Ahli keluarga pada hari ini kelihatan semakin sibuk dengan perkara mereka sendiri. Ibu bapa sibuk dengan kerja, bersosial dengan rakan-rakan mereka, melakukan pelbagai tugas, dan perkara lain yang perlu. Anak-anak sibuk dengan sekolah, kolej atau universiti, bersosial dengan rakan-rakan mereka, melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, dan perkara-perkara lain yang timbul. Pekerjaan, pelajaran dan kegemaran sendiri menjadi lebih penting, menyebabkan masa dengan keluarga semakin berkurangan. Jika dibiarkan, hubungan keluarga merana. Kita mendengar lebih banyak kes pasangan bercerai, masalah sosial di kalangan anak-anak, dan apabila anak-anak ini membesar, mereka berpindah dan meninggalkan ibu bapa mereka yang tua, atau bahkan menjadi orang yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. Sebab masalah tersebut adalah ahli keluarga tidak mempunyai masa untuk satu sama lain, mereka telah hilang ikatan atau perasaan mengasihi, mereka hanyut jauh.
Apabila bercakap mengenai hubungan kita dengan Allah, kita juga boleh hanyut jauh dari Dia ketika kita kurang berdoa, ketika kita jarang pergi ke gereja, ketika kita tidak mendengar Firman-Nya dalam Alkitab, ketika kita tidak meluangkan masa mendengar Dia di hadapan Sakramen Mahakudus, dan ketika kita tidak terlibat dalam pelbagai aktiviti gereja. Kita menjadi semakin terperangkap dalam cara-cara dunia, menyebabkan kita semakin berjauhan dari Allah. Kita mula kehilangan keupayaan kita untuk mendengar suaraNya, sehingga suatu hari, kita mungkin mendapati bahawa kita telah terasing dari-Nya. Mengapa? Kerana kita telah, melalui tindakan, sikap dan tingkah laku kita, memilih untuk meninggalkan Dia, walaupun kita mungkin tidak menyedarinya sehingga sudah terlambat. Sebaliknya, Allah tidak meninggalkan kita. Malah, Dia sentiasa mencari kita, dengan bersungguh-sungguh dan lemah-lembut memanggil kita untuk kembali kepada-Nya, tetapi kita telah mengabai atau kurang sensitif untuk mendengar suara-Nya.
Dalam bacaan Injil hari ini, kita melihat bagaimana para rasul begitu bersemangat dalam tugas mereka, menyebabkan mereka lupa meluangkan masa di antara sesama mereka dan dengan Yesus. Tugas adalah baik dan penting, tetapi meluangkan masa dengan satu sama lain dan doa dan refleksi dengan Allah lebih penting. Kadang-kadang kita lupa bahawa kita bukan superman atau superwoman, kerana tanpa doa, kita tidak akan mempunyai kekuatan rohani, stamina dan tenaga untuk menghadapi pelbagai cabaran kehidupan yang akan datang. Kita akan mengalami kepenatan, keletihan dan kekecewaan.
Dalam pembacaan pertama, nabi Yeremia telah mengeluarkan amaran tegas kepada kita semua, paderi, religius dan umat awam: " Celakalah para gembala yang membiarkan kambing domba gembalaan-Ku hilang dan terserak ... Kamu telah membiarkan kambing domba-Ku terserak dan tercerai-berai, dan kamu tidak menjaganya. Maka ketahuilah, Aku akan membalaskan kepadamu perbuatan-perbuatanmu yang jahat,... "Setiap insan dipanggil dan dipilih untuk menjadi gembala mengikut situasi kita, dan kita ditugaskan dengan perkembangan moral, rohani dan pendidikan diri kita sendiri dan juga sesiapa dibawah naungan kita. Jika kita gagal atau lalai menjaga keperluan pastoral untuk mereka yang berada di bawah jagaan kita, maka Allah akan “membangkitkan gembala untuk menjaga mereka." Kita akan berdepan akibat daripada kelalaian kita. Adakah kita sedar tentang perkara ini? Adakah kita mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani perkara ini sebelum terlambat?
Menjadi gembala yang menjaga kawanan domba Allah pastinya tidak mudah. Lebih-lebih lagi, gembala bukan hanya paderi, memandangkan setiap orang di antara kita dipanggil menjadi gembala dengan cara kita sendiri dan dalam keadaan kita sendiri. Kita mesti mengikuti contoh Yesus, Gembala yang Baik, tetapi jika kita begitu terperangkap dengan kesibukan kita sendiri sehingga kita tidak mempunyai masa untuk Allah, untuk keluarga kita atau orang lain, maka bagaimanakah kita akan menjadi gembala dan saksi Injil yang berkesan? Tidak. . Kita tidak boleh membantu orang lain jika kita sendiri tidak cukup rehat atau merasa tekanan. Itulah sebabnya kita mesti mendengar suara Yesus, memanggil kita dalam Injil hari ini untuk " ke tempat yang sunyi, supaya kita sendirian, dan beristirahatlah seketika." Marilah kita tidak mengambil mudah atau sambil lewa dengan jemputan Yesus. Sebaliknya, marilah kita merebut peluang untuk berehat seketika dengan Allah dan dengan satu sama lain, agar kita bersemangat baru untuk menjadi gembala yang berkesan dalam situasi kita yang berbeza, mengikut contoh Yesus, Gembala Baik yang kita kasihi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Minggu Biasa Ke-6 Tahun B
Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...
-
Dari usia muda, kebanyakan kita akan diperkenalkan dengan peraturan dan undang-undang di rumah. Kita akan dididik dengan apa yang boleh dite...
-
Berapakah jumlah kegembiraan di dalam hati kita? Adakah kita orang yang gembira, atau adakah kita menjadi terlalu sibuk dengan begitu banyak...
-
Sejak berkurun-kurun dan dekad lamanya dalam sejarah manusia, kita telah melihat banyak kegusaran, kebencian, dendam, tentangan, keingkaran,...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan