Dari usia muda, kebanyakan kita akan diperkenalkan dengan peraturan dan undang-undang di rumah. Kita akan dididik dengan apa yang boleh diterima, apa yang tidak, dan apa akibatnya jika kita melanggar sesuatu peraturan. Malah di sekolah dan kemudiannya dalam masyarakat, kita mempunyai peraturan dan undang-undang. Sebagai masyarakat yang bertamadun, kita tahu bahawa kita memerlukan peraturan dan undang-undang, supaya terdapat pengawalan tertentu. Jika tidak, orang akan berkelakuan sesuka hati dan masyarakat akan berkecai menjadi huru-hara. Seperti biasa, kita akan sentiasa bertembung dengan mereka yang mengadu tentang peraturan dan undang-undang tertentu, terutamanya yang tidak memberi manfaat kepada mereka untuk bebas melakukan apa yang mereka suka, tetapi peraturan dan undang-undang ada di sana bukan hanya untuk kepentingan pihak tertentu, tetapi untuk semua. Sebagai contoh tempat parkir kenderaan. Jika tidak ada peraturan, orang akan meletak sebarangan, dan menyebabkan halangan, menyusahkan orang lain, dan bahkan menimbulkan bahaya kepada orang lain. Itulah sebabnya, sama ada kita suka atau tidak, kita memerlukan peraturan untuk berfungsi sebagai sebuah masyarakat.
Dalam pembacaan hari ini, kita dapat melihat undang-undang, iaitu perintah Allah. Perintah Allah ada di sana untuk membantu kita menjadi orang yang lebih baik serta menjadi orang Kristian yang matang dan bertanggungjawab. Pembacaan pertama memberitahu kita tentang perintah Allah, di mana kita harus: "Lakukanlah itu dengan setia, sebab itulah yang akan menjadi kebijaksanaanmu dan akal budimu di mata bangsa-bangsa." Begitu juga, St Yakobus dalam bacaan kedua menggambarkan perintah sebagai "setiap pemberian yang baik dan setiap anugerah yang sempurna, datangnya dari atas" dan bahawa kita harus " terimalah dengan lemah lembut firman yang tertanam di dalam hatimu, yang berkuasa menyelamatkan jiwamu. Tetapi hendaklah kamu menjadi pelaku firman dan bukan hanya pendengar saja; sebab jika tidak demikian kamu menipu diri sendiri. " St Yakobus dalam bacaan kedua juga mengingatkan kita bahawa perintah Allah ada di sana untuk membantu kita menjadi " anak sulung di antara semua ciptaan-Nya." Tanpa perintah Allah untuk membimbing kita, kita akan dibimbing oleh kebanggaan, prasangka, ego dan kepentingan diri sendiri. Maka, perintah Allah membantu kita menjadi bebas dari motif dan niat kita yang mementingkan diri sendiri.
Walau bagaimanapun, kita mesti berhati-hati untuk tidak menjadi ekstrimis dalam mengikut perintah Allah. Para ahli taurat dan orang Farisi merupakan contoh yang mengikut perintah Allah secara ekstrimis, dengan mengikut perintah Allah tanpa memahami tujuan mereka, dengan sangat menghakimi orang lain, dan dengan melihat diri mereka sebagai penjaga perintah Allah dan penjaga perkara moral. Ini membawa Yesus dalam Injil hari ini untuk menegur mereka dengan berkata: "Bangsa ini memuliakan Aku dengan bibirnya, padahal hatinya jauh dari pada-Ku." Ini kerana seseorang mungkin akan mengikut perintah Allah dengan teliti mengamati amalan luaran seperti yang dilakukan oleh ahli-ahli Taurat dan orang Farisi, tetapi jauh di dalam hati mungkin terdapat niat tidak baik dan jahat, seperti yang diingatkan oleh Yesus dalam Injil hari ini: "Apapun dari luar, yang masuk ke dalam seseorang, tidak dapat menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari seseorang, itulah yang menajiskannya. " Itulah sebabnya tidak cukup untuk mengikut perintah, atau mengikutnya dengan membuta tuli, atau mengikut hanya kerana kita takut hukuman. Sebaliknya, kita harus mengikuti perintah Allah kerana kasih cinta dan bukan kerana takut, kerana perintah Allah ialah perintah kasih cinta.
Oleh itu, marilah kita bertaubat (hati) dan mengikut perintah Allah dengan kasih cinta dan belas kasihan. Sama seperti Allah telah menunjukkan banyak kasih cinta dan belas kasihan terhadap kita, kita juga harus melakukan yang sama kepada orang lain. Marilah kita meminta Allah untuk membantu menjauhkan diri kita dari segala niat jahat, supaya kita bebas dan senang mendengar firman-Nya, mengamalkannya, dan memberi Dia semua kemuliaan dengan kata-kata dan tindakan kita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Minggu Biasa Ke-6 Tahun B
Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...
-
Dari usia muda, kebanyakan kita akan diperkenalkan dengan peraturan dan undang-undang di rumah. Kita akan dididik dengan apa yang boleh dite...
-
Berapakah jumlah kegembiraan di dalam hati kita? Adakah kita orang yang gembira, atau adakah kita menjadi terlalu sibuk dengan begitu banyak...
-
Sejak berkurun-kurun dan dekad lamanya dalam sejarah manusia, kita telah melihat banyak kegusaran, kebencian, dendam, tentangan, keingkaran,...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan