Sabtu, 2 Mac 2019

Minggu Biasa Ke-8 Tahun C

Apakah itu hipokrit? Kamus mendefinisikan hipokrit sebagai "seseorang yang berpura-pura mempunyai kualiti atau sikap, kepercayaan dan amalan yang dikehendaki umum tetapi sebenarnya tidak memilikinya." Jika ada sesuatu yang dibenci oleh Yesus, ia merupakan hipokrit. Seperti yang ditunjukkan oleh Yesus dalam kritikannya terhadap ahli-ahli Taurat dan Farisi, masalah mereka adalah mereka menekankan " luaran" dan bukan "dalaman" – hati. Justeru, ada keperluan untuk melihat "dalaman" kita dan keutamaannya. Adakah untuk menarik perhatian orang lain? Jika demikian, keprihatinan kita adalah rupa luaran kita di kaca mata orang lain, sebagai contoh, melalui cara kita bercakap, pakaian yang kita pakai, barang kemas dan aksesori lain yang kita pakai, rumah yang kita diami, dll. Bagi sesetengah kita, ini mungkin termasuk cara kita mengamalkan iman kita sebagaimana yang dilakukan oleh ahli-ahli Taurat dan Farisi pada zaman Yesus. Semua ini untuk menayangkan kepentingan diri kita.

Keikhlasan dan kejujuran adalah lawan kepada hipokrit. Penekanannya adalah apa yang ada “di dalam” diri kita. Apabila kita ikhlas dan jujur, kita menghentikan perasaan terlalu bimbang dengan "luaran" kerana kita percaya bahawa apa yang penting di mata Allah adalah "dalaman" kita. Antara lain ia memberitahu kita bahawa kita tidak ada beza dengan orang lain jika bukan rahmat Allah. Yesus mengetahui kita semua jenis yang mana, betapa mudahnya kita berdosa. Namun, Dia berkata kepada kita semua, "Kerana itu haruslah kamu sempurna, sama seperti Bapamu yang di syurga adalah sempurna."Kita tentu tidak boleh menjadi sempurna seperti Bapa surgawi. Tetapi dengan rahmat Allah, kita dapat mensasarkan untuk menjadi sempurna - setiap momen, setiap hari, dalam jangka masa panjang, seumur hidup.

Adakah ia Sukar? Sudah tentu. Adakah ia Mustahil? Tidak! Kenapa tidak? Kerana Yesus telah menunjukkan kepada kita bagaimana, seperti dalam Injil hari ini. Sebagai contoh, Yesus, ketika membicarakan tentang perumpamaan dapatkah orang buta memimpin orang buta, bertanya, "Mengapakah engkau melihat selumbar di dalam mata saudaramu, sedangkan balok di dalam matamu sendiri tidak engkau ketahui?? ... Hai orang munafik, keluarkanlah dahulu balok dari matamu, maka engkau akan melihat dengan jelas untuk mengeluarkan selumbar itu dari mata saudaramu.. "Di sini Yesus mengajar kita bahawa kita dapat memimpin orang lain hanya setelah kita menerima Dia dalam iman. Justeru, perlu bagi kita untuk mengetahui dan mengakui dosa kita, dan berusaha untuk membuat perubahan dalam kehidupan kita. Barulah kita memperoleh, apa yang "betul" untuk membetulkan dan memimpin orang lain tanpa keduanya jatuh ke dalam lubang.

Oleh itu, bila kita berbincang tentang hal hal mengenai masalah yang dialami umat, kita berbuat demikian bukan untuk memegahkan diri sendiri, sebab ia hanya akan menyebabkan mereka mengelak kita. Sebaliknya, kita sedar kekurangan kita sendiri, sifat yang kita semua kongsi dengan orang lain tetapi berbeza, kita sentiasa berusaha untuk mengatasinya. Semoga kita berusaha untuk mengikut cara Yesus, dan memberi kemuliaan kepada Allah dalam semua yang kita katakan dan lakukan.

Sabtu, 23 Februari 2019

Minggu Biasa Ke-7 Tahun C

Seorang pastor berkhutbah homili Hari Minggu yang berjudul "Ampunilah Musuh-Kamu." Dia bertanya berapa ramai jemaah telah mengampunkan musuh mereka. Kira-kira separuh mengangkat tangan mereka. Dia kemudian mengulangi soalannya. Sekarang kira-kira 90% mengangkat tangan mereka. Dia kemudian mengulangi soalannya sekali lagi. Semua respon, kecuali seorang wanita tua. Pastor bertanya: "Puan Lee, adakah anda tidak bersedia mengampuni musuh anda?" Dia menjawab: "Saya tidak mempunyai musuh." Pastor itu keliru dan berkata: "Puan Lee, ini sangat luar biasa. Berapakah umur anda?" "Sembilan puluh tiga," jawabnya. Pastor kemudian bertanya: "Puan Lee, sila datang ke depan dan beritahu jemaah bagaimana seseorang tidak mempunyai musuh di dunia?" Wanita yang molek itu berjalan menurun lorong itu dan berkata, "Saya hidup lebih lama daripada mereka!"

Dalam Injil hari ini, Yesus memberi kita ajaran yang menarik. Dia memberitahu kita untuk mengasihi musuh kita, kerana sebagai orang Kristian, kasih harus menjadi keutamaan kita. Di antara ajaran Yesus ada dua ciri penting - belas kasihan dan pengampunan. Lebih-lebih lagi, kita perlu berbelas kasihan dan mengampuni, di mana sahaja kita berada, terutamanya dalam masyarakat kita, komuniti paroki, dan keluarga. Nampaknya lebih mudah berkata daripada melakukan. Tetapi realitinya adalah belas kasihan dan pengampunan mestilah menjadi asas semua hubungan kita. Dalam hubungan kita, kita mesti realistik bahawa kita hidup dalam masyarakat, komuniti dan keluarga yang tidak sempurna. Kita harus sedar bahawa ada orang yang akan cuba mengambil kesempatan terhadap kita, cuba untuk menipu kita dan berbuat salah terhadap kita, sama seperti kita juga melakukan hal yang sama kepada orang lain. Akhirnya, penting untuk mengenali bahawa tiada seorang pun di antara kita yang sempurna.

Yesus tidak meminta kesempurnaan dari kita. Sebaliknya, dalam Injil hari ini Yesus meminta kita untuk " hendaklah kamu berbelas kasihan, seperti Bapa kamu berbelas kasihan juga." Di sini kita menjumpai keperluan asas kita untuk menunjukkan belas kasihan dan pengampunan. Kita mesti mengampuni dan menunjukkan belas kasihan kepada orang lain kerana kita telah diampuni dan mendapat belas kasihan Allah. Sekiranya Allah boleh mengampunkan kita walaupun kita berdosa, maka kita mesti dapat mengampuni orang lain yang berdosa terhadap kita. Hanya apabila kita dapat merenungkan dosa, batasan dan kelemahan kita sendiri, kita mula memahami, mengampuni dan akhirnya menerima orang lain. Sudah tentu, ia tidak mudah. Tetapi dengan rahmat Allah, segala sesuatu adalah mungkin. Oleh itu, marilah kita berdoa untuk rahmat agar menjadi lebih berbelas kasihan dan lebih mengampuni tatkala kita berdoa: "ampunilah dosa-dosa kami seperti kami mengampuni mereka yang berdosa terhadap kami."

Sabtu, 16 Februari 2019

Minggu Biasa Ke-6 Tahun C

Sesetengah orang berpendapat untuk seseorang menjadi gembira, orang itu juga harus bahagia. Namun jika kita melihat dengan teliti tentang maksud sebenar kegembiraan dan kebahagiaan, kita mendapati bahawa seseorang itu boleh menjadi gembira, walaupun seseorang itu miskin, lapar, dibenci dan dicela, ketika seseorang berkabung semasa kehilangan orang yang dikasihinya, ketika seseorang menghadapi penganiayaan dan mengalami penderitaan. Bagaimanakah seseorang dapat bergembira walaupun mengalami situasi dan keadaan yang sukar?

Dalam Injil hari ini, Yesus berseru: berbahagialah kamu ... bersukacitalah ... bergembiralah. Apakah jenis kegembiraan yang dikatakan Yesus? Adakah kegembiraan sesuatu yang anda dapat apabila keperluan dan kehendak anda dipenuhi? Masyarakat cuba untuk mengasingkan kesedihan dan kebahagiaan. Akibatnya, kita cuba melupakan kematian, penyakit, masalah keluarga kita kerana ia seolah-olah menghalang kita daripada kebahagiaan yang kita harapkan. Namun, Yesus menunjukkan dalam ajarannya dan dalam hidupnya, kegembiraan sejati tersembunyi di tengah kesedihan kita. Salib telah menjadi lambang kuasa realiti ini; ia adalah simbol kematian dan kehidupan, penderitaan dan kegembiraan, kekalahan dan kemenangan. Dalam salib, kegembiraan dan kesedihan boleh wujud bersama. Sudah tentu, ini tidak mudah difahami, tetapi apabila kita berfikir tentang pengalaman tertentu hidup kita, seperti ketika kelahiran seorang anak atau kematian seorang sahabat, kesedihan yang besar dan kegembiraan yang besar dapat dilihat sebagai sebahagian dari pengalaman yang sama, di mana kita menemui kegembiraan di tengah-tengah kesedihan.

