Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami layanan seperti sampah masyarakat, orang buangan, atau dikecualikan daripada sesebuah kumpulan, komuniti atau dari masyarakat? Ramai di antara kita mungkin bertuah tidak mengalami perkara sedemikian, tetapi ada juga yang melalui pengalaman ini setiap hari. Mereka diperlakukan dengan cara ini atas beberapa sebab: orang itu telah melakukan jenayah yang sangat kejam atau mengerikan sehingga orang itu dikurung jauh daripada orang lain untuk kebaikan masyarakat; atau seseorang itu dijangkiti dengan penyakit berjangkit atau berbahaya, maka adalah lebih selamat dan lebih baik untuk orang tersebut diasingkan dari orang lain untuk mengelakkan jangkitan merebak kepada orang lain di sekelilingnya atau bahkan untuk mengelakkan wabak. Satu penyakit yang boleh menyebabkan seseorang diperlakukan sebagai orang buangan masyarakat adalah kusta.
Sebahagian besar daripada kita mendahagakan hubungan baik, bahagia dan sihat serta persahabatan dengan rakan-rakan, keluarga dan orang tersayang. Walau bagaimanapun, jika seseorang menderita penyakit kusta, hubungan dan persahabatan sedemikian tidak mungkin selagi penyakit itu masih wujud dalam dirinya. Kusta boleh dirawat dengan bantuan ubatan moden, dan orang yang dijangkiti penyakit ini dan sedang menjalani rawatan yang betul dapat menjalani gaya hidup yang normal.Namun, kusta pada zaman purba, termasuk mereka pada era Yesus, tidak begitu bertuah. Ketakutan dan prasangka menyebabkan mereka dicemuh dan dihina kerana sesetengah orang menyangka bahawa mereka telah menjadi pesakit kusta sebab melakukan dosa besar. Sesetengah pesakit kusta bahkan mungkin merasa terasing dari Tuhan kerana mereka tidak dapat menghadiri upacara di rumah ibadat, atau menziarahi Bait Allah di Yerusalem. Oleh itu, satu-satunya teman yang mereka mungkin ada adalah dengan pesakit kusta yang lain.
Pesakit kusta dalam Injil hari ini mungkin merasakan kesakitan emosi dan fizikal yang luar biasa kerana keadaannya. Dia harus hidup jauh dari orang lain, seperti pembacaan pertama memberitahu kita: " Maka orang itu sakit kusta, dan ia najis, dan imam harus menyatakan dia najis, karena penyakit yang di kepalanya itu. Orang yang sakit kusta harus berpakaian yang cabik-cabik, rambutnya terurai dan lagi ia harus menutupi mukanya sambil berseru-seru: Najis! Najis!" Selama ia kena penyakit itu, ia tetap najis; memang ia najis; ia harus tinggal terasing, di luar perkemahan itulah tempat kediamannya.” Bolehkah anda bayangkan digelar "najis"? Gelaran yang menghinakan dan menjatuhkan maruah! Tetapi itulah yang perlu dilalui oleh pesakit kusta ini. Dalam keadaan terdesak, dia berharap bahawa Yesus akan menyembuhkannya dan melepaskannya dari keadaan susah. Dan itulah yang dilakukan oleh Yesus; Dia menyembuhkan pesakit kusta dan memberi balik kebebasannya semula: lelaki itu dapat keluar dari pengasingannya dan bersatu kembali dengan orang yang tersayang dan dengan masyarakat. Orang yang sembuh itu pastinya sangat gembira dan teruja disembuhkan, sehingga dia mengingkar perintah tegas Yesus: "Ingatlah, janganlah engkau memberitahukan apa-apa tentang hal ini kepada siapapun, tetapi pergilah, perlihatkanlah dirimu kepada imam dan persembahkanlah untuk pentahiranmu persembahan, yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti bagi mereka." Sebaliknya, dia mula memberitahu semua orang tentang Yesus.
Hari ini, kita mempunyai ramai "pesakit kusta" di kalangan kita. Adakah kita tahu siapakah mereka? Adakah kita berfikir tentang bagaimana kita boleh membawa kehadiran penyembuhan Yesus kepada mereka? "Pesakit kusta" ini tidak semestinya menderita penyakit kusta, tetapi mereka mungkin mengalami nasib yang sama seperti pesakit kusta kerana beberapa alasan: mereka boleh terasing, kesepian dan terkurung di rumah mereka akibat penyakit atau usia tua; mereka mungkin disingkir oleh masyarakat kerana prasangka dan ketakutan kerana mereka menderita sesetengah penyakit berjangkit atau penyakit yang dianggap berbahaya dan berjangkit atau bahkan AIDS; mereka boleh mengasingkan diri mereka sendiri kerana kesedihan atau harga diri yang rendah; atau mereka mungkin adalah migran atau mereka yang mengalami ejekan atau pengasingan kerana sukar berbahasa, prasangka dan kemiskinan. Sebagai orang Kristian, kita perlu keluar dari zon selesa, kebanggaan dan prasangka kita, serta ketakutan kita, dan pergi ke ramai "pesakit kusta" di sekeliling kita. Mari kita bawa Yesus kepada mereka, dan lakukan bahagian kita untuk menunjukkan kepada mereka belas kasihan, rahmat dan kasih Allah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Minggu Biasa Ke-6 Tahun B
Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...
-
Dari usia muda, kebanyakan kita akan diperkenalkan dengan peraturan dan undang-undang di rumah. Kita akan dididik dengan apa yang boleh dite...
-
Berapakah jumlah kegembiraan di dalam hati kita? Adakah kita orang yang gembira, atau adakah kita menjadi terlalu sibuk dengan begitu banyak...
-
Sejak berkurun-kurun dan dekad lamanya dalam sejarah manusia, kita telah melihat banyak kegusaran, kebencian, dendam, tentangan, keingkaran,...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan