Sabtu, 18 Ogos 2018

Minggu Biasa Ke-20 Tahun B

Sesetengah orang berfikir bahawa mereka sangat bijak, atau mereka andainya mempunyai kebijaksanaan yang istimewa. Ada yang berfikir bahawa mereka sangat cerdik. Tetapi adakah seseorang yang cerdik dianggap seorang yang bijak? Jika seseorang pandai melakukan sesuatu atau menyelesaikan sesuatu, adakah orang itu dianggap bijak? Kadang-kadang kita bertembung dengan orang yang telah meluangkan banyak masa dan kekayaan mereka untuk membantu orang lain. Ada sesetengah dalam masyarakat yang menganggap orang tersebut sebagai bodoh, kerana mereka menganggap orang tersebut harus menggunakan masa mereka dengan "bijak" untuk perkara yang lebih manfaat. Namun, adakah orang tersebut bijak dalam membantu orang lain? Atau adakah orang yang menganggap mereka ini bodoh, adalah orang yang bijak? Apakah sebenarnya kebijaksanaan?

Dalam Amsal 9:10, kita diberitahu: " Permulaan hikmat adalah takut akan TUHAN, dan mengenal Yang Mahakudus adalah pengertian." Ini adalah gambaran yang berbeza tentang kebijaksanaan dari apa yang dianggap dunia sebagai kebijaksanaan. Sebenarnya, St Paulus dalam bacaan kedua hari ini mengingatkan kita: " Karena itu, perhatikanlah dengan saksama, bagaimana kamu hidup, janganlah seperti orang bebal, tetapi seperti orang arif, dan pergunakanlah waktu yang ada, karena hari-hari ini adalah jahat. Sebab itu janganlah kamu bodoh, tetapi usahakanlah supaya kamu mengerti kehendak Tuhan. " Apabila kita berfikir dengan minda Allah, apabila kita belajar untuk takut kepada Dia dengan penuh hormat, kita mula belajar dan menghargai kebijaksanaan sebenar, iaitu kebijaksanaan Allah.

Itulah sebabnya kita tidak akan dapat merukunkan kebijaksanaan manusia dengan kebijaksanaan Allah. Satu contoh klasik tentang bagaimana kebijaksanaan manusia amat berbeza dengan kebijaksanaan Allah adalah Ekaristi. Kita orang Kristian percaya bahawa Yesus benar-benar hadir dalam roti dan anggur yang sudah dikuduskan. Roti mungkin terus kelihatan dan rasa seperti roti, tetapi iman kita memberitahu kita bahawa ia bukan lagi roti tetapi Kristus sendiri. Ini adalah perkara yang sangat sukar difahami atau diterima jika kita hanya bergantung kepada kebijaksanaan manusia. Selain itu, dalam Injil, Yesus menegaskan bahawa Dia adalah roti hidup dari syurga dan sesiapa yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Bukan itu saja, Yesus menegaskan bahawa "daging"Nya adalah roti hidup. Jelas ketara, orang Yahudi respon dengan cara yang munasabah, kerana mereka bergantung pada kebijaksanaan manusia dan minda logik, dan mereka juga mempersoal di antara mereka sendiri: " Bagaimana Ia ini dapat memberikan daging-Nya kepada kita untuk dimakan?" Namun kebijaksanaan Allah tidak memerlukan logik, kerana kebijaksanaanNya melampaui logik kita dan pemahaman kita yang terhad. Ketika Komuni, Yesuslah yang kita terima, dagingnya, tubuhnya. Ini mungkin kedengaran tidak rasional atau tidak logik kepada dunia, tetapi bagi kita ia adalah kebijaksanaan, kerana kita tahu dan percaya bahawa Yesus adalah satu-satunya makanan yang dapat memuaskan semua kehendak dan keinginan kita.

Oleh itu, kita tidak harus memberi terlalu banyak perhatian untuk cuba menjadi lebih cerdik atau bijak, kerana usaha tersebut hanya memberi manfaat untuk sementara. Marilah kita turut tidak terlalu bergantung pada kebijaksanaan manusia, kerana apa yang kelihatan bijak dalam istilah manusia mungkin tidak semestinya begitu dalam istilah Allah. Sebaliknya, marilah kita melakukan lebih banyak usaha untuk mencari kebijaksanaan ilahi, supaya dengan bantuan dan bimbingan Allah, kita akan semakin dekat dengan Dia dan suatu hari akan bersama-sama dengan Dia selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...