Jadi apa maksudnya? Ini bermakna kegembiraan sebenar tidak sama dengan kebahagiaan. Kita boleh tidak gembira dengan banyak perkara, tetapi kegembiraan masih boleh berada di sana kerana ia berasal dari mengetahui kasih Allah kepada kita. Kegembiraan ialah mengetahui bahawa anda dikasihi tanpa syarat dan tidak ada apa-apa; bahkan kematian; dapat mengambil kasih itu. Untuk berbahagia, seperti respons mazmur memberitahu kita, adalah untuk "percaya kepada Allah". Dalam kehidupan rohani kita, kegembiraan tidak mudah terjadi untuk kita. Kita perlu memilih kegembiraan dan terus memilih kegembiraan setiap hari. Ini adalah pilihan berdasarkan pengetahuan bahawa kita adalah milik Allah, dan telah menemui, perlindungan, keselamatan kita, serta kekuatan kita dalam Allah, dan tidak ada yang dapat menjauhkan Allah dari kita. Marilah kita tetap bersukacita selalu, tanpa mengira betapa sukarnya atau mencabarnya, kerana Allah ada bersama dengan kita.

Ahad, 25 November 2018

Kristus adalah Raja Tahun B

Hari ini, kebanyakan kita tertarik untuk memperolehi pelbagai jenis kelayakan. Apabila kita telah menamatkan suatu kursus atau pengajian, kita mengharap untuk menerima segulung diploma, ijazah atau apa jua bentuk kertas yang tertera jenis kelayakan yang kita capai. Kertas tersebut dipanggil sijil, dan sebahagian daripada kita mungkin akan membingkai dan meletakkannya pada dinding, sama ada di tempat yang mudah dilihat di rumah kita, atau di pejabat kita, untuk menunjukkan orang lain setakat mana kelayakan atau pendidikan kita. Apabila kita pergi ke hospital untuk pemeriksaan, sebahagian daripada kita juga menerima sijil kecergasan, untuk menunjukkan bahawa kita sihat. Perakuan kecergasan sedemikian kadang-kadang diperlukan apabila kita memohon kerja, atau apabila kita memohon untuk melanjutkan pengajian di kolej atau universiti atau mana-mana institusi pengajian. Walau bagaimanapun, semua sijil perakuan tersebut hanya bersifat sementara dan berguna semasa kita hidup di dunia.

Seperti yang kita ketahui, cara-cara Allah tidak sama seperti cara-cara duniawi. Apabila bercakap mengenai menjadi seorang raja, pemahaman Tuhan sebagai Raja adalah agak berbeza daripada pemahaman duniawi, sebagai raja, seperti Yesus memberitahu kita: : "Kerajaan-Ku bukan dari dunia ini; jika Kerajaan-Ku dari dunia ini, pasti hamba-hamba-Ku telah melawan, supaya Aku jangan diserahkan kepada orang Yahudi, akan tetapi Kerajaan-Ku bukan dari sini." Yesus turut menambah: "Aku adalah raja. Untuk itulah Aku lahir dan untuk itulah Aku datang ke dalam dunia ini, supaya Aku memberi kesaksian tentang kebenaran; setiap orang yang berasal dari kebenaran mendengarkan suara-Ku." Maka, seperti pemahaman Tuhan mengenai menjadi Raja adalah agak berbeza daripada pemahaman duniawi, pemahaman Tuhan mengenai apa yang diperlukan untuk mendapatkan beberapa bentuk "pensijilan" dengan-Nya, adalah agak berbeza daripada pemahaman pensijilan duniawi. Sudah tentu, pensijilan Tuhan bukan datang dalam bentuk kertas, sebaliknya ia melibatkan sikap tertentu, tingkah laku, cara hidup, dengan kata lain, boleh dikatakan, perkara-perkara yang sebenarnya bererti kepada Allah.

Jadi apa perkara yang sebenarnya bererti kepada Allah? Apa yang lebih bererti adalah sama ada kita telah setia kepada Allah, setia menjadi murid-murid Yesus dan setia kepada ajaran Yesus; sama ada tumpuan kita berkhidmat kepada Yesus seperti hamba raja, dengan melayani orang lain tanpa mengharapkan apa-apa balasan, dan bukan seperti raja duniawi yang memerintah ke atas orang lain; dan mungkin dengan membenarkan perubahan dan pertaubatan berlaku dalam hidup kita. Oleh itu, untuk mengelakkan dari terlalu mengambil berat dengan kelayakan duniawi seperti kelakuan kebanyakan orang, kita perlu mengubah tumpuan kita ke arah kelayakan kekal yang akan membawa manfaat yang lebih besar dan lebih tahan lama kepada kita.

Justeru, marilah kita biar Yesus menjadi Raja dan sebagai panduan kita, seperti bacaan kedua memberitahu kita: "Yesus Kristus, Saksi yang setia, yang pertama bangkit dari antara orang mati dan yang berkuasa atas raja-raja bumi ini. Bagi Dia, yang mengasihi kita dan yang telah melepaskan kita dari dosa kita oleh darah-Nya dan yang telah membuat kita menjadi suatu kerajaan, menjadi imam-imam bagi Allah, Bapa-Nya, --bagi Dialah kemuliaan dan kuasa sampai selama-lamanya." Semoga kita mengikut jalan-Nya dan menumpukan perhatian kepada apa yang sebenarnya bererti kepada Allah, pada "pensijilan-Nya," untuk masa depan kita yang kekal dan bahagia.

Sabtu, 17 November 2018

Minggu Biasa Ke-33 Tahun B

Semua kata dan kelakuan kita di dunia ini mempunyai suatu konsekuen/akibat atau suatu keputusan atau kesan. Kadang kala kita mengalami akibatnya hampir serta-merta, kadang-kadang, kemudian dalam hidup. Sebagai contoh, jika anda sengaja memukul seekor anjing, anjing itu terus respon di situ dan kemudian menggigit anda. Sebaliknya, jika anda kerap makan makanan berlemak atau makanan yang diproses, anda mungkin mengalami kesan-kesan tabiat pemakanan seperti itu kemudian hari, di mana organ-organ tubuh tertentu mungkin mengalami kerosakan atau gagal berfungsi. Kemudian, anda mungkin akhirnya dibebani dengan sejumlah besar bil-bil perubatan dan juga mungkin melalui penderitaan dan kesakitan kesan daripada rawatan atau prosedur perubatan tertentu.

Dengan cara yang sama, terdapat konsekuen yang kita tidak mungkin alami semasa hidup di dunia. Apabila kita berdosa, tidak kira sama ada kita telah melakukan dosa venial atau mortal atau dosa yang serius, jiwa kita menjadi kotor perlahan-lahan. Kita mula hilang hubungan dengan Tuhan. Kita ingat kita boleh terlepas dengan apa yang kita telah katakan dan lakukan, atau "sapu bawah karpet" dan berpura-pura segala-galanya baik-baik belaka, tetapi kita gagal menyedari akibat daripada kata-kata dan tindakan kita yang akan berlaku apabila kita dipanggil untuk menjelas setiap tindakan kita atau pengecualian. Ramai manusia hidup dalam kehidupan bahawa kita boleh terlepas dengan apa yang kita telah dikatakan atau dilakukan, kerana kita tidak boleh melihat kesan daripada kata-kata negatif dan tindakan kita dalam kehidupan kita sekarang. Tetapi hanya jika kita terjaga dari hakikat bahawa kita bertanggungjawab untuk setiap perkataan dan tindakan, kita akan mati tanpa berpeluang untuk memperbaiki cara kita. Semua orang akan menghadapi penghakiman pada hari akhirat. Semua tindakan kita, kesilapan kita, perbuatan baik dan buruk kita, dosa kita, kegagalan kita, kejayaan kita akan dijelaskan pada hari itu. Walaupun Allah penyayang dan pengasih, tidak sesiapa pun yang dapat melepaskan diri dari penghakiman. Tiada sesiapa pun yang dapat melarikan diri dan bersembunyi.

Dalam bacaan pertama, kita diingatkan: "Dan banyak dari antara orang-orang yang telah tidur di dalam debu tanah, akan bangun, sebahagian untuk mendapat hidup yang kekal, sebahagian untuk mengalami kehinaan dan kengerian yang kekal. Dan orang-orang bijaksana akan bercahaya seperti cahaya cakrawala, dan yang telah menuntun banyak orang kepada kebenaran seperti bintang-bintang, tetap untuk selama-lamanya." Adakah kita di kalangan mereka yang akan diberi hidup yang kekal? Atau kita akan berdepan dengan malu dan aib yang kekal? Apa yang akan berlaku kepada kita? Adakah kita tahu? Yesus di dalam Al-Kitab hari ini memberi amaran kepada kita: "Tetapi tentang hari atau saat itu tidak seorangpun yang tahu, malaikat-malaikat di syurga tidak, dan Anak pun tidak, hanya Bapa saja." Adakah kita akan terperangkap di luar pengawalan dan menghadapi kemungkinan hukuman kekal, atau kita telah konsisten dan berterusan dalam persediaan kita, dengan pengharapan akan hidup yang kekal dan selama-lamanya? Adakah kita mahu menanggung risiko menunggu sehingga terlalu lewat?

Segalanya masih belum lewat. Masih ada masa untuk mengubah cara hidup kita sekarang. Janganlah kita menunggu sehingga esok atau bulan depan atau tahun depan. Janganlah kita berlengah-lengah lagi dan menipu diri sendiri dengan berfikir bahawa kita masih muda atau sihat dan mempunyai banyak masa. Tuhan boleh panggil kita pada bila-bila masa dan pada bila-bila momen untuk membuat perhitungan hidup dengan anda. Adakah anda masih berdegil atau musyrik mengambil mudah perkara ini dan sambil lewa?

Sabtu, 10 November 2018

Minggu Biasa Ke-32 Tahun B

Sesetengah di antara kita sanggup melakukan apa sahaja bila kita perlu atau ingin sesuatu. Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menabung, bekerja keras dan bekerja dengan bijaksana, agar kita berharap akhirnya mencapai atau memperolehi apa yang kita perlu atau inginkan. Sebagai contoh, jika apa yang kita perlu atau inginkan melibatkan satu hubungan perkahwinan sepanjang hayat, kita akan mencari jalan dan cara untuk menarik perhatian orang itu, dan menunjukkan betapa prihatin dan betapa sanggupnya kita berkorban untuk orang tersebut, dengan harapan bahawa suatu hari, orang itu akan menerima lamaran kita untuk menjadi pasangan kita. Sekiranya kita ingin memperolehi segulung ijazah atau kelayakan yang lebih tinggi, kita akan bekerja keras dan mendorong diri kita bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat tersebut.

Tetapi jika kita berundur ke belakang dan berfikir sejenak: semua usaha ini adalah untuk memenuhi keperluan dan keinginan kita sendiri. Persoalannya ialah: berapa banyak yang kita sanggup atau bersedia untuk memberi kepada Allah, dalam bentuk masa kita, bakat kita atau kekayaan kita? Kita sering lupa bahawa semua yang kita ada adalah kurniaan dari Allah. Allah telah memberikan kita segala yang kita perlukan dan kita sering merasa sukar untuk memberi balik kepada-Nya. Terdapat banyak cara yang kita boleh berikan kepada Allah, sebahagiannya termasuk sumbangan kewangan kepada gereja, dengan membantu golongan miskin, dengan meluangkan masa dan usaha kita untuk menyokong misi Gereja, dengan melibatkan diri dalam pelbagai ministri gereja, dan sebagainya . Tapi marilah kita bertanya kepada diri kita dengan jujur, adakah kita benar-benar memberi, atau kita hanya menawarkan apa yang kita sanggup?

Pembacaan hari ini mencabar kita untuk memberikan semua kepada Allah, untuk memberi yang terbaik dan memberikan hidup kita kepada-Nya. Dalam bacaan pertama, kita bertembung dengan seorang janda bukan Yahudi yang diminta untuk berkongsi makanan terakhirnya dengan Nabi Elia. Allah memberi ganjaran kepadanya dengan makanannya yang tidak pernah habis. Di dalam Injil, janda yang miskin hanya memasukkan dua duit syiling kecil, jumlah yang tidak penting kepada sesetengah orang, dan tidak bermakna apa-apa berbanding jumlah besar yang disumbangkan oleh orang kaya. Namun, Yesus memuji tindakannya kerana " janda ini memberi dari kekurangannya, semua yang ada padanya, iaitu seluruh nafkahnya." Janda yang miskin itu menunjukkan kepada kita apa maksudnya memberi sepenuh diri.

Yesus memberikan kehidupanNya sebagai korban supaya kita dapat diselamatkan. Yesus telah memberi 100% diriNya, tanpa menyimpan apa sekali pun. Bagaimana dengan kita? Berapa banyak yang kita bersedia untuk beri kepada Allah? Adakah kita sangat berkira? Adakah kita cuba untuk menyimpan banyak perkara kerana mereka memberikan kita keselamatan? Marilah kita refleksi akan kesediaan atau ketidaksediaan diri kita sendiri untuk melakukan pengorbanan bagi Allah, dan semoga kita bersedia serta cukup rendah hati untuk memberikan semua yang ada pada kita kepada Allah, sama seperti Yesus memberikan semua-Nya kepada kita semua.

Sabtu, 3 November 2018

Minggu Biasa Ke-31 Tahun B

Ketika kita muda, ada di antara kita yang pernah menonton filem mengenai 10 perintah. Kita juga diingatkan dalam kelas-kelas Katekismus, semasa Misa dan dalam pelbagai aktiviti gereja mengenai 10 perintah dan bagaimana 10 dapat dikategorikan kepada dua, seperti yang disebutkan oleh Yesus dalam Injil hari ini: "Hukum yang terutama ialah: Dengarlah, hai orang Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa. Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu.Dan hukum yang kedua ialah: Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri. Tidak ada hukum lain yang lebih utama dari pada kedua hukum ini."

Walau bagaimanapun, jika kita meneliti bacaan-bacaan dan Injil hari ini dengan cermat, kita akan menyedari bahawa sesungguhnya hanya ada satu perintah sahaja: " Dengarlah, hai orang Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa. Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu. "Inilah perintah yang utama dan satu-satunya. Semua perintah lain datang dari perintah yang utama ini, sumber semua perintah. Jika kita dapat mengasihi Allah kita dengan segenap hati, dengan segenap jiwa kita, dengan segenap akal budi kita dan dengan segenap kekuatan kita, maka kita tidak perlu risau tentang yang lain, kerana kita secara semula jadi akan mematuhi dan mengikuti perintah-perintah lain.

Namun adakah kita benar-benar mengikut perintah utama ini? Sekiranya kita meneliti kehidupan kita, kita mungkin menyedari bahawa kita sebenarnya melanggar perintah pertama mengasihi Allah. Bagaimanakah begitu? Setiap kali kita ditimpa musibah, sesetengah kita mungkin pergi ke tokong-tokong. Ada yang menggunakan feng shui, atau ramalan dan kristal untuk menangkis nasib buruk atau untuk perlindungan, daripada bergantung kepada dan mempercayai bantuan Allah. Juga, sesetengah kita telah menjadikan objek lain tuhan-tuhan kita. Bagi sesetengah ia mungkin wang, sementara bagi yang lain, harta benda yang dimiliki. Terdapat sesetengah orang yang menganggap kuasa sebagai tuhan mereka. Setiap kali, kita melakukan mana-mana yang disebutkan, kita telah melanggar perintah pertama.

Jadi apa yang kita buat? Ingatlah apa yang dikatakan oleh ahli taurat yang bijak kepada Yesus dalam Injil hari ini: " Tepat sekali, Guru, benar kata-Mu itu, bahwa Dia esa, dan bahwa tidak ada yang lain kecuali Dia. Memang mengasihi Dia dengan segenap hati dan dengan segenap pengertian dan dengan segenap kekuatan, dan juga mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri adalah jauh lebih utama dari pada semua korban bakaran dan korban sembelihan."Kasih tanpa syarat dan tidak berbelah bahagi bagi Allah adalah apa yang diperlukan oleh setiap orang. Dengan kata lain, kita membiarkan Allah menjadi Allah dalam hidup kita.

Bagaimana pula perintah kedua itu - untuk mengasihi sesama kita seperti diri kita sendiri? Kita perlu menyedari bahawa tidak mustahil untuk mengasihi orang lain seperti diri kita sendiri; untuk mengasihi orang lain tanpa syarat; melainkan jika kita mengasihi mereka dengan kasih Allah. Hanya apabila kita meletakkan semua kasih kita tanpa syarat dengan Allah, kita akan dapat mengasihi orang lain seperti Allah mengasihi mereka. Oleh itu, marilah kita berdoa agar kita akan mendengar pada suara Yesus, mengundang kita untuk mengasihi Allah dengan sepenuh hati, jiwa kita, fikiran kita dan kekuatan kita, supaya kita benar-benar dapat mengasihi sesama kita seperti diri kita sendiri.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...