Sabtu, 31 Mac 2018

Malam Paska

Pada setiap Malam Paska, kita mengisytiharkan bahawa Yesus sudah bangkit. Tetapi adakah kita benar-benar percaya bahawa Yesus benar-benar bangkit? Adakah kita mempunyai sikap seperti orang Paska? Ada di antara kita yang masih hidup seperti Yesus masih mati di dalam kubur; sesetengah daripada kita masih hidup dalam kegelapan, seolah-olah kita masih dibelenggu oleh dosa, putus asa, marah, ketakutan dan tidak ingin mengampuni, dan sinaran Kristus tidak datang. Ada di antara kita yang masih kelihatan kekal di dalam kubur, lebih suka melemaskan diri kita dengan rasa kasihan terhadap diri sendiri dan lebih suka menyalahkan Tuhan dan orang lain untuk penderitaan dan kesakitan kita. Apabila kita melakukan perkara-perkara seperti ini atau hidup dengan cara ini, kita sebenarnya gagal mengenalpasti bahawa Yesus sudah benar-benar bangkit.

Tetapi faktanya, Yesus sudah bangkit! Pembacaan hari ini memberitahu kita bahawa Allah memenangi keadaan kacau-bilau atau huru-hara; mengalahi kuasa kegelapan; menakluki dosa dan kematian; dan menenangkan kehausan kita dengan air kehidupan yang kekal. Kubur adalah kosong. Yesus sudah bangkit! Bila kita dibaptis, Sato Paulos mengingatkan kita bahawa kita: "dikuburkan bersama-sama dengan Dia oleh baptisan dalam kematian, supaya, sama seperti Kristus telah dibangkitkan dari antara orang mati oleh kemuliaan Bapa, demikian juga kita akan hidup dalam hidup yang baru." Dalam pembaptisan, kita "mati terhadap dosa, dan hidup untuk Allah dalam Yesus Kristus."

Oleh itu, kita dipanggil untuk pergi dan menjadi saksi kebangkitan Kristus. Tuhan telah menakluk kuasa kegelapan melalui pengorbanan Anak-Nya di atas salib. Kubur yang kosong mengingatkan kita bahawa hidup lebih besar daripada kematian; bahawa pada akhirnya, penderitaan bukanlah kekalahan tetapi kemenangan; dan kuasa Allah jauh lebih besar, tidak kira betapa kuatnya kejahatan, penderitaan dan kegelapan yang akan muncul. Hari ini, sebagai orang Paska, marilah kita mengisytiharkan mesej harapan dan kegembiraan yang hebat ini. Marilah kita menyanyi lagu Paska dengan penuh semangat: Alleluia! Puji Tuhan! Tuhan sudah bangkit!

Jumaat, 30 Mac 2018

Jumaat Agung

Setiap seorang daripada kita mengalami penderitaan dalam satu cara atau yang lain pada poin-poin tertentu dalam kehidupan kita. Kita boleh cuba untuk menafikannya, kita boleh cuba menyembunyikannya, kita boleh cuba mencari cara dan jalan untuk mengalihkan perhatian kita daripadanya, kita juga boleh cuba menipu diri kita sendiri untuk berfikir bahawa ia adalah ok atau suatu ilusi, tetapi hakikatnya, penderitaan adalah perkara yang sangat nyata.

Namun satu peristiwa signifikan membawa penderitaan ke suatu tahap dan makna yang berbeza. Allah mati di salib. Allah membenarkan dirinya disalibkan di atas salib untuk kepentingan kita. Dia mati di salib untuk menebus kita dan menyelamatkan kita dari dosa-dosa kita, seperti Yesaya mengingatkan kita dalam pembacaan pertama: "Tetapi sesungguhnya, penyakit kitalah yang ditanggungnya, dan kesengsaraan kita yang dipikulnya, padahal kita mengira dia kena tulah, dipukul dan ditindas Allah. Tetapi dia tertikam oleh karena pemberontakan kita, dia diremukkan oleh karena kejahatan kita; ganjaran yang mendatangkan keselamatan bagi kita ditimpakan kepadanya, dan oleh bilur-bilurnya kita menjadi sembuh.” Justeru, kita tidak sepatutnya melihat penderitaan sebagai satu perkara yang tidak baik, kita tidak seharusnya berfikir bahawa Allah tidak memahami apa yang sedang kita lalui, memandangkan Yesus menderita dan mati untuk kita semua kerana kasih cinta Dia yang amat besar bagi kita.

Apabila kita menyedari signifikan dan kuasa salib, kita menjadi saksi Yesus. Kita menjadi lebih sensitif, penuh belas kasihan dan memahami terhadap keperluan dan penderitaan orang lain. Yesus, semasa menderita di salib, tidak melupakan orang lain.Dia mendamping dengan kasih cinta kepada semua. Kepada musuhNya, dia mengampuni; untuk ibuNya, dia memberikannya rumah baru dengan memberikannya kepada pengikutNya yang disayangi; dan dengan berbuat demikian, memberikannya kepada kita semua yang seperti pengikut-pengikut yang dikasihi itu; untuk pengikut-pengikutNya, dia memastikan mereka akan terus memberikan bantuan dan sokongan di kalangan mereka. Justeru, marilah kita menepikan perasaan marah,mempunyai perasaan kasihan terhadap sendiri, perasaan benci, kesombongan, sikap berat sebelah dan perasaan kepedihan supaya kita mampu berikan diri kita dengan penuh kasih-cinta dan tidak mementingkan diri-sendiri kepada orang lain, seperti Yesus berbuat demikian untuk kita semua. Marilah kita, sebagaimana pembacaan kedua mengingatkan kita, " dengan penuh keberanian menghampiri takhta kasih karunia, supaya kita menerima rahmat dan menemukan kasih karunia untuk mendapat pertolongan kita pada waktunya."

Khamis, 29 Mac 2018

Khamis Suci

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa anda datang untuk Misa? Adakah anda datang hanya untuk memenuhi kewajipan Hari Minggu, atau kerana ibu bapa atau ahli keluarga memaksa anda, atau kerana anda tertarik kepada kawan tertentu dan ingin bersama dengan mereka, atau hanya untuk menemani pasangan, teman wanita atau teman lelaki anda, atau sebab lain tertentu? Bagi sesetengah kita, Misa mungkin sudah jadi perkara biasa, menyebabkan kita kehilangan maknanya yang sebenarnya, dan diambil mudah. Tetapi jika kita mempertimbangkan seketika apakah makna Misa, maka kita tidak akan anggap Misa sebagai perkara biasa, sebab setiap Misa mencabar kita hidup secara penuh dan berhasil sebagai pengikut Yesus.

Setiap kali kita meraikan Misa kita merayakan misteri keselamatan kita. Dalam pembacaan Pertama, Allah memerintahkan Musa dan orang Israel untuk terus merayakan Perayaan Paskah agar mereka ingat bagaimana Allah menyelamatkan mereka dan membebaskan mereka dari Mesir. Sama seperti orang Israel ingat pada setiap Perayaan Paskah bagaimana Allah telah menyelamatkan mereka dan membebaskan mereka dari Mesir, kita diingatkan pada setiap Misa bagaimana Allah telah menyelamatkan kita dan masih menyelamatkan kita dari kuasa Iblis dan kejahatan, dan memberikan kita kehidupan baru melalui anak-Nya Yesus Kristus. Juga, Misa mengingatkan kita tentang korban Yesus di salib. Yesus memberikan nyawa-Nya supaya semua boleh hidup. Bila kita mengambil bahagian dalam setiap Misa, kita dicabar untuk menyerahkan hidup kita, mati terhadap dosa dan kepentingan diri sendiri, mati terhadap prasangka dan kebencian, mati terhadap kebanggaan dan kesombongan, supaya semua memahami maksud sebenarnya menjadi pengikut Yesus, dan hidup dalam-Nya. Lebih-lebih lagi, Misa menyeru kita untuk memberi khidmat kepada orang lain, seperti Yesus memberi khidmat kepada semua. Daripada mencari kuasa dan tempat utama, daripada bersaing dan berdebat tentang siapa yang kakinya harus dicuci, kita harus mengikut teladan Yesus, yang mengabdikan diri-Nya dan mencuci kaki mereka yang kita anggap tidak layak. Dalam Misa, tidak ada ruang untuk kebanggaan, kesombongan, prasangka atau kuasa, hanya mempunyai ruang untuk perkhidmatan dengan rendah hati.

Marilah kita berterima-kasih terhadap Yesus, dimana dia menghadiahkan diriNya kepada kita, dan menghadiahkan Misa kepada kita. Jika kita berusaha untuk menumpukan perhatian dan mengambil bahagian dalam Misa, bukannya membenarkan minda kita melayang, terbingung dengan perkara lain seperti fon mudah alih ataupun terbingung dengan orang lain, atau terburu-buru dengan masa, kita akan perlahan-lahan mula menghargai Misa. Marilah kita berusaha dengan bukan sahaja mengambil bahagian dalam Misa, tetapi juga membawa berita baik kepada semua.

Sabtu, 24 Mac 2018

Minggu Palma

Apakah matlamat kita dalam hidup? Apakah yang benar-benar penting? Adakah kita ingin pengiktirafan dan penghargaan daripada orang lain di dunia, atau kita ingin memuliakan Allah dan dimuliakan oleh Allah? Hidup adalah sedemikian rupa sehingga ramai di antara kita mahu dipuji; mahu 'menjaga muka'; mahu disukai oleh orang lain di sekeliling kita; mahu menjadi popular. Tiada siapa yang mahu dihina, dipermainkan atau ditertawakan. Tiada siapa yang mahu menjadi tidak popular atau tidak diterima. Kita mahu dilihat sebagai "pemuda yang baik" atau "gadis yang baik".

Tetapi hakikatnya, kita tidak boleh dapati segala-galanya. Kita tidak boleh selalu menjadi "pemuda yang baik" atau "gadis yang baik" dan kita tidak dapat menyenangkan semua orang, jika kita mahu mengikut Yesus. Sebagai contoh, kita nampak banyak gossip, politik dan dalam kes tertentu, mencuri barangan di pejabat. Jika kita hendak melakukan yang benar dan tidak mengikuti kehendak ramai, kita mungkin dielakkan oleh orang ramai, atau dianggap seperti ganjil. Dengan berkelakuan benar, kita mungkin kehilangan perniagaan atau mempunyai peluang terhad untuk mendapat kenaikan gaji atau pangkat. Bagi kita yang belajar di sekolah atau di universiti, kita mungkin mendapati bahawa sesetengah rakan sekelas kita menipu dalam peperiksaan atau merasuah pensyarah atau guru tertentu atau melayani mereka secara istimewa, dan kita mungkin gagal mendapatkan gred yang lebih baik atau layanan yang lebih baik kerana menolak untuk mengikut perbuatan mereka. Dengan tetap setia kepada Yesus, kita mungkin mendapati diri kita menerima penghinaan, tentangan, cemuhan atau bahkan ancaman daripada orang lain, termasuk ahli keluarga kita dan sesetengah yang andainya kawan. Sesetengah orang akan menganggap kita naif, bodoh atau kurang cerdik, dan kita mungkin tidak begitu popular. Adakah kita bersiap sedia untuk menghadapi semua ini?

Inilah realiti yang kita hadapi dan pilihan yang perlu kita buat. Inilah jalan yang diambil oleh Yesus. Daripada menuruti cara-cara dunia, Yesus memilih Jalan Salib. Daripada memuliakan diri, memuaskan diri dan meningkatkan martabat dan ego sendiri, Yesus memilih kerendahan hati dan menghambakan diri. Daripada keinginan untuk keutamaan, Yesus memilih kehambaan. Daripada kehilangan kehidupan abadi dengan mendapati segala-galanya di dunia, Yesus memilih untuk kehilangan segala-galanya di dunia untuk Kerajaan Allah. Jalan yang dipilih Yesus digambarkan kepada kita dalam bacaan kedua: " walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, melainkan telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia. Dan dalam keadaan sebagai manusia, Ia telah merendahkan diri-Nya dan taat sampai mati, bahkan sampai mati di kayu salib. " Jika kita menggelar diri kita sebagai orang Kristian, jika kita mahu mengikut Yesus, maka ini juga harus menjadi nasib kita. Kita mesti bersedia untuk menghadapi penghinaan, tentangan, dimalukan dan malah kemungkinan kematian, seperti yang dilakukan Yesus. Untuk mengikut Yesus bermakna kita mesti bersedia untuk diperlakukan seperti Yesus, dan menjadi tanda percanggahan di dunia.

