Sesetengah di antara kita sanggup melakukan apa sahaja bila kita perlu atau ingin sesuatu. Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menabung, bekerja keras dan bekerja dengan bijaksana, agar kita berharap akhirnya mencapai atau memperolehi apa yang kita perlu atau inginkan. Sebagai contoh, jika apa yang kita perlu atau inginkan melibatkan satu hubungan perkahwinan sepanjang hayat, kita akan mencari jalan dan cara untuk menarik perhatian orang itu, dan menunjukkan betapa prihatin dan betapa sanggupnya kita berkorban untuk orang tersebut, dengan harapan bahawa suatu hari, orang itu akan menerima lamaran kita untuk menjadi pasangan kita. Sekiranya kita ingin memperolehi segulung ijazah atau kelayakan yang lebih tinggi, kita akan bekerja keras dan mendorong diri kita bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat tersebut.
Tetapi jika kita berundur ke belakang dan berfikir sejenak: semua usaha ini adalah untuk memenuhi keperluan dan keinginan kita sendiri. Persoalannya ialah: berapa banyak yang kita sanggup atau bersedia untuk memberi kepada Allah, dalam bentuk masa kita, bakat kita atau kekayaan kita? Kita sering lupa bahawa semua yang kita ada adalah kurniaan dari Allah. Allah telah memberikan kita segala yang kita perlukan dan kita sering merasa sukar untuk memberi balik kepada-Nya. Terdapat banyak cara yang kita boleh berikan kepada Allah, sebahagiannya termasuk sumbangan kewangan kepada gereja, dengan membantu golongan miskin, dengan meluangkan masa dan usaha kita untuk menyokong misi Gereja, dengan melibatkan diri dalam pelbagai ministri gereja, dan sebagainya . Tapi marilah kita bertanya kepada diri kita dengan jujur, adakah kita benar-benar memberi, atau kita hanya menawarkan apa yang kita sanggup?
Pembacaan hari ini mencabar kita untuk memberikan semua kepada Allah, untuk memberi yang terbaik dan memberikan hidup kita kepada-Nya. Dalam bacaan pertama, kita bertembung dengan seorang janda bukan Yahudi yang diminta untuk berkongsi makanan terakhirnya dengan Nabi Elia. Allah memberi ganjaran kepadanya dengan makanannya yang tidak pernah habis. Di dalam Injil, janda yang miskin hanya memasukkan dua duit syiling kecil, jumlah yang tidak penting kepada sesetengah orang, dan tidak bermakna apa-apa berbanding jumlah besar yang disumbangkan oleh orang kaya. Namun, Yesus memuji tindakannya kerana " janda ini memberi dari kekurangannya, semua yang ada padanya, iaitu seluruh nafkahnya." Janda yang miskin itu menunjukkan kepada kita apa maksudnya memberi sepenuh diri.
Yesus memberikan kehidupanNya sebagai korban supaya kita dapat diselamatkan. Yesus telah memberi 100% diriNya, tanpa menyimpan apa sekali pun. Bagaimana dengan kita? Berapa banyak yang kita bersedia untuk beri kepada Allah? Adakah kita sangat berkira? Adakah kita cuba untuk menyimpan banyak perkara kerana mereka memberikan kita keselamatan? Marilah kita refleksi akan kesediaan atau ketidaksediaan diri kita sendiri untuk melakukan pengorbanan bagi Allah, dan semoga kita bersedia serta cukup rendah hati untuk memberikan semua yang ada pada kita kepada Allah, sama seperti Yesus memberikan semua-Nya kepada kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan