Sabtu, 5 Mac 2016

Minggu Prapaska ke-4 Tahun C

Terdapat banyak perkara dalam kehidupan yang kita boleh elak atau kawal. Kadang kala, ia untuk kebaikan diri kita sendiri untuk mempunyai kebebasan memilih apa yang kita mahu dan perlu, memandangkan sesetengah perkara mungkin tidak semestinya baik untuk kita dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, terdapat juga banyak perkara dalam hidup yang di luar kawalan, di luar pilihan kita. Sebagai contoh, kita tidak dapat mengawal bila sebenarnya kita akan mati, kerana kematian boleh datang pada bila-bila masa, di mana-mana tempat, pada bila-bila momen. Satu lagi contoh sesuatu yang di luar kawalan kita merupakan perubahan. Selagi kita masih hidup, kita sentiasa berubah dari segi fizikal dan biologi, dan kita tidak mempunyai kawalan terhadap perubahan sebegitu. Namun, kita mempunyai kawalan ke atas salah satu aspek penting, iaitu hala tuju kita dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, inilah arah dalam kehidupan yang paling sukar untuk ubah dan terima.

Bacaan hari ini memberitahu kita contoh-contoh perubahan yang berbeza dan bagaimana orang respon terhadap perubahan tersebut. Dalam bacaan pertama, orang Israel mengalami perubahan gaya hidup dalam segi diet mereka. Akhirnya, mereka kini telah tiba di tanah air baru mereka, selepas melarikan diri dari Mesir dan mengembara di padang pasir selama 40 tahun. Sejak itu, mereka tidak lagi mempunyai manna yang mereka makan di padang pasir; sebaliknya mereka telah merasai hasil negeri itu, roti yang tidak beragi dan bertih gandum. Dalam Al-Kitab, kita berdepan dengan anak bongsu yang bermula di landasan yang salah tetapi kemudian bertaubat dan mengambil keputusan untuk menukar arah dalam kehidupan. Anak bongsu mewakili orang berdosa di kalangan pengikut Yesus yang telah bertaubat dan mengubah kehidupan masa lalu mereka, manakala anak sulung mewakili orang Farisi dan ahli-ahli Taurat yang soleh dan berimam, terus berpegang pada keyakinan benar diri (self righteous beliefs) mereka, menolak untuk berubah kerana mereka merasa mereka sudah cukup baik dan percaya tiada keperluan untuk mereka berubah. Ini disebabkan perubahan boleh menjadi menakutkan dan menggerunkan bagi sebahagian daripada kita, tetapi jika kita tidak berubah,kita akan kekal seperti anak sulung: marah, kecewa, kerap mengadu dan kita tidak boleh membenarkan diri kita untuk menjadi sebahagian daripada penyelamatan Allah. Santo Paulus dalam bacaan kedua mengingatkan kita bahawa "Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang. Dan semuanya ini dari Allah." Jika kita memang seorang 'ciptaan baru' maka perubahan mesti berlaku, dan kita mesti mula hidup ini dalam kehidupan 'baru'.

Akhirnya, perubahan arah dalam kehidupan hanya boleh berlaku jika kita terbuka kepada kasih sayang dan jagaan Allah. Semoga kita berdoa bagi rahmat untuk menerima perubahan, dan biarlah Allah kita yang penyayang membimbing kita dalam segala yang kita lakukan, supaya kita memuliakan Dia dan bergerak ke hadapan dalam iman, harapan dan kasih sayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...