Rabu, 15 Ogos 2018

Perawan Maria Diangkat Ke Syurga

Di antara banyak Hari Raya dan Pesta yang kita raikan setiap bulan, satu Pesta yang sesetengah orang mungkin tertanya-tanya mengapa ia disambut adalah Pesta Perawan Maria Diangkat Ke Syurga. Ada yang tertanya-tanya sama ada kita memberi penghormatan yang terlalu banyak atau " memberi muka" terlalu banyak kepada Perawan Maria. Jika kita lihat secara teliti apa yang kita buat, kita sebenarnya bukan meraikan keagungan bonda Maria, tetapi keagungan Allah dan rahmatNya. Maria diangkat ke syurga hanya kerana rahmat Allah, yang menukarkan seorang yang patuh, rendah diri dan ringkas seperti bonda Maria kepada orang yang kita kini sanjungi. Justeru, pada Pesta ini, ia adalah Allah yang kita benar-benar muliakan dan puji.

Pesta Perawan Maria Diangkat Ke Syurga memberi kita beberapa berita iman dan harapan. Ia membantu mengukuhkan imam dan harapan kita di mana kita sebagai orang Kristian akan berkongsi kebangkitan bersama Kristus. Kita boleh percaya pada kebangkitan kerana ia telah terjadi kepada bonda Maria dan dia adalah bukti bahawa kebangkitan adalah sebuah realiti. Ia mengingatkan kita tentang kebaikan dan keindahan tubuh fizikal kita. Maria diangkat ke syurga bukan sahaja dalam roh, tetapi dalam kedua-dua tubuh dan roh ke syurga. Tubuh tidak jahat dan bukanlah punca dosa kita, sebab ia diperbuat baik oleh Allah. Kita yang tergoda dan memilih untuk berdosa dan melakukan kejahatan. Pesta Perawan Maria Diangkat Ke Syurga juga mengukuhkan semula dan mengingatkan kita akan kesatuan tubuh dan roh. Tubuh tanpa roh adalah sesuatu yang tidak bernyawa. Tetapi satu tubuh dengan satu roh merupakan seseorang yang layak dihormati dan bermaruah. Jika kita melupakan kerohanian seseorang dan menganggap mereka hanya sebagai tubuh jasmani, kita akan mula menganggap mereka sebagai benda yang boleh diperalatkan, disalahgunakan dan dibuang apabila sudah tidak bermanfaat. Kita diingatkan bahawa tubuh boleh merosot, tetapi roh kekal abadi. Oleh itu, kita harus lebih fokus pada apa yang abadi daripada memberi tumpuan kepada apa yang sementara.

Jika kita memanggil diri kita sebagai orang Kristian, maka Maria harus mempunyai tempat yang istimewa di dalam hati kita, kerana kita percaya bahawa dia adalah bonda Yesus, dan memandangkan Yesus adalah Allah dan manusia, Maria juga bonda kepada Allah. Tetapi kasih kita terhadap bonda Maria harus membawa kita ke kasih anaknya, Yesus,. Dia melahirkan Yesus ke dunia dan Yesus membawa dia ke kehidupan abadi. Justeru, kita harus bersama-sama dengan bonda Maria, memuji Allah dan berterima kasih kepadaNya kerana banyak perkara yang telah dilakukanNya dalam hidup kita, dan berterima kasih kepada Dia terutamanya pemberian Putra-Nya, Yesus.

Sabtu, 11 Ogos 2018

Minggu Biasa Ke-19 Tahun B

Selama bertahun-tahun, manusia mengalami pelbagai godaan ketika mereka berusaha memperbaiki dan mengembangkan kehidupan rohani mereka. Ada yang tergoda untuk berbohong, menyalahgunakan nama Allah, mencuri, inginkan, membunuh, melakukan zina dan sebagainya. Sesuatu perkara yang lebih teruk adalah berputus ada. Apakah maksudnya berputus asa? Ia bermaksud berputus asa secara sepenuhnya, tanpa sebarang harapan. Ada sesetengah yang sanggup membunuh diri kerana mereka sangka itulah sahaja satu-satunya pilihan untuk mereka. Apa yang kita mungkin tidak sedar ialah sehingga kita mati, kita masih mempunyai banyak peluang untuk bertaubat dan meminta pengampunan dari Allah, dan mengeratkan perhubungan kita dengan Dia. Jika kita sudah sempurna, maka kita tidak perlu bertaubat, yang secara tidak sengaja bermakna bahawa kita tidak memerlukan Allah.

