Memaparkan catatan dengan label Bonda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bonda. Papar semua catatan

Isnin, 21 Mei 2018

Bonda Maria, Bonda Gereja

Apakah erti sebuah gereja? Adakah gereja hanyalah sebuah bangunan? Sudah tentu tidak! Sebuah gereja adalah lebih daripada sebuah bangunan, kerana orang Kristian awal tidak mempunyai bangunan yang sesuai yang kita panggil gereja hari ini. Sebaliknya, gereja adalah umat beriman; umat Allah; komuniti dan tubuh Kristus; bersatu sebagai satu dalam kasih cinta, amal, iman dan doa. Tidak ada ruang bagi sikap individualistik atau agenda pribadi, kerana sebagai gereja, kita adalah anak lelaki dan anak perempuan Tuhan, saudara dan saudari dalam Kristus.

Dalam komuniti gereja kita, kita mempunyai seorang yang telah membimbing kita dan berdoa untuk kita dan dengan kita sejak zaman awal agama Kristian. Orang itu adalah Bonda kita, Bonda Maria. Di dalam Injil, ketika Yesus mati di kayu salib, Dia memberikan Maria kepada murid yang dikasihi, dan dalam melakukan itu, memberikan Maria kepada kita, murid-murid-Nya. Dalam bacaan, kita melihat Maria dengan para rasul, menyertai doa berterusan. Maria tidak menjauhkan diri atau mengelakkan orang lain, tetapi berada di sana berdoa dan dengan para rasul, setelah Yesus dibawa ke syurga. Bacaannya menunjukkan bahawa Maria juga bonda kita, dan itulah sebabnya kita meraikan " Bonda Maria, Bonda Gereja" hari ini.

Dengan Maria sebagai bonda kita, marilah kita terus mempercayai kasih cinta dan penjagaannya, dan mengikuti teladannya untuk menghulurkan kepada orang lain dalam kasih cinta dan doa. Marilah kita mempersembahkan kehadiran kita seperti yang dilakukannya, kepada semua yang memerlukan, terutama yang sakit, yang sudah tua, yang miskin, yang tertindas, dan ramai lagi, supaya dalam semua yang kita lakukan, Allah dapat dimuliakan.

Isnin, 19 Mac 2018

Hari Raya Santo Yusuf, Suami Bonda Maria

Ramai di antara kita mengetahui sesuatu tentang bapa kita dan kita telah membesar di bawah bimbingan mereka selama ini. Sesetengah daripada kita, atas satu sebab atau yang lain, mungkin tidak banyak mengenali bapa kita. Santo Yusuf, suami Bonda Maria, merupakan seorang bapa yang kita kenali sedikit. Injil tidak banyak menyebutnya, kecuali pada awal dari masa Yesus dikandung sehingga Dia hilang dan ditemui di Bait Suci ketika Dia berumur dua belas tahun.

Dari sedikit yang kita dapat himpunkan mengenai Santo Yusuf dalam Injil hari ini, kita membaca bahawa Santo Yusuf adalah “seorang yang tulus hati dan tidak mau mencemarkan nama isterinya di muka umum, ia bermaksud menceraikannya dengan diam-diam." Bagaimanapun, ketika malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya dalam mimpi dengan berita jaminan, Yusuf " berbuat seperti yang diperintahkan malaikat Tuhan itu kepadanya." Ayat-ayat tersebut memberikan kita sedikit pandangan terhadap siapakah Santo Yusuf. Walaupun dia seorang yang tegak/lurus, dia juga tunduk kepada kehendak Tuhan. Injil hari ini mengingatkan kita juga tentang peranan kita sebagai bapa. Menjadi seorang bapa atau dipanggil sebagai bapa tidak memadai; kita perlu menunjukkan contoh yang baik dan cukup rendah diri untuk mendengar suara Tuhan. Marilah kita mempunyai unsur-unsur kejantanan yang baik dan yang menyayangi dalam hubungan kita dengan Tuhan dan dengan orang lain, dan mengikuti contoh Santo Yusuf.

Jumaat, 8 Disember 2017

Bonda Maria Dikandung Tanpa Noda

Adakah kita mempunyai amalan melakukan kehendak Allah, atau kita melakukan kehendak kita sendiri? Kadang-kadang kita mengatakan bahawa kita melakukan kehendak Allah, tetapi sebenarnya, kita melakukan perkara kita sendiri. Nampaknya lebih mudah untuk melakukan perkara yang kita senangi, serta mengelakkan perkara-perkara yang kurang diingini atau tidak menyenangkan.

Dalam pembacaan hari ini, kita melihat perbezaan antara respons Adam dan Hawa, serta respons Bonda Maria. Adam mengingkari Allah dengan memakan buah yang dilarang, dan bersembunyi dalam rasa takut serta malu. Sebaliknya, Maria memberi respons kepada dorongan Allah dan berkata, "Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataanmu itu."

Maria berkata ya kepada malaikat itu, mengetahui dengan jelas masa depan yang tidak diketahui di hadapannya dan mempercayai bahawa Allah akan menjaga perkara-perkara tersebut. Kadang-kadang kita takut kepada yang tidak diketahui dan kita lebih suka mempunyai kepastian tertentu, namun berapa ramai di antara kita yang bersedia mengikut teladan Maria dan penuh yakin serta percaya, berkata Ya bagi banyak perkara yang dikurniakan Allah kepada kita? Marilah kita lihat kepada Maria sebagai teladan kita dan merenungkan respon kita sendiri kepada panggilan Allah. Allah menjemput kita untuk tinggal di dalam penjagaanNya yang penuh kasih sayang , marilah kita jangan takut lagi dan tetap berada di dalam Dia.

Khamis, 8 Disember 2016

Bonda Maria Dikandung Tanpa Noda

Hari ini kita meraikan Pesta Bonda Maria Dikandung Tanpa Noda. Dalam pembacaan hari ini, kita melihat respons Adam yang tidak taat dan bersembunyi dalam rasa takut dan malu. Sebaliknya, kita melihat Maria yang respons sebagai seorang murid dan berkata, " Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataanmu itu."

Maria mempercayai Allah sepenuhnya walaupun dia meragui dan takut akibatnya mengatakan ya kepada Allah. Walaupun terdapat bahaya dan cabaran yang akan dihadapi, dia masih berkata ya. Dia adalah murid yang setia, yang pertama percaya kepada Yesus, yang pertama menerima Dia dan memberikan daging kepada Tubuh-Nya.

Maria berkata ya kepada malaikat, ya kepada kehidupan yang tidak pernah ia harapkan, ya kepada pedang yang akan menembus hatinya, ya kepada salib, ya kepada masa depan yang tidak diketahui di hadapannya dan selalu ya kepada Anaknya. Allah sentiasa mencari kita, untuk mengasihi kita, menjaga kita. Apabila Allah memanggil kita ketika dia memanggil Adam "Di mana kamu"? Bagaimana kita respons? Adakah kita bertindak seperti Adam, malu dengan dosa-dosa kita dan bersembunyi dalam ketakutan, dengan harapan bahawa Allah akhirnya akan meninggalkan kita bersendirian dan membiarkan kita begitu sahaja, atau kita respons seperti yang dilakukan Maria, mengatakan " Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataanmu itu."

Marilah kita melihat Maria sebagai model pemuridan, dan merenung respons kita sendiri kepada panggilan Tuhan. Adakah kita selektif dalam respons kita, mengambil dan memilih hanya yang sesuai dengan kita? Atau adakah kita berusaha keras untuk menjadi seperti Bonda Syurgawi kita, Maria, yang memberikan semuanya, memberi kita inspirasi untuk memberikan semua untuk kemuliaan Allah yang lebih besar?

Rabu, 7 Oktober 2015

Peringatan Bonda Maria Ratu Rosario

Peringatan Bonda Maria Ratu Rosario berasal dari kemenangan angkatan laut di Lepanto pada 7 Oktober 1571. Di dalam peperangan angkatan laut itu, sekumpulan kecil angkatan Kristian telah mengalahkan armada angkatan perkasa Turki, dengan demikian menghentikan penjajahan Eropa Kristian. Kemenangan itu dianggap sebagai satu keajaiban dan Paus St Pius V memberikan sebabnya kepada doa rosario dan doa permohonan melalui Bonda Maria.

Melalui kejadian ini, kita dapati bahawa rosario memang sebenarnya adalah satu doa ibadat khas kepada Bonda Kita. Ramai Paus, para paderi, para ahli agama, para santos dan para jemaah sentiasa mengesyorkan doa ibadat khas ini sebagai salah satu ibadat yang baik. Rosario adalah doa secara bersuara dan mental; dan ia juga doa peribadi dan juga sebagai doa beramai. Bila kita bermeditasi kisah kisah misteri Rosario, kita akan mengalami Kristus melalui Bonda Maria. Bukan sahaja itu, dengan doa Rosario, Bonda Maria juga turut serta berdoa dengan ktia, dan berdoa Rosario juga akan mengekalkan kekuatan kita di dalam memerangi syaitan dan pengikut-pengikutnya. Dengan demikian, janganlah kita leka terhadap doa Rosario dan seperti Bonda Maria menyerahkan diri kita kepada Tuhan supaya Dia menjadi pembantu dan petunjuk kita.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...