Memaparkan catatan dengan label Kudus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kudus. Papar semua catatan

Khamis, 1 November 2018

Hari Para Kudus

Hari ini kita merayakan Hari Para Kudus. Kita berterima kasih kepada Allah untuk ramai lelaki dan wanita, muda dan tua, yang melalui kehidupan mereka menunjukkan kepada kita bagaimana untuk berusaha menuju kekudusan. Sesetengah kita, barangkali, mungkin berfikir bahawa kita tidak cukup baik atau mampu untuk menjadi seorang kudus. Poinnya, kita semua dipanggil untuk menjadi orang kudus dalam pelbagai cara. Mungkin bacaan Ibrani 12 akan membantu.

Sekiranya kita membaca Ibrani 12, kita akan menemui dari awal bahawa "Karena kita mempunyai banyak saksi, bagaikan awan yang mengelilingi kita, marilah kita menanggalkan semua beban dan dosa yang begitu merintangi kita, dan berlomba dengan tekun dalam perlombaan yang diwajibkan bagi kita. Marilah kita melakukannya dengan mata yang tertuju kepada Yesus, yang memimpin kita dalam iman, dan yang membawa iman kita itu kepada kesempurnaan, " Kita juga diingatkan bahawa "janganlah anggap enteng didikan Tuhan, dan janganlah putus asa apabila engkau diperingatkan-Nya; karena Tuhan menghajar orang yang dikasihi-Nya, dan Ia menyesah orang yang diakui-Nya sebagai anak." Para kudus merupakan awan besar saksi yang mengelilingi kita, bersorak-sorai untuk kita, menggalakkan kita. Di pihak kita, kita perlu:

1. Menanggalkan segala beban dan dosa yang merintangi kita

2. Tekun dalam perlumbaan

3. Tujukan mata kita kepada Yesus

4. Menjalani percubaan anda sebagai "disiplin"

Adakah kita dapat pergi dan berusaha ke arah kesucian dan menjadi orang kudus dengan bantuan Allah? Atau adakah kita masih rasa kasihan pada diri, enggan membiarkan Allah kita yang pengasih mengubah kita?

Jumaat, 8 Jun 2018

Hati Kudus Yesus

Di antara banyak organ di dalam badan kita, jantung adalah antara organ yang terpenting. Otak anda dan organ lain mungkin gagal, tetapi anda akan dapat terus hidup selagi jantung anda mengepam dan mengalirkan darah ke bahagian lain badan anda. Apabila jantung anda berhenti, anda akan mati. Jantung juga biasa digunakan sebagai simbol kasih cinta.Tetapi jenis kasih cinta yang kita lafazkan adalah tidak sempurna, berbanding dengan jenis kasih cinta yang Allah punyai untuk kita.

Dalam bacaan pertama hari ini, kita melihat seorang Allah yang sangat mengasihi orang Israel dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka, walaupun mereka tidak menghargai kasih Tuhan. Walaupun Allah murka terhadap tingkah laku orang Israel, Dia menyesal dan tidak memusnahkan Israel, tatkala bacaan tersebut memberitahu kita tentang Tuhan: "Aku tidak akan melaksanakan murka-Ku yang bernyala-nyala itu, tidak akan membinasakan Efraim kembali. Sebab Aku ini Allah dan bukan manusia, Yang Kudus di tengah-tengahmu, dan Aku tidak datang untuk menghanguskan. " Begitulah magnitud dan keagungan kasih Tuhan. Begitu juga, bacaan kedua memberitahu kita tentang kasih Tuhan yang besar bagi kita, bahawa Dia telah menghantar Anak-Nya Yesus untuk menyelamatkan kita dan menguatkan kita: "menurut kekayaan kemuliaan-Nya, menguatkan dan meneguhkan kamu oleh Roh-Nya di dalam batinmu, sehingga oleh imanmu Kristus diam di dalam hatimu dan kamu berakar serta berdasar di dalam kasih. Aku berdoa, supaya kamu bersama-sama dengan segala orang kudus dapat memahami, betapa lebarnya dan panjangnya dan tingginya dan dalamnya kasih Kristus, dan dapat mengenal kasih itu, sekalipun ia melampaui segala pengetahuan. Aku berdoa, supaya kamu dipenuhi di dalam seluruh kepenuhan Allah." Selain itu, dalam Injil, kita diingatkan akan kasih Tuhan ketika Yesus disalibkan dan mati untuk menyelamatkan kita dari dosa-dosa kita.

