Sabtu, 29 September 2018

Minggu Biasa Ke-26 Tahun B

Setiap seorang daripada kita mempunyai suatu peranan dan tujuan tertentu sebagai sebuah gereja. Tidak kira betapa kecil atau besar peranan serta tujuan, ianya perlu. Sesetengah kita mungkin merasakan seolah-olah apa yang kita lakukan di gereja mungkin kelihatan tidak penting, tetapi apa yang sering kita lupa bahawa segala sesuatu yang kita lakukan sebagai sebuah gereja mempunyai suatu sebab, suatu tujuan. Gereja adalah Tubuh Kristus dan kita dapat melihat gereja dengan merujuk kepada tubuh manusia. Tubuh manusia, seperti yang kita ketahui, mempunyai bahagian yang berlainan, dan setiap bahagian mempunyai tujuan serta fungsinya sendiri. Tangan digunakan untuk menulis, mengangkat, memegang dan membawa. Kaki untuk berjalan. Mata kita untuk melihat dan telinga kita untuk mendengar. Setiap bahagian tidak boleh mengambil alih fungsi dan peranan yang lain, kerana setiap bahagian telah direka khusus untuk peranan dan fungsi tertentu.

Masalah yang mungkin dihadapi oleh sesetengah kita ialah apabila kita membiarkan kebanggaan, ego, dan terutamanya iri hati, mengawal kita. Apabila kita membiarkan iri hati berkuasa, kita menjadi kurang sensitif dan buta terhadap kepentingan dan peranan orang lain. Kita mula berfikir bahawa apa yang kita lakukan merupakan yang paling penting, atau kita adalah yang hebat, dan peranan kita sangat diperlukan. Apabila orang lain melakukan perkara yang sama seperti yang kita lakukan, kita mula berasa marah, terancam dan tidak selamat. Kita membenarkan misi Kristus terganggu, apabila kita membenarkan persaingan untuk menganggu kehidupan gereja.

Dalam bacaan pertama dan di dalam Injil, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana iri hati dapat menghalang fikiran kita, mata kita dan hati kita, menyebabkan kita kehilangan jejak akan siapa diri kita serta apakah peranan dan tujuan kita. Dalam bacaan pertama, beberapa ketua-ketua yang dilantik oleh Musa berasa terancam oleh orang lain yang tidak dilantik seperti mereka, tetapi masih menerima jiwa atau roh yang sama seperti mereka. Apa yang mereka tidak sedar ialah Allah memberikan RohNya kepada sesiapa yang Dia pilih. Tiada siapa pun boleh mendakwa mempunyai monopoli atau kawalan terhadap Allah, atau Roh-Nya, atau Kebenaran. Allah memberikan diri-Nya kepada semua. Pengikut Kristus dalam Injil juga mempunyai masalah yang sama. Mereka merasa terancam dengan seorang lelaki lain yang dapat mengusir syaitan dan melihatnya sebagai pesaing. Walau bagaimanapun, Yesus melihatnya secara berbeza dan mengakui kurnia Roh dalam lelaki ini. Ini membawa Yesus untuk membuat kenyataan penting: "Barangsiapa tidak melawan kita, ia ada di pihak kita."

Jadi apa maksudnya? Ini bermakna bahawa kita mesti ingat bahawa kita semua adalah sebahagian dari Tubuh Kristus, dan setiap daripada kita adalah penting. Kita tidak perlu melihat satu sama lain sebagai pesaing. Sebaliknya, kita mesti menggalakkan kurnia, bakat dan sumbangan orang lain, kerana kita semua mempunyai satu misi bersama, iaitu untuk membina Kerajaan Allah dan bukan kerajaan kita sendiri. Lagipun, untuk apa dan siapakah kita cuba untuk tunjukkan? Oleh itu, jika kita iri hati terhadap orang lain dalam masyarakat, jika kita telah menjadi halangan kepada orang lain, atau jika kita gagal memberi dorongan, maka kita mesti berusaha untuk berubah, dan tidak mengharapkan orang lain berubah sesuai dengan kita. Inilah yang Yesus cuba beritahu kita dalam Injil apabila dia berkata: "jika tangan, kaki atau matamu menyesatkan engkau, penggallah." Marilah kita menghentikan segala perkara yang tidak masuk akal menyalahkan orang lain dan mula bertanggungjawab atas tindakan kita dan masalah yang kita bawa kepada komuniti gereja kita. Semoga kita belajar untuk memberi tumpuan lebih kepada melakukan kehendak Allah dan memberi Dia kemuliaan, bukannya berusaha untuk mendapatkan kemuliaan dan kepuasan untuk diri kita sendiri.

Sabtu, 22 September 2018

Minggu Biasa Ke-25 Tahun B

Bukan mudah untuk membina satu hubungan atau memperolehi persahabatan. Ia mengambil masa untuk satu hubungan dan persahabatan menjadi kuat dan matang. Walau bagaimanapun, terdapat dua sikap yang boleh menghancurkan hubungan dan persahabatan. Apakah dua sikap tersebut? Iri hati dan cita-cita mementingkan diri sendiri, kerana ia boleh menyebabkan hubungan menjadi buruk, retak dan tidak harmoni. Sebagaimana St. Yakobus memberi amaran kepada kita dalam bacaan kedua: "Sebab di mana ada iri hati dan mementingkan diri sendiri di situ ada kekacauan dan segala macam perbuatan jahat...."

Hubungan dan persahabatan terganggu, gagal atau bahkan hancur kerana perasaan iri hati kita terhadap satu sama lain, dan ini sering dipengaruhi oleh cita-cita mementingkan diri untuk kuasa dan status. Apakah punca iri hati dan cita-cita? St Yakobus dalam bacaan kedua hari ini memberi kita petunjuk: "Dari manakah datangnya sengketa dan pertengkaran di antara kamu? Bukankah datangnya dari hawa nafsumu yang saling berjuang di dalam tubuhmu? Kamu mengingini sesuatu, tetapi kamu tidak memperolehnya, lalu kamu membunuh; kamu iri hati, tetapi kamu tidak mencapai tujuanmu, lalu kamu bertengkar dan kamu berkelahi. " Lebih-lebih lagi, dalam Injil hari ini, kita melihat pengikut Yesus berkelahi di antara mereka mengenai isu kuasa. Mereka bertengkar tentang siapa di antara mereka yang paling hebat.

Mengapa kita perlu iri hati dan bercita-cita tinggi? Mengapa kita perlu menjadi yang terhebat? Secara tepatnya adalah kita berasa tidak selamat; kita tidak selesa dengan diri kita sendiri; kita merasakan bahawa kita tidak cukup baik dan orang lain lebih baik daripada kita; kita merasakan bahawa orang lain mengancam status dan kedudukan kita; dan semua ini boleh menyebabkan kita menjadi semakin iri hati sehingga kita sampai ke tahap di mana iri hati menguasai kita, dan kita lebih berminat untuk ke arah menjatuhkan orang lain. Iri hati membawa kita kepada gosip dan fitnah, dan kita akhirnya membuang masa dan tenaga kita dalam pertengkaran kecil kita dan dalam penghitungan kita, daripada membina kerajaan Allah.

Jadi apa yang perlu kita lakukan untuk menghentikan iri hati dalam kehidupan kita? Kita perlu menghentikan semua omong kosong yang kita lakukan dengan serta-merta, tidak ada jika, mungkin atau tetapi. Kita tidak boleh menjadi cemburu, kerana ia hanya akan membawa kita kepada kehancuran kita. Yesus mengingatkan kita dalam Injil hari ini: "Jika seseorang ingin menjadi yang terdahulu, hendaklah ia menjadi yang terakhir dari semuanya dan pelayan dari semuanya." Ini bermakna kita harus berusaha untuk melayani dengan kerendahan hati, kita harus berusaha untuk bekerja dengan satu sama lain dalam membina kerajaan Allah, serta kita harus berusaha menuju pertaubatan hati. Ini boleh terjadi jika kita berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk diri sendiri, untuk satu sama lain, dan untuk masyarakat. Tetapi doa sahaja tidak cukup. Kita mesti bersedia untuk mengubah cara kita dan memulihkan hubungan kita dengan satu sama lain, dan bukannya terus menunding jari terhadap satu sama lain dan menyakiti satu sama lain dengan perkataan dan perbuatan kita. Semoga kita membiarkan Allah menjadi panduan dan kekuatan kita, dan membebaskan kita dari iri hati kita, agar dalam semua yang kita lakukan, namaNya dimuliakan.

