Sabtu, 9 Disember 2017

Minggu Adven Ke-2 Tahun B

Jika anda diberi pilihan untuk memandu dari satu tempat ke tempat yang lain, sama ada dengan menggunakan jalan lama, atau dengan menggunakan lebuh raya, mana yang anda pilih? Sesetengah kita mungkin tidak begitu berminat untuk menggunakan lebuh raya, memandangkan lebuh raya mungkin mengenakan caj tol yang membebankan. Tetapi jika lebuh raya tidak ada caj atau tol minima, adakah anda masih menggunakan jalan lama? Kemungkinan besar, lebih ramai orang akan menggunakan lebuh raya, terutamanya jika lebuh raya itu mempunyai jalan yang lebih lurus yang mudah serta kemungkinan pemanduan lebih cepat, membolehkan kita tiba di destinasi kita lebih awal; berbanding dengan jalan lama yang boleh berliku-liku dan sempit, menjadikan pemanduan sukar dan berbahaya.

Nabi Yesaya dalam pembacaan pertama hari ini memberitahu kita tentang jalan : "Sediakanlah jalan di padang pasir bagi Allah kita! Timbusilah tiap-tiap lembah; ratakan tiap-tiap gunung. Bukit- bukit akan menjadi dataran, dan tanah yang lekak-lekuk akan diratakan."Apakah jenis jalan yang disebut nabi Yesaya? Jalan ini adalah jalan kehidupan kita. Selama bertahun-tahun, jalan kita mungkin telah terkandas, jalan yang melilit, jalan yang sempit dan selekoh yang tajam, kerana kita dalam satu cara atau yang lain telah menjadi lebih terbenam dalam cara-cara dunia dan semakin jauh dari Tuhan. Tingkahlaku, sikap dan cara hidup kita mungkin menyumbang kepada keadaan jalan kehidupan kita. Panggilan Yesaya dalam pembacaan pertama adalah panggilan untuk kita membuat perubahan radikal dan konsisten terhadap landskap jalan kehidupan kita. Ia bukan sekadar perubahan kosmetik seperti membaiki jalan berlubang atau menurap jalan raya di sana sini, tetapi suatu perubahan total, supaya jalan hidup kita akan dilurus dan Allah akan mempunyai akses yang lebih mudah kepada kita. Yohanes Pembaptis dalam Injil hari ini menyebut panggilan Yesaya ini di mana dia berseru: "Sediakanlah jalan bagi Tuhan, luruskanlah jalan bagi-Nya!"

Apabila kita dibaptis, kita memulakan perjalanan mengubah jalan kita menjadi satu yang lurus dan mudah diakses. Perjalanan kita memerlukan pertobatan, berpaling dari dosa kita, dan penolakan terhadap cara hidup kita yang lama. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain berubah untuk kita; kita mesti mengubah diri kita sendiri. Jika kita fikir kita sudah ok dan orang lain tidak; jika kita mendakwa bahawa tidak ada keperluan untuk pertobatan atau transformasi pada pihak kita; maka kita mungkin mula berfikir bahawa kita sudah sempurna. Sekiranya kita sempurna, maka kita tidak memerlukan Tuhan.

Perubahan adalah sukar, dan boleh menyakitkan; tetapi perubahan perlu bagi kita untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Marilah kita mengenepikan kedegilan kita, kebanggaan kita, dosa kita dan segala halangan yang mungkin kita letak, supaya Tuhan dapat meluruskan kita dan mengubah kita menjadi sesuatu yang indah. Adakah kita sanggup, rendah diri dan cukup jinak untuk membenarkan Tuhan meluruskan kita, supaya kita tetap kekal dalam pelukan kasih sayang-Nya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...