Sabtu, 27 Mei 2017

Minggu Paska Ke-7 Tahun A

Apakah makna perkataan "kemuliaan" kepada kamu? Bagi sesetengah orang, ia boleh bermakna untuk menjadi terkenal, untuk menjadi popular, untuk diterima umum sebagai seseorang yang penting atau signifikan, atau mungkin untuk mempunyai nama yang baik. Bagi yang lain pula, ia mungkin bermakna berada dalam kedudukan di mana orang akan mengagumi, memuji dan menghormati anda, dan mungkin melayan anda sebagai role model (ikon contoh) atau VIP. Tetapi apakah kefahaman orang Kristian mengenai kemuliaan?

Untuk memuliakan sebagai seorang Kristian bermakna rela untuk memikul salib. Salib bagi sesetengah orang mungkin adalah simbol aib, penyisihan dan kematian, tetapi bagi kita orang Kristian, ia adalah simbol kemenangan, kemuliaan dan kehidupan. Apabila kita mengalami penderitaan, penyisihan, penganiayaan, atau berdepan dengan kemungkinan hukuman mati, kita memuliakan Allah dan kita sedang mengalami kemuliaan yang sebenar. St. Petrus pada bacaan kedua hari ini menulis: "Bersukacitalah, sesuai dengan bagian yang kamu dapat dalam penderitaan Kristus, supaya kamu juga boleh bergembira dan bersukacita pada waktu Ia menyatakan kemuliaan-Nya. Berbahagialah kamu, jika kamu dinista (dihina) kerana nama Kristus, sebab Roh kemuliaan, iaitu Roh Allah ada padamu." Berapa ramaikah daripada kita boleh bergembira, benar-benar bersukacita sepenuh hati dalam situasi sebegitu?

Hari ini, jika kamu menderita kerana iman kamu, bersukacita dan bergembiralah. St. Petrus mengingatkan kita bahawa "jika ia (sesiapa) menderita sebagai orang Kristian, maka janganlah ia malu, melainkan hendaklah ia memuliakan Allah dalam nama Kristus itu." Dipermuliakan di dalam Kristus bukan mengenai betapa ulung atau hebatnya kita, tetapi mengenai ketabahan, komitmen dan semangat kita dalam membawa Berita Baik kepada semua, walaupun jika kita menderita. Akhirnya, kemuliaan kita bukan dari dunia ini dan marilah kita bersukacita dan bergembira, sebab Allah adalah di sana untuk membantu kita dan memimpin kita kembali kepada-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...