Jika Allah sangat mengasihi kita dan bahkan menghantar Anak-Nya yang tunggal untuk menyelamatkan kita, maka bagaimanakah kita menunjukkan kasih sayang kepada orang lain di sekeliling kita? Perhatikan bahawa Allah tidak menghantar Anak-Nya hanya kepada satu kumpulan tertentu, dan Dia tidak mengasihi hanya satu kumpulan tertentu; Allah mengasihi semua orang, tanpa mengira sama ada mereka baik atau tidak. Hati Kudus Yesus adalah peringatan kepada kita bahawa kasih Tuhan tidak mempunyai batasan, dan Dia mengasihi kita semua, dan kita digalakkan, tidak dipaksa, untuk kembali kepada persahabatan-Nya dan membina hubungan yang erat dengan-Nya. Semoga kita membuka hati kita dan membiarkan Hati Kudus Yesus membimbing kita, agar kita juga dapat mengasihi orang lain seperti Yesus mengasihi kita, dan bersama-sama tumbuh sebagai saudara dan saudari dalam Kristus, satu keluarga Allah.

Ahad, 31 Disember 2017

Keluarga Kudus

Suatu ketika pada masa dahulu, sebuah keluarga biasanya terdiri daripada seorang bapa, seorang ibu, beberapa orang anak (orang pada masa itu mempunyai ramai anak), dan mungkin termasuk sanak saudara seperti datuk nenek, pakcik, makcik, sepupu dan ahli yang lain . Ramai keluarga sedemikian tinggal di dalam sebuah rumah besar, yang kita gelar sebagai rumah nenek moyang, memandangkan beberapa generasi tinggal di dalamnya. Tahun demi tahun berlalu, sesetengah ahli mungkin keluar untuk mencari kehidupan yang lebih baik di tempat lain, dan akan balik apabila berkesempatan untuk meraikan peristiwa-peristiwa penting seperti Tahun Baru Cina, Krismas, atau harijadi, atau mungkin kelahiran ahli baru. Pada masa itu, ini mungkin dianggap “biasa" atau "normal" bagi sesebuah keluarga.

Keadaan berubah, orang berhijrah, kos hidup semakin meningkat, dan orang menjadi semakin cemas mencari pekerjaan yang lebih baik termasuk peluang hidup yang lebih baik di tempat lain. Ini menyebabkan keluarga tersebar dan hidup dalam keluarga yang lebih kecil. Jarang sekali kita melihat atau mendengar tentang keluarga yang tinggal di rumah besar lagi. Malah rumah-rumah besar seperti itu jarang sekali, kerana banyak yang telah dijual dan diroboh untuk memberi jalan kepada pembangunan.

Ketika orang bertungkus-lumus membiayai kos kehidupan, hubungan antara suami dan isteri, dengan anak-anak, dan bahkan dengan sanak-saudara mungkin menjadi tegang. Orang mula menumpukan perhatian lebih kepada karier mereka, kadang-kadang dengan mengorbankan masa keluarga dan menjaga anak-anak mereka. Kita mula melihat lebih banyak keluarga yang berpecah belah, perceraian berlaku pada kadar yang membimbangkan, dan bilangan ibu bapa tunggal meningkat disebabkan oleh satu sebab atau yang lain. Keluarga, nampaknya mungkin menjadi semakin disfunsional atau "tidak normal", berbanding dengan apa yang "normal" pada masa lalu. Sebagai keluarga Kristian, apa yang kita lakukan terhadap situasi ini yang mungkin sesetengah sedang hadapi?

Hari ini, kita merayakan Perayaan Keluarga Kudus. Apabila kita melihat Keluarga Kudus, kita mendapati bahawa Keluarga Kudus tidak mungkin mengikut apa yang dianggap sebagai normal dalam keluarga biasa. Yusuf bukanlah bapa sebenar Yesus, walaupun dia telah berkahwin dengan Maria. Maria mengandung Yesus dengan cara yang luar biasa, tidak seperti wanita biasa. Maria nampaknya telah janda pada usia muda kerana tidak lagi disebutkan Yusuf selepas beberapa bab pertama Injil. Maria mungkin seorang ibu tunggal yang membesarkan Yesus dengan sendirinya. Semua ini menjadikan Keluarga Kudus kelihatan "tidak normal."

Tetapi walaupun Keluarga Kudus kelihatan "tidak normal," Keluarga Kudus juga memberi kita gambaran harapan dan model untuk dicontohi. Mengapa terjadi begitu? Keluarga Kudus menunjukkan kepada kita apa yang dimaksudkan untuk meletakkan kepercayaan dan ketergantungan kita kepada Tuhan, dan meletakkan Tuhan di tengah-tengah kehidupan kita. Yusuf menaruh kepercayaannya pada Tuhan dan mengahwini Maria, walaupun dia sedang mengandung dan anak itu bukan anaknya sebab anak itu dikandung melalui Roh Kudus. Maria menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan ketika dia berkata, "Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataanmu itu."Sekiranya Tuhan berada di tengah-tengah kehidupan keluarga kita, maka tidak kira betapa besar atau sukarnya masalah, tidak kira betapa seriusnya kesakitan yang dialami , tidak kira betapa jauhnya orang telah terjadi disebabkan satu sebab atau yang lain, Tuhan telah mengatasi semua kerana Dia telah melalui semua itu sebagai Yesus.
.
Hari ini, kita berterima kasih kepada Tuhan kerana banyak keluarga di sekeliling kita. Setiap keluarga adalah pemberian Tuhan yang berharga, dan tidak boleh dipandang ringan. Marilah kita menawarkan setiap keluarga kepada Tuhan, dan sebagai satu keluarga besar Tuhan, berusaha untuk membawa mesej kasih dan damai-Nya kepada semua.

Rabu, 1 November 2017

Hari Para Kudus

Apa dia orang kudus? Sesetengah orang berpendapat bahawa orang kudus adalah seseorang yang mempunyai kuasa istimewa, dengan kebolehan mengatasi dan melebihi insan biasa. Sesetengah orang berpendapat bahawa orang kudus merupakan seorang yang amat suci atau soleh, sentiasa berdoa dan mengajar Injil. Sesetengah orang berfikir bahawa orang kudus tidak pernah membuat kesilapan atau jarang berdosa. Ada yang berfikir bahawa orang kudus adalah seseorang yang telah melakukan perbuatan epik (heroic) atau hidup dan mati dengan cara epik. Tetapi adakah orang kudus hanya terdiri daripada kualiti, sifat, keupayaan atau kekuatan tertentu? Adakah terdapat faktor lain yang boleh dipertimbangkan dalam persamaan?

Injil hari ini memberitahu kita bahawa seseorang boleh menjadi bahagia walaupun kita mungkin menghadapi pelbagai kesukaran, masalah atau penindasan. Ia mungkin kelihatan amat sukar atau mustahil bagi kebanyakan kita insan biasa untuk menjadi gembira dalam keadaan sebegini, namun inilah perbezaan kebahagiaan kita daripada tanggapan dunia. Berdasarkan pandangan duniawi, kebahagiaan adalah untuk diri sendiri, atau mungkin untuk keluarga, orang tersayang dan rakan taulan seseorang. Tetapi dari pandangan seorang Kristian, kebahagiaan kita hakikatnya dari Allah, yang mengasihi kita semua tanpa syarat dan tiada sebarang– penyakit, kegagalan, tekanan emosi, penindasan, peperangan ataupun kematian – boleh mengambil kasih tersebut. Maka, salah satu aspek seperti orang kudus (saintliness) adalah dengan rendah diri menyedari kasih Tuhan untuk kita, dan kasihNya bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi untuk dikongsi penuh kesungguhan, bersemangat dan ikhlas dengan semua.

St. Paulus memberitahu kita dalam bacaan kedua bahawa kita adalah anak-anak yang dikasihi Allah, dan itulah identiti kita yang sebenar, sumber kegembiraan dan kekuatan kita. Bacaan kedua juga memberitahu kita bahawa kita mempunyai harapan dengan Tuhan dan melihatNya dalam keadaan-Nya yang sebenarnya, dan sebab itu kita perlu menyucikan diri dan perlu cuba menjadi seperti Kristus yang adalah suci. Jadi, aspek yang lain seperti orang kudus adalah untuk menjadi gembira dan penuh harapan, meskipun dalam ujian dan penderitaan, seperti para martir (martyrs), yang telah mencuci jubah mereka dan membuatnya putih di dalam darah Anak Domba seperti diberitahu kita dalam bacaan pertama. Kegembiraan dan harapan ini bukan untuk disimpan dalam diri kita sendiri, tetapi untuk disaksikan semua, agar kemuliaan diberikan kepada Allah.

Jika kita lihat pada beberapa aspek seperti orang kudus yang disebut, kita mula sedar bahawa tidak sukar atau mustahil untuk menjadi seorang kudus. Apa yang penting ialah kita belajar untuk berkembang dalam keimanan dengan rendah diri dan bergantung pada kasih, penjagaan dan rezeki Tuhan, serta belajar untuk mengasihi orang lain seperti Tuhan mengasihi kita tanpa syarat. Kita tidak dapat berkembang dalam keimanan dengan penuh suci dan lebih dekat kepada Allah dalam semalaman. Ia memerlukan masa, kesabaran, banyak usaha serta rendah diri dan keceriaan. Akhirnya, kita bergantung pada rahmat, kekuatan dan kuasa kasih Allah untuk mengubah kita, demi kemuliaanNya yang lebih besar.

Jumaat, 23 Jun 2017

Hati Kudus Yesus

Apakah itu Hati Kudus Yesus? Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengurniakan Anak-Nya yang tunggal, Yesus, untuk menyelamatkan kita. Terdapat pelbagai cara yang digunakan Yesus bagi menerangkan atau menunjukkan kasih Allah bagi kita, tetapi mungkin salah satu cara yang ketara untuk memberitahu kita tentang kasih Allah untuk kita adalah hati, iaitu simbol kasih bagi manusia. Dia memberitahu kita bahawa kita perlu belajar daripada-Nya sebab Dia lemah lembut dan rendah hati dan kita akan mendapat ketenangan untuk jiwa kita.

Orang tahu hati Yesus lemah lembut dan rendah hati serta mereka tahu bahawa ia adalah kasih tanpa syarat untuk mereka. Nelayan biasa meninggalkan bot dan pukat mereka untuk mengikut-Nya. Doktor yang berpendidikan tinggi duduk pada kaki-Nya untuk mendengar kebijaksanaan-Nya. Seorang pemungut cukai meninggalkan meja wangnya untuk menjadi pengikut-Nya. Ramai yang mengikut Dia selama beberapa hari, begitu tertawan sehingga lupa untuk menyediakan makanan untuk dimakan. Orang sakit berasak-asak meredah orang ramai hanya untuk menyentuh kelepet jubah-Nya. Dan mereka semua mendapat kedamaian dan ketenteraman untuk jiwa mereka.

Hati Kudus Yesus merupakan lambang kesetiaan kasih Tuhan. Ia mengingatkan kita bahawa Tuhan mengasihi kita tanpa syarat dengan kasih yang kita tidak boleh peroleh atau pernah layak. Dan Dia mengasihi kita seperti kita seadanya, bukan seperti yang kita perlu jadi, atau mungkin perlu jadi.

Jumaat, 30 Disember 2016

Keluarga Kudus

Keluarga hari ini berada di bawah ancaman yang serius. Kita melihat banyak dan semakin banyak keluarga menjadi retak. Kita melihat komunikasi bersemuka kurang mengambil tempat; suami dan isteri tidak bercakap antara satu sama lain; kanak-kanak tidak bercakap dengan ibu bapa atau adik-beradik mereka. Daripada bercakap, mereka lebih suka pada teks dan menghantar mesej, kerana mereka menjadi lebih dan semakin bergantung pada telefon pintar, WhatsApp, Facebook serta gadjet dan "gizmos" lain untuk berkomunikasi. Kita melihat peningkatan besar dalam kadar perceraian, kerana sesetengah orang tidak bahagia dalam perkahwinan mereka dan sebalik mencari bantuan atau berusaha untuk mengekalkan perkahwinan mereka, mereka pergi tempat lain untuk mencari cinta dan ketenangan. Kita melihat kanak-kanak ditinggalkan bersendirian di rumah atau di bawah jagaan datuk dan nenek, pembantu rumah atau pengasuh, kerana ibu bapa bekerja lewat atau memilih hidup di luar dan menikmati kehidupan mereka. Kita melihat ibu bapa yang tua ditinggalkan atau ditempatkan di rumah penjagaan dan jarang dikunjungi, kerana sesetengah orang mendapati sukar untuk menjaga mereka (walaupun ibu bapa kita telah membuat pengorbanan untuk menjaga kita tatkala kita masih kecil, sebahagian daripada kita tidak sanggup untuk melakukan perkara yang sama apabila mereka sudah tua). Sesetengah ibu bapa telah pun berputus asa atau tidak mempunyai kesabaran untuk mengajar anak-anak mereka, lebih suka untuk mencuci tangan mereka, lepas tangan (membiarkan orang lain melakukan kerja-kerja kotor mereka) dan menolak tanggungjawab mereka kepada orang lain.

Semua ini mungkin kedengaran seakan situasi yang tiada harapan. Adakah ini bermakna bahawa tidak ada harapan untuk keluarga orang Kristian? Adakah keluarga orang Kristian musnah? Tidak. Masih ada harapan, jika kita bersedia untuk menjadikan Allah dan iman kita pusat kehidupan kita semula. Hari Raya Keluarga Kudus, yang kita raikan hari ini, mengingatkan kita bahawa tidak ada istilah tiada harapan. Keluarga Kudus bukan keluarga yang sempurna. memandangkan mereka juga mempunyai masalah mereka; tetapi apa yang membezakan mereka daripada keluarga lain adalah kepercayaan mereka kepada Allah. Mereka faham bahawa sebuah keluarga tidak akan dapat benar-benar berkembang sebagai sebuah keluarga, tanpa Allah menjadi pusat. Apabila kita menjadikan Allah pusat kehidupan kita, adakah ini bermakna kita tidak akan mempunyai apa-apa masalah?Tidak. Tetapi kita tahu bahawa Allah akan menjaga kita dan tidak meninggalkan kita. Masalah yang kita hadapi menjadi lebih mudah untuk diurus, memandangkan Allah berada dalam kawalan.

Hari ini, kita bersyukur kepada Allah bagi ramai keluarga di sekeliling kita. Setiap keluarga adalah hadiah berharga daripada Allah, dan tidak harus dipandang ringan. Marilah kita mempersembahkan setiap keluarga kepada Allah dan berdoa agar setiap keluarga akan lebih berusaha untuk membiarkan Tuhan menjadi pusat kehidupan mereka. Apa sahaja halangan dan masalah yang kita hadapi dalam kehidupan kita dan di dalam keluarga kita, janganlah kita berputus asa atau menyerah. Marilah kita membiarkan Tuhan berada dalam kawalan di dalam keluarga kita, supaya dengan bantuan dan bimbingan-Nya, kita akan dapat melakukan dan mencapai semua perkara demi kemuliaan-Nya.

Jumaat, 3 Jun 2016

Hati Kudus Yesus

Bolehkah anda melihat kasih? Sudah tentu kita tidak boleh melihat kasih, jadi kita menggunakan simbol yang umum untuk mewakilinya, iaitu sebentuk hati/jantung. Apabila kita mengatakan seseorang mempunyai "berhati emas" , ia bermakna bahawa orang tersebut tidak mementingkan diri sendiri dan penyayang. Apabila kita bercakap dari hati ke hati dengan seorang kawan, kita menunjukkan keprihatinan yang mendalam dan mengambil berat terhadap seseorang yang kita kasihi. Apabila kita berkata , "mempunyai hati, " kita meminta seseorang agar menjadi lebih bertimbang rasa dan penyayang. Hati/jantung juga boleh dijelaskan dalam pelbagai aspek. Dari aspek santifik dan perubatan, ia adalah satu organ penting. Bila jantung berhenti sepenuhnya, semudah itu kita mati. Dari segi psikologi , hati itu dilihat sebagai pusat emosi dan perasaan. Dari segi moral, hati adalah punca kebaikan atau kejahatan, kerana dari hati alirnya kata-kata dan tindakan yang memberitahu kita sama ada apa yang dikatakan atau dilakukan itu baik atau buruk.

Hari ini kita meraikan Hari Raya/Pesta Hati Kudus Yesus. Hati Kudus Yesus yang kita lihat pada gambar adalah simbol yang mengingatkan kita kepada kasih ilahi Tuhan , kasih yang paling besar sekali. Hati Kudus Yesus terbakar dengan kasih, berseri-seri dengan kasih, terluka dengan kasih bagi kita setiap seorang. Imej Hati Yesus memfokus pada pengorbanan diri Yesus Kristus untuk kita. Imej Hati Kudus Yesus inilah yang mengingatkan kita bahawa Yesus adalah gembala kita, yang sentiasa menyeru kepada kita, orang berdosa, untuk kembali kepada-Nya.

Injil hari ini memberitahu kita bahawa apabila orang berdosa kembali kepada Yesus," Akan ada sukacita di syurga kerana satu orang berdosa yang bertaubat, lebih dari pada sukacita kerana sembilan puluh sembilan orang benar yang tidak memerlukan pertaubatan." Hati Kudus Yesus memanggilkan kita untuk " mempunyai hati " (berniat) dan kembali kepada Yesus , supaya kita terus hidup. Semoga kita berusaha untuk menjadi lebih dekat dengan Hati Kudus Yesus , dan membiarkan hati Yesus menyembuhkan kita, dan mengubah kita , supaya dalam semua yang kita katakan dan lakukan, kita akan memuliakan Tuhan.

Ahad, 27 Disember 2015

Keluarga Kudus

Di mana kita memperoleh sebahagian besar pendidikan kita? Sesetengah orang mungkin berkata dari tadika. Yang lain mungkin mengatakan dari sekolah rendah atau sekolah menengah. Mungkin juga ada yang mengatakan di kolej atau universiti. Walau bagaimanapun, semua bentuk pendidikan hanya dapat memberi manfaat kepada kita jika kita telah belajar asas-asas, yang (diharapkan) diajar kepada kita di rumah, pada usia yang amat muda. Di dalam keluargalah kita belajar untuk menjadi seorang insan, warganegara, seorang Kristian, dan anak Allah.

