Sabtu, 2 September 2017

Minggu Biasa Ke-22 Tahun A

Sesetengah kita bertuah kerana hidup dalam kehidupan yang tanpa banyak masalah, kebimbangan, kesukaran, hubungan yang retak, kesakitan fizikal atau emosi, atau lain-lain bentuk penderitaan. Apabila kita tidak menghadapi situasi seperti ini, sesetengah kita mungkin mula berasa agak selesa dalam status kita sekarang, dan mungkin keberatan untuk keluar dari zon selesa kita, terlibat, dan bersedekah terhadap orang lain yang kurang bernasib baik daripada kita. Sesetengah kita mungkin hanya menderma sejumlah wang, memikirkan bahawa memberi wang akan membantu dan kita telah melakukan bahagian kita. Persoalannya ialah: adakah kita berkelakuan seperti orang Kristian dalam situasi sebegini, atau kita hanya melakukan perkara untuk mengelakkan diri daripada terlalu terlibat dengan seseorang atau dalam satu situasi?

Menjadi seorang Kristian bererti kita menjadi pengikut Kristus. Ini bermakna kita harus sentiasa dalam satu misi untuk membawa Khabar Baik kepada orang lain, dengan kata-kata dan perbuatan. Ia juga bermakna kita harus menyangkal diri sendiri, memikul salib kita dan mengikut-Nya. Salib mengingatkan kita pada standard Allah: seperti kebenaran, kasih, belas kasihan, pengampunan, kerendahan hati, dan pengorbanan diri. Manakala kita tidak boleh dipengaruhi dengan standard dunia: seperti pembohongan, mementingkan diri, tiada pengampunan, keganasan, bangga diri, prejudis dan mementingkan diri.

Sepanjang kehidupan kita di dunia, kita sentiasa dicabar untuk memilih salah satu daripada dua jalan. Jalan pertama adalah jalan yang mudah, di mana kita dihujani dengan kemewahan, kekayaan, populariti dan kuasa. Jalan ini mungkin kelihatan hebat, dan ada yang mungkin menjadi leka dan agak selesa untuk kekal atas jalan ini. Tetapi jalan sebegini boleh membawa kita jauh dari Allah. Apa yang difikirkan sesetengah kita sebagai pilihan bijak dengan memilih jalan ini mungkin satu hari nanti mendapati sudah terlambat (menyesal) sebab ia adalah pilihan yang kurang bijak. Jalan yang satu lagi berliku-liku, sukar, mencabar, menyakitkan dan kita mungkin menghadapi banyak penganiayaan jika kita mengikut jalan tersebut. Tetapi inilah jalan salib, jalan yang Kristus isyaratkan kepada kita, kerana ia akan membawa kita kepada Tuhan. Jalan manakah yang kita benar-benar mahu? Jalan manakah yang kita benar-benar bersedia untuk ikut?

St. Paulus dalam bacaan kedua mengingatkan kita: "Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi berubahlah oleh pembaharuan budimu, sehingga kamu dapat membedakan manakah kehendak Allah: apa yang baik, yang berkenan kepada Allah dan yang sempurna." Adakah kita bersedia untuk melepaskan keselesaan dan kekayaan sementara di dunia serta memikul salib kita, supaya kita dapat menikmati keselesaan dan kekayaan yang kekal dengan Tuhan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...