Semua ini mungkin agak menyedihkan atau mengecewakan bagi sesetengah orang. Ada yang mungkin mahu menyerah dan mengatakan bahawa mustahil untuk hidup di dunia ini dan mengikut Yesus. Hakikatnya, Yesus tidak pernah menjanjikan kita kehidupan yang mudah dan Dia tidak pernah mengatakan bahawa mengikuti Dia adalah mudah. Namun bagi kita yang bersedia melalui apa yang Yesus lakukan dan mengikut Dia dengan setia, Allah akan menjadi kekuatan kita, sokongan kita, panduan kita, dan keselamatan kita, sebagaimana Yesaya memberi jaminan kepada kita: "Tuhan ALLAH menolong aku; sebab itu aku tidak mendapat noda."Walaupun Yesustidak diterima dan menerima penghinaan daripada tangan manusia, St Paulus dalam bacaan kedua memberitahu kita bahawa" Itulah sebabnya Allah sangat meninggikan Dia dan mengaruniakan kepada-Nya nama di atas segala nama". Dimuliakan oleh Allah jauh lebih hebat, jauh lebih berkekalan, jauh lebih memuaskan dalam jangka masa panjang, dan jauh lebih penting daripada sebarang penghinaan atau tidak diterima (rejection) yang mungkin kita terima daripada manusia.

Minggu Palma ini dan lebih banyak Minggu Palma yang akan datang, marilah kita membuat komitmen untuk mengikut Yesus dan tetap setia kepada-Nya, walaupun keadaan merungsingkan. Marilah kita memikul salib kita dan mengikut Yesus, kerana kita tahu bahawa Allah akan memberi kita kemuliaan yang lebih berharga dan berkekalan, yang tidak dapat kita temukan di dunia. Adakah kita bersedia untuk kehilangan segala-galanya, termasuk kehidupan kita di dunia demi kemuliaan Allah? Adakah kita bersedia membenarkan Allah memimpin kita ke tempat tinggal kita yang sejati dan kekal?

Isnin, 19 Mac 2018

Hari Raya Santo Yusuf, Suami Bonda Maria

Ramai di antara kita mengetahui sesuatu tentang bapa kita dan kita telah membesar di bawah bimbingan mereka selama ini. Sesetengah daripada kita, atas satu sebab atau yang lain, mungkin tidak banyak mengenali bapa kita. Santo Yusuf, suami Bonda Maria, merupakan seorang bapa yang kita kenali sedikit. Injil tidak banyak menyebutnya, kecuali pada awal dari masa Yesus dikandung sehingga Dia hilang dan ditemui di Bait Suci ketika Dia berumur dua belas tahun.

Dari sedikit yang kita dapat himpunkan mengenai Santo Yusuf dalam Injil hari ini, kita membaca bahawa Santo Yusuf adalah “seorang yang tulus hati dan tidak mau mencemarkan nama isterinya di muka umum, ia bermaksud menceraikannya dengan diam-diam." Bagaimanapun, ketika malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya dalam mimpi dengan berita jaminan, Yusuf " berbuat seperti yang diperintahkan malaikat Tuhan itu kepadanya." Ayat-ayat tersebut memberikan kita sedikit pandangan terhadap siapakah Santo Yusuf. Walaupun dia seorang yang tegak/lurus, dia juga tunduk kepada kehendak Tuhan. Injil hari ini mengingatkan kita juga tentang peranan kita sebagai bapa. Menjadi seorang bapa atau dipanggil sebagai bapa tidak memadai; kita perlu menunjukkan contoh yang baik dan cukup rendah diri untuk mendengar suara Tuhan. Marilah kita mempunyai unsur-unsur kejantanan yang baik dan yang menyayangi dalam hubungan kita dengan Tuhan dan dengan orang lain, dan mengikuti contoh Santo Yusuf.

Sabtu, 17 Mac 2018

Minggu Prapaska Ke-5 Tahun B

Apa maknanya menjadi hebat? Apakah maksudnya menjadi penting? Sesetengah berpendapat bahawa menjadi hebat dan penting bermakna mempunyai gelaran atau kedudukan tinggi dalam masyarakat; sesetengah berfikir ia bermakna memiliki banyak kekayaan dan harta; sesetengah berfikir ia bermakna mempunyai banyak kawan dan kenalan berpengaruh; sesetengah berfikir ia bermakna menjadi popular atau terkenal seperti bintang filem atau bintang pop. Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak menjadi tumpuan; mereka yang menjaga orang sakit, yang tidak dikasihi, yang dilupai, yang lumpuh, yang dielak oleh masyarakat; mereka yang memikul salib tanpa rungutan; mereka yang memberikan galakan kepada orang lain; mereka yang membawa kasih Allah kepada orang lain; mereka yang menjadi saksi kepada Yesus mengikut keadaan mereka ? Adakah mereka juga hebat dan penting? Sebagai orang Kristian, apakah maksudnya untuk menjadi hebat dan penting? Adakah kita hebat dan penting hanya di mata dunia?

Jika kita melihat kehidupan Yesus, kita boleh memperolehi sedikit idea tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan menjadi hebat sebagai seorang Kristian. Dalam Injil hari ini, Yesus berkata, telah tiba saatnya Anak Manusia dimuliakan. Tidak seperti apa yang mungkin dunia anggap sebagai kegemilangan, kegemilangan Yesus agak berbeza: Ia adalah penderitaan dan kewafatannya! Kenapa begitu? Kerana jika biji gandum jatuh ke dalam tanah dan mati, ia akan menghasilkan banyak buah. Masa kegemilangan Yesus ialah penderitaan dan kewafatanNya, kerana bila Dia ditinggikan dari dunia ini, Dia akan menarik semua orang kepada-Nya. Kegemilangan Yesus bukanlah seperti yang dianggap oleh dunia kerana dunia tidak melihat seperti yang dilihat oleh Allah. Siapa sangka bahawa Yesus perlu menderita? Namun demikian, seperti pembacaan kedua mengingatkan kita, "Ia telah belajar menjadi taat dari apa yang telah diderita-Nya, dan sesudah Ia mencapai kesempurnaan-Nya, Ia menjadi pokok keselamatan yang abadi bagi semua orang yang taat kepada-Nya." Ini adalah kehebatan, bukan kehebatan seperti cara dunia, tetapi seperti cara Allah. Ini bagi setiap umat Kristian ikuti, seperti Injil mengingatkan kita: "Barangsiapa mencintai nyawanya, ia akan kehilangan nyawanya, tetapi barangsiapa tidak mencintai nyawanya di dunia ini, ia akan memeliharanya untuk hidup yang kekal. Barangsiapa melayani Aku, ia harus mengikut Aku dan di mana Aku berada, di situpun pelayan-Ku akan berada. Barangsiapa melayani Aku, ia akan dihormati Bapa.”

Persoalannya adalah: adakah kita masih mencari kehebatan di dunia ini, kehebatan yang hanya sementara, suatu ilusi? Atau adakah kita mula mencari kehebatan yang kekal? Kadang-kadang kita memberi kemuliaan kepada apa yang kelihatan kuat dan berkuasa, tetapi Allah tidak melihat penampilan, Allah melihat pada hati. Adakah kita memberi kemuliaan kepada apa yang kelihatan hebat atau apakah kita memberi kemuliaan kepada apa yang sebenarnya hebat? Janganlah kita leka dan sangka apa yang kelihatan hebat tetapi sebenarnya tidak begitu hebat, tetapi dengan rendah hati, dengan tekun dan konsisten berusaha untuk mencari makna sebenar kehebatan, dan memuliakan Allah.

Sabtu, 10 Mac 2018

Minggu Prapaska Ke-4 Tahun B

Kadang kala, kita bertembung dengan orang yang kelihatan tidak berasa baik tentang diri mereka sendiri. Mereka seolah-olah berfikir bahawa mereka tidak cukup baik, tidak cukup pintar, tidak cukup kacak atau cantik, tidak cukup kasih, tidak cukup bakat atau tidak cukup kebolehan. Apabila mereka berfikir dan berasa seperti ini, mereka kurang keyakinan diri. Mereka tidak dapat menerima sendiri siapa diri mereka, walaupun sebenarnya mereka ok. Sesetengah mula mengkritik orang lain atau sentiasa mencari kesalahan pada orang lain, memikirkan bahawa dengan berbuat demikian, mereka dapat meningkatkan ego dan harga diri mereka. Tetapi usaha sebegitu hanya akan berakhir dengan kegagalan, kerana orang ini akan menjadi semakin jauh dari orang lain, atau orang lain mungkin menghindari atau mengelak mereka.

Tetapi jika kita merenung seketika apa pembacaan hari ini dan Injil memberitahu kita, kita sebenarnya sangat dikasihi dan dihargai. Kita sangat dikasihi dan dihargai, sebagaimana Injil memberitahu kita: “Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal. Sebab Allah mengutus Anak-Nya ke dalam dunia bukan untuk menghakimi dunia, melainkan untuk menyelamatkannya oleh Dia." Tambahan pula, St Paulus mengingatkan kita dalam pembacaan kedua: " Karena kita ini buatan Allah, diciptakan dalam Kristus Yesus untuk melakukan pekerjaan baik, yang dipersiapkan Allah sebelumnya. Ia mau, supaya kita hidup di dalamnya.." Bayangkan bahawa... kita mempunyai Tuhan yang sangat mengasihi kita sehingga Dia menghantar anak-Nya untuk menyelamatkan kita. Kita bukan hanya benda lama atau tidak berguna atau tiada harapan, tetapi kita adalah karya buatan Allah. Dengan jaminan dari Allah, kenapa kita masih perlu mencari bentuk jaminan yang lain?

Oleh sebab Tuhan sangat mengasihi kita dan kita adalah karya buatan-Nya, maka kita harus berusaha keras untuk berhenti berdosa. Apabila kita berdosa, kita sebenarnya tidak percaya kepada kasih Allah kepada kita. Apabila kita berdosa, kita percaya bahawa kasih Tuhan kepada kita tidak mencukupi dan kita meragui kasih-Nya kepada kita. Apabila kita berdosa kita sebenarnya menggelar Tuhan sebagai pembohong, kerana kita mendakwa bahawa ada sesuatu yang lebih daripada apa yang dapat Allah berikan kepada kita.

Oleh itu janganlah kita begitu prihatin untuk mencari penerimaan daripada orang lain, dari rakan-rakan kita, dari keluarga kita, sahabat handai dan orang tersayang. Tidak kira betapa banyak kita lakukan perkara untuk orang lain atau mengatakan perkara yang baik kepada orang lain, kita tidak akan dapat memuaskan semua orang, dan kita mungkin akan berakhir dengan kesedihan dan tidak gembira. Kita juga tidak perlu mencuba dan menggembirakan Tuhan dengan cuba untuk berdoa lebih atau dengan hanya berusaha untuk mematuhi perintah-perintah, kerana seperti yang diingatkan oleh St Paulus dalam bacaan kedua: " Sebab karena kasih karunia kamu diselamatkan oleh iman; itu bukan hasil usahamu, tetapi pemberian Allah, itu bukan hasil pekerjaanmu: jangan ada orang yang memegahkan diri." Sebaliknya, kita harus belajar " melakukan pekerjaan baik, yang dipersiapkan Allah sebelumnya." Apa yang kita katakan atau lakukan tidak boleh memenangi penghargaan atau persetujuan daripada orang lain, atau kita berharap untuk memenangi penghargaan atau kelulusan Tuhan, tetapi kerana kita tahu bahawa Tuhan mengasihi kita dan semua yang kita katakan dan lakukan pada akhirnya adalah demi kemuliaan-Nya yang lebih besar.

