Rabu, 1 Mac 2017

Hari Raya Abu

Hari Rabu Abu menandakan permulaan musim Prapaska. Apabila kita berfikir tentang musim Prapaska, apakah sesetengah perkara yang kita fikirkan? Sesetengah daripada kita berfikir tentang pergi ke gereja untuk menerima pengenaan abu di atas dahi kita pada hari Rabu Abu, sesetengah berfikir tentang pantang dan puasa pada hari-hari tertentu, sesetengah berfikir tentang Jalan Salib yang biasanya diadakan pada hari Jumaat semasa Prapaska, malah ada berfikir tentang membuat pengakuan di salah satu daripada gereja-gereja yang ada pengakuan dosa. Semua niat ini adalah amalan dan kesemuanya adalah baik. Tetapi apakah bentuk amalan tersebut? Ia berbentuk zahir atau amalan luaran taqwa, dan jika kita mengejar hanya amalan luaran, kita mungkin berakhir dengan kehilangan seluruh makna Prapaska, iaitu membawa kita untuk rekonsilasi dengan Allah dan dengan satu sama lain, dan akhirnya membawa kita kepada pertaubatan dalaman. Tetapi adakah amalan-amalan ini memadai dengan disebut? Mungkin kita perlu melihat semula tiga amalan yang kita sering dengar terutama semasa Prapaska, tetapi kita mungkin tidak sepenuhnya mengerti atau memahami apa yang dimaksudkan. Tiga amalan tersebut adalah doa, puasa dan sedekah.

Apabila kita bercakap mengenai doa, kita bercakap tentang mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan Tuhan. Kadang-kadang kita mungkin telah menjadi begitu biasa berdoa tanpa berfikir doa seperti rosari, kerahiman ilahi, doa kepada Hati Kudus atau devosi yang berlainan bentuk, sebab doa kita adalah daripada tabiat atau daripada tradisi yang diturunkan kepada kita dari orang tua kita. Tetapi dengan berdoa doa sedemikian, adakah kita benar-benar bertambah lebih dekat dengan Allah? Doa perlu mengubah kita dan memimpin kita untuk lebih mempercayai Allah dan meletakkan kehidupan kita dalam kawalan-Nya. Adakah doa kita membolehkan kita untuk berbuat demikian? Atau adakah doa kita menjadi satu bentuk celoteh, bercakap banyak perkara tetapi tidak bererti?

Apabila kita bercakap tentang puasa, kita berpuasa bukan kerana kita mahu menyeksa atau menghukum badan kita, dan puasa bukan bertujuan untuk digunakan sebagai alasan atau satu cara untuk menurunkan berat badan. Kita berpuasa kerana kita mahu dahagakan Tuhan, dan mengutamakan Tuhan di dalam hidup kita. Puasa membantu kita menimbang semula nilai-nilai kita dalam kehidupan, dan membimbing kita untuk menolak dan menafikan tarikan godaan, terutamanya yang memenuhi kehendak kita sendiri. Puasa membebaskan kita dari ketamakan, dan menjadikan kita lebih peka terhadap keperluan orang lain.

Apabila kita bersedekah, kita berbuat demikian bukan kerana kita mengasihani orang miskin atau mereka yang kurang bernasib baik. Kita memberi sedekah kerana ia mengingatkan kita keperluan untuk berada dalam perpaduan dengan semua, terutama golongan miskin. Memberi derma mengingatkan kita bahawa semua perkara datang dari Allah, tiada apa yang benar-benar milik kita, dan dengan itu kita tidak harus berpaut kepada perkara tersebut untuk kepentingan sendiri. Memberi derma mengingatkan kita bahawa manusia jauh lebih penting daripada kebendaan.

Tatkala kita memulakan musim Prapaska, marilah kita mengambil keberanian dan membiarkan Tuhan membantu kita mendalami kehidupan doa kita, dan membantu kita untuk menjadi rendah hati dan jinak dalam puasa kita dan juga dalam kemurahan hati kita untuk berkongsi dengan orang miskin. Marilah kita melakukan semua perkara ini bukan kerana semata-mata amalan luaran, atau untuk menunjuk-nunjuk, tetapi kerana kita mahu semakin lebih dekat kepada Tuhan, berjalan pada jalan-Nya dan membenarkan-Nya menjadi rezeki dan panduan kta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...