Namun, institusi keluarga berada dalam kedudukan tergugat. Kita melihat semakin banyak keluarga mengalami keretakan. Kita melihat kurangnya komunikasi; suami dan isteri tidak bercakap antara satu sama lain; kanak-kanak tidak bercakap dengan ibu bapa atau adik-beradik mereka. Kita melihat kadar perceraian semakin meningkat, kerana sesetengah orang tidak bahagia dalam perkahwinan mereka dan beralih ke tempat lain mencari cinta dan keselesaan. Kita melihat kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di rumah atau di bawah jagaan datuk dan nenek, pembantu rumah atau pengasuh, kerana ibu bapa bekerja sehingga lewat malam atau memilih untuk hidup dan menikmati kehidupan mereka di luar. Kita lihat ibu bapa yang tua terbiar atau ditempatkan di rumah penjagaan dan jarang dikunjungi, kerana sesetengah orang berpendapat sukar untuk menjaga ibu bapa mereka (ia seolah-olah pelik dan malang bahawa ibu bapa kita telah membuat pengorbanan untuk menjaga kita apabila kita masih kecil, tetapi sebahagian daripada kita tidak sanggup untuk melakukan perkara yang sama apabila mereka sudah tua). Malah, ada sesetengah ibu bapa putus asa atau tidak mempunyai kesabaran untuk mengajar anak-anak mereka, lebih suka untuk "membasuh tangan"/ lepas tangan dan "membiarkan orang lain melakukan kerja-kerja kotor mereka"/menolak tanggungjawab mereka kepada orang lain. Saya pernah terdengar perbualan sepasang ibu bapa dengan seorang guru. Mereka meminta guru untuk mengawal anaknya yang sangat "nakal." Guru itu berkata: "Jika anda tidak dapat mengawal anak anda di rumah, di mana anda melihat dia setiap hari selama beberapa jam, bagaimana anda mengharapkan saya untuk mengawal dia, apabila saya melihat dia hanya dua kali seminggu selama 30 minit setiap kali?"

Semua ini mungkin kedengaran seperti suatu situasi yang tiada harapan. Tetapi mungkin tidak, jika kita bersedia untuk menjadikan Allah dan iman kita sebagai pusat kehidupan kita semula. Hari Raya Keluarga Kudus, yang kita raikan hari ini, mengingatkan kita bahawa tiada situasi putus asa. Keluarga Kudus bukan sebuah keluarga yang sempurna. Mereka juga mempunyai masalah mereka. Tetapi apa yang membezakan mereka daripada keluarga lain adalah percaya kepada Allah. Mereka faham bahawa sebuah keluarga bukan sebuah keluarga yang sebenar tanpa menjadikan Allah sebagai pusat. Adakah ini bermakna bahawa apabila kita menjadikan Allah pusat hidup kita, kita tidak akan mempunyai sebarang masalah? Tidak. Tetapi kita tahu bahawa Allah akan menjaga kita dan tidak meninggalkan kita. Masalah yang kita hadapi menjadi lebih mudah diurus, jika kita membiarkan Tuhan mengawal dan membantu kita, sebab Dia tidak akan meninggalkan kita.

Apa sahaja halangan dan masalah yang kita hadapi dalam kehidupan kita dan di dalam keluarga kita, janganlah kita putus asa atau menyerah kalah. Tuhan boleh dan akan membantu kita. Persoalannya ialah adakah kita cukup rendah diri untuk berjalan mengikut jalan-Nya dan membenarkan Dia membimbing kita dan keluarga kita? Adakah kita menawarkan diri dan keluarga kita kepada Allah, supaya Dia boleh mengubah kita menjadi sesuatu yang lebih baik?

Ahad, 1 November 2015

Hari Para Kudus

Siapakah seorang santo? Sesetengah orang menganggap para santo adalah mereka yang istimewa atau cemerlang dalam menjalani kehidupan suci, melakukan mukjizat yang menakjubkan atau perbuatan besar yang soleh seperti berdoa dalam masa yang lama, menahan penderitaan yang hebat untuk Kristus dan hidup tanpa dosa. Tetapi ini bukan sebenarnya ciri seorang santo, memandangkan kita terlalu memperbesarkan ciri baik para santo, sehingga lupa bahawa mereka juga mempunyai kelemahan. Jadi bagaimana seorang santo menjadi santo?

