Sabtu, 29 Julai 2017

Minggu Biasa Ke-17 Tahun A

Apa yang kita paling hargai dalam kehidupan kita? Adakah kita paling menghargai kekayaan kita, harta kita, populariti kita, kedudukan kita, status kita, surat tauliah kita, kelayakan serta gelaran, keluarga kita, atau keluarga besar kita? Mungkin kita menghargai satu atau sesetengah perkara atau orang, tetapi adakah perkara-perkara dan orang ini yang penting kepada kita? Berapa lamakah kita mampu berpegang pada perkara-perkara atau orang ini? Adakah kita mampu untuk menjaga semua dengan selamat dan selama-lamanya?

Dalam Injil hari ini, Yesus mengajar kita sesuatu yang paling perlu kita hargai. Yesus memberitahu kita bahawa apa yang paling kita hargai bukan wang atau harta benda kita, bukan gelaran atau kelayakan kita, mahupun orang yang kita sayangi. Yesus memberitahu kita bahawa apa yang paling perlu kita hargai adalah Kerajaan Syurga. Yesus berkata: "Kerajaan Syurga itu seumpama harta yang terpendam di ladang, yang ditemukan orang, lalu dipendamkannya lagi. Oleh sebab sukacitanya pergilah ia menjual seluruh miliknya lalu membeli ladang itu."

Semua yang kita ada, sama ada kebendaan, gelaran atau hubungan adalah sementara. Apa pun, kita boleh kehilangan semua akhirnya. Hanya Kerajaan Syurga yang kekal dan kita bersatu dengan Tuhan serta Kerajaan-Nya apabila kita melakukan kehendak-Nya, dan juga apabila kita bersatu dengan satu sama lain. Salomo dalam bacaan pertama hari ini juga menyedari betapa lebih pentingnya Kerajaan Syurga apabila dia meminta kepada Tuhan untuk kebijaksanaan dan bukannya kekayaan, kuasa dan perkara-perkara lain. Salomo sedar dan memilih kebijaksanaan untuk memahami kehendak Allah. Untuk mengetahui apa yang Tuhan mahu pada kita adalah satu-satunya perkara yang penting.

Janganlah kita menipu diri kita sendiri dengan berfikir bahawa semua yang kita ada di dunia ini yang penting. Segala-galanya yang kita ada hanya sementara. Kita tidak boleh membawa kekayaan kita, gelaran dan hubungan dengan kita apabila kita meninggal dunia. Marilah kita berusaha lebih untuk melakukan kehendak Allah, dan bersatu dengan-Nya dan satu sama lain dalam Kerajaan-Nya. Marilah kita meletakkan Allah sebagai fokus utama kita dan nilai tertinggi untuk kebaikan masa depan kekal kita.

Sabtu, 22 Julai 2017

Minggu Biasa Ke-16 Tahun A

Apakah itu kekuatan? Apakah itu kelemahan? Kadang-kadang kita menyamakan kekuatan atau kelemahan dengan jumlah tenaga atau otot yang kita ada. Sebahagian daripada kita berfikir kekuatan bermakna kita mampu bertahan, untuk mengelak mendapat malu, mampu menangani sesuatu situasi dengan efektif untuk kebaikan sendiri. Sesetengah orang berfikir bahawa seseorang perlu untuk menjadi "kiasu" atau "takut untuk kalah" untuk menjadi kuat. Ada yang berfikir bahawa untuk menjadi kuat, seseorang perlu mahir atau mampu berlagak berani, enggan mengalah, enggan mengakui kesalahan atau kesilapan kita, enggan memohon maaf atau meminta maaf, enggan memaafkan orang lain yang mungkin telah menyakiti kita atau melakukan sesuatu yang salah. Tetapi adakah kita benar-benar kuat dalam situasi-situasi sebegini?

Bacaan-bacaan pada hari ini memberi kita pandangan atau pemahaman yang berbeza mengenai kekuatan. Kekuatan bermakna mempunyai belas kasihan. Dalam Bacaan Pertama, kita belajar bahawa asas keadilan Tuhan ialah kekuatan, namun Allah mengadili dengan belas kasihan, dan dengan sangat hati-hati memperlakukan kita. Dia dengan mudah boleh menggunakan kekuasaan-Nya untuk menghukum kita atau menghapuskan musuh-musuh kita, tetapi Dia memilih untuk tidak berbuat demikian. Ini adalah satu contoh agung mengenai belas kasihan Tuhan terhadap kita semua, tidak kira siapa kita. Dalam Bacaan Kedua, kita menyedari bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu kita dan membimbing kita, walaupun dalam kelemahan kita. Dalam Injil, kita mendapati bahawa setiap daripada kita mempunyai kebaikan dan ada juga keburukan, ada gandum dan ada lalang, semua bercampur aduk bersama-sama. Kita tidak sempurna dan tiada seorang pun benar-benar kuat atau benar-benar lemah. Dengan belajar untuk mempunyai belas kasihan, kita belajar untuk menerima kelemahan dan batasan kita sendiri. Dengan mengenal pasti kelemahan kita sendiri dan keperluan kita bagi pengampunan dan belas kasihan Tuhan, kita juga akan mula menjadi belas kasihan dengan saudara saudari kita yang tengah bergelut sama seperti kita.

Kesimpulannya, kita perlu belajar untuk menjadi berbelas kasihan, sama seperti Bapa Syurgawi kita yang berbelas kasihan kepada semua. Berbelas kasihan tidak bermakna kita akan rugi akhirnya. Sebaliknya, kita akan belajar untuk menjadi lebih seperti Allah kita yang penyayang dan baik hati.

Sabtu, 15 Julai 2017

Minggu Biasa Ke-15 Tahun A

Apakah kepentingan Firman Allah kepada kita? Sesetengah kita memperlakukan Firman Allah dengan kepentingan yang begitu besar, tetapi kita berbuat demikian hanya untuk menunjuk-nunjuk atau untuk hiasan dengan meletakkan al-kitab pada tempat letak yang mewah dan mungkin meletakkan al-kitab di altar keluarga, kemungkinan perlahan-lahan hanya mengumpul debu. Ada pula membaca Firman Allah seperti buku cerita, tetapi tidak memahami maknanya dan ada yang tidak peduli untuk mengetahui lebih lanjut mengenai apa sebenar petikan tersebut cuba mengajar kita. Ada yang membaca al-kitab dan merenung firman dengan penuh hormat dan berdoa, mengambil masa dan usaha untuk memahami makna.

Firman Allah adalah nutrien khas untuk jiwa kita. Ia seperti tanah yang membolehkan jiwa kita untuk mendapatkan nutrien yang diperlukan dan nutrien penting untuk pertumbuhan supaya kita dapat menghasilkan buah yang baik. Tetapi bagi kita untuk mendapat manfaat daripada Firman Allah, kita perlu menilai diri kita sendiri. Injil hari ini bercakap mengenai benih yang jatuh pada persekitaran yang berbeza dengan keadaan tanah yang berbeza. Setiap persekitaran boleh dikaitkan dengan keadaan kita dan keadaan jiwa kita.

Persekitaran pertama (di pinggir jalan) adalah seperti orang yang tidak sedikitpun berminat dalam Firman Allah. Mereka datang lewat untuk Misa, atau kadang-kadang datang hanya untuk perayaan penting tertentu seperti Krismas dan Paskah. Ada yang berkata orang jenis ini mempunyai mentaliti selepas lahir (hatch), berkahwin (match) dan mati (detach), bererti bahawa mereka datang ke gereja hanya apabila mereka dibaptiskan sebagai bayi, apabila mereka berkahwin dan apabila mereka dibawa atau diusung masuk untuk upacara pengebumian mereka. Pada masa lain, mereka seperti biskut "chipsmore," sekarang anda nampak mereka, kini anda tidak. Orang seperti ini juga kadang-kadang tidak sabar, hanya menunggu untuk keluar dari gereja selepas Misa, atau mungkin melihat tempat lain atau melakukan perkara-perkara lain atau memikirkan perkara-perkara lain, hanya untuk menghabiskan masa. Mereka seolah-olah lebih berminat dalam perkara-perkara lain dan datang ke gereja hanya untuk memenuhi kewajipan Hari Minggu (dengan penuh kesukaran pada masa).

Persekitaran kedua (jatuh di tanah yang berbatu-batu, yang tidak banyak tanahnya) adalah seperti orang yang dangkal atau cetek imam. Mereka memilih hanya Firman Allah yang tertentu, mengelak atau mengabai bahagian-bahagian yang tidak menyenangkan atau apa yang mereka fikir tidak relevan dengan mereka. Kita menggelar golongan ini sebagai orang dengan pendengaran selektif, hanya mahu mendengar perkara tertentu dan menjadi pekak dengan perkara-perkara lain. Apabila berlaku sedikit cabaran atau apabila mereka menghadapi sedikit kesukaran, iman mereka menjadi pudar.

Persekitaran ketiga (jatuh di tengah semak duri) adalah seperti orang yang mendengar dan menerima Firman Allah, tetapi begitu banyak perkara-perkara lain, kebimbangan, tekanan dan gangguan menyebabkan mereka hilang fokus. Kesannya, mereka berasa seolah-olah Tuhan telah meninggalkan mereka dan mereka lenyap, walaupun sebenarnya, merekalah yang telah meninggalkan Allah. Mereka kekurangan kepercayaan, ketabahan dan kesabaran untuk nekad dan menamatkan perlumbaan.

Sememangnya, kita berharap dan berdoa bahawa kita akan menjadi seperti persekitaran keempat, di mana kita mendapat akses kepada tanah yang baik. Orang yang berada dalam persekitaran keempat ini hidup dengan baik dan subur, menghasilkan buah yang baik dan memberi kemuliaan kepada Allah.

Persoalannya ialah: di manakah persekitaran kita kini? Adakah kita terperangkap dalam persekitaran tertentu? Ia memerlukan rahmat dan rezeki Tuhan untuk membantu kita membuat suatu perubahan dan mula menghasilkan buah yang baik, tetapi kita juga perlu berusaha dan melakukan bahagian kita. Kita mesti keluar dari zon selesa dan bersedia untuk menjadi lebih percaya dan bergantung kepada Allah. Adakah kita rendah hati dan sanggup membenarkan tanah baik yang ditawarkan Tuhan kepada kita melalui Firman-Nya dan juga melalui Ekaristi, menyuburkan kita?

Sabtu, 8 Julai 2017

Minggu Biasa Ke-14 Tahun A

Sebagai anak, sesetengah kita mendapati sukar untuk mendengar kata ibu bapa kita. Kita cuba untuk melakukan perkara dengan cara kita. Akibatnya, kita akan dimarahi (dan dalam kes tertentu, malah dipukul) kerana tidak mendengar atau melakukan apa yang ibu bapa kita katakan. Semasa kita membesar, kita mendapati semakin sukar untuk mendengar kata ibu bapa kita, kerana kita menghargai kebebasan kita dan kita rasa kita mampu melakukannya. Walau bagaimanapun, pada waktu itu, apa yang ibu bapa kita katakan sebenarnya untuk kebaikan kita sendiri, dan kita ingkar dengan mengambil risiko kita sendiri.
Apabila kita tidak dapat atau mendapati sukar untuk mendengar kata ibu bapa kita, kita menjadi tidak taat. Dengan cara yang sama, apabila kita tidak dapat atau mendapati sukar untuk mendengar suara Tuhan, kita juga menjadi tidak taat. Dosa adalah perbuatan ingkar kepada Allah. Ketaatan bermakna mendengar pada suara Tuhan dan percaya pada takdir-Nya.

Yesus dalam Injil hari ini mengajak kita untuk meletakkan kepercayaan kita kepada-Nya dan kepada Allah Bapa. Kita mungkin tidak memahami sepenuhnya kehendak Allah, tetapi tidak mengapa. Melainkan jika kita menurut kata dan patuh seperti anak kecil, kita tidak akan menemui kehendak Tuhan. Yesus mengingatkan kita bahawa Allah menyembunyikan perkara ini daripada orang bijak serta pandai dan mendedahkannya kepada orang kecil semata-mata. Inilah sebenarnya kepercayaan. Seorang anak yang percaya bahawa ibu bapanya akan menjaganya, bebas daripada kebimbangan. Ketaatan bermakna mempercayai.

Dalam Injil hari ini, Yesus juga memberikan kita suatu imej kuk di mana Dia berkata: "Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu. Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah pada-Ku, kerana Aku lemah lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan. Sebab kuk yang Kupasang itu enak dan beban-Kupun ringan." Satu kuk sering dibuat untuk dua atau lebih lembu, dan dengan mengajak kita untuk memikul kuk-Nya dan belajar daripada-Nya, Yesus meyakinkan kita bahawa dengan memikul kuk-Nya, Dia akan memberi petunjuk kepada kita dan membantu kita dengan beban kita. Apabila kita menerima kuk Yesus, kita sebenarnya sedang dibebaskan daripada banyak kekhuatiran dan kebimbangan yang tidak perlu dan kita belajar untuk menjadi lemah lembut dan rendah hati, mempercayai Yesus dan Allah Bapa, mengetahui bahawa kita akan dijaga dengan baik, sama seperti seorang anak yang meletakkan kepercayaannya kepada ibu bapanya dan dijaga oleh mereka. Keingkaran adalah kesan daripada kebanggaan. Ketaatan adalah kesan daripada kerendahan hati.

Oleh itu marilah kita berserah kepada kehendak Tuhan dan membiarkan Dia mengambil kawalan. Apabila kita berserah kepada kehendak Tuhan, kita juga akan memperolehi kedamaian dan kebahagiaan sebenar. Adakah kita masih begitu keras kepala dan mahu melakukan sesuatu dengan cara kita? Atau adakah kita bersedia untuk menjadi rendah hati, dan melakukan perkara dengan cara Tuhan?

Sabtu, 1 Julai 2017

Minggu Biasa Ke-13 Tahun A

Apabila kita pergi ke gereja, kita bukan datang sebagai orang yang tidak dikenali atau orang asing, tetapi kita datang sebab kita sepatutnya menjadi saudara dan saudari dalam Kristus. Tetapi persoalannya ialah: adakah kita benar-benar saudara dan saudari dalam Kristus? Lihat sekeliling anda ... adakah anda duduk dengan orang yang tidak dikenali, atau kemungkinan besar tidak kenal, adakah anda duduk dengan orang yang anda kenal atau biasa? Adakah anda kenal orang di sebelah kanan dan kiri anda? Mungkin jika mereka adalah ahli keluarga anda, rakan-rakan atau saudara-mara, anda akan mengenali mereka. Tetapi bagaimana pula dengan orang di kerusi panjang depan, atau orang yang di kerusi panjang belakang, atau mahupun orang yang duduk beberapa baris jauh? Adakah anda kenal semua daripada mereka? Atau adakah anda tahu sebahagian besar daripada mereka? Atau adakah anda tahu sebahagian daripada mereka? Atau mungkin anda tidak tahu mereka semua? Kadang-kadang kita mendengar orang mengadu bahawa gereja kelihatan dingin dan tidak mengalukan, kerana mereka berasa seolah-olah mereka datang dan balik sebagai orang asing. Persoalannya: Siapa yang anda fikir perlu melakukan aluan (welcoming)? Adakah kita menyalahkan paderi semata-mata? Atau kita perlu menyalahkan menteri hospitaliti (hospitality ministers)?

Jadi siapakah yang perlu melakukan aluan? Jawapannya adalah jelas: Seharusnya setiap seorang daripada kita. Jika setiap seorang daripada kita boleh menunjukkan hospitaliti kepada hanya satu orang, kita akan menjadi saksi hidup pada kasih dan hospitaliti. Apakah itu hospitaliti? Hospitaliti bermakna memberi perhatian kepada seseorang dan membuatnya berasa seperti di rumah. Kita mahu orang lain memberi perhatian kepada kita, dan kita marah, kecewa dan terluka apabila kita diabaikan, apabila orang lain tidak mendengar kepada kita atau melayan kita seolah-olah kita tidak wujud. Tetapi adakah kita memberi perhatian kepada orang lain hanya kerana kita mengharapkan orang lain untuk memberi perhatian kepada kita?

Hospitaliti harus mengubah kita daripada mementingkan diri sendiri kepada mementingkan orang lain (other-centred). Santo Paulus memberitahu kita dalam bacaan kedua: "Tidak tahukah kamu, bahawa kita semua yang telah dibaptis dalam Kristus, telah dibaptis dalam kematian-Nya? Dengan demikian kita telah dikuburkan bersama-sama dengan Dia oleh baptisan dalam kematian, supaya, sama seperti Kristus telah dibangkitkan dari antara orang mati oleh kemuliaan Bapa, demikian juga kita akan hidup dalam hidup yang baru." Hidup dalam kehidupan yang baru ini bermakna kita bukan semata-mata individu-individu tetapi ahli-ahli komuniti, saudara dan saudari dalam Kristus. Hospitaliti juga bermakna bahawa kita perlu untuk memecahkan halangan yang dicipta oleh prejudis dan syak wasangka. Hidup dalam Kristus bermakna bahawa setiap orang adalah ahli keluarga saya dan kawan saya. Yesus mengingatkan kita: "Barangsiapa mengasihi bapa atau ibunya lebih dari pada-Ku, ia tidak layak bagi-Ku; dan barangsiapa mengasihi anaknya laki-laki atau perempuan lebih dari pada-Ku, ia tidak layak bagi-Ku." Apakah yang Yesus beritahu kita di sini? Apa yang Dia beritahu adalah kita semua hidup sebagai satu keluarga, sebagai saudara saudari dalam Kristus, sebagai ahli-ahli komuniti yang dipanggil untuk mengasihi, berbelas kasihan, mengampuni dan rekonsilikasi.

Hari ini, mari kita mengalu-alukan satu sama lain dengan tangan dan hati terbuka. Apabila kita mengalu-alukan satu sama lain, kita juga mengalu-alukan Yesus, seperti Yesus memberitahu kita di dalam Injil : "Barangsiapa menyambut kamu, ia menyambut Aku, dan barangsiapa menyambut Aku, ia menyambut Dia yang mengutus Aku." Seorang wanita warga Sumen dalam bacaan pertama hari ini tidak mempunyai anak dan suaminya sudah tua, dan kerana dia mengalu-alukan Elisa, Allah memberikan dia seorang anak lelaki. Dalam Injil, Yesus menyakinkan kita: "Barangsiapa menyambut seorang nabi sebagai nabi, ia akan menerima upah nabi, dan barangsiapa menyambut seorang benar sebagai orang benar, ia akan menerima upah orang benar. Dan barangsiapa memberi air sejuk secangkir sajapun kepada salah seorang yang kecil ini, kerana ia murid-Ku, Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya ia tidak akan kehilangan upahnya dari padanya." Semoga kita belajar untuk menjadi benar-benar dan ikhlas mesra (sincerely hospitable) kepada semua, supaya semua tahu bahawa kita adalah orang Kristian melalui kasih kita, demi kemuliaan Allah yang lebih besar.

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...