Khamis, 10 Mei 2018

Kenaikan Tuhan Yesus

Pada suatu ketika dalam hidup kita, kita akan merasai orang datang dan pergi. Ada yang pergi kerana mereka telah berpindah ke tempat lain, ada yang pergi kerana mereka telah bersara dan ingin pergi jauh dari perhatian umum, ada yang pergi kerana mereka telah dipindahkan; tetapi apa jua sebabnya, cepat atau lambat, seseorang perlu pergi juga.

Apabila seseorang pergi, sesetengah kita mungkin berasa sedih kerana orang tersebut telah meninggalkan kita. Mungkin satu hari, kita dapat melihat orang itu semula, mungkin tidak. Tetapi jika kita merenung sejenak, seseorang yang pergi juga dapat dianggap saat kegembiraan. Kenapa begitu? Apabila seseorang telah pergi, pemergiannya memberikan peluang dan ruang untuk kita berkembang. Orang tersebut mungkin telah pergi, tetapi jika dia mempunyai pengaruh yang besar kepada kita, sebahagian daripada dirinya akan bersama kita, dan bahagian itu hanya akan muncul dan hidup apabila orang tersebut telah pergi. Apabila orang itu bersama kita, kita mungkin tidak menghargainya, hanya apabila dia telah pergi, hanya kemudian kita mula menghargai dan mencontohi apa yang dilakukan olehnya. Ia kelihatan pelik, tetapi kadang-kadang begitulah keadaannya dalam hidup.

Yesus mengetahui hakikat kehidupan ini dengan sangat baik, dan Dia tahu bahawa Dia terpaksa pergi supaya para murid dan gereja boleh diberikan kuasa, tumbuh dan menjadi matang. Murid-murid tidak boleh bergantung kepada-Nya secara fizikal selama-lamanya, kerana itu akan menghalang kesediaan mereka untuk berkembang dan terus mara. Tetapi dengan pergi, Yesus meninggalkan pengikut-pengikut-Nya suatu legasi untuk diteruskan, dan legasi yang sama diteruskan pada hari ini. Apakah legasi tersebut? Untuk menyebarkan Berita Baik kepada semua, tanpa mengira di mana kita berada.

Persoalannya adalah: adakah Yesus benar-benar meninggalkan kita? Adakah Yesus meninggalkan kita dalam keadaan terhuyung-hayang atau terabai? Tidak. Dia mungkin telah meninggalkan kita secara fizikal, tetapi Dia bersama kita dengan cara yang penuh kuasa, iaitu melalui Roh Kudus. Kita mungkin berada dalam ketakutan dan ketidak pastian apabila Yesus meninggalkan kita, tetapi dengan kuasa Roh Kudus, kita telah diberikan kekuatan dan keberanian untuk menghadapi dunia dan membantu orang lain untuk mengasihi sama seperti Yesus mengasihi kita.

Hari ini, tatkala kita meraikan Kenaikan Tuhan Yesus kita, janganlah kita berasa kecewa atau hilang arah. Yesus bersama kita, membimbing kita, serta membantu kita untuk pergi dan mengisytiharkan Berita Baik dengan semangat. Sekarang adalah masa kita, sekarang adalah saat kita, dan marilah kita merebut setiap peluang untuk memuliakan Tuhan dengan perkataan dan perbuatan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...