Khamis, 29 Mac 2018

Khamis Suci

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa anda datang untuk Misa? Adakah anda datang hanya untuk memenuhi kewajipan Hari Minggu, atau kerana ibu bapa atau ahli keluarga memaksa anda, atau kerana anda tertarik kepada kawan tertentu dan ingin bersama dengan mereka, atau hanya untuk menemani pasangan, teman wanita atau teman lelaki anda, atau sebab lain tertentu? Bagi sesetengah kita, Misa mungkin sudah jadi perkara biasa, menyebabkan kita kehilangan maknanya yang sebenarnya, dan diambil mudah. Tetapi jika kita mempertimbangkan seketika apakah makna Misa, maka kita tidak akan anggap Misa sebagai perkara biasa, sebab setiap Misa mencabar kita hidup secara penuh dan berhasil sebagai pengikut Yesus.

Setiap kali kita meraikan Misa kita merayakan misteri keselamatan kita. Dalam pembacaan Pertama, Allah memerintahkan Musa dan orang Israel untuk terus merayakan Perayaan Paskah agar mereka ingat bagaimana Allah menyelamatkan mereka dan membebaskan mereka dari Mesir. Sama seperti orang Israel ingat pada setiap Perayaan Paskah bagaimana Allah telah menyelamatkan mereka dan membebaskan mereka dari Mesir, kita diingatkan pada setiap Misa bagaimana Allah telah menyelamatkan kita dan masih menyelamatkan kita dari kuasa Iblis dan kejahatan, dan memberikan kita kehidupan baru melalui anak-Nya Yesus Kristus. Juga, Misa mengingatkan kita tentang korban Yesus di salib. Yesus memberikan nyawa-Nya supaya semua boleh hidup. Bila kita mengambil bahagian dalam setiap Misa, kita dicabar untuk menyerahkan hidup kita, mati terhadap dosa dan kepentingan diri sendiri, mati terhadap prasangka dan kebencian, mati terhadap kebanggaan dan kesombongan, supaya semua memahami maksud sebenarnya menjadi pengikut Yesus, dan hidup dalam-Nya. Lebih-lebih lagi, Misa menyeru kita untuk memberi khidmat kepada orang lain, seperti Yesus memberi khidmat kepada semua. Daripada mencari kuasa dan tempat utama, daripada bersaing dan berdebat tentang siapa yang kakinya harus dicuci, kita harus mengikut teladan Yesus, yang mengabdikan diri-Nya dan mencuci kaki mereka yang kita anggap tidak layak. Dalam Misa, tidak ada ruang untuk kebanggaan, kesombongan, prasangka atau kuasa, hanya mempunyai ruang untuk perkhidmatan dengan rendah hati.

Marilah kita berterima-kasih terhadap Yesus, dimana dia menghadiahkan diriNya kepada kita, dan menghadiahkan Misa kepada kita. Jika kita berusaha untuk menumpukan perhatian dan mengambil bahagian dalam Misa, bukannya membenarkan minda kita melayang, terbingung dengan perkara lain seperti fon mudah alih ataupun terbingung dengan orang lain, atau terburu-buru dengan masa, kita akan perlahan-lahan mula menghargai Misa. Marilah kita berusaha dengan bukan sahaja mengambil bahagian dalam Misa, tetapi juga membawa berita baik kepada semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...