Sabtu, 4 Ogos 2018

Minggu Biasa Ke-18 Tahun B

Sesetengah orang menjalani hidup tanpa mengetahui apa yang mereka benar-benar inginkan, apa yang mereka mahukan. Sesetengah orang berfikir apa yang mereka benar-benar inginkan adalah kebahagiaan, ada pula yang berfikir apa yang mereka benar-benar inginkan adalah keamanan dan kemakmuran, yang lain berfikir bahawa apa yang mereka benar-benar inginkan adalah untuk berkahwin dengan seorang gadis atau lelaki yang akan menjadi teman seumur hidup. Senarai itu berjela-jela, dan mungkin ada begitu banyak perkara yang kita inginkan atau mahu. Namun, adakah kita benar-benar mahu atau menginginkan perkara-perkara ini? Sering kali, perkara-perkara yang kita inginkan atau mahu boleh berubah mengikut keadaan. Walaupun kita mungkin mendapat apa yang kita mahu atau ingini, kemungkinan besar ia hanya perkara sementara atau pengalaman jangka pendek, memandangkan selalu terdapat sesuatu yang akan menarik perhatian kita. Tidak kira betapa sukarnya kita cuba untuk memenuhi kehendak kita, kita hanya akan mencapai kepuasan sementara.

Dalam pembacaan pertama, orang Israel telah diselamatkan dari perhambaan di Mesir oleh Allah. Bukan itu sahaja, mereka mempunyai Musa untuk memimpin mereka. Tetapi adakah orang Israel berpuas hati dan bersyukur atas apa yang telah dilakukan oleh Allah untuk mereka? Tidak. Mereka mengeluh dan merungut. Apabila di Mesir, mereka merungut tentang menjadi hamba. Apabila dibawa keluar dari Mesir, mereka mengeluh bahawa mereka tidak mempunyai makanan di padang pasir. Allah masih menyediakan orang Israel dengan roti dari syurga, walaupun mereka tetap tidak puas hati dan tidak bersyukur. Walaupun dengan roti dari syurga, orang Israel masih mengeluh dan merungut. Sesungguhnya, begitu sukar untuk memuaskan orang sedemikian.

Bagaimanakah pula dengan kita? Adakah sesetengah kita seperti orang Israel dalam beberapa aspek? Jika kehidupan kita sentiasa ditentukan atau diperhambakan oleh kehendak dan keinginan kita, tidak akan ada penghujung rasa tidak puas hati, tidak gembira dan rungutan kita. Kita akan sentiasa tidak berpuas hati, tidak gembira, dan tidak dapat dipenuhi walaupun kita sudah mencapai semua kehendak dan keinginan kita, kerana ia tidak akan cukup, dan malah semuanya tidak mencukupi. Itulah sebabnya St Paulus mengingatkan kita dalam pembacaan kedua: " kamu, berhubung dengan kehidupan kamu yang dahulu, harus menanggalkan manusia lama, yang menemui kebinasaannya oleh nafsunya yang menyesatkan, supaya kamu dibaharui di dalam roh dan pikiranmu, dan mengenakan manusia baru, yang telah diciptakan menurut kehendak Allah di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya." Apakah sebenarnya diri baru ini? Ia merupakan diri baru dalam Yesus, sebagaimana Yesus memberitahu kita dalam Injil hari ini: " Akulah roti hidup; barangsiapa datang kepada-Ku, ia tidak akan lapar lagi, dan barangsiapa percaya kepada-Ku, ia tidak akan haus lagi." Sekiranya hidup kita menjalani "revolusi rohani," jika kita dapat membenarkan Yesus berada di hati dan pusat kehidupan kita, maka tidak perlu kita mengidamkan apa-apa lagi. Tidak perlu kita mengejar kekayaan, kemewahan, kebahagiaan, pengiktirafan, kejayaan dan kemasyhuran, kerana kita mempunyai Yesus, dan cukup dengan Yesus.

Hari ini, marilah kita melihat jenis kehidupan yang kita jalani. Sesetengah kita memanggil diri kita sebagai orang Kristian, tetapi walaupun menerima Yesus, ada di antara kita yang masih menginginkan lebih. Jika kita percaya bahawa Yesus adalah roti hidup yang memenuhi setiap kehendak dan keperluan kita, maka mengapa kita masih mencari perkara lain? Adakah Yesus tidak cukup untuk kita? Ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan bahagian kita untuk hidup di dunia ini, tetapi ini bermakna kita harus mempertimbangkan apa yang kita inginkan dan perlu. Semoga kita memilih dengan bijak apa sebenarnya yang kita inginkan dan perlu, demi kebaikan masa depan kita yang kekal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...