Setiap seorang daripada kita mempunyai suatu peranan dan tujuan tertentu sebagai sebuah gereja. Tidak kira betapa kecil atau besar peranan serta tujuan, ianya perlu. Sesetengah kita mungkin merasakan seolah-olah apa yang kita lakukan di gereja mungkin kelihatan tidak penting, tetapi apa yang sering kita lupa bahawa segala sesuatu yang kita lakukan sebagai sebuah gereja mempunyai suatu sebab, suatu tujuan. Gereja adalah Tubuh Kristus dan kita dapat melihat gereja dengan merujuk kepada tubuh manusia. Tubuh manusia, seperti yang kita ketahui, mempunyai bahagian yang berlainan, dan setiap bahagian mempunyai tujuan serta fungsinya sendiri. Tangan digunakan untuk menulis, mengangkat, memegang dan membawa. Kaki untuk berjalan. Mata kita untuk melihat dan telinga kita untuk mendengar. Setiap bahagian tidak boleh mengambil alih fungsi dan peranan yang lain, kerana setiap bahagian telah direka khusus untuk peranan dan fungsi tertentu.
Masalah yang mungkin dihadapi oleh sesetengah kita ialah apabila kita membiarkan kebanggaan, ego, dan terutamanya iri hati, mengawal kita. Apabila kita membiarkan iri hati berkuasa, kita menjadi kurang sensitif dan buta terhadap kepentingan dan peranan orang lain. Kita mula berfikir bahawa apa yang kita lakukan merupakan yang paling penting, atau kita adalah yang hebat, dan peranan kita sangat diperlukan. Apabila orang lain melakukan perkara yang sama seperti yang kita lakukan, kita mula berasa marah, terancam dan tidak selamat. Kita membenarkan misi Kristus terganggu, apabila kita membenarkan persaingan untuk menganggu kehidupan gereja.
Dalam bacaan pertama dan di dalam Injil, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana iri hati dapat menghalang fikiran kita, mata kita dan hati kita, menyebabkan kita kehilangan jejak akan siapa diri kita serta apakah peranan dan tujuan kita. Dalam bacaan pertama, beberapa ketua-ketua yang dilantik oleh Musa berasa terancam oleh orang lain yang tidak dilantik seperti mereka, tetapi masih menerima jiwa atau roh yang sama seperti mereka. Apa yang mereka tidak sedar ialah Allah memberikan RohNya kepada sesiapa yang Dia pilih. Tiada siapa pun boleh mendakwa mempunyai monopoli atau kawalan terhadap Allah, atau Roh-Nya, atau Kebenaran. Allah memberikan diri-Nya kepada semua. Pengikut Kristus dalam Injil juga mempunyai masalah yang sama. Mereka merasa terancam dengan seorang lelaki lain yang dapat mengusir syaitan dan melihatnya sebagai pesaing. Walau bagaimanapun, Yesus melihatnya secara berbeza dan mengakui kurnia Roh dalam lelaki ini. Ini membawa Yesus untuk membuat kenyataan penting: "Barangsiapa tidak melawan kita, ia ada di pihak kita."
Jadi apa maksudnya? Ini bermakna bahawa kita mesti ingat bahawa kita semua adalah sebahagian dari Tubuh Kristus, dan setiap daripada kita adalah penting. Kita tidak perlu melihat satu sama lain sebagai pesaing. Sebaliknya, kita mesti menggalakkan kurnia, bakat dan sumbangan orang lain, kerana kita semua mempunyai satu misi bersama, iaitu untuk membina Kerajaan Allah dan bukan kerajaan kita sendiri. Lagipun, untuk apa dan siapakah kita cuba untuk tunjukkan? Oleh itu, jika kita iri hati terhadap orang lain dalam masyarakat, jika kita telah menjadi halangan kepada orang lain, atau jika kita gagal memberi dorongan, maka kita mesti berusaha untuk berubah, dan tidak mengharapkan orang lain berubah sesuai dengan kita. Inilah yang Yesus cuba beritahu kita dalam Injil apabila dia berkata: "jika tangan, kaki atau matamu menyesatkan engkau, penggallah." Marilah kita menghentikan segala perkara yang tidak masuk akal menyalahkan orang lain dan mula bertanggungjawab atas tindakan kita dan masalah yang kita bawa kepada komuniti gereja kita. Semoga kita belajar untuk memberi tumpuan lebih kepada melakukan kehendak Allah dan memberi Dia kemuliaan, bukannya berusaha untuk mendapatkan kemuliaan dan kepuasan untuk diri kita sendiri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Minggu Biasa Ke-6 Tahun B
Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...
-
Dari usia muda, kebanyakan kita akan diperkenalkan dengan peraturan dan undang-undang di rumah. Kita akan dididik dengan apa yang boleh dite...
-
Berapakah jumlah kegembiraan di dalam hati kita? Adakah kita orang yang gembira, atau adakah kita menjadi terlalu sibuk dengan begitu banyak...
-
Sejak berkurun-kurun dan dekad lamanya dalam sejarah manusia, kita telah melihat banyak kegusaran, kebencian, dendam, tentangan, keingkaran,...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan