Sabtu, 31 Ogos 2019

Minggu Biasa Ke-18 Tahun A

Sesetengah kita bimbang begitu banyak. Kita bimbang tentang begitu banyak perkara, kadang-kadang perkara yang sebenarnya bukan masalah besar. Kita bimbang tentang keadaan kita sekarang, kita bimbang tentang masa depan kita, kita bimbang tentang keluarga kita, keadaan kewangan kita, dan sebagainya. Apabila kita bimbang, kita sebenarnya hanya melihat pada diri kita, kita melihat keperluan kita dan mungkin keperluan orang yang kita sayangi . Kita mempunyai sedikit atau tiada masa untuk memikirkan keperluan orang lain, terutama yang tidak rapat dengan kita atau orang di sekeliling kita. Jadi bagaimanakah kita boleh mengurangkan atau menghentikan kebimbangan kita? Dengan lebih bergantung pada jagaan, kasih-cinta, kebaikan dan rezeki Allah. Dalam bacaan yang kedua, kita diingatkan bahawa "Siapakah yang akan memisahkan kita dari kasih Kristus? Penindasan atau kesesakan atau penganiayaan, atau kelaparan atau ketelanjangan, atau bahaya, atau pedang? Tetapi dalam semuanya itu kita lebih daripada orang-orang yang menang, oleh Dia yang telah mengasihi kita.” Sekiranya Allah ada dengan kita, mengapa kita masih bimbang? Jika kita percaya bahawa Allah boleh membantu kita, maka kita harus bebas dari kebimbangan. Kita harus lebih bersedia untuk menjaga dan berkongsi dengan orang lain, kerana Allah ada di sana untuk kita dan kita tidak akan kekurangan sebab Allah dapat menyediakan untuk kita.

Dalam Injil hari ini, kita melihat bagaimana murid-murid bimbang tentang apa yang harus dilakukan terhadap orang ramai. Kita membaca: "Menjelang malam, murid-murid-Nya datang kepada-Nya dan berkata: "Tempat ini sunyi dan hari sudah mulai malam. Suruhlah orang banyak itu pergi supaya mereka dapat membeli makanan di desa-desa." Tetapi Yesus berkata kepada mereka: "Tidak perlu mereka pergi, kamu harus memberi mereka makan." Jawab mereka: "Yang ada pada kami di sini hanya lima roti dan dua ikan." Di sini kita melihat bagaimana murid-murid masih tidak faham. Mereka masih tidak mengenali atau mempunyai kepercayaan yang cukup kepada Yesus. Mereka lebih prihatin terhadap diri mereka sendiri dan tertanya-tanya bagaimana mereka akan memberi makanan kepada orang ramai dengan begitu sikit roti dan ikan. Tetapi Yesus menunjukkan kepada mereka bahawa apabila kita memberi, kita dapat menerima lebih banyak lagi, dan kita melihat ini dalam mukjizat pelipatgandaan roti dan ikan yang Yesus lakukan di depan mata mereka.

Apabila kita semakin sanggup dan bersedia untuk memberi, semakin banyak berkat yang akan kita terima dari Allah. Tidak kira berapa banyak atau berapa sedikit yang kita berikan, niat atau kualiti pemberian yang penting. Sesetengah orang memberi banyak, tetapi mereka mungkin berbuat demikian dengan tidak rela atau untuk menunjuk-nunjuk. Tetapi jika kita benar-benar bersedia memberi dengan gembira dan murah hati, Allah akan memberkati kita berlimpah-limpah, kadang-kala melangkaui apa yang kita bayangkan. Adakah kita bersedia untuk percaya pada rezeki Allah dan berkongsi apa yang kita ada?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...