Bacaan hari ini memberi kita berita harapan dan semangat. Dalam bacaan pertama, kita mendengar cerita nabi Elia yang ingin menamatkan nyawanya kerana dia sudah berputus asa. Tetapi Allah memberinya kekuatan dengan memberi dia makanan supaya dia dapat meneruskan misinya. Ini menunjukkan bahawa Allah tidak akan meninggalkan kita sama seperti Dia tidak meninggalkan Elia bila dia berasa serba-salah. Allah memberi kita tenaga dan semangat untuk meneruskan usaha kita. St Paulus dalam bacaan yang kedua juga mengingatkan kita: "Segala kepahitan, kegeraman, kemarahan, pertikaian dan fitnah hendaklah dibuang dari antara kamu, demikian pula segala kejahatan. Tetapi hendaklah kamu ramah seorang terhadap yang lain, penuh kasih mesra dan saling mengampuni, sebagaimana Allah di dalam Kristus telah mengampuni kamu. " Ini bermakna kita tidak perlu berputus asa terhadap orang lain, kerana Allah juga dapat menguatkan mereka dan menjemput mereka, sama seperti Dia boleh melakukannya kepada kita.

Ada di antara kamu mungkin tertanya-tanya: Adakah ini semua mungkin? Adakah kita hanya mengkhayal tentang keupayaan kita? Mengikut keupayaan manusia, ia kelihatan mustahil, tetapi bagi Allah, kesemuanya boleh berlaku. Allah akan memberikan rahmat supaya kita boleh meneruskan usaha kita, sambil mengampuni orang lain dan menerima kekurangan mereka. Inilah sebabnya mengapa sangat penting bagi kita kerap datang ke Misa, lebih baik lagi jika kita boleh datang ke Misa setiap hari. Di Misa, kita menerima khasiat jasmani dan rohani, bila mendengar Khabar BaikNya dan menerima tubuhNya. Di Misa, kita menerima kehidupan baru dan tenaga untuk perjalanan kita semasa di dunia. Oleh itu, mengapakah kita tidak mengambil kesempatan untuk datang ke Misa dan diberi khasiat oleh Allah kita? Ia adalah percuma dan kelebihannya bukan dari dunia ini!

Isnin, 6 Ogos 2018

Pesta Penjelmaan Yesus

Puncak gunung adalah tempat di mana kita kadang-kadang mengalami keindahan alam, kehebatan ciptaan Allah, dan dari inilah kita dapat melihat kekuasaan Allah (kehebatan atau autoriti atau kuasa yang tidak terhad). Dalam sesetengah keadaan, kita dapat mengalami kehadiran Allah dan kita merasa rendah diri dan ingin tinggal dalam kehadiranNya selama yang mungkin.

Dalam Injil hari ini, Petrus, Yakobus dan Yohanes mengalami kehadiran Allah ketika mereka melihat Yesus menjelma. Mereka belum pernah menghadapi pengalaman seperti ini dengan Yesus. Petrus, penuh dengan kekaguman, berkata, ""Rabi, betapa bahagianya kami berada di tempat ini. Baiklah kami dirikan tiga khemah, satu untuk Engkau, satu untuk Musa dan satu untuk Elia." Tetapi perkara tersebut tidak berlaku seperti yang dijangkai. Mereka hanya bersedia untuk apa yang akan datang. Dengan Yesus, mereka turun gunung ke lembah di bawah dan ke taman Getsemani dan Kalvari. Di atas gunung, mereka tidak ingin pergi. Di Taman Getsemani, mereka tidak ingin tinggal. Apabila Yesus ditangkap, mereka semua melarikan diri dalam ketakutan.

Kita boleh memahami keadaan rasul-rasul kerana pengalaman gembira dan selesa kita di atas gunung menyebabkan kita juga ingin tinggal. Kita ingin pengalaman tersebut berterusan untuk selama-lamanya. Dan kemudian pada saat-saat dugaan kita mahu melarikan diri. Kita lupa bahawa Allah kita tidak menjanjikan kita sebuah taman mawar, tetapi taman zaitun dan mahkota berduri. Kita juga lupa bahawa kita perlu menghadapi realiti dan pergi untuk mewartakan Berita Baik, bukan hanya kekal di atas gunung.

Hari ini, kita mempunyai peluang untuk pengalaman atas gunung, mungkin setiap hari. Misa adalah pengalaman atas gunung kita yang mempersiapkan kita untuk menghadapi dugaan harian kita. Dalam kegembiraan dan keselesaan komuni, kita berkata bersama Petrus, “Tuhan, alangkah baiknya kita berada di sini” dan sesetengah di antara kita enggan bersurai. Seterusnya, kita akan mendengar, “Perayaan Ekaristi sudah selesai. Marilah pergi! Kita diutus.” Sudah saatnya bagi kita untuk mengambil salib kita dan pergi untuk menghadapi dugaan hari. Adakah kita masih berada di atas gunung?

Sabtu, 4 Ogos 2018

Minggu Biasa Ke-18 Tahun B

Sesetengah orang menjalani hidup tanpa mengetahui apa yang mereka benar-benar inginkan, apa yang mereka mahukan. Sesetengah orang berfikir apa yang mereka benar-benar inginkan adalah kebahagiaan, ada pula yang berfikir apa yang mereka benar-benar inginkan adalah keamanan dan kemakmuran, yang lain berfikir bahawa apa yang mereka benar-benar inginkan adalah untuk berkahwin dengan seorang gadis atau lelaki yang akan menjadi teman seumur hidup. Senarai itu berjela-jela, dan mungkin ada begitu banyak perkara yang kita inginkan atau mahu. Namun, adakah kita benar-benar mahu atau menginginkan perkara-perkara ini? Sering kali, perkara-perkara yang kita inginkan atau mahu boleh berubah mengikut keadaan. Walaupun kita mungkin mendapat apa yang kita mahu atau ingini, kemungkinan besar ia hanya perkara sementara atau pengalaman jangka pendek, memandangkan selalu terdapat sesuatu yang akan menarik perhatian kita. Tidak kira betapa sukarnya kita cuba untuk memenuhi kehendak kita, kita hanya akan mencapai kepuasan sementara.

Dalam pembacaan pertama, orang Israel telah diselamatkan dari perhambaan di Mesir oleh Allah. Bukan itu sahaja, mereka mempunyai Musa untuk memimpin mereka. Tetapi adakah orang Israel berpuas hati dan bersyukur atas apa yang telah dilakukan oleh Allah untuk mereka? Tidak. Mereka mengeluh dan merungut. Apabila di Mesir, mereka merungut tentang menjadi hamba. Apabila dibawa keluar dari Mesir, mereka mengeluh bahawa mereka tidak mempunyai makanan di padang pasir. Allah masih menyediakan orang Israel dengan roti dari syurga, walaupun mereka tetap tidak puas hati dan tidak bersyukur. Walaupun dengan roti dari syurga, orang Israel masih mengeluh dan merungut. Sesungguhnya, begitu sukar untuk memuaskan orang sedemikian.

Bagaimanakah pula dengan kita? Adakah sesetengah kita seperti orang Israel dalam beberapa aspek? Jika kehidupan kita sentiasa ditentukan atau diperhambakan oleh kehendak dan keinginan kita, tidak akan ada penghujung rasa tidak puas hati, tidak gembira dan rungutan kita. Kita akan sentiasa tidak berpuas hati, tidak gembira, dan tidak dapat dipenuhi walaupun kita sudah mencapai semua kehendak dan keinginan kita, kerana ia tidak akan cukup, dan malah semuanya tidak mencukupi. Itulah sebabnya St Paulus mengingatkan kita dalam pembacaan kedua: " kamu, berhubung dengan kehidupan kamu yang dahulu, harus menanggalkan manusia lama, yang menemui kebinasaannya oleh nafsunya yang menyesatkan, supaya kamu dibaharui di dalam roh dan pikiranmu, dan mengenakan manusia baru, yang telah diciptakan menurut kehendak Allah di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya." Apakah sebenarnya diri baru ini? Ia merupakan diri baru dalam Yesus, sebagaimana Yesus memberitahu kita dalam Injil hari ini: " Akulah roti hidup; barangsiapa datang kepada-Ku, ia tidak akan lapar lagi, dan barangsiapa percaya kepada-Ku, ia tidak akan haus lagi." Sekiranya hidup kita menjalani "revolusi rohani," jika kita dapat membenarkan Yesus berada di hati dan pusat kehidupan kita, maka tidak perlu kita mengidamkan apa-apa lagi. Tidak perlu kita mengejar kekayaan, kemewahan, kebahagiaan, pengiktirafan, kejayaan dan kemasyhuran, kerana kita mempunyai Yesus, dan cukup dengan Yesus.

Hari ini, marilah kita melihat jenis kehidupan yang kita jalani. Sesetengah kita memanggil diri kita sebagai orang Kristian, tetapi walaupun menerima Yesus, ada di antara kita yang masih menginginkan lebih. Jika kita percaya bahawa Yesus adalah roti hidup yang memenuhi setiap kehendak dan keperluan kita, maka mengapa kita masih mencari perkara lain? Adakah Yesus tidak cukup untuk kita? Ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan bahagian kita untuk hidup di dunia ini, tetapi ini bermakna kita harus mempertimbangkan apa yang kita inginkan dan perlu. Semoga kita memilih dengan bijak apa sebenarnya yang kita inginkan dan perlu, demi kebaikan masa depan kita yang kekal.

Sabtu, 28 Julai 2018

Minggu Biasa Ke-17 Tahun B

Apakah jenis dunia yang kita diami pada hari ini? Adakah kekayaan dunia diagih secara adil dan sama rata? Kemungkinan besar, kekayaan dunia dikuasai oleh segelintir, mungkin kira-kira kurang daripada sepuluh peratus daripada seluruh populasi dunia. Sesetengah negara mempunyai banyak sumber, tetapi negara-negara ini sering kali tidak sanggup berkongsi sumber-sumber tersebut dengan negara-negara miskin, kecuali terdapat manfaat atau faedah untuk mereka. Misalnya, sesetengah negara menghasilkan gandum atau jenis makanan lain yang berlimpah dan lebih dari mencukupi, yang boleh digunakan untuk memberi makanan kepada ramai orang miskin di dunia, tetapi berapa banyak gandum atau makanan tersebut dikongsi? Apakah masalahnya di sini? Pada dasarnya, sikap tamak dan mementingkan diri sendiri. Ada sesetengah orang yang hanya mementingkan diri mereka sendiri, tidak sanggup kongsi dengan orang lain, lebih memberi perhatian terhadap melindungi apa yang mereka miliki, dan ada yang cuba menambahkan apa yang mereka ada. Begitu juga, kita melihat hal yang sama dalam gereja-gereja kita. Terdapat ramai orang yang mahir atau berbakat dalam satu cara atau lain, tetapi sesetengah orang nampaknya berminat untuk menggunakan kemahiran atau bakat mereka hanya jika terdapat beberapa manfaat, kelebihan atau keistimewaan yang diberikan. Seperti "apa yang boleh saya perolehi" adalah lebih penting daripada "bagaimana saya dapat berkhidmat untuk memuliakan Allah." Nampaknya agak sukar untuk mendapatkan sesetengah orang untuk menawarkan bakat mereka atau bantuan mereka dengan gembira dan rela, memandangkan orang seperti itu memilih untuk menghabiskan masa membeli-belah, menonton wayang, bercuti, dan tidur, daripada menghabiskan waktu melayan di gereja atau membantu orang lain. Orang seperti itu lebih suka menjaga keperluan mereka sendiri dan mempunyai masa hanya untuk diri mereka sendiri dan bukan untuk orang lain. Tetapi sebagai orang Kristian, apakah sikap atau sifat apa yang harus kita miliki?

Dalam pembacaan kedua hari ini, St Paulus mengingatkan kita untuk " hidupmu sebagai orang-orang yang telah dipanggil berpadanan dengan panggilan itu. Hendaklah kamu selalu rendah hati, lemah lembut, dan sabar." Injil hari ini memberikan kita satu contoh tentang jenis mukjizat yang mungkin berlaku bila seseorang itu murah hati berkongsi apa yang dimiliki. Ramai orang berfikir bahawa kisah Injil hanyalah satu mukjizat di mana Yesus mengambil lima roti barli serta dua ikan dan melakukan mukjizat sehingga semua lima ribu lelaki (tidak termasuk wanita dan kanak-kanak) mendapat makanan yang mencukupi. Namun jika kita melihat lebih dekat, kita akan mendapati bahawa Injil lebih daripada itu. Ia adalah tentang kemurahan hati anak kecil yang menawarkan semua yang ada, lima roti dan dua ikan. Murid-murid tidak bersedia untuk berkongsi. Mereka merasakan bahawa mereka hanya mempunyai makanan yang mencukupi untuk diri mereka. Tetapi budak lelaki itu bersedia untuk menyerahkan makanannya kepada orang lain. Dia tidak malu tentang jumlah yang dia ada. Dia bersedia untuk memberikan semua yang ada padanya, walaupun ia mungkin sedikit untuk orang lain. Dan apa yang dilakukan oleh Yesus? Dia melakukan apa yang difikirkan orang lain adalah mustahil, Dia memberi makan kepada ramai, dengan menggunakan yang begitu sedikit. Mukjizat terjadi apabila orang bersedia dan gembira untuk berkongsi apa yang mereka ada dengan orang lain. Apabila orang bersedia dan gembira melakukannya, akan sentiasa cukup. Apabila kita bersedia untuk berkongsi, Allah memberkati kita dengan lebih banyak lagi. Tetapi bagi mereka yang tidak sanggup berkongsi kerana mereka berasa seolah-olah tidak cukup, tidak kira berapa banyak mereka cuba kumpul dan melindungi sumber mereka, tidak akan pernah cukup. Mereka tidak akan berpuas hati, walaupun semuanya telah diberikan kepada mereka.

Sebagai orang Kristian, kita sepatutnya menjadi contoh kepada orang lain dalam keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita. Kita sepatutnya " hidupmu sebagai orang-orang yang telah dipanggil berpadanan dengan panggilan itu. Hendaklah kamu selalu rendah hati, lemah lembut, dan sabar. " Tetapi jika kita meneliti kehidupan kita, tingkah laku kita, sikap kita, dan kelakuan kita, adakah kita menjalani kehidupan Kristian yang baik dan mengamalkan nilai-nilai Kristian? Adakah kita mengikuti teladan Kristus? Atau adakah kita semakin tenggelam dengan cara-cara dunia, di mana tamak, kuasa, ego, kejam, mementingkan diri, tidak sabar, tidak bertoleransi dan sebagainya kelihatan semakin lebih dominan? Apakah yang paling penting bagi kita: cara-cara Kristus, atau cara-cara dunia? Semoga kita menjadi bijak, berhati-hati dan bijak dengan pilihan kita, kerana masa depan dan kebahagiaan kekal kita yang dipertaruhkan.

Sabtu, 21 Julai 2018

Minggu Biasa Ke-16 Tahun B

Ahli keluarga pada hari ini kelihatan semakin sibuk dengan perkara mereka sendiri. Ibu bapa sibuk dengan kerja, bersosial dengan rakan-rakan mereka, melakukan pelbagai tugas, dan perkara lain yang perlu. Anak-anak sibuk dengan sekolah, kolej atau universiti, bersosial dengan rakan-rakan mereka, melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, dan perkara-perkara lain yang timbul. Pekerjaan, pelajaran dan kegemaran sendiri menjadi lebih penting, menyebabkan masa dengan keluarga semakin berkurangan. Jika dibiarkan, hubungan keluarga merana. Kita mendengar lebih banyak kes pasangan bercerai, masalah sosial di kalangan anak-anak, dan apabila anak-anak ini membesar, mereka berpindah dan meninggalkan ibu bapa mereka yang tua, atau bahkan menjadi orang yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. Sebab masalah tersebut adalah ahli keluarga tidak mempunyai masa untuk satu sama lain, mereka telah hilang ikatan atau perasaan mengasihi, mereka hanyut jauh.

