Sabtu, 23 September 2017

Minggu Biasa Ke-25 Tahun A

Adakah hidup ini adil? Sepanjang hari, kita mungkin pernah mendengar seseorang di suatu tempat berteriak: "Ia tidak adil!" Kita mungkin terdengar kanak-kanak mengadu: "Saya melakukan lebih banyak kerja!" atau "Kerja saya lebih sukar; itu tidak adil." Pelajar di sekolah mungkin berasa geram terhadap perhatian ekstra yang diberikan kepada seorang rakan sekelas..." dia merupakan murid kesukaan, murid kesayangan guru; Itu tidak adil!" Seorang adik beradik yang menyangka bahagian makanannya kelihatan lebih kecil daripada adiknya yang lain..."Itu tidak adil!" Kita mungkin pernah mendengar pekerja yang menganggap majikannya tidak menghargai usaha mereka atau mengiktiraf pencapaian mereka, tertanya-tanya (hairan): "itu tidak adil!" Seseorang di tempat kerja menerima kenaikan gaji yang menyebabkan seorang lagi berfikir: "Saya mempunyai kekananan (seniority). Saya telah berada di sini lebih lama; Itu tidak adil! " Jadi, adakah adil hidup ini?

Sesetengah kita berpendapat kerja, kekananan, pengalaman, atau bakat yang baik harus mendapat ganjaran. Ada yang berfikir bahawa semua harus diperlakukan sama rata: tiada diskriminasi, tiada kesukaan (favourites) dan sebagainya. Tetapi adakah kita mengharapkan kesaksamaan dan keadilan dalam semua situasi, dengan apa cara sekalipun ? Injil hari ini meletakkan kita dalam situasi serba salah. Di dalam Injil, Yesus memberitahu kita tentang seorang pemilik tanah yang mengupah pekerja-pekerja pada waktu yang berbeza untuk bekerja di kebun anggurnya. Akhirnya, tanpa mengira berapa lama seseorang itu bekerja, pemilik tanah membayar semua sama rata, satu dinar seorang, seperti apa yang telah dipersetujui. Sesetengah daripada kita mungkin berfikir: pemilik tanah itu tidak adil. Kenapa mereka yang masa kerjanya lebih panjang dibayar sama seperti mereka yang masa kerjanya pendek? Dari kaca mata manusia, nampaknya seperti tidak adil dan pemilik tanah kelihatan telah mengeksploitasi para pekerja, terutamanya mereka yang bekerja lebih lama. Namun perhatikan: pemilik tanah telah membuat persetujuan satu dinar sehari, tidak lebih, tidak kurang (bukan mengikut bilangan jam bekerja, sebagaimana yang mungkin diharapkan oleh sesetengah orang). Dia memilih untuk murah hati kepada semua, tanpa mengira berapa jam bekerja. Maka, adakah pemilik tanah benar-benar berlaku adil? Sudah tentu! Dia membayar sepenuhnya apa yang telah dipersetujui, dan dia memilih untuk bermurah hati. Oleh demikian, mengapa ada yang mengadu tentang keadilan dan kesaksamaan?

Begitu juga, sesetengah kita mungkin merasakan bahawa Tuhan seperti pemilik tanah. Sesetengah kita merasakan bahawa Tuhan tidak adil pada masa tertentu. Tetapi adakah kita mengharapkan Tuhan berlaku adil mengikut terma kita? Kita menganggap bahawa cara Tuhan berurusan dengan kita sepatutnya sama seperti bagaimana kita berurusan dengan satu sama lain. Walau bagaimanapun, sebagai bacaan pertama mengingatkan kita; Jalan Tuhan bukanlah jalan kita; dan rancangan Tuhan bukanlah rancangan kita. Kesedaran ini harus membuatkan kita bersukacita dengan kenyataan bahawa Allah menjangkaui semua standard manusia, bukan keadilan seperti yang kita anggap, tetapi dalam kasih, belas kasihan dan penyayang.

Dalam mazmur hari ini, kita diingatkan: "TUHAN itu pengasih dan penyayang, panjang sabar dan besar kasih setia-Nya. TUHAN itu baik kepada semua orang, dan penuh rahmat terhadap segala yang dijadikan-Nya. TUHAN itu adil dalam segala jalan-Nya dan penuh kasih setia dalam segala perbuatan-Nya. TUHAN dekat pada setiap orang yang berseru kepada-Nya, pada setiap orang yang berseru kepada-Nya dalam kesetiaan." Oleh itu, kita harus berterima kasih, bersyukur dan berseru sebab Tuhan adalah adil kepada kita menurut terma-Nya, bukannya terma kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...