Sabtu, 30 Jun 2018

Minggu Biasa Ke-13 Tahun B

Sebelum kita memulakan suatu tugas atau bercuti, ramai di antara kita suka merancang dahulu dan membuat persediaan dan persiapan yang perlu, supaya tugas itu dapat diselesaikan dengan jayanya, atau kita dapat sampai destinasi dengan selamat dan menikmati percutian tanpa masalah. Kita akan meneliti pilihan kita dan sebahagian daripada kita akan meneliti setiap butiran berulang-ulang, dengan harapan bahawa apa sahaja yang kita rancang akan berjalan lancar. Sesetengah daripada kita bahkan mempunyai rancangan kontingensi sekiranya rancangan asal kita dilanda dengan kejutan yang mendadak atau isu lain yang mungkin timbul sepanjang perjalanan. Walau bagaimanapun, hidup adalah sedemikian rupa sehingga walaupun rancangan terbaik yang kita buat, kadang-kadang dapat berubah jauh berbeza dari apa yang kita harapkan. Akhirnya, kita dapat memperoleh apa yang kita harapkan untuk capai, atau ke mana kita mahu, tetapi tidak seperti cara yang kita mahu.

Dalam Injil hari ini, kita membaca bagaimana rancangan Yesus dialihkan oleh dua individu berbeza yang berada dalam keadaan memerlukan. Dalam Injil, Yesus telah menyeberang dengan perahu, dan Dia hendak mula berkhutbah, mengajar dan menyembuh, ketika Dia terhalang oleh Yairus, ketua rumah ibadat, yang merayu dengannya untuk melihat anak perempuannya yang "sedang sakit, hampir mati. " Sebelum kita pergi lebih jauh, bayangkan anda berada dalam tempat Yesus ... Bagaimana anda akan memberi respons, terutama dengan orang ramai yang tidak sabar menunggu untuk anda? Ada di antara kita yang mungkin berkata: "Saya sedikit terikat dengan mereka ini sekarang. Bolehkah saya datang kemudian?" Mungkin sesetengah daripada kita mungkin berkata: "Lihatlah orang ramai ini! Saya tidak boleh tinggalkan mereka di sini. Mungkin lain kali?" Tetapi adakah Yesus memberi respons kepada Yairus dengan cara ini? Tidak. Sebaliknya, Yesus bangun tanpa ragu-ragu dan mengikuti Yairus ke rumahnya.

Kemudian, ketika Yesus menuju ke rumah Yairus, seorang wanita yang menderita pendarahan selama dua belas tahun menyentuh jubah-Nya. Yesus segera menyedari bahawa kuasa telah keluar dari diri-Nya, berpaling kepada orang ramai dan berkata, 'Siapakah yang menyentuh jubah saya?' Sudah tentu, sesiapa sahaja boleh menyentuh Yesus kerana orang begitu ramai dan bersesak-sesak dekat-Nya, tetapi Yesus terus melihat sekeliling untuk melihat siapa yang melakukannya. Sekali lagi Yesus teralih dari rancangannya untuk pergi ke rumah Yairus, serta baik hati dan memberikan galakan kepada wanita itu, apabila dia maju ke depan untuk mengakui kebenaran. Sebelum Yesus boleh pergi ke rumah Yairus selepas berpisah dengan wanita tersebut, berita datang dari rumah Yairus bahawa anak perempuannya telah mati. Ada di antara kita yang mungkin mengandaikan bahawa ia sudah terlambat, dan kita mungkin berkata "mengapakah perlu menyusahkan Guru lagi?" Bagi Allah, masa masih belum terlambat. Yesus masih pergi, sampai ke rumah Yairus, membangkitkan gadis itu dari antara orang mati dan mengembalikannya kepada keluarganya.

