Memaparkan catatan dengan label Adven. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Adven. Papar semua catatan

Sabtu, 23 Disember 2017

Minggu Adven Ke-4 Tahun B

Ramai di antara kita suka memberi dan menerima hadiah. Kadang-kadang hadiah boleh menjadi sesuatu yang besar, atau sesuatu yang kecil, atau sesuatu yang mahal, atau sesuatu yang murah, atau sesuatu yang bernilai atau berharga, atau bahkan sesuatu yang berguna kepada kita atau kita berfikir ia berguna kepada orang yang menerima hadiah itu. Tatkala kita sedang menghampiri Krismas, sesetengah daripada kita mungkin mulai mencari peluang bagi mencari hadiah yang berlainan untuk orang yang berlainan, sesetengah daripada kita mungkin mula membeli pakaian baru, sesetengah kita mungkin mula stok pelbagai jenis makanan, buah-buahan, minuman dan makanan istimewa lain, supaya kita bersedia untuk sambutan yang akan datang. Tetapi jika kita mempertimbangkan seketika ... apabila kita memilih hadiah atau membeli sesuatu, adakah kita memilih sesuatu yang kita suka dan kita fikir bahawa orang tersebut juga suka? Atau adakah kita memilih sesuatu yang dia benar-benar suka?

Dalam pembacaan pertama, kita melihat Raja Daud yang menyangka bahawa dia patut membina sebuah kuil untuk menempatkan tabut Perjanjian. Mungkin Raja Daud berasa bersalah bahawa Tuhan telah melakukan begitu banyak untuknya dan dia tidak melakukan apa-apa atau melakukan respon yang cukup. Mungkin Raja Daud merasa tidak selesa dan berfikir bahawa itu adalah tidak wajar atau tidak cukup bermaruah untuk tabut Allah tinggal di dalam sebuah khemah ketika dia tinggal di rumah yang dibuat daripada kayu cedar. Tetapi, daripada menghadiahkan Tuhan sebuah kuil, Raja Daud menerima hadiah yang lebih besar dari Tuhan. Tuhan memberkati Raja Daud dan menjanjikan kepadanya sebuah dinasti yang akan kekal selama-lamanya, dan juga menjadikan dia hebat di antara semua bangsa.

Sesetengah kita berfikir bahawa kita berhutang kepada Tuhan sebagai balasan untuk banyak perkara yang telah diberikan oleh Tuhan kepada kita. Sesetengah daripada kita mungkin memiliki mentaliti " Saya bantu kamu, kamu bantu saya", berfikir bahawa kita boleh mendapatkan lebih banyak berkat atau hikmah dari Tuhan melalui pemberian kita (seolah-olah kita boleh merasuah Tuhan). Tetapi Tuhan tidak boleh disogok. Segala sesuatu yang kita ada berasal dari Dia dan sebenarnya adalah pemberian dari-Nya kepada kita. Tuhan memilih untuk memberi kita banyak pemberian, dan kita mesti belajar untuk menerima dan mengambil dari Tuhan apa yang dia ingin berikan kepada kita. Inilah sikap atau kualiti yang ditunjukkan Maria dalam Injil. Dia tidak mempunyai apa-apa untuk diberi kepada Tuhan, kerana dia tidak mempunyai kuasa, tiada memiliki apa-apa; tidak ada langsung. Namun, Tuhan memilihnya sebagai ibu kepada Anak-Nya Yesus. Tuhan memberkati dia dengan pemberian seperti itu kerana Maria bersedia menerima dan mengambil pemberian Tuhan; dia sanggup dan cukup rendah diri untuk mendengar kehendak Tuhan apabila dia berkata: " "Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataanmu itu."

Apabila kita memberi sesuatu hadiah kepada orang lain, kita berada dalam kawalan, kerana kita memutuskan apa yang kita berikan. Sebaliknya, apabila kita menerima sesuatu, kita tidak mempunyai kuasa atau kawalan terhadap apa yang kita terima. Apabila Tuhan memberikan sesuatu kepada kita, kita tidak boleh menentukan apa yang kita mahu terima daripada Dia; Tuhan memilih apa yang terbaik untuk kita, dan kita boleh memutuskan untuk menerima atau menolak pemberian itu. Bagi sesetengah pihak, tidak mempunyai kawalan ke atas pemberian yang kita terima boleh menjadi keadaan yang menakutkan. Tetapi mengapa kita perlu takut? Adakah kita tidak yakin atau cukup percaya dengan pilihan Tuhan? Marilah kita bersedia dan cukup rendah diri untuk membenarkan Tuhan mengawal hidup kita dan menerima banyak rahmat dan pemberian yang Dia berikan kepada kita.

Sabtu, 16 Disember 2017

Minggu Adven Ke-3 Tahun B

Berapakah jumlah kegembiraan di dalam hati kita? Adakah kita orang yang gembira, atau adakah kita menjadi terlalu sibuk dengan begitu banyak perkara menyebabkan kita menjadi semakin kurang gembira? Kadang-kadang cara hidup kita atau keadaan di sekeliling kita, sama ada melalui cara kita sendiri, atau faktor-faktor lain, boleh menyebabkan kita menjadi letih dan kegembiraan kita mungkin berkurangan. Tetapi sebagai orang Kristian, bagaimana kita kekal gembira? Bagaimana kita terus memancarkan kegembiraan dan harapan dalam Tuhan?

Pembacaan hari ini mengingatkan kita tentang kegembiraan yang harus kita terus pancar. Dari pembacaan pertama, kita diingatkan bahawa "Roh Tuhan Allah ada padaku, oleh karena Tuhan telah mengurapi aku." Apabila anda mempunyai roh Tuhan, tidak ada sebab untuk takut, cemas, atau tidak selamat. Sebaliknya, kita harus bergembira, seperti pembacaan mengatakan kepada kita: “Aku bersukaria di dalam TUHAN, jiwaku bersorak-sorai di dalam Allahku, sebab Ia mengenakan pakaian keselamatan kepadaku dan menyelubungi aku dengan jubah kebenaran. " Begitu juga dengan bacaan kedua yang mengulang perlunya kita kekal bergembira: "Bersukacitalah senantiasa.Tetaplah berdoa.Mengucap syukurlah dalam segala hal, sebab itulah yang dikehendaki Allah di dalam Kristus Yesus bagi kamu." Mengapa kita perlu terus bergembira? Sebab, seperti pembacaan menyakinkan kita, "Ia yang memanggil kamu adalah setia, Ia juga akan menggenapinya."

Kehidupan kita di sini terlalu pendek untuk dicemari atau dibebani dengan kebimbangan atau ketakutan. Tuhan telah memberi jaminan kepada kita akan kasih dan jagaan-Nya, jika kita bersedia membuka minda dan hati kita serta membenarkan Dia berkuasa. Marilah kita berpegang pada apa yang baik dan elakkan segala bentuk kejahatan, dan marilah kita berkongsi kegembiraan yang telah diberikan Tuhan kepada kita semua.

Sabtu, 9 Disember 2017

Minggu Adven Ke-2 Tahun B

Jika anda diberi pilihan untuk memandu dari satu tempat ke tempat yang lain, sama ada dengan menggunakan jalan lama, atau dengan menggunakan lebuh raya, mana yang anda pilih? Sesetengah kita mungkin tidak begitu berminat untuk menggunakan lebuh raya, memandangkan lebuh raya mungkin mengenakan caj tol yang membebankan. Tetapi jika lebuh raya tidak ada caj atau tol minima, adakah anda masih menggunakan jalan lama? Kemungkinan besar, lebih ramai orang akan menggunakan lebuh raya, terutamanya jika lebuh raya itu mempunyai jalan yang lebih lurus yang mudah serta kemungkinan pemanduan lebih cepat, membolehkan kita tiba di destinasi kita lebih awal; berbanding dengan jalan lama yang boleh berliku-liku dan sempit, menjadikan pemanduan sukar dan berbahaya.

Nabi Yesaya dalam pembacaan pertama hari ini memberitahu kita tentang jalan : "Sediakanlah jalan di padang pasir bagi Allah kita! Timbusilah tiap-tiap lembah; ratakan tiap-tiap gunung. Bukit- bukit akan menjadi dataran, dan tanah yang lekak-lekuk akan diratakan."Apakah jenis jalan yang disebut nabi Yesaya? Jalan ini adalah jalan kehidupan kita. Selama bertahun-tahun, jalan kita mungkin telah terkandas, jalan yang melilit, jalan yang sempit dan selekoh yang tajam, kerana kita dalam satu cara atau yang lain telah menjadi lebih terbenam dalam cara-cara dunia dan semakin jauh dari Tuhan. Tingkahlaku, sikap dan cara hidup kita mungkin menyumbang kepada keadaan jalan kehidupan kita. Panggilan Yesaya dalam pembacaan pertama adalah panggilan untuk kita membuat perubahan radikal dan konsisten terhadap landskap jalan kehidupan kita. Ia bukan sekadar perubahan kosmetik seperti membaiki jalan berlubang atau menurap jalan raya di sana sini, tetapi suatu perubahan total, supaya jalan hidup kita akan dilurus dan Allah akan mempunyai akses yang lebih mudah kepada kita. Yohanes Pembaptis dalam Injil hari ini menyebut panggilan Yesaya ini di mana dia berseru: "Sediakanlah jalan bagi Tuhan, luruskanlah jalan bagi-Nya!"

Apabila kita dibaptis, kita memulakan perjalanan mengubah jalan kita menjadi satu yang lurus dan mudah diakses. Perjalanan kita memerlukan pertobatan, berpaling dari dosa kita, dan penolakan terhadap cara hidup kita yang lama. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain berubah untuk kita; kita mesti mengubah diri kita sendiri. Jika kita fikir kita sudah ok dan orang lain tidak; jika kita mendakwa bahawa tidak ada keperluan untuk pertobatan atau transformasi pada pihak kita; maka kita mungkin mula berfikir bahawa kita sudah sempurna. Sekiranya kita sempurna, maka kita tidak memerlukan Tuhan.

Perubahan adalah sukar, dan boleh menyakitkan; tetapi perubahan perlu bagi kita untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Marilah kita mengenepikan kedegilan kita, kebanggaan kita, dosa kita dan segala halangan yang mungkin kita letak, supaya Tuhan dapat meluruskan kita dan mengubah kita menjadi sesuatu yang indah. Adakah kita sanggup, rendah diri dan cukup jinak untuk membenarkan Tuhan meluruskan kita, supaya kita tetap kekal dalam pelukan kasih sayang-Nya?

Sabtu, 2 Disember 2017

Minggu Adven Pertama Tahun B

Sepanjang hidup kita, kita mungkin telah menumpukan perhatian untuk membina kehidupan yang lebih baik di dunia. Sebagai kanak-kanak, kita belajar dengan bersungguh-sungguh, dengan harapan dapat melakukan yang terbaik di sekolah, dalam peperiksaan dan berusaha untuk masuk ke universiti yang baik. Kemudian kita menghabiskan banyak usaha untuk memperoleh ijazah Sarjana Muda dan mungkin terus ke ijazah Sarjana mahupun Doktor. Kita kemudiannya mencari kerja sama ada dalam bidang akademik atau dunia korporat, dengan harapan dapat mencapai hidup yang baik dan mungkin mencipta nama untuk diri kita sendiri. Segala perkara dan usaha ini pastinya tidak salah, kerana kita perlu hidup dan berjaya di dunia ini. Walau bagaimanapun, seperti yang kita perhatikan, semua perkara dan usaha ini merujuk kepada kehidupan di dunia ini. Sebagai orang Kristian, kita percaya bahawa ada kehidupan selepas zaman kita di dunia tamat. Apa yang akan berlaku kepada kita selepas kita meninggalkan kehidupan di dunia? Adakah kita akan bersama dengan Tuhan? Adakah kita akan jauh daripada Tuhan?

Dalam Injil hari ini, Yesus berkata kepada murid-muridnya, "Hati-hatilah dan berjaga-jagalah! Sebab kamu tidak tahu bilamanakah waktunya tiba." Apakah maksud Yesus dengan "berjaga-jagalah?" Dalam musim Adven ini, kita bukan sahaja mempersiapkan diri untuk merayakan Krismas, kita juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan kematian di mana kita akan bertemu Tuhan, dan juga untuk kedatangan-Nya yang kedua, yang merupakan akhir zaman. Kematian dan kedatangan Yesus yang kedua mungkin menakutkan bagi sesetengah orang, kerana apa yang tidak diketahui kita. Banyak petikan dalam kitab telah melakar kita imej menakutkan mengenai kematian dan kedatangan Kristus yang kedua, tetapi pembacaan hari ini memberi kita imej yang berbeza.

Dalam bacaan pertama, nabi Yesaya bercakap tentang Hari Sabat sebagai satu hari kebahagiaan dan harapan. Tuhan adalah penebus kita dan Dia "akan mengoyakkan langit dan turun." Bagi kita yang telah bersiap untuk kematian dan kedatangan-Nya yang kedua, tidak perlu berasa takut, kerana Tuhan akan menjadi seperti seorang bapa kepada kita . Tidak perlu kita menjadi cemas atau khuatir, jika kita telah membiarkan diri kita dibentuk oleh Tuhan, kerana kita adalah tanah liat dan Tuhan adalah tukang tembikar. Tetapi jika kita tidak bersedia, jika kita telah mengabaikan kehidupan rohani kita dan hubungan kita dengan Tuhan, jika kita enggan mengubah cara kita, maka kita akan mempunyai semua sebab untuk takut. Kita boleh terjaga secara fizikal, tetapi tidur secara rohani, dan kita boleh tertangkap basah atau tanpa sedar atau tidak bersedia. Dalam Injil, Yesus memberi amaran kepada kita supaya "berjaga-jagalah, sebab kamu tidak tahu bilamanakah tuan rumah itu pulang, menjelang malam, atau tengah malam, atau larut malam, atau pagi-pagi buta, supaya kalau ia tiba-tiba datang jangan kamu didapatinya sedang tidur. Apa yang Kukatakan kepada kamu, Kukatakan kepada semua orang: berjaga-jagalah!"

Adakah kita terjaga secara rohani, atau kerohanian tertidur. Selama bertahun-tahun, kita mungkin telah kehilangan atau mengabaikan kehidupan rohani kita. Pelbagai tarikan di dunia ini, pilihan dan keutamaan yang kita buat dan sikap kita terhadap dosa, pengakuan, dan pertobatan adalah beberapa faktor yang dapat menyumbang kepada kerohanian tertidur kita. Daripada membuat alasan; daripada menunding kepada orang lain; daripada degil terus seperti kita sedia ada; daripada menunda sehingga terlambat; marilah kita merenung akibat daripada tindakan kita. Adakah kita mahu menjadi gembira dan berada damai bersama dengan Tuhan? Sekiranya kita mahu, marilah kita berjaga-jaga, serta telah bersiap dan bersedia sepanjang masa.

Sabtu, 17 Disember 2016

Minggu Adven Ke-4 Tahun A

Apa ada pada nama? Sebagai bakal ibu bapa, ia adalah penting untuk berfikir dengan teliti dan mengambil kira kesan daripada memberi anak anda nama tertentu. Kadang-kadang, kita mungkin tidak sedar akan makna nama dan apa maknanya mengikut bahasa yang berbeza. Sebagai contoh, seseorang yang dinamakan Ho Chin Chai yang ternyata mempunyai nama yang lurus bendul, tetapi dalam bahasa Hokkien, "Ho" bermaksud "sangat" dan "Chin Chai" berbunyi seperti "cincai" dalam Bahasa Malaysia, yang bermaksud "sebarangan"; "bersahaja"; "melakukan sesuka hati"; "tanpa berfikir" atau "secara rawak". Satu lagi contoh ialah jika seseorang mempunyai nama keluarga "Chan" dan mempunyai nama yang diberi seperti "Bella" atau "Isabella." Orangnya kemudian akan dikenali sebagai "Bella Chan" atau "Isabella Chan." Bunyi seperti nama yang ok, tetapi jika anda melihat dalam Bahasa Malaysia, nama itu akan menjadi "belacan" atau "adalah belacan"! "Belacan" adalah pes udang atau sos udang, bahan yang biasa digunakan dalam masakan Asia Tenggara dan masakan orang Cina Selatan. Ia menjadi agak memalukan jika seorang guru atau seseorang akan memanggil, "Belacan, datang jumpa saya sekarang." Maka, ia penting untuk memilih nama dengan bijak, jika tidak, seseorang mungkin menghadapi cemuhan, ejekan dan rasa malu seumur hidup.

Sebagai umat Katolik, kita juga dinasihatkan untuk memilih nama pembaptisan dan / atau nama sakramen penguatan dengan bijak. Kita digalakkan untuk memilih nama seorang kudus (santo), seorang yang kita boleh ikuti dan contohi. Dalam Injil hari ini, malaikat Tuhan menyuruh Yusuf untuk menamakan anak itu Yesus, "kerana Dialah yang akan menyelamatkan umat-Nya dari dosa mereka." Nama 'Yesus' bermakna 'Tuhan menyelamatkan.' Sepanjang Injil, kita akan melihat bahawa Yesus benar-benar hidup seperti namanya sebagai penyelamat dan penebus kita. Yesus juga dikenali, dalam Bacaan Pertama hari ini dan Injil sebagai "Imanuel, nama yang bererti 'Allah menyertai kita." Allah telah mengambil inisiatif untuk datang dekat kepada kita dan telah menjadi salah seorang daripada kita, daripada kita cuba untuk datang dekat kepada-Nya.

Melihat betapa pentingnya untuk kita memilih suatu nama dengan bijak, marilah kita merenung nama yang diberi kepada kita. Adakah ia nama seorang santo? Adakah kita hidup seperti nama kita dengan mengikut dan mencontohi teladan santo? Nama kita bukanlah perkara remeh atau "cincai". Semoga Allah membantu kita untuk menjadi sesuai disanjung dengan nama yang diberikan kepada kita.

Sabtu, 10 Disember 2016

Minggu Adven Ke-3 Tahun A

Kita hidup dalam dunia di mana segala-galanya mesti dilakukan dengan pantas. Kita ada ATM untuk wang segera, kita ada kad kredit untuk kredit segera, kita ada kopi segera, mi segera, ini segera, itu segera.Namun terdapat juga banyak situasi di mana kita perlu menunggu, harus bersabarlah. Sebagai contoh, bayi tidak dikandung dan dilahirkan dalam sehari atau seminggu. Ia mengambil masa kira-kira 9 bulan menunggu dan persediaan. Tiada siapa yang mendapat ijazah selepas cuma satu kelas. Kebanyakan orang perlu belajar 2 atau 3 tahun untuk ijazah asas. Membina sebuah rumah tidak dapat disiapkan terlalu cepat. Kita perlu memastikan asas yang kuat dan telah terbukti selamat sebelum pembinaan bangunan itu boleh dimulakan. Apabila kita makan, kita tidak boleh menyumbat segala-galanya ke dalam mulut dan menelan sekaligus. Padahnya, kita mungkin tercekik atau mendapatkan senak.

Malah, menunggu untuk kedatangan Tuhan memerlukan kita untuk bersabar. Dalam bacaan pertama, kita diberitahu: "Lihatlah, Allahmu akan datang dengan pembalasan dan dengan ganjaran Allah. Ia sendiri datang menyelamatkan kamu!" Bilakah TUHAN datang untuk menyelamatkan kita? Kita tidak tahu. Oleh itu, kita perlu bersabar. Dalam bacaan kedua, kita diingatkan: "Saudara-saudara, bersabarlah sampai kepada kedatangan Tuhan.... Kamu juga harus bersabar dan harus meneguhkan hatimu, kerana kedatangan Tuhan sudah dekat!" Di sini, kita perlu bersabar dan tidak berputus asa. Injil hari ini juga bergema mengenai keperluan kita untuk bersabar dan tidak berputus asa, kerana Yesus memberitahu kita: "Berbahagialah orang yang tidak menjadi kecewa dan menolak Aku."

Melihat bahawa kita perlu bersabar dan tidak berputus asa, marilah kita membuat pilihan. Kita boleh memilih untuk percaya kepada Tuhan, atau kita boleh memilih untuk melakukan sesuatu dengan cara kita. Apa pun pilihan yang kita mungkin ingin buat, kita mesti bersedia untuk menghadapi akibatnya.

Sabtu, 3 Disember 2016

Minggu Adven Ke-2 Tahun A

Apabila kita telah dibaptis semasa bayi, atau kanak-kanak, atau orang dewasa, adakah berlaku sebarang perubahan dalam kehidupan kita? Sesetengah daripada kita mungkin berfikir bahawa pembaptisan bermakna kita menjadi anak angkat Allah, tetapi adakah kita benar-benar mengetahui apa maknanya?

Dalam Injil hari ini, kita lihat Yohanes dibaptiskan. Pembaptisannya merupakan pembaptisan taubat, dan dengan taubat kita perlu betul-betul berubah, bertukar sepenuhnya dan ditransformasi semula. Penukaran sepenuhnya bermakna kita tidak lagi boleh menjadi separa, kita perlu membuang apa-apa bentuk prejudis, diskriminasi dan sikap tidak bertoleransi. Dalam Bacaan Pertama, kita melihat bagaimana semua makhluk hidup dengan aman dan harmoni. Mereka tidak merosakkan, tidak mengancam, pada seluruh gunung suci Allah. Dalam Bacaan Kedua, kita diingatkan bahawa "Sebab itu terimalah satu akan yang lain, sama seperti Kristus juga telah menerima kita, untuk kemuliaan Allah."

Melihat bagaimana kita sepatutnya berkelakuan sebagai orang Katolik yang telah dibaptiskan dan sebagai anak angkat Allah, marilah kita meneliti diri kita sendiri. Adakah kita melayan orang lain dengan adil dan saksama? Adakah kita menganggap diri kita bersatu sebagai orang Katolik, dan bukan hanya tertumpu dalam kumpulan etnik tertentu atau bahasa? Adakah kita mampu untuk menjaga dan mengasihi orang lain tanpa melihat warna kulit, bahasa, atau paras rupa? Apabila kita menyanyi, "They will know we are Christians by our love, by our love, yes they'll know we are Christians by our love," aadakah kita menyedari signifikan apa yang kita nyanyi dan adakah kita benar-benar bermaksud dengan apa yang kita nyanyi? Jika kita menganggap diri kita sebagai anak angkat Allah, maka mungkin kita perlu membuat lebih banyak usaha untuk melayan orang lain sebagai sebahagian daripada keluarga Tuhan, dan bukan sebagai orang yang tidak dikenali.

Sabtu, 26 November 2016

Minggu Adven Pertama Tahun A

Sesetengah daripada kita mungkin telah tertidur untuk seketika waktu. Sebalik berkembang dalam iman dan dalam hubungan dengan Allah, kita mungkin telah dorman atau tidak aktif. Ada yang melakukan minimum dan seolah-olah memberi tumpuan lebih pada kekayaan, kejayaan, kemasyhuran, kemewahan, dan sebagainya di dunia ini. Tetapi untuk berapa lama kita boleh berada dalam keadaan mengantuk ini? Kita mungkin terjaga dari segi fizikal, tetapi adakah kita benar-benar terjaga dari aspek rohani?

Tatkala kita memulakan Tahun Liturgi yang baru pada Minggu Adven Pertama ini, dan ketika kita bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada tahun ini, marilah kita mengambil peluang ini, seperti Bacaan Kedua memberitahu kita hari ini, untuk mengubah kehidupan kita dan " saatnya telah tiba bagi kamu untuk bangun dari tidur sebab sekarang keselamatan sudah lebih dekat; marilah kita menanggalkan perbuatan-perbuatan kegelapan dan mengenakan perlengkapan senjata terang! Marilah kita hidup dengan sopan, seperti pada siang hari."

Sepanjang tahun ini, kita perlu bertanya kepada diri kita dengan teliti dan jujur: ​​sudahkah kita berubah dan menjadi orang yang lebih baik? Adakah kita menjadi lebih dekat kepada Allah? Adakah kita belajar untuk menjadi lebih pengampun dan penyayang? Adakah kita belajar untuk menjadi lebih sabar, terutama terhadap keluarga kita, orang tersayang, orang tua, dan sebagainya? Jika kita gagal dalam salah satu atau yang lain untuk memperbaiki diri dalam mana-mana bahagian ini dan banyak lagi, marilah kita bangun dan mengambil kira/menitik berat kehidupan kita.

Yesus memberi amaran kepada kita dalam Injil hari ini untuk "berjaga-jagalah, sebab kamu tidak tahu pada hari mana Tuhanmu datang" dan kita "siap sedia, kerana Anak Manusia datang pada saat yang tidak kamu duga." Adakah kita akan membiarkan diri kita terperangkap di luar pengawalan? Atau adakah kita telah membuat persiapan rohani untuk bertemu dengan Allah kita yang penyayang?

Janganlah kita melepaskan banyak peluang yang diberikan kepada kita untuk berkembang secara rohani, supaya kita tidak mendapati diri kita ketinggalan dan hanya diri kita untuk dipersalahkan.

Sabtu, 19 Disember 2015

Minggu Adven Ke-4 Tahun C

Sebagai manusia, saya percaya ramai memerlukan atau menginginkan kedamaian, kedamaian bukan sahaja dalam keluarga, masyarakat serta dunia, tetapi juga dalam diri kita sendiri. Tetapi realitinya, kita hidup dalam dunia di mana konflik dan salah faham menjadi sebahagian daripada kehidupan. Dalam peredaran masa, kita seolah-olah melihat semakin banyak keganasan, kebencian dan peperangan, serta masalah yang juga berlaku bukan sahaja dalam masyarakat tetapi juga dalam keluarga kita sendiri. Sesetengah daripada kita mungkin mula berfikir bahawa kedamaian hanya sekadar mimpi atau ilusi, dan tidak boleh dicapai.

Tetapi marilah kita bertanya kepada diri kita sendiri dengan ikhlas: Adakah kita benar-benar memahami apa makna damai? Damai bukan sekadar ketiadaan keganasan dan konflik. Damai wujud walaupun di antara konflik, memandangkan kedamaian bukan sahaja berdasarkan pada apa yang kita alami secara luaran tetapi sesuatu yang perlu berakar umbi dalam hati kita. Jika tidak ada kedamaian di dalam hati kita, kita tidak boleh mengalami ketenangan di luar diri kita sendiri. Kita mengalami konflik di dalam hati kita, hanya disebabkan kita sentiasa mahu mempunyai sesuatu menurut cara kita, dalam erti kata lain, kita mahu berada dalam kawalan. Masalah dengan perkara yang kita mahu mengikut cara kita ialah kadang kala kita tidak pernah mampu mengawal keadaan. Apabila kita tidak mendapatkan sesuatu dengan cara kita, kita berasa tidak gembira dan akan rasa tidak damai dalam hati kita. Satu-satunya cara di mana kita boleh mencari kedamaian adalah dengan membenarkan Tuhan mengawal kehidupan kita. Dalam bacaan kedua, kita diingatkan Kristus, yang datang untuk mematuhi kehendak Allah Bapa. Apabila kita menyedari bahawa cara Tuhan bukan cara kita, dan kita bersedia untuk menyerahkan hidup kita kepada Tuhan, maka kita akan rasa damai di dalam hati kita.

Jadi bagaimana kita mula mempunyai damai atau memulakan kedamaian? Salah satu cara yang terdapat dalam Al-Kitab hari ini: dengan menawarkan dan menerima hospitaliti. Apabila kita menawarkan hospitaliti kepada satu sama lain seperti Maria dan Elisabet menawarkan hospitaliti dan persahabatan antara satu sama lain, tercetus kedamaian. Apabila kita menolak untuk menawarkan hospitaliti kepada orang lain atau apabila kita menolak hospitaliti yang diberikan oleh orang lain, ini menyebabkan kedamaian menjadi kurang. Kita tidak memerlukan perkara besar atau menunggu peristiwa besar supaya kedamaian mengambil tempat. Kedamaian boleh menjadi satu kemungkinan pada hari ini, tatkala kita sanggup memberi atau mudah menerima suatu kata galakan yang ringkas, suatu perbuatan baik, suatu tawaran kasih sayang berbentuk bantuan. Kedamaian bermula apabila setiap seorang daripada kita percaya kita boleh membuat perbezaan, bermula dengan diri kita sendiri, dan kita dengan rendah diri serta sedia membiarkan Tuhan bantu dan menjadi panduan, seperti bacaan pertama mengingatkan kita: "Dia menjadi damai sejahtera."

Sesetengah daripada kita mungkin berasa terharu, berfikir bahawa kita hanya seorang insan. Mungkin ada yang bertanya, apa yang boleh seorang insan lakukan. Apa yang penting diperhatikan di sini ialah kita tidak perlu bimbang atau risau. Kita boleh membuat perbezaan, terutamanya apabila kita membenarkan Tuhan mengambil alih kehidupan kita, apabila kita bersedia untuk menyerahkan kehidupan kita kepada-Nya. Apabila kita melakukannya, kita akan menjumpai kedamaian, walaupun di antara masalah dan rintangan. Dalam kita bersedia untuk mengalu-alukan Yesus, Putera Damai kita, menjelang Krismas ini, marilah kita terus berharap dengan jagaan serta rezeki Allah, dan mengalami kedamaian sejati yang hanya Dia boleh beri.

Sabtu, 12 Disember 2015

Minggu Adven Ke-3 Tahun C

Krismas menjelang tiba tidak lama lagi dan ramai di antara kita mungkin semakin riang, mudah-mudahan bukan disebabkan hadiah yang akan diterima tidak lama lagi, tidak juga kerana makanan yang lazat dan minuman yang boleh kita rasa dan nikmati, tetapi kerana Tuhan sudah dekat dan keselamatan kita semakin hampir. Ini ditekankan Santo Paulus dalam bacaan kedua, di mana dia memberitahu kita: "Bersukacitalah senantiasa dalam Tuhan! Sekali lagi kukatakan: Bersukacitalah! Hendaklah kebaikan hatimu diketahui semua orang. Tuhan sudah dekat!" Menunggu kedatangan Tuhan tidak bermakna kita harus duduk begitu sahaja atau malas, tetapi kita perlu mengambil tindakan dan mengalami suatu pertaubatan. Kumpulan-kumpulan orang yang berbeza dalam Al-Kitab hari ini telah bertanya kepada Yohanes, Pembaptis apa yang mereka perlu lakukan, dan katanya kepada mereka dan kita juga, kita perlu berkongsi dengan orang-orang yang miskin; adil dan saksama dalam urusan kita; menahan diri daripada ugutan dan peras ugut untuk memperoleh apa yang kita mahu; dan berpuas hati dengan apa yang kita ada. Ini bermakna, sementara kita menanti kedatangan Kristus, kita tidak boleh menyendiri, mementingkan diri sendiri atau tamak dan hanya memikirkan tentang diri kita sendiri atau keperluan dan kemahuan kita sendiri. Sebaliknya, kita sebagai orang Kristian dipanggil untuk mendahulukan orang lain sebelum diri kita sendiri.

Namun kadangkala, sebahagian daripada kita mendapati sukar untuk bermurah hati atau untuk berkongsi. Kita keberatan untuk berkongsi, mungkin disebabkan kita bimbang bahawa mungkin ia tidak cukup untuk kita. Di mana ini sekali lagi Santo Paulus mengingatkan kita "janganlah hendaknya kamu khuatir tentang apapun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus." Ini bermakna Allah akan menjaga kita dan menjadi rezeki kita, dan kita akan sentiasa ada cukup, kerana Allah dapat memenuhi keinginan setiap hati kita, mengisi kekosongan di dalam hati kita, dan memuaskan keinginan kita yang tidak terhingga. Hanya Tuhan yang dapat menjadi sumber kegembiraan kita yang kekal.

Oleh itu marilah kita membenarkan Tuhan mengisi kehidupan kita dengan kasih-Nya, kegembiraan dan keamanan. Dalam bacaan pertama, nabi Zefanya mengingatkan kita bahawa Tuhan kita adalah "pahlawan yang memberi kemenangan. Ia bergirang kerana engkau dengan sukacita, Ia membaharui engkau dalam kasih-Nya, Ia bersorak-sorak kerana engkau dengan sorak-sorai, seperti pada hari pertemuan raya." Apabila kita menjadikan Tuhan sebagai pusat kehidupan kita, tiada apa yang boleh merampas kegembiraan kita sebagai anak lelaki-Nya dan anak perempuan-Nya. Marilah kita membawa kegembiraan ini juga kepada semua orang yang kita temui, supaya semua orang mengalami kegembiraan yang sebenar dan bersyukur kepada Allah.

Sabtu, 5 Disember 2015

Minggu Adven Ke-2 Tahun C

Antara kita, ada yang pernah menggunakan perkataan "kebahagiaan" dan "kegembiraan" terlalu kerap, sehingga maksudnya mungkin telah hilang dalam terjemahan. Sebenarnya, terdapat perbezaan yang besar antara kegembiraan dan kebahagiaan. Anda boleh mengalami kegembiraan tanpa rasa bahagia, tetapi anda tidak boleh mengalami kebahagiaan tanpa gembira. Kebahagiaan adalah perasaan yang berubah dengan emosi yang kita ada dalam sehari, tetapi kegembiraan adalah keadaan berterusan yang kita pilih. Kebahagiaan adalah satu ekspresi perasaan luaran di dalam diri kita, manakala kegembiraan adalah kedamaian dalaman dan kepuasan yang diekspresi melalui tindak balas dan reaksi kita. Jadi, walaupun kita mungkin mengalami ujian dan penderitaan dalam kehidupan iman kita, kita masih boleh mengalami kegembiraan yang sebenar atau sempurna, yang dikenali sebagai kegembiraan orang Kristian, sebagai bacaan kedua memberitahu kita, Allah "yang memulai pekerjaan yang baik di antara kamu, akan meneruskannya sampai pada akhirnya pada hari Kristus Yesus." Ia adalah kegembiraan berdasarkan apa yang Allah boleh lakukan dan bukannya apa yang kita boleh capai.

Kegembiraan orang Kristian merupakan suatu pilihan, suatu keputusan berdasarkan iman dan harapan, dengan sedar bahawa Allah tidak akan meninggalkan kita, tidak kira apa yang berlaku. Tuhan tidak menjanjikan kepada kita kehidupan yang senang, tetapi Allah akan bersama kita pada setiap masa, dan Allah setia pada apa yang telah dijanjikan. Dalam Al-Kitab hari ini, kita membaca satu janji yang dipenuhi itu, di mana "Semua orang akan melihat keselamatan yang dari Tuhan." Yesus adalah keselamatan yang dari Tuhan, yang dijanjikan sejak dahulu dan Dia adalah sumber kegembiraan dan harapan kita. Jika kita percaya bahawa Yesus adalah keselamatan kita, maka kita harus kekal gembira, dan tidak hidup seolah-olah kita dikalahkan atau mangsa tragedi. Walaupun kita boleh melalui kegagalan, mengalami kesakitan, kekecewaan, cabaran dan menghadapi pelbagai kesukaran atau masalah lain, kegembiraan kita terletak pada pengetahuan yang Allah telah mendapat kemenangan untuk kita. Kita mungkin tidak boleh melihat tanda-tanda kemenangan Allah pada masa ini, tetapi ia ada di sana. Ini adalah janji Allah dan Dia sentiasa setia.

Oleh itu, kita tidak boleh hanya duduk dan merajuk atau tidak melakukan apa-apa. Kita perlu menjalankan tugas kita. Kita mesti menyediakan jalan untuk TUHAN, dengan memiliki suatu perubahan dalam kehidupan kita. Santa Paulus dalam bacaan kedua berdoa agar "semoga kasihmu makin melimpah dalam pengetahuan yang benar dan dalam segala macam pengertian, sehingga kamu dapat memilih apa yang baik, supaya kamu suci dan tak bercacat menjelang hari Kristus, penuh dengan buah kebenaran yang dikerjakan oleh Yesus Kristus untuk memuliakan dan memuji Allah." Ini seharusnya juga merupakan doa kita. Semoga kita membesar dan menjadi semakin gembira bersama Tuhan, dan berkongsi kegembiraan ini dengan semua orang kita temui.

Sabtu, 28 November 2015

Minggu Adven Pertama Tahun C

Setiap tahun, ramai di antara kita akan menyambut tahun baru untuk mengingat dan bersyukur kepada Allah atas segala nikmat daripada tahun lepas dan juga mengambil kesempatan mendoakan tahun depan yang lebih baik. Tetapi bacaan dan Injil hari ini seolah-olah memberikan kita cara yang berbeza bagaimana orang Kristian harus meraikan tahun baru. Apakah bezanya cara tersebut? Bezanya ialah kita menyambut tahun baru bukan dengan melihat pada masa lalu atau tahun berikutnya tetapi memberi tumpuan pada akhir zaman atau dunia akhirat. Ia seolah-olah pelik bagi kita memberi tumpuan kepada akhir zaman, jadi mengapa kita perlu berbuat demikian, kerana sesetengah orang mungkin mendapati akhir zaman satu topik yang tidak begitu menyenangkan?

Al-Kitab pada hari ini nampaknya memberikan kita gambaran menakutkan mengenai dunia akhirat: "Dan akan ada tanda-tanda pada matahari dan bulan dan bintang-bintang, dan di bumi bangsa-bangsa akan takut dan bingung menghadapi deru dan gelora laut. Orang akan mati ketakutan kerana kecemasan berhubung dengan segala apa yang menimpa bumi ini, sebab kuasa-kuasa langit akan goncang." Bagi sesetengah orang, bencana alam mungkin kelihatan menakutkan atau ngeri, tetapi sains telah menunjukkan kepada kita bahawa bencana alam bererti bahawa bumi sedang berkembang dan berevolusi, yang merupakan tanda-tanda kehidupan dan bukannya kematian. Planet yang tidak lagi mempunyai bencana alam seperti gempa bumi, ribut, atau gunung berapi tiada kehidupan, dalam erti kata lain, tidak bernyawa. Yesus memberikan contoh-contoh seperti dari bencana alam untuk menggambarkan dunia akhirat dan memberitahu kita bahawa sesuatu yang baru bakal mengambil tempat. Ini bermakna, dari sudut pandangan ini, kita harus melihat dunia akhirat sebagai satu sambutan penuh harapan dan bukannya ketakutan.

Sebahagian daripada kita mungkin tertanya-tanya: bila dan bagaimana semua ini akan berlaku? Bila dan bagaimana tidak penting, tetapi apa yang kita harus lakukan sebagai persediaan untuk keadaan sedemikian hendaklah menjadi tumpuan kita. Sebagai permulaan, walaupun terdapat kekeliruan dalam kehidupan kita, walaupun perkara berlaku tidak mengikut perancangan, tiada siapa pun yang harus berputus asa, kerana Yesus mengingatkan kita: Apabila semuanya itu mulai terjadi, bangkitlah dan angkatlah mukamu, sebab penyelamatanmu sudah dekat." Malah, kita mungkin terdorong untuk melarikan diri atau mencari alasan atau penyelesaian lain apabila berhadapan dengan masalah dan cabaran di dunia, tetapi kita sepatutnya berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada dan bersedia, kerana Yesus mengingatkan kita: "Jagalah dirimu, supaya hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingan-kepentingan duniawi dan supaya hari Tuhan jangan dengan tiba-tiba jatuh ke atas dirimu seperti suatu jerat." Selain itu, kita mesti "berjaga-jaga dan berdoa." Ini bermakna bahawa kita mesti mengambil serius perkembangan kerohanian kita, seperti Santo Paulus dalam bacaan kedua mengesa agar setiap dan tiap-tiap seorang daripada kita untuk terus memperkembangkan kehidupan iman kita.

Maka, apa maknanya kepada kita? Ini bermakna bahawa kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan kita dan berfikir bahawa kita mempunyai banyak masa untuk berkembang lebih dekat dengan Tuhan. Sebaliknya, kita harus konsisten dan berterusan dalam usaha kita untuk memperkembangkan kehidupan rohani kita dan dalam hubungan kita dengan Allah dan dengan orang lain, seperti Santo Paulus menasihati kita dalam bacaan kedua: "Akhirnya, saudara-saudara, kami minta dan nasihatkan kamu dalam Tuhan Yesus: Kamu telah mendengar dari kami bagaimana kamu harus hidup supaya berkenan kepada Allah. Hal itu memang telah kamu turuti, tetapi baiklah kamu melakukannya lebih bersungguh-sungguh lagi." Semoga kita melakukan yang terbaik dan berjaga-jaga dan bersedia, dengan harapan dan keyakinan bahawa Allah akan menjadi takdir dan panduan kita.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...