Jumaat, 9 Oktober 2015

Jumaat Minggu Biasa Ke 27 Tahun 1

Pernahkah kamu berhenti sejenak untuk memikirkan tentang apa akan berlaku kepada kamu jika kamu cemburu, terutamanya jika kamu membenarkan perasaan itu membarah dan mengawal kamu? Ada yang akan terpegun dan malu apabila menyedari akan kesannya jika mereka membenarkan diri mereka berasa cemburu. Ada yang berlaku bodoh dan tidak menentu, mereka mula bercakap perkara yang bukan-bukan atau sesuatu yang mungkin akan menjadikan diri mereka kelihatan bodoh. Ada pula yang akan mula membuang masa dan tenaga di dalam usaha merancangkan sesuatu untuk memusnahkan orang lain, padahal mereka boleh menggunakan masa dan tenaga itu untuk melakukan sesuatu yang baik. Ada pula yang tidak dapat tidur dan menjadi bertambah resah, bila melihat orang lain kelihatan lebih maju atau lebih berjaya daripada mereka, dan akhirnya kesihatan mereka terganggu. Tapi pada pengakhiran harinya, mengapakah kita harus berasa cemburu? Apakah sebenarnya yang kita hendak buktikan?

Di dalam Al Kitab hari ini, kita membaca, "Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan, tetapi ada beberapa orang yang berkata, "Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat" Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, "Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur. Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah!" Dengan jelas kita dapat melihat yang sesetengah orang itu telah membenarkan perasaan cemburu mereka mengambil alih diri mereka, menyebabkan mereka berkata yang bukan-bukan. Mereka cuba memperkecilkan Yesus tetapi sebaliknya mereka memperkecilkan diri mereka sendiri. Semoga kita lebih berjaga-jaga terhadap bahaya-bahaya yang timbul bila membenarkan perasaan cemburu menguasai diri kita, takut nanti kita akan akhirnya menjadi lebih buruk daripada keadaan diri kita yang terdahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...