Sabtu, 22 September 2018

Minggu Biasa Ke-25 Tahun B

Bukan mudah untuk membina satu hubungan atau memperolehi persahabatan. Ia mengambil masa untuk satu hubungan dan persahabatan menjadi kuat dan matang. Walau bagaimanapun, terdapat dua sikap yang boleh menghancurkan hubungan dan persahabatan. Apakah dua sikap tersebut? Iri hati dan cita-cita mementingkan diri sendiri, kerana ia boleh menyebabkan hubungan menjadi buruk, retak dan tidak harmoni. Sebagaimana St. Yakobus memberi amaran kepada kita dalam bacaan kedua: "Sebab di mana ada iri hati dan mementingkan diri sendiri di situ ada kekacauan dan segala macam perbuatan jahat...."

Hubungan dan persahabatan terganggu, gagal atau bahkan hancur kerana perasaan iri hati kita terhadap satu sama lain, dan ini sering dipengaruhi oleh cita-cita mementingkan diri untuk kuasa dan status. Apakah punca iri hati dan cita-cita? St Yakobus dalam bacaan kedua hari ini memberi kita petunjuk: "Dari manakah datangnya sengketa dan pertengkaran di antara kamu? Bukankah datangnya dari hawa nafsumu yang saling berjuang di dalam tubuhmu? Kamu mengingini sesuatu, tetapi kamu tidak memperolehnya, lalu kamu membunuh; kamu iri hati, tetapi kamu tidak mencapai tujuanmu, lalu kamu bertengkar dan kamu berkelahi. " Lebih-lebih lagi, dalam Injil hari ini, kita melihat pengikut Yesus berkelahi di antara mereka mengenai isu kuasa. Mereka bertengkar tentang siapa di antara mereka yang paling hebat.

Mengapa kita perlu iri hati dan bercita-cita tinggi? Mengapa kita perlu menjadi yang terhebat? Secara tepatnya adalah kita berasa tidak selamat; kita tidak selesa dengan diri kita sendiri; kita merasakan bahawa kita tidak cukup baik dan orang lain lebih baik daripada kita; kita merasakan bahawa orang lain mengancam status dan kedudukan kita; dan semua ini boleh menyebabkan kita menjadi semakin iri hati sehingga kita sampai ke tahap di mana iri hati menguasai kita, dan kita lebih berminat untuk ke arah menjatuhkan orang lain. Iri hati membawa kita kepada gosip dan fitnah, dan kita akhirnya membuang masa dan tenaga kita dalam pertengkaran kecil kita dan dalam penghitungan kita, daripada membina kerajaan Allah.

Jadi apa yang perlu kita lakukan untuk menghentikan iri hati dalam kehidupan kita? Kita perlu menghentikan semua omong kosong yang kita lakukan dengan serta-merta, tidak ada jika, mungkin atau tetapi. Kita tidak boleh menjadi cemburu, kerana ia hanya akan membawa kita kepada kehancuran kita. Yesus mengingatkan kita dalam Injil hari ini: "Jika seseorang ingin menjadi yang terdahulu, hendaklah ia menjadi yang terakhir dari semuanya dan pelayan dari semuanya." Ini bermakna kita harus berusaha untuk melayani dengan kerendahan hati, kita harus berusaha untuk bekerja dengan satu sama lain dalam membina kerajaan Allah, serta kita harus berusaha menuju pertaubatan hati. Ini boleh terjadi jika kita berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk diri sendiri, untuk satu sama lain, dan untuk masyarakat. Tetapi doa sahaja tidak cukup. Kita mesti bersedia untuk mengubah cara kita dan memulihkan hubungan kita dengan satu sama lain, dan bukannya terus menunding jari terhadap satu sama lain dan menyakiti satu sama lain dengan perkataan dan perbuatan kita. Semoga kita membiarkan Allah menjadi panduan dan kekuatan kita, dan membebaskan kita dari iri hati kita, agar dalam semua yang kita lakukan, namaNya dimuliakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...