Sabtu, 2 Disember 2017

Minggu Adven Pertama Tahun B

Sepanjang hidup kita, kita mungkin telah menumpukan perhatian untuk membina kehidupan yang lebih baik di dunia. Sebagai kanak-kanak, kita belajar dengan bersungguh-sungguh, dengan harapan dapat melakukan yang terbaik di sekolah, dalam peperiksaan dan berusaha untuk masuk ke universiti yang baik. Kemudian kita menghabiskan banyak usaha untuk memperoleh ijazah Sarjana Muda dan mungkin terus ke ijazah Sarjana mahupun Doktor. Kita kemudiannya mencari kerja sama ada dalam bidang akademik atau dunia korporat, dengan harapan dapat mencapai hidup yang baik dan mungkin mencipta nama untuk diri kita sendiri. Segala perkara dan usaha ini pastinya tidak salah, kerana kita perlu hidup dan berjaya di dunia ini. Walau bagaimanapun, seperti yang kita perhatikan, semua perkara dan usaha ini merujuk kepada kehidupan di dunia ini. Sebagai orang Kristian, kita percaya bahawa ada kehidupan selepas zaman kita di dunia tamat. Apa yang akan berlaku kepada kita selepas kita meninggalkan kehidupan di dunia? Adakah kita akan bersama dengan Tuhan? Adakah kita akan jauh daripada Tuhan?

Dalam Injil hari ini, Yesus berkata kepada murid-muridnya, "Hati-hatilah dan berjaga-jagalah! Sebab kamu tidak tahu bilamanakah waktunya tiba." Apakah maksud Yesus dengan "berjaga-jagalah?" Dalam musim Adven ini, kita bukan sahaja mempersiapkan diri untuk merayakan Krismas, kita juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan kematian di mana kita akan bertemu Tuhan, dan juga untuk kedatangan-Nya yang kedua, yang merupakan akhir zaman. Kematian dan kedatangan Yesus yang kedua mungkin menakutkan bagi sesetengah orang, kerana apa yang tidak diketahui kita. Banyak petikan dalam kitab telah melakar kita imej menakutkan mengenai kematian dan kedatangan Kristus yang kedua, tetapi pembacaan hari ini memberi kita imej yang berbeza.

Dalam bacaan pertama, nabi Yesaya bercakap tentang Hari Sabat sebagai satu hari kebahagiaan dan harapan. Tuhan adalah penebus kita dan Dia "akan mengoyakkan langit dan turun." Bagi kita yang telah bersiap untuk kematian dan kedatangan-Nya yang kedua, tidak perlu berasa takut, kerana Tuhan akan menjadi seperti seorang bapa kepada kita . Tidak perlu kita menjadi cemas atau khuatir, jika kita telah membiarkan diri kita dibentuk oleh Tuhan, kerana kita adalah tanah liat dan Tuhan adalah tukang tembikar. Tetapi jika kita tidak bersedia, jika kita telah mengabaikan kehidupan rohani kita dan hubungan kita dengan Tuhan, jika kita enggan mengubah cara kita, maka kita akan mempunyai semua sebab untuk takut. Kita boleh terjaga secara fizikal, tetapi tidur secara rohani, dan kita boleh tertangkap basah atau tanpa sedar atau tidak bersedia. Dalam Injil, Yesus memberi amaran kepada kita supaya "berjaga-jagalah, sebab kamu tidak tahu bilamanakah tuan rumah itu pulang, menjelang malam, atau tengah malam, atau larut malam, atau pagi-pagi buta, supaya kalau ia tiba-tiba datang jangan kamu didapatinya sedang tidur. Apa yang Kukatakan kepada kamu, Kukatakan kepada semua orang: berjaga-jagalah!"

Adakah kita terjaga secara rohani, atau kerohanian tertidur. Selama bertahun-tahun, kita mungkin telah kehilangan atau mengabaikan kehidupan rohani kita. Pelbagai tarikan di dunia ini, pilihan dan keutamaan yang kita buat dan sikap kita terhadap dosa, pengakuan, dan pertobatan adalah beberapa faktor yang dapat menyumbang kepada kerohanian tertidur kita. Daripada membuat alasan; daripada menunding kepada orang lain; daripada degil terus seperti kita sedia ada; daripada menunda sehingga terlambat; marilah kita merenung akibat daripada tindakan kita. Adakah kita mahu menjadi gembira dan berada damai bersama dengan Tuhan? Sekiranya kita mahu, marilah kita berjaga-jaga, serta telah bersiap dan bersedia sepanjang masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...