Sabtu, 20 Mei 2017

Minggu Paska Ke-6 Tahun A

Andainya pada satu hari kamu menerima sepucuk surat dan dalam surat, kamu mendapati bahawa kamu telah memenangi hadiah bagi pertandingan yang kamu telah sertai dan telah lupa mengenainya. Bagaimanakah perasaan kamu? Pasti kamu teringin memberitahu ahli keluarga dan rakan karib. Atau andainya kamu seorang wanita dan kamu telah cuba lama untuk mengandung, dan satu hari kamu melakukan ujian kehamilan dan mendapati bahawa keputusan adalah positif, dan kemudian mengesahkan keputusan dengan doktor. Apakah pula reaksi kamu? Sesungguhnya kamu tidak sabar untuk berkongsi kegembiraan dengan suami kamu dan orang tersayang.

Berita baik bukan untuk disimpan bagi diri kita sendiri. Selalunya kita akan gembira dan tidak sabar-sabar untuk berkongsi berita baik dengan orang lain dan mempelawa mereka untuk bergembira dengan kamu. Tetapi bagaimana pula dengan Berita Baik tentang Yesus Kristus? Kita semua, tidak kira sama ada kita adalah para paderi, religius atau umat awam, dipanggil dan diutus untuk memberitakan Berita Baik. Dalam bacaan pertama hari ini, kita lihat bagaimana Filipus bertindak dan pergi ke Samaria untuk memberitakan Berita Baik, malah melakukan banyak mujizat di sana. Hasilnya, "ketika orang banyak itu mendengar pemberitaan Filipus dan melihat tanda-tanda yang diadakannya, mereka semua dengan bulat hati menerima apa yang diberitakannya itu." Dalam bacaan kedua hari ini, kita diingatkan untuk "siap sedialah pada segala waktu untuk memberi pertanggungan jawab kepada tiap-tiap orang yang meminta pertanggungan jawab dari kamu tentang pengharapan yang ada padamu, tetapi haruslah dengan lemah lembut dan hormat, dan dengan hati nurani yang murni..."

Persoalannya ialah: Adakah kita berminat dan bersemangat untuk pergi memberitakan Berita Baik? Adakah kita tidak sedar bahawa kita harus menjadi para pendakwah Kristus di mana sahaja kita berada dan dalam apa jua keadaan? Adakah kita mengharapkan hanya orang tertentu seperti religius dan para paderi kita untuk melakukan kerja dan kita hanya mengambil mudah? Menjadi orang Kristian sudah pasti tidak mudah, dan memberitakan Berita Baik juga tidak begitu mudah atau jelas. Kita mungkin menghadapi pelbagai rintangan dan penderitaan. Walau bagaimanapun, marilah kita percaya pada bantuan Allah dan seperti bacaan kedua memberitahu kita: "Tetapi, jika ia menderita sebagai orang Kristian, maka janganlah ia malu, melainkan hendaklah ia memuliakan Allah dalam nama Kristus itu." Adakah kamu gembira dan berbangga menjadi Kristian, dan penuh dengan semangat untuk pergi memberitakan Berita Baik?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...