Sabtu, 24 Mac 2018

Minggu Palma

Apakah matlamat kita dalam hidup? Apakah yang benar-benar penting? Adakah kita ingin pengiktirafan dan penghargaan daripada orang lain di dunia, atau kita ingin memuliakan Allah dan dimuliakan oleh Allah? Hidup adalah sedemikian rupa sehingga ramai di antara kita mahu dipuji; mahu 'menjaga muka'; mahu disukai oleh orang lain di sekeliling kita; mahu menjadi popular. Tiada siapa yang mahu dihina, dipermainkan atau ditertawakan. Tiada siapa yang mahu menjadi tidak popular atau tidak diterima. Kita mahu dilihat sebagai "pemuda yang baik" atau "gadis yang baik".

Tetapi hakikatnya, kita tidak boleh dapati segala-galanya. Kita tidak boleh selalu menjadi "pemuda yang baik" atau "gadis yang baik" dan kita tidak dapat menyenangkan semua orang, jika kita mahu mengikut Yesus. Sebagai contoh, kita nampak banyak gossip, politik dan dalam kes tertentu, mencuri barangan di pejabat. Jika kita hendak melakukan yang benar dan tidak mengikuti kehendak ramai, kita mungkin dielakkan oleh orang ramai, atau dianggap seperti ganjil. Dengan berkelakuan benar, kita mungkin kehilangan perniagaan atau mempunyai peluang terhad untuk mendapat kenaikan gaji atau pangkat. Bagi kita yang belajar di sekolah atau di universiti, kita mungkin mendapati bahawa sesetengah rakan sekelas kita menipu dalam peperiksaan atau merasuah pensyarah atau guru tertentu atau melayani mereka secara istimewa, dan kita mungkin gagal mendapatkan gred yang lebih baik atau layanan yang lebih baik kerana menolak untuk mengikut perbuatan mereka. Dengan tetap setia kepada Yesus, kita mungkin mendapati diri kita menerima penghinaan, tentangan, cemuhan atau bahkan ancaman daripada orang lain, termasuk ahli keluarga kita dan sesetengah yang andainya kawan. Sesetengah orang akan menganggap kita naif, bodoh atau kurang cerdik, dan kita mungkin tidak begitu popular. Adakah kita bersiap sedia untuk menghadapi semua ini?

Inilah realiti yang kita hadapi dan pilihan yang perlu kita buat. Inilah jalan yang diambil oleh Yesus. Daripada menuruti cara-cara dunia, Yesus memilih Jalan Salib. Daripada memuliakan diri, memuaskan diri dan meningkatkan martabat dan ego sendiri, Yesus memilih kerendahan hati dan menghambakan diri. Daripada keinginan untuk keutamaan, Yesus memilih kehambaan. Daripada kehilangan kehidupan abadi dengan mendapati segala-galanya di dunia, Yesus memilih untuk kehilangan segala-galanya di dunia untuk Kerajaan Allah. Jalan yang dipilih Yesus digambarkan kepada kita dalam bacaan kedua: " walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, melainkan telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia. Dan dalam keadaan sebagai manusia, Ia telah merendahkan diri-Nya dan taat sampai mati, bahkan sampai mati di kayu salib. " Jika kita menggelar diri kita sebagai orang Kristian, jika kita mahu mengikut Yesus, maka ini juga harus menjadi nasib kita. Kita mesti bersedia untuk menghadapi penghinaan, tentangan, dimalukan dan malah kemungkinan kematian, seperti yang dilakukan Yesus. Untuk mengikut Yesus bermakna kita mesti bersedia untuk diperlakukan seperti Yesus, dan menjadi tanda percanggahan di dunia.

Semua ini mungkin agak menyedihkan atau mengecewakan bagi sesetengah orang. Ada yang mungkin mahu menyerah dan mengatakan bahawa mustahil untuk hidup di dunia ini dan mengikut Yesus. Hakikatnya, Yesus tidak pernah menjanjikan kita kehidupan yang mudah dan Dia tidak pernah mengatakan bahawa mengikuti Dia adalah mudah. Namun bagi kita yang bersedia melalui apa yang Yesus lakukan dan mengikut Dia dengan setia, Allah akan menjadi kekuatan kita, sokongan kita, panduan kita, dan keselamatan kita, sebagaimana Yesaya memberi jaminan kepada kita: "Tuhan ALLAH menolong aku; sebab itu aku tidak mendapat noda."Walaupun Yesustidak diterima dan menerima penghinaan daripada tangan manusia, St Paulus dalam bacaan kedua memberitahu kita bahawa" Itulah sebabnya Allah sangat meninggikan Dia dan mengaruniakan kepada-Nya nama di atas segala nama". Dimuliakan oleh Allah jauh lebih hebat, jauh lebih berkekalan, jauh lebih memuaskan dalam jangka masa panjang, dan jauh lebih penting daripada sebarang penghinaan atau tidak diterima (rejection) yang mungkin kita terima daripada manusia.

Minggu Palma ini dan lebih banyak Minggu Palma yang akan datang, marilah kita membuat komitmen untuk mengikut Yesus dan tetap setia kepada-Nya, walaupun keadaan merungsingkan. Marilah kita memikul salib kita dan mengikut Yesus, kerana kita tahu bahawa Allah akan memberi kita kemuliaan yang lebih berharga dan berkekalan, yang tidak dapat kita temukan di dunia. Adakah kita bersedia untuk kehilangan segala-galanya, termasuk kehidupan kita di dunia demi kemuliaan Allah? Adakah kita bersedia membenarkan Allah memimpin kita ke tempat tinggal kita yang sejati dan kekal?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...