Sabtu, 3 Mac 2018

Minggu Prapaska Ke-3 Tahun B

Sejauh manakah kita menghargai tempat ibadat kita? Sejauh manakah kita mengambil berat tentang gereja-gereja kita? Juga, sejauh manakah kita mengambil berat terhadap diri kita sebagai seorang komuniti Kristian? Adakah kita pergi ke gereja hanya untuk memenuhi kewajipan hari minggu dan tidak lebih dari itu? Adakah kita menjaga persekitaran dan bahagian dalam gereja paroki yang kita pergi? Adakah kita mengambil berat tentang komuniti Kristian kita dan mencari jalan serta cara untuk membantunya berkembang secara rohani? Atau gereja kita menjadi tempat gosip; tempat di mana kita membuang sampah dan barang lain yang baru saja kita gunakan (seperti kertas tisu, kertas bungkusan gula batu dan barangan lain) atau tidak berguna; tempat menjual dan membeli barang-barang religius (atau dalam sesetengah kes, malah menjadi tempat berlakunya urusan perniagaan atau komersil yang lain); atau bahkan tempat untuk aktiviti-aktiviti lain selain menjadi rumah ibadat dan Bait Allah?

Di kalangan orang Yahudi, Bait Suci adalah sebuah institusi yang suci. Ia menyediakan mereka ruang fizikal untuk mempersembahkan ibadah serta korban, dan juga melambangkan kehadiran Allah. Bagi seorang Yahudi, Bait Suci menjadi lambang bahawa Tuhan tidak meninggalkan umatnya, walaupun atas kegagalan, kejahatan dan kelemahan mereka. Oleh itu, Bait Suci menduduki tempat yang sangat penting dalam agama Yahudi. Itulah sebabnya dalam Injil hari ini, Yesus sangat kecewa apabila dia mendapati orang yang menggunakan Bait Suci untuk tujuan perniagaan dan bukan untuk tujuan keagamaan.

Oleh sebab Bait Suci telah disalahgunakan dan dijadikan tempat komersial, Yesus menjadi agak marah dan mengusir semua penukar wang, penjual dan malah lembu dan kambing juga dari Bait Suci, dengan berkata: " Ambil semuanya ini dari sini, jangan kamu membuat rumah Bapa-Ku menjadi tempat berjualan." Ini menyebabkan orang Yahudi menjadi lebih tekad merancang untuk menyingkirkan Dia. Namun, apa yang memberikan Yesus keberanian untuk melakukan apa yang tidak orang lain berani lakukan? " Cinta untuk rumah-Mu menghanguskan Aku," adalah kata-kata Perjanjian Lama yang datang pada fikiran murid-murid setelah melihat tindakan Yesus. Inilah seseorang yang begitu ghairah tentang kebenaran, keadilan, kesaksamaan dan tingkah laku yang betul sehingga dia bersedia untuk mencabar pemimpin agama pada zamannya untuk menggalakkan nilai-nilai ini. Inilah seseorang yang sanggup mati untuk nilai-nilainya.

Hari ini, Yesus mencari lelaki dan wanita yang berintegriti yang sanggup dan bersedia untuk berkhidmat, berani, komited dan bersedia untuk mencabar amalan kejahatan, kelakuan tidak bermoral dan perbuatan jahat yang lain, tanpa mengira akibatnya. Dia mencabar kita semua untuk melakukan apa yang betul dan sesuai dalam kehidupan kita dan gereja-gereja kita, supaya orang lain dapat melihat apa yang dimaksudkan menjadi orang Kristian. Terdapat masa dan tempat untuk segala-galanya, dan kita harus berusaha untuk memastikan bahawa gereja-gereja kita dan kita juga tidak berakhir seperti apa yang berlaku kepada Bait Suci. Mari kita berdoa agar semangat yang sama yang membawa Yesus ke salib dan seterusnya juga dapat memenuhi hati kita dan membolehkan kita mencari keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira akibat kepada diri kita sendiri. Marilah kita menyimpan dalam hati perkataan-perkataan tersebut: " Cinta untuk rumah-Mu menghanguskan Aku!"

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...