Sabtu, 13 Oktober 2018

Minggu Biasa Ke-28 Tahun B

Apakah bab atau ayat kegemaran anda dalam al-kitab? Sesetengah kita seperti mempunyai satu bab atau ayat kegemaran, yang sering kita rujuk, untuk mengingatkan kita akan kasih Allah, untuk menghiburkan kita ketika kita menghadapi kesulitan, atau ketika kita memerlukan kekuatan dan dorongan. Tetapi Alkitab bukan setakat itu. Al-kitab juga mengandungi bab-bab dan ayat-ayat yang dapat membuat kita berasa agak tidak selesa dan tidak senang, seperti bacaan kedua mengingatkan kita: "Firman Allah hidup dan kuat dan lebih tajam dari pada pedang bermata dua manapun..." Ini bermakna bahawa al-kitab bukan hanya menghibur kita tetapi juga mencabar kita. Ia bukan sahaja menjanjikan berkat tetapi juga menguraikan kutukan yang timbul ketika kita gagal untuk tetap setia kepada Allah.

Injil hari ini adalah satu contoh di mana membaca Alkitab dapat membuat kita merasa tidak selesa atau tidak senang. Mengapa begitu? Dalam Injil, orang kaya mendakwa bahawa dia telah menuruti semua perintah dari sejak masa mudanya. Kemudian Yesus mengajukan kepadanya suatu cabaran yang lebih besar, "Pergilah, juallah apa yang kaumiliki dan berikanlah itu kepada orang-orang miskin, maka engkau akan beroleh harta di syurga, kemudian datanglah ke mari dan ikutlah Aku." Jika anda berada di tempat lelaki kaya, bagaimanakah perasaan anda? Sesetengah anda mungkin akan berasa bingung dengan cabaran sedemikian. Nampak gila dan tidak masuk akal bagi kita untuk mengadai segala sesuatu yang kita ada dan menjadi miskin, hanya untuk mengikut Yesus. Tetapi apakah yang sebenarnya Yesus cuba memberitahu kita? Adakah anda dapat membaca maksud tersirat?

Apa yang Yesus cuba beritahu kepada kita sangat mendalam dan mengenai kita sebagai orang Kristian, sebagai pengikut-Nya, sebagai murid-muridNya. Yesus mengingatkan kita bahawa kerajaan Allah jauh lebih hebat daripada kerajaan manusia. Khazanah yang akan kita temui di syurga jauh melampaui dan mengatasi kekayaan yang kita kumpulkan di bumi ini. Kecuali kita bersedia untuk melepaskan segala sesuatu di bumi ini dengan terpisah daripadanya, kita tidak akan dapat memperoleh harta di syurga. Ini disebabkan apabila kita hanya kisah tentang hal-hal kehidupan ini, yang bersifat sementara, akan pudar, dan yang tidak dapat kita bawa bersama dengan kita selepas kematian, maka kita benar-benar bodoh, memandangkan kita menghabiskan banyak masa untuk mengumpul perkara-perkara duniawi yang akhirnya akan hilang.

Tetapi adakah salah menjadi kaya? Tidak, itu bukanlah maksud Yesus cuba sampaikan kepada kita. Apa yang Yesus cuba katakan kepada kita ialah menghapuskan semua halangan, seperti kekayaan, kebanggaan kita, kemewahan dan harta kita, atau kuasa kita, yang menghalang dan mengalihkan perhatian kita daripada mengikut Dia dan menjadi murid-muridNya yang sejati. Walaupun kita perlu hidup di dunia ini, kita tidak seharusnya terjerat dengan apa yang ditawarkan oleh dunia ini, dan kehilangan matlamat syurga kita. Seperti yang sesetengah kita mungkin telah dengar, kita harus "makan untuk hidup" dan bukan kisah dengan "hidup untuk makan." Ini bermakna, seperti unta dalam Injil, kita mesti mengalihkan beban duniawi yang membebankan kita, supaya kita dapat melewati "lubang jarum", jika kita berusaha untuk berada di dalam Kerajaan Allah.

Sesetengah anda mungkin berfikir: melepaskan kekayaan duniawi kita dan terpisah daripadanya? Kedengaran mustahil. Kita dikelilingi oleh begitu banyak bentuk godaan untuk mendapatkan lebih banyak apa yang ditawarkan dunia ini. Bagaimanakah kita mengalihkan diri dari tarikan duniawi yang berterusan? Sekali lagi, Yesus memberi jaminan kepada kita: "Bagi manusia hal itu tidak mungkin, tetapi bukan demikian bagi Allah. Sebab segala sesuatu adalah mungkin bagi Allah." Semoga kita mencari pertolongan dan rahmat Allah, supaya kita dapat melepaskan semua keterikatan yang akan menghalang kita daripada mengikut Yesus, agar kita akan menjadi ringan dan bebas untuk berusaha menuju Kerajaan-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...