Sabtu, 27 Mei 2017

Minggu Paska Ke-7 Tahun A

Apakah makna perkataan "kemuliaan" kepada kamu? Bagi sesetengah orang, ia boleh bermakna untuk menjadi terkenal, untuk menjadi popular, untuk diterima umum sebagai seseorang yang penting atau signifikan, atau mungkin untuk mempunyai nama yang baik. Bagi yang lain pula, ia mungkin bermakna berada dalam kedudukan di mana orang akan mengagumi, memuji dan menghormati anda, dan mungkin melayan anda sebagai role model (ikon contoh) atau VIP. Tetapi apakah kefahaman orang Kristian mengenai kemuliaan?

Untuk memuliakan sebagai seorang Kristian bermakna rela untuk memikul salib. Salib bagi sesetengah orang mungkin adalah simbol aib, penyisihan dan kematian, tetapi bagi kita orang Kristian, ia adalah simbol kemenangan, kemuliaan dan kehidupan. Apabila kita mengalami penderitaan, penyisihan, penganiayaan, atau berdepan dengan kemungkinan hukuman mati, kita memuliakan Allah dan kita sedang mengalami kemuliaan yang sebenar. St. Petrus pada bacaan kedua hari ini menulis: "Bersukacitalah, sesuai dengan bagian yang kamu dapat dalam penderitaan Kristus, supaya kamu juga boleh bergembira dan bersukacita pada waktu Ia menyatakan kemuliaan-Nya. Berbahagialah kamu, jika kamu dinista (dihina) kerana nama Kristus, sebab Roh kemuliaan, iaitu Roh Allah ada padamu." Berapa ramaikah daripada kita boleh bergembira, benar-benar bersukacita sepenuh hati dalam situasi sebegitu?

Hari ini, jika kamu menderita kerana iman kamu, bersukacita dan bergembiralah. St. Petrus mengingatkan kita bahawa "jika ia (sesiapa) menderita sebagai orang Kristian, maka janganlah ia malu, melainkan hendaklah ia memuliakan Allah dalam nama Kristus itu." Dipermuliakan di dalam Kristus bukan mengenai betapa ulung atau hebatnya kita, tetapi mengenai ketabahan, komitmen dan semangat kita dalam membawa Berita Baik kepada semua, walaupun jika kita menderita. Akhirnya, kemuliaan kita bukan dari dunia ini dan marilah kita bersukacita dan bergembira, sebab Allah adalah di sana untuk membantu kita dan memimpin kita kembali kepada-Nya.

Khamis, 25 Mei 2017

Kenaikan Tuhan Yesus

Mengucap selamat jalan atau selamat tinggal tidak pernah mudah. Dalam kes tertentu, kita mungkin dapat melihat orang itu lagi hanya selepas masa yang lama. Dalam kes lain, kita mungkin tidak dapat melihat orang itu lagi. Sesetengah kita begitu rapat dengan orang yang akan pergi, sehingga ia menjadi semakin sukar untuk melepaskannya. Ada yang mungkin cuba pelbagai helah dan telatah, dengan harapan bahawa orang itu akan mengubah fikirannya dan terus tinggal. Tetapi realitinya adalah, apabila tiba masanya untuk pergi, tetap akan pergi juga.

Selama empat puluh hari, Yesus terus muncul kepada murid-murid untuk memberitahu mereka mengenai Kerajaan Allah. Dia memberi banyak galakan kepada mereka dan mempersiapkan mereka untuk pemergian-Nya. Dia juga memberi jaminan kepada mereka: "Yohanes membaptis dengan air, tetapi tidak lama lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Kudus." Akhirnya, tiba hari di mana Yesus telah "terangkat disaksikan oleh mereka, dan awan menutup-Nya dari pandangan mereka."

Apabila Yesus meninggalkan mereka, murid-murid masih dalam kebingungan. Mereka tidak sepenuhnya memahami realiti bahawa secara fizikalnya Yesus telah pergi. Bacaan pertama memberitahu kita: "Ketika mereka sedang menatap ke langit waktu Ia naik itu, tiba-tiba berdirilah dua orang yang berpakaian putih dekat mereka, dan berkata kepada mereka: "Hai orang-orang Galilea, mengapakah kamu berdiri melihat ke langit? Yesus ini, yang terangkat ke syurga meninggalkan kamu, akan datang kembali dengan cara yang sama seperti kamu melihat Dia naik ke syurga." Sekali lagi, murid-murid diberi jaminan bahawa Yesus telah pergi tetapi Dia akan kembali.

Dengan pemergian Yesus, Roh Kudus dapat datang. Kesengsaraan perpisahan akan diganti tidak lama lagi dengan kegembiraan yang diberi oleh Roh Kudus kepada kita. Dalam Injil hari ini, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: "Pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus, dan ajarlah mereka melakukan segala sesuatu yang telah Kuperintahkan kepadamu. Dan ketahuilah, Aku menyertai kamu senantiasa sampai kepada akhir zaman." Ini adalah misi yang diamanahkan Yesus kepada murid-murid-Nya; ini adalah misi yang sama diamanahkan-Nya kepada kita sekarang. Kita sekarang dihantar untuk pergi dan mewartakan Khabar Baik, tetapi kita tidak ditinggalkan bersendirian. Yesus sentiasa menyertai kita, dan Roh Kudus akan membimbing kita dan membantu kita. Adakah kita bersedia untuk menyempurnakan kewajipan kita sebagai pembawa Khabar Baik kepada semua orang? Janganlah kita berasa takut, sebab Allah menyertai kita.

Sabtu, 20 Mei 2017

Minggu Paska Ke-6 Tahun A

Andainya pada satu hari kamu menerima sepucuk surat dan dalam surat, kamu mendapati bahawa kamu telah memenangi hadiah bagi pertandingan yang kamu telah sertai dan telah lupa mengenainya. Bagaimanakah perasaan kamu? Pasti kamu teringin memberitahu ahli keluarga dan rakan karib. Atau andainya kamu seorang wanita dan kamu telah cuba lama untuk mengandung, dan satu hari kamu melakukan ujian kehamilan dan mendapati bahawa keputusan adalah positif, dan kemudian mengesahkan keputusan dengan doktor. Apakah pula reaksi kamu? Sesungguhnya kamu tidak sabar untuk berkongsi kegembiraan dengan suami kamu dan orang tersayang.

Berita baik bukan untuk disimpan bagi diri kita sendiri. Selalunya kita akan gembira dan tidak sabar-sabar untuk berkongsi berita baik dengan orang lain dan mempelawa mereka untuk bergembira dengan kamu. Tetapi bagaimana pula dengan Berita Baik tentang Yesus Kristus? Kita semua, tidak kira sama ada kita adalah para paderi, religius atau umat awam, dipanggil dan diutus untuk memberitakan Berita Baik. Dalam bacaan pertama hari ini, kita lihat bagaimana Filipus bertindak dan pergi ke Samaria untuk memberitakan Berita Baik, malah melakukan banyak mujizat di sana. Hasilnya, "ketika orang banyak itu mendengar pemberitaan Filipus dan melihat tanda-tanda yang diadakannya, mereka semua dengan bulat hati menerima apa yang diberitakannya itu." Dalam bacaan kedua hari ini, kita diingatkan untuk "siap sedialah pada segala waktu untuk memberi pertanggungan jawab kepada tiap-tiap orang yang meminta pertanggungan jawab dari kamu tentang pengharapan yang ada padamu, tetapi haruslah dengan lemah lembut dan hormat, dan dengan hati nurani yang murni..."

Persoalannya ialah: Adakah kita berminat dan bersemangat untuk pergi memberitakan Berita Baik? Adakah kita tidak sedar bahawa kita harus menjadi para pendakwah Kristus di mana sahaja kita berada dan dalam apa jua keadaan? Adakah kita mengharapkan hanya orang tertentu seperti religius dan para paderi kita untuk melakukan kerja dan kita hanya mengambil mudah? Menjadi orang Kristian sudah pasti tidak mudah, dan memberitakan Berita Baik juga tidak begitu mudah atau jelas. Kita mungkin menghadapi pelbagai rintangan dan penderitaan. Walau bagaimanapun, marilah kita percaya pada bantuan Allah dan seperti bacaan kedua memberitahu kita: "Tetapi, jika ia menderita sebagai orang Kristian, maka janganlah ia malu, melainkan hendaklah ia memuliakan Allah dalam nama Kristus itu." Adakah kamu gembira dan berbangga menjadi Kristian, dan penuh dengan semangat untuk pergi memberitakan Berita Baik?

Sabtu, 13 Mei 2017

Minggu Paska Ke-5 Tahun A

Apakah yang lebih penting untuk perkembangan rohani kita? Perbuatan? Doa? Sesetengah kita mungkin berfikir bahawa kita perlu melakukan sesuatu untuk perkembangan rohani kita. Kita terlibat dengan pelbagai aktiviti, kita beramal di sana sini, kita menyertai dalam pelbagai aspek kehidupan gereja. Dari semasa ke semasa, kita menjadi semakin sibuk melakukan perkara-perkara. Kita mula berfikir bahawa perkembangan rohani kita terikat kepada jumlah perkara yang kita mampu lakukan, serta bilangan aktiviti yang kita sertai atau telah sertai.

Walau bagaimanapun, adakah perbuatan lebih penting atau satu-satunya perkara yang penting? Adakah kita akan dilabel sebagai tidak berguna atau tidak boleh diharap jika kita tidak banyak terlibat? Dalam kesibukan kita dan melakukan perkara-perkara di sekeliling, kita menjadi semakin kurang rajin dalam kehidupan doa kita. Kita mengabaikan perbualan kita dengan Tuhan dan mula mendapati semakin mencabar untuk berdiam. Lagipun, kita begitu biasa dengan aktiviti-aktiviti, perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita, menyebabkan kita mungkin telah gagal untuk mendengar bisikan Tuhan dalam diri kita.

Santo Petrus dalam bacaan kedua mengingatkan kita bahawa kita adalah "bangsa yang terpilih, imamat yang rajani, bangsa yang kudus, umat kepunyaan Allah sendiri, supaya kamu memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Dia, yang telah memanggil kamu keluar dari kegelapan kepada terang-Nya yang ajaib." Di sini, kita diingatkan untuk memberi pujian kepada Allah melalui kata-kata dan perbuatan kita. Dalam bacaan pertama, tujuh diakon telah dilantik untuk membantu dalam pengedaran barangan supaya para rasul "dapat memusatkan fikiran dalam doa dan pelayanan Firman." Apabila kita melihat pada bacaan ini, kita mula menyedari bahawa kita perlu melihat dengan teliti pada kehidupan doa kita. Perbuatan kita mesti datang dari doa-doa kita dan berdoa membantu kita untuk fokus kepada Allah. Doa mengingatkan kita bahawa kita melakukan kerja Tuhan dan bukan untuk diri kita sendiri. Doa mengingatkan kita bahawa akhirnya, Allah berada dalam kawalan.

Yesus memberitahu murid-murid-Nya pada bahagian awal Injil hari ini: "Janganlah gelisah hatimu; percayalah kepada Allah, percayalah juga kepada-Ku." Apabila kita percaya kepada Allah dan kepada Yesus, kita mula sedar bahawa kita tidak boleh melakukan segala-galanya. Kita sedar bahawa kita bukan superman atau superwoman, dan ada perkara-perkara tertentu dan situasi-situasi tertentu yang memerlukan kita untuk membenarkan Tuhan urus. Apabila kita berdoa, kita bukan mengatakan yang kita tidak cekap atau tidak berupaya, tetapi kita sedar batas kita dan kita percaya bahawa Allah, yang tiada batas, akan melakukan apa yang terbaik bagi kita dan situasi.

Hari ini, marilah kita meningkatkan usaha-usaha kita dalam doa dan renungan. Marilah kita membenarkan Tuhan menjadi Allah dan percaya kepada-Nya, mengetahui bahawa Dia akan menguruskan semua perkara. Marilah kita mendengar suara-Nya, dan membenarkan Dia dalam kawalan. Marilah kita ingat yang kita tidak boleh melakukannya bersendirian, semua perkara adalah tidak mustahil hanya dengan Allah.

Sabtu, 6 Mei 2017

Minggu Paska Ke-4 Tahun A

Pada suatu poin tertentu, kita mungkin telah menyimpang dan terjerumus dalam suatu masalah (mess). Kadang-kadang, kita terlibat dalam masalah yang lebih besar daripada yang kita mampu uruskan. Namun tidak kira betapa buruk situasi itu kelihatan, kita ada seorang gembala yang boleh kita minta bantuan. Bacaan kedua hari ini mengingatkan kita bahawa "Kristus pun telah menderita untuk kamu dan telah meninggalkan teladan bagimu, supaya kamu mengikuti jejak-Nya." Kita juga diingatkan yang "kamu sesat seperti domba, tetapi sekarang kamu telah kembali kepada gembala dan pemelihara jiwamu." Kristus adalah gembala kita dan suara-Nya yang harus kita ikut, kerana suara-Nya yang kita patut kenali.

Injil hari ini juga mengingatkan kita bahawa Kristus adalah "pintu ke domba-domba itu. Semua orang yang datang sebelum Aku, adalah pencuri dan perompak, dan domba-domba itu tidak mendengarkan mereka. Akulah pintu; barangsiapa masuk melalui Aku, ia akan selamat dan ia akan masuk dan keluar dan menemukan padang rumput." Persoalannya ialah, adakah kita mendengar suara-Nya dan mengikut hanya suara-Nya? Atau adakah kita mengizinkan diri kita bingung dengan suara-suara lain? Adakah kita akan melalui Kristus, pintu kita? Atau adakah kita cuba untuk mengambil jalan pintas atau laluan lain, yang boleh menuju ke situasi yang merbahaya?

Kadang-kadang dalam hidup, kita mungkin tergoda untuk mendengar pelbagai suara dunia. Dunia memberitahu kita perkara yang berbeza, kadang-kadang perkara yang bercanggah, untuk mengelirukan dan menundukkan kita. Dunia juga memberikan kita lorong, jalan dan lebuh lain yang mungkin kelihatan sebaik tawaran Kristus kepada kita, tetapi "pintu" lain itu hanya boleh membawa binasa kepada kita. Adakah kita masih resah dan degil, cuba untuk mencari jalan kita sendiri? Atau adakah kita belajar menjadi rendah hati dan cukup terbuka untuk mendengar suara-Nya, dan pergi melalui pintu-Nya, di mana kita akan mendapat ketenangan dan keselamatan untuk jiwa kita?

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...