Sabtu, 8 Julai 2017

Minggu Biasa Ke-14 Tahun A

Sebagai anak, sesetengah kita mendapati sukar untuk mendengar kata ibu bapa kita. Kita cuba untuk melakukan perkara dengan cara kita. Akibatnya, kita akan dimarahi (dan dalam kes tertentu, malah dipukul) kerana tidak mendengar atau melakukan apa yang ibu bapa kita katakan. Semasa kita membesar, kita mendapati semakin sukar untuk mendengar kata ibu bapa kita, kerana kita menghargai kebebasan kita dan kita rasa kita mampu melakukannya. Walau bagaimanapun, pada waktu itu, apa yang ibu bapa kita katakan sebenarnya untuk kebaikan kita sendiri, dan kita ingkar dengan mengambil risiko kita sendiri.
Apabila kita tidak dapat atau mendapati sukar untuk mendengar kata ibu bapa kita, kita menjadi tidak taat. Dengan cara yang sama, apabila kita tidak dapat atau mendapati sukar untuk mendengar suara Tuhan, kita juga menjadi tidak taat. Dosa adalah perbuatan ingkar kepada Allah. Ketaatan bermakna mendengar pada suara Tuhan dan percaya pada takdir-Nya.

Yesus dalam Injil hari ini mengajak kita untuk meletakkan kepercayaan kita kepada-Nya dan kepada Allah Bapa. Kita mungkin tidak memahami sepenuhnya kehendak Allah, tetapi tidak mengapa. Melainkan jika kita menurut kata dan patuh seperti anak kecil, kita tidak akan menemui kehendak Tuhan. Yesus mengingatkan kita bahawa Allah menyembunyikan perkara ini daripada orang bijak serta pandai dan mendedahkannya kepada orang kecil semata-mata. Inilah sebenarnya kepercayaan. Seorang anak yang percaya bahawa ibu bapanya akan menjaganya, bebas daripada kebimbangan. Ketaatan bermakna mempercayai.

Dalam Injil hari ini, Yesus juga memberikan kita suatu imej kuk di mana Dia berkata: "Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu. Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah pada-Ku, kerana Aku lemah lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan. Sebab kuk yang Kupasang itu enak dan beban-Kupun ringan." Satu kuk sering dibuat untuk dua atau lebih lembu, dan dengan mengajak kita untuk memikul kuk-Nya dan belajar daripada-Nya, Yesus meyakinkan kita bahawa dengan memikul kuk-Nya, Dia akan memberi petunjuk kepada kita dan membantu kita dengan beban kita. Apabila kita menerima kuk Yesus, kita sebenarnya sedang dibebaskan daripada banyak kekhuatiran dan kebimbangan yang tidak perlu dan kita belajar untuk menjadi lemah lembut dan rendah hati, mempercayai Yesus dan Allah Bapa, mengetahui bahawa kita akan dijaga dengan baik, sama seperti seorang anak yang meletakkan kepercayaannya kepada ibu bapanya dan dijaga oleh mereka. Keingkaran adalah kesan daripada kebanggaan. Ketaatan adalah kesan daripada kerendahan hati.

Oleh itu marilah kita berserah kepada kehendak Tuhan dan membiarkan Dia mengambil kawalan. Apabila kita berserah kepada kehendak Tuhan, kita juga akan memperolehi kedamaian dan kebahagiaan sebenar. Adakah kita masih begitu keras kepala dan mahu melakukan sesuatu dengan cara kita? Atau adakah kita bersedia untuk menjadi rendah hati, dan melakukan perkara dengan cara Tuhan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...