Sabtu, 30 Julai 2016

Minggu Biasa Ke-18 Tahun C

Antara banyak perkara yang kita khuatir dalam kehidupan di dunia ini, satu yang berada di kedudukan agak tinggi adalah sekuriti. Kita bimbang tentang sekuriti bukan sahaja dalam memastikan keluarga kita dan kita selamat daripada perompak, penyamun, pencuri dan karakter laim yang tidak diingini,kita juga mementingkan sekuriti yang berbentuk lain seperti kekayaan dan harta benda. Umtuk merancang masa depan dan sediakan payung sebelum hujan, kita bersusah payah untuk membeli polisi insurans, membuat pelaburan , menyimpan wang dalam bank, kerana kita sering berfikir tentang masa depan kewangan kita dan masa depan anak-anak kita.

Persoalannya ialah: sebagai orang Kristian, adakah salah untuk bekerja deni sekuriti bagi keluarga kita dan diri kita sendiri di dunia ini? Sudah tentu tidak. Kita masih perlu untuk hidup dan terus hidup di dunia. Tetapi apa yang kita perlu sedar ialah keinginan kita untuk sekuriti di dunia harus diletakkan dalam perspektif yang betul. Dalam Injil hari ini, Yesus memberitahu kita tentang seorang petani kaya yang mempunyai perspektif sekuriti yang menyebabkan akhirnya dia kehilangan semuanya. Apakah kesilapan petani kaya tersebut? Apakah kesalahan yang dibuatnya? Dia tamak. Dia "mengumpulkan harta bagi dirinya sendiri." Yesus memberi amaran kepada kita sebelum menceritakan kisah petani kaya dengan memberi kita amaran ini: "Berjaga-jagalah dan waspadalah terhadap segala ketamakan, sebab walaupun seorang berlimpah-limpah hartanya, hidupnya tidaklah tergantung dari pada kekayaannya itu." Tamak menyebabkan seseorang bergantung kepada harta benda semata-mata untuk sekuritinya memandangkan memiliki harta benda menjadikan dia berfikir bahawa dia dapat mengawal kehidupannya, dan dia mula hanya bergantung kepada dirinya untuk sekuritinya, lupa yang semua kekayaan ini hanya diperolehi melalui rahmat Allah. Akhirnya, dia lupa bahawa hidupnya berada di tangan Allah. Ketamakan menghalang petani kaya dari memikirkan tentang orang lain dan berkongsi apa yang ada padanya dengan orang lain. Sebaliknya, dia mempunyai rancangan untuk membina lebih banyak bangsal dan berfikir untuk menyorok atau " mengumpulkan harta bagi dirinya sendiri," dan bukan untuk sesiapa pun.

Justeru adakah ini bermakna bahawa memiliki kemewahan dan kekayaan adalah melampau atau salah? Tidak. Yesus bukan mengutuk kekayaan , tetapi Dia memberitahu kita untuk berkongsi kekayaan dan harta benda kita.Yesus memberitahu kita bahawa, pada akhirnya, kita tidak boleh membawa bersama kekayaan kita apabila kita mati. Sebaliknya, perlu menghabiskan hidup melabur dalam perkara yang benar-benar penting, iaitu perkara yang kekal. Seperti Santo Paulus mengingatkan kita dalam bacaan kedua: "Kerana itu, kalau kamu dibangkitkan bersama dengan Kristus, carilah perkara yang di atas, di mana Kristus ada, duduk di sebelah kanan Allah. Fikirkanlah perkara yang di atas, bukan yang di bumi. Sebab kamu telah mati dan hidupmu tersembunyi bersama dengan Kristus di dalam Allah.Apabila Kristus, yang adalah hidup kita, menyatakan diri kelak, kamu pun akan menyatakan diri bersama dengan Dia dalam kemuliaan." Dalam erti kata lain, sekuriti kita yang sebenar bukan terletak pada perkara di dunia ini, tetapi dalam Yesus.

Hakikatnya, kehidupan adalah sukar. Kita tahu itu semua. Kita menghadapi cabaran setiap hari. Kita bekerja keras untuk menjadikan kehidupan kita lebih selesa, dan dengan demikian , kita mengumpul pelbagai jenis barang, gajet, gizmos (perkataan lain untuk gajet - tapi seseorang itu tidak ingat nama gajet tersebut) dan kemudahan/kesenangan lain. Kadang-kadang , apabila kita terlalu sibuk menyediakan lebih keselesaan hidup di dunia ini , kita lupa tentang Tuhan, gereja malah keluarga kita sendiri. Kita memberi tekanan kepada anak-anak kita untuk belajar bersungguh-sungguh dan bagi memperolehi pekerjaan yang baik. Tiada sesiapa pun yang mengatakan bahawa ini boleh diabaikan atau dielakkan,memandangkan perkara ini mempunyai tujuan dan kepentingan masing-masing, namun tidak boleh menjadi perkara yang paling penting dalam kehidupan kita. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini mengawal kehidupan kita, kerana apabila kita berbuat begitu, kita menjadi abdi kepadanya. Kita tidak boleh lupa bahawa kita tidak boleh membawa apa-apa pun dengan kita apabila kita mati.Kita datang ke dunia ini tanpa mempunyai apa-apa dan kita akan meninggalkan dunia ini tanpa membawa apa-apa pun.

Hari ini, marilah kita merenung jenis kehidupan yang kita diam. Adakah kata-kata, usaha dan tindakan kita akhirnya membantu kita berkembang dalam hubungan dengan Tuhan dan berkembang lebih dekat kepada-Nya? Atau adakah kita menyesatkan diri kita, dipengaruhi dan diperhambakan dengan cara duniawi, hanya untuk menyesal kemudian? Semoga kita menyedari keadaan jiwa kita berada, dan mengambil tindakan perlu sementara kita mempunyai masa dan peluang untuk berbuat demikian, untuk faedah masa depan kita yang kekal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...