Santo menjadi "santo" berdasarkan keupayaan dan keterbukaan mereka untuk berhubung dengan ciri kemanusiaan masing-masing, dan berusaha untuk kekal suci sebagai manusia. Ucapan-ucapan dalam Al-Kitab hari ini memberi kita gambaran indah apa yang dimaksudkan untuk menjadi manusia dan menjadi suci: dengan menggambarkan orang-orang yang bahagia, diberkati, suci dan berhubung dengan kesakitan, kelemahan dan batasan mereka. Ini mengingatkan kita bahawa para santo adalah miskin di hadapan Allah, kerana mereka mengiktiraf kelemahan dan kekurangan mereka sendiri dan oleh itu mereka memerlukan Allah; mereka adalah orang-orang yang lemah lembut dan bukan ganas; mereka menegak keadilan dengan tidak berdiam diri tetapi berjuang terutamanya bagi golongan miskin, terpinggir dan orang-orang yang tidak mempunyai suara mereka sendiri; mereka mampu untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain kerana mereka juga telah menerima belas kasihan dari Allah; mereka mempunyai hati yang suci, kerana mereka tidak mempunyai agenda tersembunyi; dan mereka juga "pejuang keamanan" dalam dunia yang ganas dan penuh dendam.

Apa makna ini kepada kita semua? Ini bermakna bahawa setiap daripada kita dipanggil untuk menjadi santo. Kita dipanggil untuk mengenali kemiskinan kita, kelemahan kita, kesakitan kita, keperluan kita untuk belas kasihan, hasrat kita untuk keamanan dan keadilan, dan keperluan kita kepada Allah.Ia tidak mustahil untuk menjadi santo, semua yang perlu kita lakukan adalah untuk menjadi konsisten, rendah diri dan bersedia untuk menjalani kehidupan seperti yang dijanjikan Kristus, dan membiarkan Allah membantu dan membimbing kita.

Jumaat, 2 Oktober 2015

Peringatan Malaikat Penjaga Yang Kudus:

Pernahkah anda bertemu dengan malaikat? Ada di antara kita yang mungkin telah terpengaruh oleh gambar-gambar malaikat yang kelihatan comel, mempunyai sayap, terbang ke sana ke sini. Tapi, adakah malaikat serupa ini? Di dalam Al Kitab, kita telah membaca di beberapa bahagian petikan yang memberitahu kita bahawa malaikat tidaklah secomel yang disangkakan. Sebenarnya, petikan-petikan tersebut mengambarkan kepada kita bahawa malaikat adalah sangat menakutkan untuk dilihat dan mereka sentiasa berkata: "Janganlah takut." Sudah tentu ianya bukan sesuatu yang ramai di antara kita ingin ketemu.

Tetapi, pembacaan hari ini memberi kita sesuatu yang kita dapat memberi kesyukuran dan untuk difikirkan. Di dalam pembacaan hari ini, kita diingatkan: "Aku akan mengutus malaikat Ku mendahului kamu untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan. Dengarkanlah dan taatilah dia. Jangan berontak terhadap dia kerana dia utusan Ku. Dia tidak akan mengampunkan pemberontakan yang demikian. Tetapi jika kamu taat kepadanya dan melakukan segala perintah Ku, Aku akan berperang menentang semua musuh kamu. Malaikat Ku akan mendahului kamu." Ini bermakna, setiap seorang kita, samada kita sedar ataupun tidak, mempunyai malaikat penjaga untuk menjaga kita. Kadangkala, malaikat penjaga akan mengusik hati sanubari kita dan memberi amaran kepada kita apabila kita hampir melakukan dosa, tetapi ia terpulang kepada kita samada kita akan mengelakkan godaan itu. Juga, kita mungkin telah beberapa kali mengalami keadaan di mana malaikat penjaga telah mengelakkan sesuatu malapetaka berlaku kepada kita. Inilah sebabnya kita harus bershyukur kepada Tuhan atas anugerah malaikat penjaga yang dikurniakanNya kepada kita, dan marilah kita berikhtiar untuk mengelakkan diri dari melakukan dosa, dan pelajari untuk hidup di dalam pelukan kasih dan kurniaNya.

Oh, Malaikat Tuhan, penjagaku yang disayangi, kepadamu diamanatkan kasihNya kepada ku, selalulah berada di sisiku, menyuluhi dan mengawal, memerintah dan membimbing, Amin.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...