Sabtu, 12 Mei 2018

Minggu Paska Ke-7 Tehun B

Sekali-sekala, terdapat orang yang datang kepada saya meminta saya untuk memberkati kereta mereka, rosario mereka, gambar seseorang santo, salib yang mereka ingin pakai atau mereka ingin hadiahkan kepada seseorang, patung Bonda Maria atau orang santo, sejenis medali suci yang berkaitan dengan Bonda Maria atau seorang santo atau santa, atau bahkan rumah atau tempat kerja mereka. Kadang-kadang, terdapat orang muda dan tidak begitu muda datang kepada saya meminta saya untuk memberkati mereka kerana hari jadi mereka, atau ulang tahun perkahwinan mereka, atau mereka berharap untuk hamil, atau mereka sakit, akan menjalani rawatan tertentu atau berasa cemas, atau mereka akan menduduki peperiksaan, atau untuk memberkati anak-anak mereka, atau atas sebab lain. Tetapi persoalannya ialah: Apa sebenarnya berkat? Adakah anda tahu mengapa anda meminta berkat? Sesetengah orang seolah-olah tidak faham apa maksud rahmat, dan sesetengah orang mungkin berfikir bahawa ia adalah cara perlindungan dari kejahatan atau cara untuk memperolehi tuah, seperti azimat atau tangkal.Tetapi pemahaman ini tentang apa itu berkat, adalah salah. Ia telah menjadi satu bentuk takhyul, memandangkan berkat akhirnya muncul menjadi suatu bentuk sihir.

Jadi apa sebenarnya rahmat? Rahmat atau berkat, seperti yang dipapar dalam bacaan Berita Baik, adalah sejenis konsekrasi atau pentahbisan. Di dalam bacaan Berita Baik, Yesus berdoa doa berkat, di mana Dia berkata: " Kuduskanlah mereka dalam kebenaran; firman-Mu adalah kebenaran. Sama seperti Engkau telah mengutus Aku ke dalam dunia, demikian pula Aku telah mengutus mereka ke dalam dunia; dan Aku menguduskan diri-Ku bagi mereka, supaya mereka pun dikuduskan dalam kebenaran." Konsekrasi atau pentahbisan bermaksud orang atau benda itu sekarang milik Allah. Ini bermakna orang atau benda itu dialih dari dunia dan diarah kepada Allah, kerana orang atau benda itu dikhususkan untuk Allah, dan nasib dan kehidupan orang atau benda itu kini berada di tangan Allah, diurus mengikut kehendak-Nya. Apabila sesuatu atau seseorang ditahbiskan kepada Tuhan, objek atau orang tersebut kini dikhaskan untuk melaksanakan misi Yesus Kristus, yang akan mengisytiharkan Kerajaan Allah dan memberikan kemuliaan kepada Allah dalam segala hal.

Jadi apa maksudnya? Ini bermakna, apabila rumah diberkati, keluarga di rumah tersebut harus memuliakan Allah dengan menjalankan kehidupan yang bersatu, kemurahan hati dan kasih cinta. Apabila orang yang sakit diberkati, dia akan memuliakan Allah melalui penyakitnya, tidak kira sama ada dia pulih atau tidak. Apabila seseorang meminta rahmat sebelum ujian penting, orang itu mengatakan bahawa dia akan melakukan yang terbaik dan memberikan kemuliaan kepada Tuhan, tanpa mengira sama ada dia melakukan peperiksaan itu dengan baik atau tidak. Apabila medali suci dan rosario diberkati, benda-benda tersebut menjadi simbol yang mengingatkan kita untuk memberi kemuliaan kepada Allah melalui doa kita, melalui perbuatan kita, dan melalui cara hidup kita setiap hari. Apabila kenderaan dan tempat kerja diberkati, kita mengatakan bahawa kenderaan atau tempat kerja sedemikian akan digunakan dengan cara yang jujur dan betul, untuk kebaikan semua dan untuk kemuliaan Tuhan. Jadi seperti yang kita perhatikan, meminta berkat bukanlah perkara kecil atau gurauan atau untuk main- main. Adakah kita bersedia untuk menjalankan apa yang disyaratkan oleh berkat tersebut?

Marilah kita ingat bahawa Allah tidak memaksa kita untuk mempunyai hubungan dengan Dia, dan kita harus mempunyai kasih cinta dengan sanggup dan bebas. Sebaliknya, Allah sedang mengundang kita untuk masuk hubungan yang penuh kasih dengan Dia, tatkala bacaan kedua mengingatkan kita: " Allah adalah kasih, dan barangsiapa tetap berada di dalam kasih, ia tetap berada di dalam Allah dan Allah di dalam dia." Apabila kita meminta rahmat untuk apa jua sebab, marilah kita bersiap sedia untuk menguduskan seluruh hidup kita kepada Allah, supaya kita dapat hidup dalam kasih-Nya dan membenarkan Dia hidup di dalam kita. Adakah kita benar-benar, dengan bersungguh-sungguh dan bersedia untuk melakukan ini demi kemuliaan Allah yang lebih besar?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...