Persekitaran kadang kala membawa kesan yang berlainan kepada orang yang berlainan. Orang yang berlainan menerima berita yang baik atau buruk dengan cara yang berbeza, dan dengan memerhati bagaimana mereka bertindak balas atau respon, kita dapat mempelajari lebih lanjut tentang orang lain dan belajar dari pengalaman, supaya, dengan harapan kita akan mengetahui apa yang harus dilakukan jika kita terlibat dalam situasi sebegitu. Malah dalam perjalanan iman kita, sama ada kita boleh bertumbuh dalam iman atau kekal pada keadaan kita sekarang bergantung pada respons kita terhadap situasi tertentu. Dalam Berita Baik hari ini, kita melihat 3 jenis watak yang respon dengan cara berlainan terhadap kubur itu pada pagi Paska pertama.
Watak pertama yang kita temui ialah Maria Magdalena yang pergi ke kubur ketika masih gelap. Dia mendapati batu yang menutupi kubur telah dialih dan tidak masuk. Mungkin dia takut, mungkin dia tidak pasti apa yang dijangka, tetapi tidak memasuki kubur itu, dia berlari ke Simon Petrus dan pengikut lain, yang dikasihi Yesus. Kadang-kadang kita juga seperti Maria Magdalena. Daripada terus masuk untuk melihat apa yang telah berlaku, kita memilih untuk melarikan diri. Kita tidak bersedia untuk pergi lebih jauh atau lebih mendalam kerana kita takut bahawa kita mungkin tidak dapat mencari apa yang kita harapkan atau kita takut bahawa kita tidak akan bersedia menghadapi apa yang ada di dalamnya. Tetapi jika kita tidak mengambil risiko dan memasuki kubur, kita akan sentiasa berdiri di luar berspekulasi, tertanya-tanya, meneka, tidak mengetahui kebenaran, seperti yang kita lihat dalam apa yang dikatakan Maria Magdalena dalam Injil: " Tuhan telah diambil orang dari kuburnya dan kami tidak tahu di mana Ia diletakkan. " Ada yang melalui hidup tanpa mengambil keputusan yang penting; atau mereka enggan melibatkan diri; atau mereka takut melibatkan diri dalam perhubungan yang mendalam kerana mereka takut atau tidak bersedia menghadapi perubahan yang mungkin berlaku. Namun melainkan jika kita bersedia mengambil risiko, melainkan jika kita bersedia untuk membuat komitmen itu, melainkan jika kita bersedia untuk pergi lebih dalam atau lebih jauh, kita akan sentiasa berada di luar dengan perasaan takut, ragu dan tidak pasti.
Seterusnya kita bertemu dengan Petrus. Dia dan murid yang lain berlari ke kubur setelah mendengar berita dari Maria Magdalena. Dia lebih lambat daripada murid yang lain. Mungkin sebab usianya dan dia tidak berupaya lari dengan pantas lagi atau mungkin dia juga takut akan apa yang dia temui di kubur itu. Walaupun Petrus masuk ke dalam kubur, dia kelihatan tidak mengerti dan bingung tentang apa yang telah terjadi, kerana Injil memberitahu kita: " Sebab selama itu mereka belum mengerti isi Kitab Suci yang mengatakan, bahwa Ia harus bangkit dari antara orang mati." Ada di antara kita yang mungkin seperti dia, kita teragak-agak, menangguh-nangguh, menunda-nunda, melengahkan masa atau tidak bersemangat. Kita melakukan ini kerana kita takut kebenaran yang boleh mencabar status quo kita; kita takut akan kesakitan, kehilangan maruah atau malu yang mungkin dibawa kerana kesilapan kita dan batasan kita mungkin terdedah; kita takut atau tidak bersedia menghadapi kelemahan atau kekurangan kita. Mungkin Petrus ada kemungkinan berfikir: Bagaimana jika Yesus sebenarnya sudah bangkit? Adakah Yesus akan menghukum atau menegurnya kerana tidak setia atau bersemuka dengannya terhadap penderhakaannya? Kemudian setelah melihat di dalam kubur, Petrus mungkin mendapati sukar untuk memahami apa yang berlaku; atau dia mungkin telah bimbang dan bingung tentang apa yang telah berlaku kepada Yesus. Bagi sesetengah orang, lebih baik berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku dan berharap tiada sesiapa pun tahu atau mengetahui; atau menjadi buta kepada kebenaran dan terus hidup di dunia kita sendiri. Tetapi melainkan jika kita bersedia dan sanggup untuk mengakui kesalahan kita dan menghadapi kegagalan kita dan bergerak ke hadapan, tidak akan ada pertumbuhan, tidak akan ada perubahan atau penambahbaikan, kita mungkin mengalami kebuntuan, kita mungkin menjadi beku dalam keimanan kita dan dalam perhubungan kita dengan Allah.
Akhirnya, kita bertemu dengan murid yang dikasihi oleh Yesus. Namanya tidak disebutkan sebab dia menunjukkan sikap dan teladan seorang pengikut, yang sanggup mengambil risiko, tidak takut dan sanggup bergantung kepada Allah, yang sanggup membuat komitmen, yang bersedia untuk menghadapi kebenaran, membuat perubahan dan bergerak ke hadapan. Kita diberitahu dalam Injil bahawa ketika dia memasuki kubur yang kosong, "ia melihatnya dan percaya."
Tatkala kita merayakan Minggu Paska, marilah kita bertanya kepada diri kita dengan jujur: apakah jenis pengikut yang telah kita jadi setakat ini? Adakah kita seperti Maria Magdalena? Adakah kita seperti Petrus? Atau adakah kita menjadi lebih seperti pengikut yang dikasihi oleh Yesus? Hakikatnya ialah: Yesus sudah bangkit, tetapi masih ada yang tidak sedar atau tidak ingin menerima atau mengakui fakta ini. Bagaimana dengan anda? Adakah anda masih terperangkap dalam perasaan khuatir dan takut memasuki kubur tersebut? Atau adakah anda bersedia untuk mengambil risiko, mengubah persepsi atau cara anda, dan membuat komitmen yang kuat untuk menjadi pengikut sejati Yesus?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Minggu Biasa Ke-6 Tahun B
Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...
-
Dari usia muda, kebanyakan kita akan diperkenalkan dengan peraturan dan undang-undang di rumah. Kita akan dididik dengan apa yang boleh dite...
-
Berapakah jumlah kegembiraan di dalam hati kita? Adakah kita orang yang gembira, atau adakah kita menjadi terlalu sibuk dengan begitu banyak...
-
Sejak berkurun-kurun dan dekad lamanya dalam sejarah manusia, kita telah melihat banyak kegusaran, kebencian, dendam, tentangan, keingkaran,...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan