Ahad, 25 November 2018

Kristus adalah Raja Tahun B

Hari ini, kebanyakan kita tertarik untuk memperolehi pelbagai jenis kelayakan. Apabila kita telah menamatkan suatu kursus atau pengajian, kita mengharap untuk menerima segulung diploma, ijazah atau apa jua bentuk kertas yang tertera jenis kelayakan yang kita capai. Kertas tersebut dipanggil sijil, dan sebahagian daripada kita mungkin akan membingkai dan meletakkannya pada dinding, sama ada di tempat yang mudah dilihat di rumah kita, atau di pejabat kita, untuk menunjukkan orang lain setakat mana kelayakan atau pendidikan kita. Apabila kita pergi ke hospital untuk pemeriksaan, sebahagian daripada kita juga menerima sijil kecergasan, untuk menunjukkan bahawa kita sihat. Perakuan kecergasan sedemikian kadang-kadang diperlukan apabila kita memohon kerja, atau apabila kita memohon untuk melanjutkan pengajian di kolej atau universiti atau mana-mana institusi pengajian. Walau bagaimanapun, semua sijil perakuan tersebut hanya bersifat sementara dan berguna semasa kita hidup di dunia.

Seperti yang kita ketahui, cara-cara Allah tidak sama seperti cara-cara duniawi. Apabila bercakap mengenai menjadi seorang raja, pemahaman Tuhan sebagai Raja adalah agak berbeza daripada pemahaman duniawi, sebagai raja, seperti Yesus memberitahu kita: : "Kerajaan-Ku bukan dari dunia ini; jika Kerajaan-Ku dari dunia ini, pasti hamba-hamba-Ku telah melawan, supaya Aku jangan diserahkan kepada orang Yahudi, akan tetapi Kerajaan-Ku bukan dari sini." Yesus turut menambah: "Aku adalah raja. Untuk itulah Aku lahir dan untuk itulah Aku datang ke dalam dunia ini, supaya Aku memberi kesaksian tentang kebenaran; setiap orang yang berasal dari kebenaran mendengarkan suara-Ku." Maka, seperti pemahaman Tuhan mengenai menjadi Raja adalah agak berbeza daripada pemahaman duniawi, pemahaman Tuhan mengenai apa yang diperlukan untuk mendapatkan beberapa bentuk "pensijilan" dengan-Nya, adalah agak berbeza daripada pemahaman pensijilan duniawi. Sudah tentu, pensijilan Tuhan bukan datang dalam bentuk kertas, sebaliknya ia melibatkan sikap tertentu, tingkah laku, cara hidup, dengan kata lain, boleh dikatakan, perkara-perkara yang sebenarnya bererti kepada Allah.

Jadi apa perkara yang sebenarnya bererti kepada Allah? Apa yang lebih bererti adalah sama ada kita telah setia kepada Allah, setia menjadi murid-murid Yesus dan setia kepada ajaran Yesus; sama ada tumpuan kita berkhidmat kepada Yesus seperti hamba raja, dengan melayani orang lain tanpa mengharapkan apa-apa balasan, dan bukan seperti raja duniawi yang memerintah ke atas orang lain; dan mungkin dengan membenarkan perubahan dan pertaubatan berlaku dalam hidup kita. Oleh itu, untuk mengelakkan dari terlalu mengambil berat dengan kelayakan duniawi seperti kelakuan kebanyakan orang, kita perlu mengubah tumpuan kita ke arah kelayakan kekal yang akan membawa manfaat yang lebih besar dan lebih tahan lama kepada kita.

Justeru, marilah kita biar Yesus menjadi Raja dan sebagai panduan kita, seperti bacaan kedua memberitahu kita: "Yesus Kristus, Saksi yang setia, yang pertama bangkit dari antara orang mati dan yang berkuasa atas raja-raja bumi ini. Bagi Dia, yang mengasihi kita dan yang telah melepaskan kita dari dosa kita oleh darah-Nya dan yang telah membuat kita menjadi suatu kerajaan, menjadi imam-imam bagi Allah, Bapa-Nya, --bagi Dialah kemuliaan dan kuasa sampai selama-lamanya." Semoga kita mengikut jalan-Nya dan menumpukan perhatian kepada apa yang sebenarnya bererti kepada Allah, pada "pensijilan-Nya," untuk masa depan kita yang kekal dan bahagia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...