Apakah maksud cerita-cerita ini kepada kita? Cerita-cerita ini memberitahu kita bahawa Allah sentiasa mempunyai masa untuk kita. Allah tidak pernah terlalu sibuk untuk mendengar dan memperhatikan doa dan permohonan setiap orang walaupun semua orang tidak nampak, atau tidak peduli, atau terlalu sibuk atau sibuk dengan perkara mereka sendiri. Allah masih sanggup menukarkan pandangan-Nya untuk membantu kita.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita dapat dan bersedia mengikuti teladan Allah dan menjadikan diri kita tersedia kepada orang lain yang memerlukan masa dan bantuan kita? Atau adakah kita menjadi sangat individualistik, berkira dan mementingkan diri dengan masa kita, bahawa keperluan dan keinginan kita diutamakan dari orang lain? Allah memberikan kehidupan; tidak menyebabkan kematian. Dia adalah penghibur dan penyembuh kita; bukan penyebab penderitaan dan kesakitan kita. Semoga kita juga memberi kehidupan dan memberikan penghiburan dan penyembuhan kepada orang lain, tatkala kita tumbuh dalam hubungan dengan Tuhan dan dengan rakan-rakan penziarah kita di dunia.

Sabtu, 23 Jun 2018

Hari Kelahiran Yohanes Pembaptis.

Siapakah Yohanes Pembaptis? Kenapa kita merayakan hari lahir-Nya? Apa yang penting tentang dirinya? Yohanes Pembaptis merupakan nabi terakhir dalam Perjanjian Lama. Pada masa yang sama, pelayanannya bermula pada tempoh Perjanjian Baru. Oleh itu, dia adalah penghubung antara Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Tetapi adakah alasan ini cukup untuk merayakan pesta hari kelahirannya? Kita akan lebih memahami dengan jelas mengapa kita meraikan hari jadinya.

Kita merayakan perayaan kelahirannya kerana kita juga dipanggil untuk berkongsi dalam pelayanannya sebagai seorang nabi. Setiap daripada kita juga dipanggil oleh Allah untuk pelayanannya sebelum kita dilahirkan, sebagaimana nabi Yesaya dalam bacaan pertama menulis: "TUHAN telah memanggil aku sejak dari kandungan telah menyebut namaku sejak dari perut ibuku." Ini bermakna kita mempunyai sesuatu sebab dan bukanlah akibat yang sewenang-wenangnya, tetapi kita adalah sebahagian daripada rancangan Allah dan mempunyai tujuan serta misi dalam kehidupan. Kita juga di panggil untuk menyebarkan berita baik penyelamatan Allah. Nabi Yesaya mengingatkan kita bahawa Allah telah menjadikan mulut kita pedang tajam atau anak panah yang runcing. Ini bermakna kita tidak boleh berdiam diri dan kekal tersembunyi di zon selesa kita.

Di samping itu, sebagai hamba Allah dan nabi, kita harus ingat bahawa pahala kita datang dari Allah, dan kita tidak boleh mengharapkan ganjaran atau bayaran lain duniawi untuk apa yang kita lakukan. Ini bermakna kita tidak harus berkompromi dengan kebenaran atau membenarkan diri kita disogok untuk mengurangkan atau mencairkan kebenaran, walaupun ada orang yang tidak akan menyukai apa yang kita katakan. Lebih-lebih lagi, peranan kita adalah untuk membawa mesej penyembuhan dan perdamaian kepada semua, sama seperti Yohanes Pembaptis memberitakan mesej pertaubatan dan perdamaian, dan memanggil umat untuk kembali kepada Allah dengan berpaling dari cara jahat mereka bagi mempersiapkan untuk kedatangan Allah.

Akhirnya kita harus memberi tumpuan jalan kepada Yesus. Yesus harus makin besar, tetapi kita harus makin kecil. Mesej kita dan pelayanan kita tidak menumpukan kepada diri kita sendiri; dan kita mesti membawa orang lain kepada Kristus, bukan kepada diri kita sendiri. Semua perkara yang disebutkan ini adalah tepat dengan apa yang dilakukan oleh Yohanes Pembaptis, dan kita dipanggil untuk melakukan perkara yang sama dengan memberikan kemuliaan kepada Allah.

Hari ini, sewaktu kita meraikan pesta kelahiran Yohanes Pembaptis, mari kita pelajari dari contohnya, kerana contohnya adalah model pemuridan Kristian. Moga kita, seperti Yohannes Pembaptis, menjadi saksi kepada Cahaya Allah, dan menyediakan orang lain untuk mengikuti Allah.

Sabtu, 16 Jun 2018

Minggu Biasa Ke-11 Tahun B

Ramai di antara kita mengalami masalah dalam satu bentuk atau yang lain. Kita sering gagal untuk melihat masalah dari perspektif yang betul dan dengan itu gagal untuk memperolehi jalan penyelesaian, kerana sama kita terlalu dekat dengan masalah, diri kita terlibat dan kucar-kacir olehnya atau kita merupakan masalah tersebut. Dalam menangani masalah kita, perspektif kita dapat diperluaskan jika kita sedar bahawa Allah telah campur tangan dan membantu menyelesaikan masalah sepanjang sejarah manusia. Dengan cara ini, kita boleh melihat perkara-perkara dari perspektif Allah.

Dalam Injil hari ini, kita membaca tentang Perumpamaan Biji Yang sedang tumbuh dan Biji Sawi. Yang pertama memberitahu kita bahawa Kerajaan Allah pasti akan datang apabila benihnya tumbuh hingga matang, manakala yang kedua mengajar bahawa Kerajaan Allah, walaupun pada awalnya ringkas, ditakdirkan untuk kebesaran. Pemerintahan Allah adalah kebenaran, keadilan, kasih cinta, dan perdamaian. Tetapi apa yang sering kita lihat dan alami dalam kehidupan adalah sebaliknya. Semuanya seolah-olah mempunyai harga, termasuk kebenaran dan keadilan. Kebenaran yang akhirnya berlaku, di media atau di mahkamah, kadang-kadang berasaskan siapa yang membayar lebih atau yang mempunyai kuasa atau pengaruh politik. Keadilan seolah-olah memihak kepada orang kaya dan berkuasa. Kasih cinta? Terdapat banyak kebencian antara suami dan isteri, adik-beradik, jiran, kumpulan dan orang yang berbeza. Ini menimbulkan persoalan: Adakah perdamaian benar-benar wujud?

Terdapat satu perkara tentang Kerajaan Allah yang kita harus sedar: ia sudah ada di sini tetapi pada masa yang sama, belum cukup. Ia sudah ada di sini kerana Kristus telah menetapkannya dengan kedatangan-Nya. Belum lagi, kerana kebenaran, keadilan, kasih cinta, dan perdamaian masih belum tersebar sepenuhnya ke seluruh aspek kehidupan manusia. Allah terus bekerja dan pada waktunya, Kerajaan-Nya akan ditegakkan sepenuhnya. Tetapi kita harus sangka kita boleh leka, sebab kita juga harus melakukan peranan kita dalam menubuhkan Kerajaan Allah, kerana kita adalah orang yang bekerja bersama Allah dalam pekerjaan-Nya. Sekiranya kita mahu kebenaran berlaku, kita perlu menanam benih kebenaran. Kita mahu keadilan dan kasih cinta, kita juga perlu menanam benih tersebut. Tetapi apabila ditanam, kita mesti mengair dan membajakannya serta membersihkannya daripada rumpai. Sekiranya ada kebenaran, keadilan dan kasih cinta, maka perdamaian tidak terlalu jauh memandangkan ketiga-tiganya berhubungan. Ringkasnya, kita mesti hidup dan mengamalkan nilai-nilai Kerajaan sebelum kita dapat meyakinkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Selain itu, Allah mahu kita bersabar. Kita tidak boleh mengharapkan bahawa hanya kerana kita telah menetapkan diri untuk melakukan kerja Allah, kerana kita telah menanam benih kebenaran, keadilan, kasih cinta dan perdamaian, maka dunia akan berubah dengan serta-merta dan secara automatik. Seperti benih, perkara mengambil masa untuk berkembang dan perlu dipupuk. Akan ada kesakitan cabaran, kesukaran dan kesedihan. Tetapi seperti Allah, kita mesti bersabar sebelum musim menuai.

Semua ini menunjukkan bahawa kita memang mempunyai tugas besar dan penting di hadapan kita. Tetapi kita mesti melakukan bahagian kita dan bermula di suatu tempat: di rumah, di sekolah, di tempat kerja kita, dalam masyarakat kita. Tatkala kita melakukan bahagian kita, marilah kita bersabar. Dalam masa Dia, Allah akan membawa usaha kita, usaha Dia, sehingga berhasil.

Sabtu, 9 Jun 2018

Minggu Biasa Ke-10 Tahun B

Mengapa sesetengah kita menyalahkan orang lain apabila berlaku masalah? Sesetengah menyalahkan orang lain kerana mereka mahu diiktiraf, dihargai dan dihormati. Ada yang melakukannya kerana mereka mahu kelihatan baik di mata orang lain. Ada sesetengah yang berbuat demikian kerana mereka sangka mereka langsung tidak boleh melakukan kesilapan atau berdosa.. Ada yang berbuat demikian kerana mereka ingin menyembunyikan diri sebenar yang takut untuk mereka dedahkan. Pada hakikatnya, apabila kita menyalahkan orang lain, kita mencari kambing hitam untuk dibebankan dengan rasa bersalah kita. Inilah yang sebenarnya berlaku dalam bacaan pertama di mana Adam menyalahkan Hawa dan Hawa menyalahkan ular.

Dalam Injil hari ini, Yesus mengajar umat. Dia diberitahu bahawa ibuNya dan sanak saudara sedang mencari Dia, dan jawab Yesus, "Ini ibu-Ku dan saudara-saudara-Ku! Barangsiapa melakukan kehendak Allah, dialah saudara-Ku laki-laki, dialah saudara-Ku perempuan, dialah ibu-Ku." Ini memberitahu kita tentang apa itu pemuridan sebenarnya, iaitu mendengar dan melakukan kehendak Allah. Sesetengah orang seolah-olah berfikir bahawa Yesus menunjukkan sifat kurang menghormati Maria dengan menjawab cara ini. Tetapi itu jauh dari fikiran Yesus. Pada Yesus, ikatan keluarga bukan perkara penting. Keibuan Maria adalah penting serta perlu dan oleh itu dia akan diberkati untuk itu. Tetapi apa yang penting ialah mendengar dan melakukan kehendak Allah. Oleh itu, merekalah adalah orang yang diberkati.

Dengan memberkati mereka yang mendengar firman Allah dan melakukannya, Yesus telah mengakhiri kitaran ganas menyalahkan orang lain. Dia telah meletakkan tanggungjawab di mana ia berada: di bahu kita. Apabila kita membenarkan Allah memasuki hidup kita, apabila kita menyedari Allah dalam pendengaran dan melakukan kehendak-Nya, kita juga menyedarkan diri kita dalam proses ini. Kita menyedari bahawa di depan Allah, kita adalah telanjang dan telus. Kita sedar bahawa menyalahkan orang lain adalah satu bentuk kebanggaan dan orang lain menderita kerana kesilapan, kesalahan dan dosa kita. Kita menyedari bahawa tidak ada yang dapat kita sembunyikan dari Dia dan oleh itu kita harus bertanggungjawab terhadap tindakan kita. Kenapa begitu? Sebab mendengar dan melakukan kehendak Allah adalah sesuatu antara Allah dan kita. Dia bukan sahaja melihat perbuatan kita tetapi juga motif kita. Menyalahkan orang lain tidak akan mengambil rasa bersalah dari kita. Kita boleh menipu orang tetapi kita tidak boleh menipu Allah. Tidak ada yang dapat kita sembunyikan dari Allah. Selain itu, dalam mendengar dan melakukan kehendak Allah, kita juga menyedari orang lain, seperti kita, juga membina hubungan dengan Allah. Memandangkan kita berkongsi matlamat yang sama dengan orang lain, kita harus membantu dan bukannya menyalahkan orang lain, agar pada akhirnya, kita melakukan kehendak Allah. Kemudian kita tidak hanya bertanggungjawab terhadap perbuatan kita, kita juga bertanggungjawab terhadap satu sama lain, dan dalam melakukan itu, kita menjadi murid Yesus yang sejati.

Bagaimanakah kita memulakan pemuridan sejati? Permulaan pemuridan adalah pertaubatan: " "Bertaubatlah, sebab Kerajaan Syurga sudah dekat!" Bertaubat dan dimaafkan - pertaubatan - adalah permulaan perjalanan kita kepada Allah, di mana kita harus menerima dan melakukan sesuatu terhadap keinginan kita untuk mementingkan diri kita sendiri, dan membenarkan Allah mengambil alih. Apabila kita bertaubat dan menyesal terhadap dosa-dosa kita, kita berbaik semula dengan Allah, dan ini mendorong kita untuk berbaik semula dengan orang lain. Apabila kita berbaik semula dengan Allah dan dengan orang lain, kita mula menjadi murid yang sejati.

Jumaat, 8 Jun 2018

Hati Kudus Yesus

Di antara banyak organ di dalam badan kita, jantung adalah antara organ yang terpenting. Otak anda dan organ lain mungkin gagal, tetapi anda akan dapat terus hidup selagi jantung anda mengepam dan mengalirkan darah ke bahagian lain badan anda. Apabila jantung anda berhenti, anda akan mati. Jantung juga biasa digunakan sebagai simbol kasih cinta.Tetapi jenis kasih cinta yang kita lafazkan adalah tidak sempurna, berbanding dengan jenis kasih cinta yang Allah punyai untuk kita.

Dalam bacaan pertama hari ini, kita melihat seorang Allah yang sangat mengasihi orang Israel dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka, walaupun mereka tidak menghargai kasih Tuhan. Walaupun Allah murka terhadap tingkah laku orang Israel, Dia menyesal dan tidak memusnahkan Israel, tatkala bacaan tersebut memberitahu kita tentang Tuhan: "Aku tidak akan melaksanakan murka-Ku yang bernyala-nyala itu, tidak akan membinasakan Efraim kembali. Sebab Aku ini Allah dan bukan manusia, Yang Kudus di tengah-tengahmu, dan Aku tidak datang untuk menghanguskan. " Begitulah magnitud dan keagungan kasih Tuhan. Begitu juga, bacaan kedua memberitahu kita tentang kasih Tuhan yang besar bagi kita, bahawa Dia telah menghantar Anak-Nya Yesus untuk menyelamatkan kita dan menguatkan kita: "menurut kekayaan kemuliaan-Nya, menguatkan dan meneguhkan kamu oleh Roh-Nya di dalam batinmu, sehingga oleh imanmu Kristus diam di dalam hatimu dan kamu berakar serta berdasar di dalam kasih. Aku berdoa, supaya kamu bersama-sama dengan segala orang kudus dapat memahami, betapa lebarnya dan panjangnya dan tingginya dan dalamnya kasih Kristus, dan dapat mengenal kasih itu, sekalipun ia melampaui segala pengetahuan. Aku berdoa, supaya kamu dipenuhi di dalam seluruh kepenuhan Allah." Selain itu, dalam Injil, kita diingatkan akan kasih Tuhan ketika Yesus disalibkan dan mati untuk menyelamatkan kita dari dosa-dosa kita.

Jika Allah sangat mengasihi kita dan bahkan menghantar Anak-Nya yang tunggal untuk menyelamatkan kita, maka bagaimanakah kita menunjukkan kasih sayang kepada orang lain di sekeliling kita? Perhatikan bahawa Allah tidak menghantar Anak-Nya hanya kepada satu kumpulan tertentu, dan Dia tidak mengasihi hanya satu kumpulan tertentu; Allah mengasihi semua orang, tanpa mengira sama ada mereka baik atau tidak. Hati Kudus Yesus adalah peringatan kepada kita bahawa kasih Tuhan tidak mempunyai batasan, dan Dia mengasihi kita semua, dan kita digalakkan, tidak dipaksa, untuk kembali kepada persahabatan-Nya dan membina hubungan yang erat dengan-Nya. Semoga kita membuka hati kita dan membiarkan Hati Kudus Yesus membimbing kita, agar kita juga dapat mengasihi orang lain seperti Yesus mengasihi kita, dan bersama-sama tumbuh sebagai saudara dan saudari dalam Kristus, satu keluarga Allah.

Sabtu, 2 Jun 2018

Tubuh dan Darah Kristus

Mengapa kita menghadiri Misa? Sesetengah berbuat demikian kerana mereka sepatutnya ingin menjadi lebih dekat dengan Allah dan menjadi sebahagian daripada masyarakat yang beriman; tetapi kadang-kadang tindakan dan sikap mereka kelihatan menunjukkan bahawa mereka hanya prihatin terhadap diri mereka sendiri atau keluarga dan sahabat mereka. Ada orang yang datang ke gereja untuk Misa, dan mendapati bahawa ruang letak kereta gereja semakin sesak, maka apakah yang mereka lakukan? Sesetengah orang meletak kereta sebarangan dan masuk gereja. Kemudian apabila orang lain tidak dapat mengalihkan kenderaan mereka, bermulalah kemarahan dan orang yang digelar saudara saudari dalam Kristus, akhirnya menjerit dan berteriak antara satu sama lain. Terdapat juga sesetengah orang yang, apabila memasuki gereja, mendapati banyak kerusi telah ditempah atau "chope" oleh orang lain yang hanya mahu ahli keluarga atau kawannya duduk bersama (taktik biasa yang digunakan oleh orang ramai adalah untuk meletakkan beg , beg tangan atau barang peribadi di tempat duduk). Apabila kita melakukan perkara seperti itu, adakah kita benar-benar datang ke gereja untuk tujuanyang betul? Apa yang telah berlaku kepada saudara saudari kita dalam Kristus?

Apabila kita meraikan Misa, Yesus memberikan hospitaliti kepada kita semua. Dia tidak menghayati hanya kepada mereka yang dianggap baik dan suci, tetapi juga kepada orang asing, Kristian yang tidak begitu ghairah, dan orang yang berdosa. Misa tidak dihadkan hanya kepada sesetengah umat, tetapi semua dijemput hadir. Juga, kita kadang-kadang mendapati komuniti Kristian yang telah terbahagi kepada puak-puak. Terdapat puak-puak antara yang kaya dan yang miskin. Terdapat orang yang menganggap diri mereka lebih suci daripada yang lain. Terdapat mereka yang menyokong pemimpin tertentu dan kumpulan yang lain menyokong pemimpin lain. Tetapi dalam Misa, tidak ada ruang bagi puak. Semua bersatu dalam Tubuh Kristus, dan kita harus mati terhadap ketamakan, berbangga terhadap diri sendiri, prasangka, mensyaki orang lain.

Mungkin kita harus melihat diri kita sendiri dan berlaku jujur: mengapa kita datang untuk Misa? Adakah kita benar-benar datang sebagai sebuah komuniti saudara saudari dalam Kristus? Atau adakah kita menjadi individualistik dan tidak peduli terhadap orang lain? Setiap Misa adalah perayaan dan peluang yang baik untuk setiap orang untuk memberikan hospitaliti kepada orang lain, terutama orang asing, pendatang, mereka yang lemah, orang tua, anak kecil dan mereka yang bersendirian. Kita tidak boleh berfikir bahawa tugas sedemikian hanya untuk ministri pelayanan atau paderi paroki, tetapi setiap kita diharapkan untuk melakukan bahagian kita, jika kita mengelar diri kita sebagai orang Kristian, tubuh Kristus, ahli keluarga Allah , saudara saudari dalam Kristus. Lagipun, Yesus tidak datang untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan memberikan nyawaNya sebagai tebusan untuk ramai orang. Sebagai orang Kristian, pengikut Kristus, adakah kita tidak melakukan perkara yang sama?

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...