Apabila bercakap mengenai hubungan kita dengan Allah, kita juga boleh hanyut jauh dari Dia ketika kita kurang berdoa, ketika kita jarang pergi ke gereja, ketika kita tidak mendengar Firman-Nya dalam Alkitab, ketika kita tidak meluangkan masa mendengar Dia di hadapan Sakramen Mahakudus, dan ketika kita tidak terlibat dalam pelbagai aktiviti gereja. Kita menjadi semakin terperangkap dalam cara-cara dunia, menyebabkan kita semakin berjauhan dari Allah. Kita mula kehilangan keupayaan kita untuk mendengar suaraNya, sehingga suatu hari, kita mungkin mendapati bahawa kita telah terasing dari-Nya. Mengapa? Kerana kita telah, melalui tindakan, sikap dan tingkah laku kita, memilih untuk meninggalkan Dia, walaupun kita mungkin tidak menyedarinya sehingga sudah terlambat. Sebaliknya, Allah tidak meninggalkan kita. Malah, Dia sentiasa mencari kita, dengan bersungguh-sungguh dan lemah-lembut memanggil kita untuk kembali kepada-Nya, tetapi kita telah mengabai atau kurang sensitif untuk mendengar suara-Nya.

Dalam bacaan Injil hari ini, kita melihat bagaimana para rasul begitu bersemangat dalam tugas mereka, menyebabkan mereka lupa meluangkan masa di antara sesama mereka dan dengan Yesus. Tugas adalah baik dan penting, tetapi meluangkan masa dengan satu sama lain dan doa dan refleksi dengan Allah lebih penting. Kadang-kadang kita lupa bahawa kita bukan superman atau superwoman, kerana tanpa doa, kita tidak akan mempunyai kekuatan rohani, stamina dan tenaga untuk menghadapi pelbagai cabaran kehidupan yang akan datang. Kita akan mengalami kepenatan, keletihan dan kekecewaan.

Dalam pembacaan pertama, nabi Yeremia telah mengeluarkan amaran tegas kepada kita semua, paderi, religius dan umat awam: " Celakalah para gembala yang membiarkan kambing domba gembalaan-Ku hilang dan terserak ... Kamu telah membiarkan kambing domba-Ku terserak dan tercerai-berai, dan kamu tidak menjaganya. Maka ketahuilah, Aku akan membalaskan kepadamu perbuatan-perbuatanmu yang jahat,... "Setiap insan dipanggil dan dipilih untuk menjadi gembala mengikut situasi kita, dan kita ditugaskan dengan perkembangan moral, rohani dan pendidikan diri kita sendiri dan juga sesiapa dibawah naungan kita. Jika kita gagal atau lalai menjaga keperluan pastoral untuk mereka yang berada di bawah jagaan kita, maka Allah akan “membangkitkan gembala untuk menjaga mereka." Kita akan berdepan akibat daripada kelalaian kita. Adakah kita sedar tentang perkara ini? Adakah kita mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani perkara ini sebelum terlambat?

Menjadi gembala yang menjaga kawanan domba Allah pastinya tidak mudah. Lebih-lebih lagi, gembala bukan hanya paderi, memandangkan setiap orang di antara kita dipanggil menjadi gembala dengan cara kita sendiri dan dalam keadaan kita sendiri. Kita mesti mengikuti contoh Yesus, Gembala yang Baik, tetapi jika kita begitu terperangkap dengan kesibukan kita sendiri sehingga kita tidak mempunyai masa untuk Allah, untuk keluarga kita atau orang lain, maka bagaimanakah kita akan menjadi gembala dan saksi Injil yang berkesan? Tidak. . Kita tidak boleh membantu orang lain jika kita sendiri tidak cukup rehat atau merasa tekanan. Itulah sebabnya kita mesti mendengar suara Yesus, memanggil kita dalam Injil hari ini untuk " ke tempat yang sunyi, supaya kita sendirian, dan beristirahatlah seketika." Marilah kita tidak mengambil mudah atau sambil lewa dengan jemputan Yesus. Sebaliknya, marilah kita merebut peluang untuk berehat seketika dengan Allah dan dengan satu sama lain, agar kita bersemangat baru untuk menjadi gembala yang berkesan dalam situasi kita yang berbeza, mengikut contoh Yesus, Gembala Baik yang kita kasihi.

Sabtu, 14 Julai 2018

Minggu Biasa Ke-15 Tahun B

Dari semasa ke semasa, kita bertemu dengan orang yang kelihatan tidak mempunyai hala tuju atau tujuan utama dalam kehidupan. Sesetengah orang sangka kehidupan di dunia ini adalah segala-galanya, dan mereka berusaha untuk menjalani hidup ini sepenuhnya dan cuba menikmati kehidupan ini sebanyak mungkin, dengan pandangan bahawa apabila kehidupan ini berakhir, mereka akan tamat, terhenti kewujudan, kerana mereka percaya bahawa tidak ada apa-apa yang diharapkan selepas kehidupan ini. Tetapi bagaimana dengan kita sebagai orang Kristian? Apakah yang kita benar-benar percaya? Apakah tujuan sebenar kita dalam hidup?

Dalam pembacaan kedua hari ini, St. Paulus mengingatkan kita: "Sebab di dalam Dia Allah telah memilih kita sebelum dunia dijadikan, supaya kita kudus dan tak bercacat di hadapan-Nya. Dalam kasih Ia telah menentukan kita dari semula oleh Yesus Kristus untuk menjadi anak-anak-Nya, sesuai dengan kerelaan kehendak-Nya, supaya terpujilah kasih karunia-Nya yang mulia, yang dikaruniakan-Nya kepada kita di dalam Dia, yang dikasihi-Nya. Sebab di dalam Dia dan oleh darah-Nya kita beroleh penebusan, yaitu pengampunan dosa.” Apakah maksud pembacaan ini kepada kita? Ini bermakna kita telah dipilih untuk tujuan Allah sendiri iaitu; untuk menjadi suci dan bersih; untuk hidup dalam kasih cinta; menjadi anak angkatNya; dan untuk memuliakan kemuliaan rahmat-Nya.

Kita telah dipilih untuk tujuan Allah untuk menjadi suci dan bersih. Ini tidak bermakna kita mestilah sempurna atau mempunyai kelayakan tertentu. Dalam pembacaan pertama hari ini, nabi Amos memberitahu Amazia, imam Bethel, bahawa dia hanya seorang gembala yang rendah hati dan seorang pemungut buah ara hutan , dan bahawa dia hanyalah seorang lelaki biasa yang dipilih Allah untuk tujuannya. Oleh itu, kesucian bermakna bergantung kepada pemeliharaan dan rahmat Allah. Itulah sebabnya dalam Injil hari ini, Yesus menghantar dua belas para rasul dan memberitahu mereka untuk tidak membawa apa-apa bersama mereka: tiada wang, tidak ada pakaian tambahan. Mereka harus bergantung kepada penyelenggaraan ilahi. Kita telah dipilih untuk tujuan Allah untuk hidup dalam kasih cinta. Kehidupan tanpa kasih cinta tidak bermakna dan itulah sebabnya kita harus tidak membenarkan kebencian, kemarahan, kejayaan, kekayaan dan kuasa menjadi matlamat kita. Sebaliknya, kita harus menjadikan kasih cinta matlamat kita, memandangkan kita menjadikan Allah hadir apabila kita mengasihi. Kita telah dipilih untuk tujuan Allah untuk menjadi anak angkat-Nya. Ini bermakna kita harus berkelakuan seperti anak-anaknya dengan hidup dalam terang: kehidupan kita mesti menunjukkan kejujuran, kasih cinta, dan kesucian. Akhirnya, kita telah dipilih untuk tujuan Allah bagi memuji kemuliaan rahmatNya. Ini bermakna setiap dari kita telah diberikan misi untuk memberitakan berita baik tentang kerajaan Allah dan bercakap tentang kasih cintanya dengan memberitahu orang lain bahawa Allah juga mengasihi mereka.

Apakah maksud semua ini? Ini bermakna kita mempunyai hala tuju atau tujuan utama dalam kehidupan. Kita telah dipilih untuk tujuan Allah sendiri dan untuk dijaga dan dikasihi oleh-Nya. Dengan mengetahui betapa berharganya dan penting kita di mata Allah, kita harus merayakan dan mengucap syukur atas penyelenggaraan ilahiNya, dan berkongsi berita baik ini dengan orang lain, dan menjemput serta menggalak mereka untuk menyertai kita bagi melakukan perkara yang sama.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...