas masa depan yang tidak diketahui di hadapannya dan mempercayai bahawa Allah akan menjaga perkara-perkara tersebut. Kadang-kadang kita takut kepada yang tidak diketahui dan kita lebih suka mempunyai kepastian tertentu, namun berapa ramai di antara kita yang bersedia mengikut teladan Maria dan penuh yakin serta percaya, berkata Ya bagi banyak perkara yang dikurniakan Allah kepada kita? Marilah kita lihat kepada Maria sebagai teladan kita dan merenungkan respon kita sendiri kepada panggilan Allah. Allah menjemput kita untuk tinggal di dalam penjagaanNya yang penuh kasih sayang , marilah kita jangan takut lagi dan tetap berada di dalam Dia.

Selasa, 15 Ogos 2017

Perawan Maria Diangkat Ke Syurga

Kehidupan tampak sukar. Kita melihat orang bergelut hari demi hari, ada yang cuba untuk mencukupkan belanja, ada yang mengalami sakit mental atau fizikal, ada pula bimbang tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan, ada yang hatinya hancur luluh kerana baru kehilangan orang yang dikasihi. Begitu banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita menyebabkan sesetengah orang berasa murung, malah menyebabkan ada yang berputus asa atau putus harapan. Tetapi adakah ini pengakhirannya? Adakah tiada harapan yang tinggal? Tidak. Masih terdapat harapan, terdapat cahaya di hujung terowong, terdapat sinar harapan antara masa sukar.

Dalam bacaan pertama, kita melihat visi konfrontasi antara dua pihak. Kita lihat terdapat seorang perempuan sedang menderita bersalin, yang melambangkan ketidakupayaan serta lemah. Kita lihat seekor naga yang marahnya meluap-luap terhadap perempuan itu. Naga kelihatan seolah-olah tidak dapat dibendung. Tetapi Allah campur tangan. Tuhan menyelamatkan perempuan itu dan dia melahirkan seorang anak lelaki ke dunia ini, yang akan memerintah alam semesta. Pada masa ketika semua tampak lenyap, apabila kekalahan adalah pasti, Allah memberikan kemenangan kepada yang lemah dan tertindas.

Dalam Injil, Maria menyedari akan rezeki dan kemurahan Tuhan, dan dia berseru dalam Kidung Maria, yang merupakan nyanyian pujian Maria yang indah buat Allah. Dia menyanyi bagaimana Tuhan akan mempertahankan dan melindungi yang lemah dan mengalahkan yang berkuasa: "Ia memperlihatkan kuasa-Nya dengan perbuatan tangan-Nya dan mencerai-beraikan orang-orang yang congkak hatinya; Ia menurunkan orang-orang yang berkuasa dari takhtanya dan meninggikan orang-orang yang rendah; Ia melimpahkan segala yang baik kepada orang yang lapar, dan menyuruh orang yang kaya pergi dengan tangan hampa."

Hari ini, pada Pesta Maria Diangkat ke Syurga, kita diingatkan bahawa kuasa Allah adalah lebih besar daripada apa jua benda, masalah, kesukaran yang kita mungkin hadapi. Tuhan memberi kita harapan dan kekuatan untuk digalas . Dia tidak akan meninggalkan kita, walaupun ada masanya kita mungkin telah menggelak-Nya atau mengabaikan suara-Nya. Allah adalah rezeki kita, harapan kita. Adakah kita masih hidup dalam ketakutan atau ketidakpastian? Atau adakah kita belajar untuk berjalan dengan rendah hati demi Allah kita yang pengasih dan penyayang?

Ahad, 1 Januari 2017

Hari Raya Santa Perawan Maria

Hari ini kita meraikan Hari Raya Santa Perawan Maria, Bunda Allah. Lebih penting lagi, kita meraikan Tuhan menjadi manusia. Kerana Maria berkata ya kepada Allah, Tuhan menjadi manusia dan kita mempunyai Yesus Kristus, Tuhan kita. Penyelamatan adalah hasil daripada kerjasama di antara Allah dan manusia, dan kerjasama Maria memungkinkan ia. Allah mengutus Anak-Nya untuk menebus kita dan untuk membolehkan kita diiterima sebagai anak. Seperti bacaan kedua memberitahu kita: " Dan kerana kamu adalah anak, maka Allah telah menyuruh Roh Anak-Nya ke dalam hati kita, yang berseru: "ya Abba, ya Bapa!", jadi kamu bukan lagi hamba, melainkan anak; jikalau kamu anak, maka kamu juga adalah ahli-ahli waris, oleh Allah."

Adakah kita sedar diterima sebagai anak Allah? Adakah kita menghargai dan merendahkan diri sebagai ahli-ahli waris? Kadang-kadang dalam hidup, kita mungkin terlupa siapa diri kita dan mungkin tersesat. Walau bagaimanapun, Allah sentiasa menunggu dengan sabar untuk kita kembali kepada-Nya, sama seperti bapa menunggu anak yang hilang untuk pulang ke rumah.

Marilah kita dengan itu, seperti Maria, menghargai semua perkara ini dan merenungnya dalam hati kita, sebab Allah telah memberikan hadiah yang indah untuk kita, pemberian Anak-Nya. Tatkala kita juga menyambut Hari Keamanan Sedunia, marilah kita membawa keamanan Kristus kepada semua dan terus menghuni dalam kewujudan-Nya.

Khamis, 8 Disember 2016

Bonda Maria Dikandung Tanpa Noda

Hari ini kita meraikan Pesta Bonda Maria Dikandung Tanpa Noda. Dalam pembacaan hari ini, kita melihat respons Adam yang tidak taat dan bersembunyi dalam rasa takut dan malu. Sebaliknya, kita melihat Maria yang respons sebagai seorang murid dan berkata, " Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataanmu itu."

Maria mempercayai Allah sepenuhnya walaupun dia meragui dan takut akibatnya mengatakan ya kepada Allah. Walaupun terdapat bahaya dan cabaran yang akan dihadapi, dia masih berkata ya. Dia adalah murid yang setia, yang pertama percaya kepada Yesus, yang pertama menerima Dia dan memberikan daging kepada Tubuh-Nya.

Maria berkata ya kepada malaikat, ya kepada kehidupan yang tidak pernah ia harapkan, ya kepada pedang yang akan menembus hatinya, ya kepada salib, ya kepada masa depan yang tidak diketahui di hadapannya dan selalu ya kepada Anaknya. Allah sentiasa mencari kita, untuk mengasihi kita, menjaga kita. Apabila Allah memanggil kita ketika dia memanggil Adam "Di mana kamu"? Bagaimana kita respons? Adakah kita bertindak seperti Adam, malu dengan dosa-dosa kita dan bersembunyi dalam ketakutan, dengan harapan bahawa Allah akhirnya akan meninggalkan kita bersendirian dan membiarkan kita begitu sahaja, atau kita respons seperti yang dilakukan Maria, mengatakan " Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataanmu itu."

Marilah kita melihat Maria sebagai model pemuridan, dan merenung respons kita sendiri kepada panggilan Tuhan. Adakah kita selektif dalam respons kita, mengambil dan memilih hanya yang sesuai dengan kita? Atau adakah kita berusaha keras untuk menjadi seperti Bonda Syurgawi kita, Maria, yang memberikan semuanya, memberi kita inspirasi untuk memberikan semua untuk kemuliaan Allah yang lebih besar?

Rabu, 7 Oktober 2015

Peringatan Bonda Maria Ratu Rosario

Peringatan Bonda Maria Ratu Rosario berasal dari kemenangan angkatan laut di Lepanto pada 7 Oktober 1571. Di dalam peperangan angkatan laut itu, sekumpulan kecil angkatan Kristian telah mengalahkan armada angkatan perkasa Turki, dengan demikian menghentikan penjajahan Eropa Kristian. Kemenangan itu dianggap sebagai satu keajaiban dan Paus St Pius V memberikan sebabnya kepada doa rosario dan doa permohonan melalui Bonda Maria.

Melalui kejadian ini, kita dapati bahawa rosario memang sebenarnya adalah satu doa ibadat khas kepada Bonda Kita. Ramai Paus, para paderi, para ahli agama, para santos dan para jemaah sentiasa mengesyorkan doa ibadat khas ini sebagai salah satu ibadat yang baik. Rosario adalah doa secara bersuara dan mental; dan ia juga doa peribadi dan juga sebagai doa beramai. Bila kita bermeditasi kisah kisah misteri Rosario, kita akan mengalami Kristus melalui Bonda Maria. Bukan sahaja itu, dengan doa Rosario, Bonda Maria juga turut serta berdoa dengan ktia, dan berdoa Rosario juga akan mengekalkan kekuatan kita di dalam memerangi syaitan dan pengikut-pengikutnya. Dengan demikian, janganlah kita leka terhadap doa Rosario dan seperti Bonda Maria menyerahkan diri kita kepada Tuhan supaya Dia menjadi pembantu dan petunjuk kita.

Selasa, 8 September 2015

Pesta Kelahiran Santa Perawan Maria

Ada di antara kita yang berfikir kita bukanlah orang kenamaan, yang kita ini gulungan segelintir yang kecil dan tidak penting, dan kita juga berfikir bahawa pendapat kita tidak dihargai, kerana kita tidak mempunyai keberanian, kekuatan, populariti atau kuasa tertentu. Apa yang kita mungkin gagal menyedari ialah kadang kala orang yang mungkin tiada kenamaan itu berkemungkinan bijak atau lebih bijak di dalam cara pemikiran dan tingkah laku. Oleh kerana orang orang sedemikian tiada apa apa yang berharga atau tidak penting di mata dunia, kita mungkin telah mengenepikan atau tidak mengambil mereka secara serius, padahal sebenarnya, harga dan kepentingan mereka hanya boleh dapat dilihat jika kita memandang secara mendalam dengan mata beriman.

Di dalam pembacaan hari ini, kita diberitahu bahawa Bethlehem pada orang Yahudi adalah sebuah kota yang kecil dan tidak penting. Pembacaan terus memberitahu kita "Hai Bethehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.. Dia akan memerintah rakyatnya dengan kekuatan daripada Tuhan, dan dengan keagungan Tuhan, Allah sendiri. Rakyatnya akan hidup aman kerana semua bangsa di bumi akan mengakui kebesaranNya, dan dia akan mendatangkan keamanan" Daripada sebuah kota yang kecil dan tiada kepentingan, lahirlah Penyelamat kita, Yesus. Daripada kota yang ramai tidak menyangkakan, Raja segala raja kita dan Putera Keamanan muncul membawa Berita Baik tentang keselamatan Tuhan kepada semua.

Oleh sebab ini lah, kita tidak harus mengangap orang lain secara sia sia. Sebagai contohnya, Bonda Maria, yang kita meraikan harijadi nya hari ini. Kepada orang lain, dia hanyalah seorang gadis Yahudi yang lain, tiada kebesaran atau kepentingan. Tetapi Tuhan telah menjadikannya bonda kepada Anak Tuhan, Yesus, bonda Tuhan. Tuhan telah mengubahkan apa yang difikirkan orangramai sebagai tidak berkepentingan, kepada sesuatu yang penting dan ternama, jikalau kita memandang dengan mata beriman dan penuh kepercayaan. Marilah kita berterima kasih kepada Tuhan atas anugerah Bonda Maria dan anugerah setiap satu kita ini, kerana kita telah dijadikan menyerupai Nya, dan bahawa kita ini adalah ternama dan terpenting di mata Tuhan.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...