Sabtu, 7 April 2018

Minggu Paska Ke-2 Tahun B

Apakah cara hidup yang anda jalani sebagai seorang Kristian? Apakah jenis cara hidup yang harus dijalani oleh seorang Kristian? Ada yang sangka menjadi Kristian bermakna mengikuti perintah-perintah Allah, pergi ke gereja, mengelakkan cubaan atau dosa, kerap berdoa atau kerap membaca alkitab. Tetapi adakah ini hanya cara hidup yang harus dimiliki oleh seorang Kristian? Banyak perkara yang kita lakukan sebagai orang Kristian mungkin kelihatan baik, tetapi apa yang Yesus cuba memberitahu kita dalam pembacaan hari ini adalah cara hidup kita sebagai Kristian tidak boleh hanya tertumpu pada hubungan kita dengan Allah, tetapi kita diutus menjadi saksi keimanan kita di dalam komuniti dan sebagai satu komuniti. .Bagaimana kita hidup sebagai komuniti akan menunjukkan kepada orang lain maknanya menjadi pengikut Yesus di dunia.

Jika kita melihat pembacaan pertama, kita dapati bahawa komuniti Kristian yang awal “ sehati dan sejiwa, dan tidak seorangpun yang berkata, bahwa sesuatu dari kepunyaannya adalah miliknya sendiri, tetapi segala sesuatu adalah kepunyaan mereka bersama." Manfaat, kebaikan, dan keperluan komuniti adalah lebih penting daripada keperluan atau kehendak peribadi. Inilah cara mereka menunjukkan orang lain maknanya menjadi Kristian, dengan hidup sebagai sebuah komuniti dan bukannya hidup sendiri, terasing dan terpisah dari sesiapa saja dan semua orang. Adakah kita hidup sebagai komuniti bersatu, sehati dan sejiwa di gereja kita, dan bahkan di kawasan perumahan kita? Adakah kita mengambil berat keperluan orang lain sebelum diri kita? Atau adakah kita menjadi lebih menjaga kepentingan sendiri?Sekiranya kita enggan hidup sebagai komuniti, jika kita lebih suka mengelakkan orang lain dan tidak prihatin terhadap mereka, jika kita hanya mementingkan diri sendiri dan mereka yang kita sayangi, maka adakah kita menunjukkan cara atau sikap orang Kristian yang baik kepada orang lain?

Sesetengah daripada kita mungkin berfikir atau bahkan mengadu: "Tetapi hidup sebagai satu komuniti adalah sukar! Ada sesetengah orang yang amat susah untuk digembirakan. Saya disakiti dengan kata-kata orang!" Hakikatnya, hidup dalam komuniti tidaklah mudah, kerana di sini kita bukan berurusan dengan robot, orang kudus atau malaikat, tetapi dengan pelbagai jenis orang. Yesus tidak menjamin kita bahawa hidup sebagai komuniti adalah senang. Tetapi apa yang dikatakan Yesus kepada murid-murid dalam Injil hari ini? Dia berkata: ""Damai sejahtera bagi kamu!" Sungguhpun kesukaran dan cabaran hidup sebagai komuniti yang mungkin kita hadapi, Yesus menjamin kepada kita damai-Nya. Damai tidak bermakna bahawa tidak ada konflik atau kita mesti bersetuju pada segala-galanya. Damai bermakna mengiktiraf bahawa Allah yang sudah bangkit berada di tengah-tengah kita, dan mengetahui bahawa Yesus hadir dalam komuniti, walaupun kita menghadapi kesulitan, masalah, tidak bahagia dan konflik. Yesus tidak menyelesaikan semua masalah dan konflik yang mungkin kita hadapi dalam komuniti. Sebaliknya, Yesus memberi kita sesuatu yang lebih baik, iaitu kuasa, keupayaan dan peluang untuk mengampuni. Dalam Injil, Yesus menghembusi murid-muridNya dan berkata: "Terimalah Roh Kudus. Jikalau kamu mengampuni dosa orang, dosanya diampuni, dan jikalau kamu menyatakan dosa orang tetap ada, dosanya tetap ada."

Bila kita menganggap kita sebagai pengikut Yesus, maka kita harus belajar untuk mengasihi dan mengampuni orang lain seperti yang telah dilakukan-Nya untuk kita semua. Pengampunan adalah perlu kerana kita tidak hidup dalam komuniti yang sempurna dan juga kerana kita juga tidak sempurna.

Hari ini, marilah kita memperbaharui komitmen kita untuk menjadi saksi Yesus kepada dunia. Marilah kita belajar untuk melakukan tugas kita untuk membantu komuniti kita supaya ia menjadi komuniti yang penuh kasih-cinta dan sanggup ampun-mengampuni, jenis komuniti yang bersatu sebagai pengikut Yesus, dan bersatu dengan penuh kasih-cinta terhadap semua. Dengan cara demikianlah, iaitu melalui kasih-cinta kita, orang lain akan mengetahui bahawa kita adalah Kristian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...