Sabtu, 15 September 2018

Minggu Biasa Ke-24 Tahun B

Sebagai kanak-kanak, ramai di antara kita mungkin menghadiri Pendidikan Agama setiap hari Ahad. Bagi sesetengah daripada kita, kelas tersebut digelar kelas katekismus atau sekolah Hari Minggu. Semasa kelas-kelas tersebut, kita akan belajar begitu banyak perkara tentang Allah, mengenai Yesus, tentang sepuluh perintah, dan sebagainya. Tetapi masalahnya ialah: apakah ini adalah iman? Adakah iman kita hanya terbatas pada menghafal katekismus kita? Sesetengah kita mungkin telah melalui pembelajaran rutin di sekolah, di mana kita perlu menghafal dan meluahkan fakta tersebut untuk lulus peperiksaan. Tetapi apakah faedah yang akhirnya kita perolehi daripada kaedah pembelajaran sedemikian? Adakah kita faham apa yang telah kita pelajari dan bolehkah kita menggunakan fakta tersebut dalam kehidupan seharian? Dengan cara yang sama, adakah kita memahami apa yang telah kita pelajari di kelas Katekismus, dan adakah kita dapat menerapkan apa yang telah kita pelajari dalam kehidupan seharian?

Hakikatnya adalah: iman adalah lebih daripada sekadar menghafal fakta, seperti bacaan hari ini memberitahu kita. Iman adalah lebih daripada semata-mata membaca syahadat; lebih daripada mempelajari katekismus kita; lebih daripada sekadar mengetahui tentang Allah dan Yesus. Tidak ada gunanya kita hanya mempunyai iman di mana kita mempunyai pengetahuan tahap-kepala tentang sesuatu atau seseorang, di mana kita hanya mempunyai fakta dan maklumat tentang sesuatu atau orang itu. Sebaliknya, iman kita harus tentang mengenali seseorang, di mana kita mempunyai hubungan istimewa dan mendalam dengan orang tersebut.

Dalam Injil hari ini, Petrus mengenali Yesus sebagai Kristus, Yang Diurapi Tuhan. Walau bagaimanapun, pengiktirafan ini hanya pengetahuan-kepala. Petrus tahu tentang Yesus tetapi tidak mengenalinya sebagai individu. Oleh itu, Yesus menjelaskan siapa dia sebenarnya dan apa yang diperlukan oleh misinya. Yesus memberitahu Petrus bahawa Dia mesti banyak menderita, ditolak oleh tua-tua dan imam-imam kepala dan ahli-ahli Taurat, dibunuh, dan selepas tiga hari Ia akan bangkit semula. Tetapi inilah bahagian yang tidak dapat difahami oleh Petrus. Petrus tahu bahawa Yesus adalah Kristus tetapi tidak dapat menerima kenyataan bahawa Kristus mesti menderita dan mati. Untuk membantu Petrus, Yesus menjelaskan lebih lanjut bahawa untuk seorang menjadi murid-muridNya, orang tersebut harus bersiap untuk menyangkal dirinya, memikul salibnya dan mengikut nasib yang sama dengan Yesus. Ini bermakna bahawa murid-murid mesti mempunyai hubungan mendalam dengan Yesus dan bukan hanya berpuas hati dengan mengetahui tentang Yesus.

Kerana itulah iman kita akan menjadi tidak bermakna jika ia hanya tinggal dalam pengetahuan-kepala. Iman kita memerlukan pertaubatan, komitmen dan tindakan. St Yakobus dalam bacaan kedua mencabar kita untuk memperlihatkan iman kita melalui perbuatan baik kita. Tidak cukup untuk mengatakan bahawa kita mempunyai iman, tetapi kita mesti membuktikan iman kita melalui kehidupan yang kita jalani, dengan kesediaan kita untuk menerima salib Yesus dan mengikutinya. Kita mesti bersedia untuk kehilangan segala-galanya, malah kehidupan kita, mengetahui bahawa "barangsiapa kehilangan nyawanya karena Aku dan karena Injil, ia akan menyelamatkannya."

Oleh itu, marilah kita jujur menilai iman kita. Adakah iman kita semata-mata pengetahuan-kepala? Adakah iman kita hanya jenis iman yang aman yang cuba mengelakkan masalah atau salib? Jika kita memanggil diri kita sebagai orang Kristian, maka kita harus melakukan apa yang dilakukan oleh Kristus. Kita harus menyangkal diri kita sendiri, memikul salib kita dan mengikuti Yesus, kerana Dia adalah jalan menuju kehidupan kekal dan kemuliaan.

Sabtu, 8 September 2018

Minggu Biasa Ke-23 Tahun B

Di antara banyak deria yang kebanyakan kita miliki yang sering kita ambil mudah adalah keupayaan untuk mendengar dan keupayaan untuk bercakap. Sekiranya kita tidak dapat melihat, kita masih boleh bergerak sendiri dengan menggunakan telinga kita, deria bau dan deria lain yang akan semakin sensitif dan lebih baik (tajam) apabila usia kita semakin meningkat. Sekiranya kita tidak dapat mendengar tetapi deria kita yang lain sempurna, kita masih dapat hidup dengan menggunakan bahasa isyarat dan bentuk komunikasi lain, termasuk membaca bibir orang lain untuk memahami apa dikatakan. Jika kita tidak dapat bercakap, kita juga boleh bergantung kepada bentuk komunikasi lain untuk terus hidup. Namun bayangkan jika seseorang dilahirkan bisu dan pekak, atau menjadi sedemikian kerana penyakit tertentu. Kehidupan pastinya agak sukar, memandangkan dia akan bergantung kepada orang lain hampir sepenuhnya.

Dalam Injil hari ini, Yesus menyembuhkan seorang lelaki yang pekak dan bisu. Penyembuhan ini dapat dilihat dari perspektif yang berbeza, iaitu, ia dapat dilihat sebagai model simbolik proses penginjilan, atau menyebarkan Berita Baik tentang Yesus. Para rasul mendengar Berita Baik dan kemudian menyebarkannya kepada semua orang. Orang ini mendengar para rasul berkhutbah dan mereka pula menyebarkannya kepada semua rakan mereka. Akhirnya Berita Baik sampai ke seluruh dunia.

Kini, kita mungkin kehilangan keimanan yang diberikan oleh para rasul. Banyak orang meninggalkan iman. Berita baik ialah di mana Allah begitu mengasihi dunia, sehingga Dia sanggup menghantar puteraNya, supaya kita mempunyai kehidupan, tetapi ramai di antara kita tidak mendengar berita baik tersebut, dan tidak menyebarkannya. Mengapa kita tidak menyebarkannya? Kerana ramai di antara kita mungkin menjadi terlalu sibuk dalam kehidupan kita dengan begitu banyak perkara lain, sehingga kita terlupa betapa pentingnya untuk Berita Baik disebarkan. Sebahagian daripada kita mungkin telah menjadi pekak terhadap Berita Baik, dan segelintir kita mungkin telah menjadi bisu untuk menyebarkannya, sementara sesetengah kita mungkin telah menjadi pekak dan bisu juga terhadap Berita Baik.

Untuk menyembuhkan lelaki pekak dan bisu dalam Injil, Yesus memisahkannya dari orang ramai. Yesus boleh menggunakan kuasanya untuk menyembuh lelaki tersebut tanpa menyentuhnya, tetapi Yesus masih sanggup menyentuh dia. Dia meletakkan jarinya ke telinga lelaki itu dan menyentuh lidahnya dengan air liur. Dia kemudian bercakap perkataan seolah-olah magik ... efata yang bermaksud "terbuka", dan lelaki itu sembuh. Demikian juga, Yesus mungkin memanggil anda untuk beredar ke tempat lain dan menyentuh setiap insan juga, supaya telinga serta lidah kita "terbuka" dan membolehkan kita mendengar dengan jelas dan bercakap dengan jelas sekali lagi, supaya kita juga akan sembuh dan mampu berkeyakinan serta berani pergi dan menyebarkan Berita Baik. Adakah kita bersedia untuk disembuhkan oleh Yesus dan pergi untuk menyebarkan Berita Baik dengan semangat baru?

Sabtu, 1 September 2018

Minggu Biasa Ke-22 Tahun B

Dari usia muda, kebanyakan kita akan diperkenalkan dengan peraturan dan undang-undang di rumah. Kita akan dididik dengan apa yang boleh diterima, apa yang tidak, dan apa akibatnya jika kita melanggar sesuatu peraturan. Malah di sekolah dan kemudiannya dalam masyarakat, kita mempunyai peraturan dan undang-undang. Sebagai masyarakat yang bertamadun, kita tahu bahawa kita memerlukan peraturan dan undang-undang, supaya terdapat pengawalan tertentu. Jika tidak, orang akan berkelakuan sesuka hati dan masyarakat akan berkecai menjadi huru-hara. Seperti biasa, kita akan sentiasa bertembung dengan mereka yang mengadu tentang peraturan dan undang-undang tertentu, terutamanya yang tidak memberi manfaat kepada mereka untuk bebas melakukan apa yang mereka suka, tetapi peraturan dan undang-undang ada di sana bukan hanya untuk kepentingan pihak tertentu, tetapi untuk semua. Sebagai contoh tempat parkir kenderaan. Jika tidak ada peraturan, orang akan meletak sebarangan, dan menyebabkan halangan, menyusahkan orang lain, dan bahkan menimbulkan bahaya kepada orang lain. Itulah sebabnya, sama ada kita suka atau tidak, kita memerlukan peraturan untuk berfungsi sebagai sebuah masyarakat.

Dalam pembacaan hari ini, kita dapat melihat undang-undang, iaitu perintah Allah. Perintah Allah ada di sana untuk membantu kita menjadi orang yang lebih baik serta menjadi orang Kristian yang matang dan bertanggungjawab. Pembacaan pertama memberitahu kita tentang perintah Allah, di mana kita harus: "Lakukanlah itu dengan setia, sebab itulah yang akan menjadi kebijaksanaanmu dan akal budimu di mata bangsa-bangsa." Begitu juga, St Yakobus dalam bacaan kedua menggambarkan perintah sebagai "setiap pemberian yang baik dan setiap anugerah yang sempurna, datangnya dari atas" dan bahawa kita harus " terimalah dengan lemah lembut firman yang tertanam di dalam hatimu, yang berkuasa menyelamatkan jiwamu. Tetapi hendaklah kamu menjadi pelaku firman dan bukan hanya pendengar saja; sebab jika tidak demikian kamu menipu diri sendiri. " St Yakobus dalam bacaan kedua juga mengingatkan kita bahawa perintah Allah ada di sana untuk membantu kita menjadi " anak sulung di antara semua ciptaan-Nya." Tanpa perintah Allah untuk membimbing kita, kita akan dibimbing oleh kebanggaan, prasangka, ego dan kepentingan diri sendiri. Maka, perintah Allah membantu kita menjadi bebas dari motif dan niat kita yang mementingkan diri sendiri.

Walau bagaimanapun, kita mesti berhati-hati untuk tidak menjadi ekstrimis dalam mengikut perintah Allah. Para ahli taurat dan orang Farisi merupakan contoh yang mengikut perintah Allah secara ekstrimis, dengan mengikut perintah Allah tanpa memahami tujuan mereka, dengan sangat menghakimi orang lain, dan dengan melihat diri mereka sebagai penjaga perintah Allah dan penjaga perkara moral. Ini membawa Yesus dalam Injil hari ini untuk menegur mereka dengan berkata: "Bangsa ini memuliakan Aku dengan bibirnya, padahal hatinya jauh dari pada-Ku." Ini kerana seseorang mungkin akan mengikut perintah Allah dengan teliti mengamati amalan luaran seperti yang dilakukan oleh ahli-ahli Taurat dan orang Farisi, tetapi jauh di dalam hati mungkin terdapat niat tidak baik dan jahat, seperti yang diingatkan oleh Yesus dalam Injil hari ini: "Apapun dari luar, yang masuk ke dalam seseorang, tidak dapat menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari seseorang, itulah yang menajiskannya. " Itulah sebabnya tidak cukup untuk mengikut perintah, atau mengikutnya dengan membuta tuli, atau mengikut hanya kerana kita takut hukuman. Sebaliknya, kita harus mengikuti perintah Allah kerana kasih cinta dan bukan kerana takut, kerana perintah Allah ialah perintah kasih cinta.

Oleh itu, marilah kita bertaubat (hati) dan mengikut perintah Allah dengan kasih cinta dan belas kasihan. Sama seperti Allah telah menunjukkan banyak kasih cinta dan belas kasihan terhadap kita, kita juga harus melakukan yang sama kepada orang lain. Marilah kita meminta Allah untuk membantu menjauhkan diri kita dari segala niat jahat, supaya kita bebas dan senang mendengar firman-Nya, mengamalkannya, dan memberi Dia semua kemuliaan dengan kata-kata dan tindakan kita.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...