Sabtu, 26 Mei 2018

Hari Minggu Tritunggal

Ramai di antara kita yang menyangka Allah tidak boleh didekati dan tidak boleh ada perhubungan. Tetapi misteri Tritunggal memberi kita kesempatan untuk berhubungan dengan Allah dalam tiga cara, kerana ada tiga orang yang bersatu dalam satu Allah. Kita merupakan anak-anak Allah Bapa, sebagaimana St. Paulus dalam pembacaan kedua memberitahu kita: " Roh itu bersaksi bersama-sama dengan roh kita, bahwa kita adalah anak-anak Allah. Dan jika kita adalah anak, maka kita juga adalah ahli waris, maksudnya orang-orang yang berhak menerima janji-janji Allah, yang akan menerimanya bersama-sama dengan Kristus, yaitu jika kita menderita bersama-sama dengan Dia, supaya kita juga dipermuliakan bersama-sama dengan Dia. " Kita mempunyai Yesus, Anak Allah, sebagai saudara kita, dan sebagai Juruselamat kita. Yesus merupakan Allah dan manusia, dan Dia menyerahkan hidupnya di kayu salib untuk menyelamatkan kita. Sebelum Yesus meninggalkan dunia ini, Dia berjanji kepada murid-muridNya bahawa Dia akan menghantar Roh Kudus. Roh Kuduslah yang tinggal di dalam diri kita semasa pembaptisan kita dan menjadikan kehidupan Tritunggal dalam setiap orang. Allah tinggal di dalam diri kita masing-masing melalui Roh Kudus.

Dan maka kita mempunyai Tritunggal yang merupakan misteri yang sangat penting bagi kita. Walaupun kita mungkin tidak memahami sepenuhnya misteri ini, tidak mengapa, kerana misteri tidak selalu mudah difahami. Ia memerlukan banyak masa, iman dan doa untuk memahami misteri Allah, kerana minda kita terbatas. Tritunggal adalah contoh persekutuan yang sempurna yang harus kita belajar untuk ikuti. Dengan mengasihi dalam sebuah komuniti, maka kita akan menjadi saksi kepada orang lain, bahawa Allah ada bersama kita sebagai Tritunggal.

Isnin, 21 Mei 2018

Bonda Maria, Bonda Gereja

Apakah erti sebuah gereja? Adakah gereja hanyalah sebuah bangunan? Sudah tentu tidak! Sebuah gereja adalah lebih daripada sebuah bangunan, kerana orang Kristian awal tidak mempunyai bangunan yang sesuai yang kita panggil gereja hari ini. Sebaliknya, gereja adalah umat beriman; umat Allah; komuniti dan tubuh Kristus; bersatu sebagai satu dalam kasih cinta, amal, iman dan doa. Tidak ada ruang bagi sikap individualistik atau agenda pribadi, kerana sebagai gereja, kita adalah anak lelaki dan anak perempuan Tuhan, saudara dan saudari dalam Kristus.

Dalam komuniti gereja kita, kita mempunyai seorang yang telah membimbing kita dan berdoa untuk kita dan dengan kita sejak zaman awal agama Kristian. Orang itu adalah Bonda kita, Bonda Maria. Di dalam Injil, ketika Yesus mati di kayu salib, Dia memberikan Maria kepada murid yang dikasihi, dan dalam melakukan itu, memberikan Maria kepada kita, murid-murid-Nya. Dalam bacaan, kita melihat Maria dengan para rasul, menyertai doa berterusan. Maria tidak menjauhkan diri atau mengelakkan orang lain, tetapi berada di sana berdoa dan dengan para rasul, setelah Yesus dibawa ke syurga. Bacaannya menunjukkan bahawa Maria juga bonda kita, dan itulah sebabnya kita meraikan " Bonda Maria, Bonda Gereja" hari ini.

Dengan Maria sebagai bonda kita, marilah kita terus mempercayai kasih cinta dan penjagaannya, dan mengikuti teladannya untuk menghulurkan kepada orang lain dalam kasih cinta dan doa. Marilah kita mempersembahkan kehadiran kita seperti yang dilakukannya, kepada semua yang memerlukan, terutama yang sakit, yang sudah tua, yang miskin, yang tertindas, dan ramai lagi, supaya dalam semua yang kita lakukan, Allah dapat dimuliakan.

Sabtu, 19 Mei 2018

Misa Pentekosta Tahun B

Apakah maksudnya menjadi seorang Kristian? Adakah kita benar-benar bersatu sebagai saudara dan saudari dalam Kristus, tanpa mengira kumpulan etnik, kumpulan bahasa, malah status sosial atau latar belakang? Kadang-kadang, kita berjumpa dengan paroki-paroki yang agak terbahagi dan dipisahkan mengikut garis-garis perkauman dan sosial. Setiap kumpulan lebih berminat dalam urusan, keperluan dan kehendak rakan dan kenalan dalam kumpulan mereka masing-masing. Kita nampak orang dalam kumpulan mereka mengelakkan atau meminimumkan hubungan dengan orang dari kumpulan lain, kerana takut, prasangka, bangga diri, ketidakupayaan untuk berkomunikasi, atau atas sebab lain. Kadang kala, apabila terdapat pertikaian antara orang dalam kumpulan yang berlainan, kita melihat orang yang berpihak, mempertahankan kumpulan mereka sendiri, dan mencari cara untuk menpersoalkan pihak lain. Kelihatan seolah-olah ada halangan mentaliti, di mana pihak lain dilihat sebagai ancaman yang berterusan yang perlu diperhati. Tetapi apakah ini sebenarnya seorang Kristian? Adakah agama Kristian hanya eksklusif kepada orang tertentu?

Dalam Pembacaan Pertama hari ini, kita diberitahu bahawa Roh Kudus datang dan hinggap pada kepala murid- murid, " maka penuhlah mereka dengan Roh Kudus, lalu mereka mulai berkata-kata dalam bahasa-bahasa lain, seperti yang diberikan oleh Roh itu kepada mereka untuk mengatakannya. " dan juga bahawa " Waktu itu di Yerusalem diam orang-orang Yahudi yang saleh dari segala bangsa di bawah kolong langit. Ketika turun bunyi itu, berkerumunlah orang banyak. Mereka bingung karena mereka masing-masing mendengar rasul-rasul itu berkata-kata dalam bahasa mereka sendiri." Perhatikan bahawa Roh Kudus tidak berpihak atau memberi tumpuan hanya dengan kumpulan tertentu, tetapi sebaliknya memecahkan halangan dalam bahasa supaya semua dapat mendengar dan memahami murid-murid dalam bahasa mereka sendiri.

Begitu juga, Pembacaan Kedua alternatif hari ini mengingatkan kita: "Akan tetapi jikalau kamu memberi dirimu dipimpin oleh Roh, maka kamu tidak hidup di bawah hukum Taurat. Perbuatan daging telah nyata, yaitu: percabulan, kecemaran, hawa nafsu, penyembahan berhala, sihir, perseteruan, perselisihan, iri hati, amarah, kepentingan diri sendiri, percideraan, roh pemecah, kedengkian, kemabukan, pesta pora dan sebagainya. Terhadap semuanya itu kuperingatkan kamu--seperti yang telah kubuat dahulu--bahwa barangsiapa melakukan hal-hal yang demikian, ia tidak akan mendapat bagian dalam Kerajaan Allah. Tetapi buah Roh ialah: kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemahlembutan, penguasaan diri. Tidak ada hukum yang menentang hal-hal itu. Barangsiapa menjadi milik Kristus Yesus, ia telah menyalibkan daging dengan segala hawa nafsu dan keinginannya. Jikalau kita hidup oleh Roh, baiklah hidup kita juga dipimpin oleh Roh." Kalau kita hanya menumpukan perhatian kita kepada kumpulan kita, bagaimanakah kita boleh bersama Yesus Kristus, oleh kerana kita hanya ingin bersama dengan kumpulan kita?

Inilah sebabnya mengapa kita tidak boleh menjadi orang Kristian dan pada masa yang sama hanya obses kepada kumpulan tertentu. Roh Kudus dikurniakan kepada kita semua, tanpa mengira siapa kita dan di mana kita berasal. Pembacaan kedua memberitahu kita bahawa: "Ada rupa-rupa karunia, tetapi satu Roh. Dan ada rupa-rupa pelayanan, tetapi satu Tuhan. Dan ada berbagai-bagai perbuatan ajaib, tetapi Allah adalah satu yang mengerjakan semuanya dalam semua orang. Tetapi kepada tiap-tiap orang dikaruniakan penyataan Roh untuk kepentingan bersama." Akhirnya, kita harus bertanya kepada diri sendiri dengan jujur dan ikhlas: adakah kita orang Kristian hanya pada nama, tetapi mementingkan diri sendiri? Atau adakah kita benar-benar melakukan segala usaha untuk bersatu sebagai satu keluarga Tuhan? Adakah kita sanggup keluar dari zon selesa dan menghulurkan kepada orang lain, terutama mereka yang tidak begitu akrab dengan kita, dengan kasih cinta dan perbuatan amal Kristian? Marilah kita maksudkan apa yang kita katakan apabila kita menyanyi: "Kita bersatu dalam Roh Kudus, kita bersatu dengan Tuhan. Dan mereka akan tahu bahawa kita adalah Kristian melalui kasih cinta kita."

Sabtu, 12 Mei 2018

Minggu Paska Ke-7 Tehun B

Sekali-sekala, terdapat orang yang datang kepada saya meminta saya untuk memberkati kereta mereka, rosario mereka, gambar seseorang santo, salib yang mereka ingin pakai atau mereka ingin hadiahkan kepada seseorang, patung Bonda Maria atau orang santo, sejenis medali suci yang berkaitan dengan Bonda Maria atau seorang santo atau santa, atau bahkan rumah atau tempat kerja mereka. Kadang-kadang, terdapat orang muda dan tidak begitu muda datang kepada saya meminta saya untuk memberkati mereka kerana hari jadi mereka, atau ulang tahun perkahwinan mereka, atau mereka berharap untuk hamil, atau mereka sakit, akan menjalani rawatan tertentu atau berasa cemas, atau mereka akan menduduki peperiksaan, atau untuk memberkati anak-anak mereka, atau atas sebab lain. Tetapi persoalannya ialah: Apa sebenarnya berkat? Adakah anda tahu mengapa anda meminta berkat? Sesetengah orang seolah-olah tidak faham apa maksud rahmat, dan sesetengah orang mungkin berfikir bahawa ia adalah cara perlindungan dari kejahatan atau cara untuk memperolehi tuah, seperti azimat atau tangkal.Tetapi pemahaman ini tentang apa itu berkat, adalah salah. Ia telah menjadi satu bentuk takhyul, memandangkan berkat akhirnya muncul menjadi suatu bentuk sihir.

Jadi apa sebenarnya rahmat? Rahmat atau berkat, seperti yang dipapar dalam bacaan Berita Baik, adalah sejenis konsekrasi atau pentahbisan. Di dalam bacaan Berita Baik, Yesus berdoa doa berkat, di mana Dia berkata: " Kuduskanlah mereka dalam kebenaran; firman-Mu adalah kebenaran. Sama seperti Engkau telah mengutus Aku ke dalam dunia, demikian pula Aku telah mengutus mereka ke dalam dunia; dan Aku menguduskan diri-Ku bagi mereka, supaya mereka pun dikuduskan dalam kebenaran." Konsekrasi atau pentahbisan bermaksud orang atau benda itu sekarang milik Allah. Ini bermakna orang atau benda itu dialih dari dunia dan diarah kepada Allah, kerana orang atau benda itu dikhususkan untuk Allah, dan nasib dan kehidupan orang atau benda itu kini berada di tangan Allah, diurus mengikut kehendak-Nya. Apabila sesuatu atau seseorang ditahbiskan kepada Tuhan, objek atau orang tersebut kini dikhaskan untuk melaksanakan misi Yesus Kristus, yang akan mengisytiharkan Kerajaan Allah dan memberikan kemuliaan kepada Allah dalam segala hal.

Jadi apa maksudnya? Ini bermakna, apabila rumah diberkati, keluarga di rumah tersebut harus memuliakan Allah dengan menjalankan kehidupan yang bersatu, kemurahan hati dan kasih cinta. Apabila orang yang sakit diberkati, dia akan memuliakan Allah melalui penyakitnya, tidak kira sama ada dia pulih atau tidak. Apabila seseorang meminta rahmat sebelum ujian penting, orang itu mengatakan bahawa dia akan melakukan yang terbaik dan memberikan kemuliaan kepada Tuhan, tanpa mengira sama ada dia melakukan peperiksaan itu dengan baik atau tidak. Apabila medali suci dan rosario diberkati, benda-benda tersebut menjadi simbol yang mengingatkan kita untuk memberi kemuliaan kepada Allah melalui doa kita, melalui perbuatan kita, dan melalui cara hidup kita setiap hari. Apabila kenderaan dan tempat kerja diberkati, kita mengatakan bahawa kenderaan atau tempat kerja sedemikian akan digunakan dengan cara yang jujur dan betul, untuk kebaikan semua dan untuk kemuliaan Tuhan. Jadi seperti yang kita perhatikan, meminta berkat bukanlah perkara kecil atau gurauan atau untuk main- main. Adakah kita bersedia untuk menjalankan apa yang disyaratkan oleh berkat tersebut?

Marilah kita ingat bahawa Allah tidak memaksa kita untuk mempunyai hubungan dengan Dia, dan kita harus mempunyai kasih cinta dengan sanggup dan bebas. Sebaliknya, Allah sedang mengundang kita untuk masuk hubungan yang penuh kasih dengan Dia, tatkala bacaan kedua mengingatkan kita: " Allah adalah kasih, dan barangsiapa tetap berada di dalam kasih, ia tetap berada di dalam Allah dan Allah di dalam dia." Apabila kita meminta rahmat untuk apa jua sebab, marilah kita bersiap sedia untuk menguduskan seluruh hidup kita kepada Allah, supaya kita dapat hidup dalam kasih-Nya dan membenarkan Dia hidup di dalam kita. Adakah kita benar-benar, dengan bersungguh-sungguh dan bersedia untuk melakukan ini demi kemuliaan Allah yang lebih besar?

Khamis, 10 Mei 2018

Kenaikan Tuhan Yesus

Pada suatu ketika dalam hidup kita, kita akan merasai orang datang dan pergi. Ada yang pergi kerana mereka telah berpindah ke tempat lain, ada yang pergi kerana mereka telah bersara dan ingin pergi jauh dari perhatian umum, ada yang pergi kerana mereka telah dipindahkan; tetapi apa jua sebabnya, cepat atau lambat, seseorang perlu pergi juga.

Apabila seseorang pergi, sesetengah kita mungkin berasa sedih kerana orang tersebut telah meninggalkan kita. Mungkin satu hari, kita dapat melihat orang itu semula, mungkin tidak. Tetapi jika kita merenung sejenak, seseorang yang pergi juga dapat dianggap saat kegembiraan. Kenapa begitu? Apabila seseorang telah pergi, pemergiannya memberikan peluang dan ruang untuk kita berkembang. Orang tersebut mungkin telah pergi, tetapi jika dia mempunyai pengaruh yang besar kepada kita, sebahagian daripada dirinya akan bersama kita, dan bahagian itu hanya akan muncul dan hidup apabila orang tersebut telah pergi. Apabila orang itu bersama kita, kita mungkin tidak menghargainya, hanya apabila dia telah pergi, hanya kemudian kita mula menghargai dan mencontohi apa yang dilakukan olehnya. Ia kelihatan pelik, tetapi kadang-kadang begitulah keadaannya dalam hidup.

Yesus mengetahui hakikat kehidupan ini dengan sangat baik, dan Dia tahu bahawa Dia terpaksa pergi supaya para murid dan gereja boleh diberikan kuasa, tumbuh dan menjadi matang. Murid-murid tidak boleh bergantung kepada-Nya secara fizikal selama-lamanya, kerana itu akan menghalang kesediaan mereka untuk berkembang dan terus mara. Tetapi dengan pergi, Yesus meninggalkan pengikut-pengikut-Nya suatu legasi untuk diteruskan, dan legasi yang sama diteruskan pada hari ini. Apakah legasi tersebut? Untuk menyebarkan Berita Baik kepada semua, tanpa mengira di mana kita berada.

Persoalannya adalah: adakah Yesus benar-benar meninggalkan kita? Adakah Yesus meninggalkan kita dalam keadaan terhuyung-hayang atau terabai? Tidak. Dia mungkin telah meninggalkan kita secara fizikal, tetapi Dia bersama kita dengan cara yang penuh kuasa, iaitu melalui Roh Kudus. Kita mungkin berada dalam ketakutan dan ketidak pastian apabila Yesus meninggalkan kita, tetapi dengan kuasa Roh Kudus, kita telah diberikan kekuatan dan keberanian untuk menghadapi dunia dan membantu orang lain untuk mengasihi sama seperti Yesus mengasihi kita.

Hari ini, tatkala kita meraikan Kenaikan Tuhan Yesus kita, janganlah kita berasa kecewa atau hilang arah. Yesus bersama kita, membimbing kita, serta membantu kita untuk pergi dan mengisytiharkan Berita Baik dengan semangat. Sekarang adalah masa kita, sekarang adalah saat kita, dan marilah kita merebut setiap peluang untuk memuliakan Tuhan dengan perkataan dan perbuatan kita.

Sabtu, 5 Mei 2018

Minggu Paska Ke-6 Tahun B

Antara agama yang berbeza di dunia, satu perkara yang menjadikan agama Kristian berbeza adalah sebagai Kristian, kita haruslah mempunyai kasih cinta.

Tetapi apakah maksudnya untuk mengasihi sebagai seorang Kristian? Dalam pembacaan kedua, St Yohanes mengingatkan kita: " Saudara-saudaraku yang kekasih, marilah kita saling mengasihi, sebab kasih itu berasal dari Allah; dan setiap orang yang mengasihi, lahir dari Allah dan mengenal Allah. Barangsiapa tidak mengasihi, ia tidak mengenal Allah, sebab Allah adalah kasih." Tidak ramai di antara kita menyedari implikasi tentang makna kasih cinta. Sesetengah orang sangka kita mempunyai kasih cinta yang sama seperti Allah, tetapi sebenarnya, kasih cinta kita mempunyai syarat.

Kita mampu mengasihi seperti cara Tuhan mengasihi kita hanya kerana kita tahu dan ingat betapa Allah mengasihi kita. Sebelum kita dapat belajar untuk mengasihi seperti yang dilakukan Yesus, kita mesti sedar betapa kita dikasihi oleh Tuhan. Kasih tidak pernah mudah dan merupakan sesuatu yang selalu kita perjuangkan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kasih cinta bukan tentang suka atau tidak menyukai seseorang. Kasih cinta adalah satu keputusan, pilihan dan komitmen. Kita boleh membuat keputusan dan komited untuk mengasihi seseorang, walaupun kita tidak suka orang itu. Itulah kasih cinta. Ini hanya mungkin jika kita diingatkan bagaimana Allah mengasihi kita walaupun kasih cinta kita kepadanya tidak sempurna dan tanpa mengira siapa kita. Sebagaimana Petrus berbicara dalam pembacaan pertama: "Sesungguhnya aku telah mengerti, bahwa Allah tidak membedakan orang. Setiap orang dari bangsa manapun yang takut akan Dia dan yang mengamalkan kebenaran berkenan kepada-Nya." Allah menerima dan mengasihi kita semua, Dia tidak memilih seperti kita mungkin lakukan.

Mengasihi orang lain hanya mungkin apabila kita kekal dalam kasih Kristus, dan kita boleh kekal dalam kasih Kristus apabila kita mematuhi perintah-perintahnya. Hari ini, Yesus mengingatkan kita dalam Injil: "Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah seorang akan yang lain." Marilah kita mengetepikan kebanggaan kita, ego kita, dan prasangka kita, serta benar-benar mengasihi seperti cara Allah mengasihi kita, supaya kegembiraan Yesus sendiri berada di dalam kita, dan kegembiraan kita menjadi lengkap.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...