Khamis, 25 Mei 2017

Kenaikan Tuhan Yesus

Mengucap selamat jalan atau selamat tinggal tidak pernah mudah. Dalam kes tertentu, kita mungkin dapat melihat orang itu lagi hanya selepas masa yang lama. Dalam kes lain, kita mungkin tidak dapat melihat orang itu lagi. Sesetengah kita begitu rapat dengan orang yang akan pergi, sehingga ia menjadi semakin sukar untuk melepaskannya. Ada yang mungkin cuba pelbagai helah dan telatah, dengan harapan bahawa orang itu akan mengubah fikirannya dan terus tinggal. Tetapi realitinya adalah, apabila tiba masanya untuk pergi, tetap akan pergi juga.

Selama empat puluh hari, Yesus terus muncul kepada murid-murid untuk memberitahu mereka mengenai Kerajaan Allah. Dia memberi banyak galakan kepada mereka dan mempersiapkan mereka untuk pemergian-Nya. Dia juga memberi jaminan kepada mereka: "Yohanes membaptis dengan air, tetapi tidak lama lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Kudus." Akhirnya, tiba hari di mana Yesus telah "terangkat disaksikan oleh mereka, dan awan menutup-Nya dari pandangan mereka."

Apabila Yesus meninggalkan mereka, murid-murid masih dalam kebingungan. Mereka tidak sepenuhnya memahami realiti bahawa secara fizikalnya Yesus telah pergi. Bacaan pertama memberitahu kita: "Ketika mereka sedang menatap ke langit waktu Ia naik itu, tiba-tiba berdirilah dua orang yang berpakaian putih dekat mereka, dan berkata kepada mereka: "Hai orang-orang Galilea, mengapakah kamu berdiri melihat ke langit? Yesus ini, yang terangkat ke syurga meninggalkan kamu, akan datang kembali dengan cara yang sama seperti kamu melihat Dia naik ke syurga." Sekali lagi, murid-murid diberi jaminan bahawa Yesus telah pergi tetapi Dia akan kembali.

Dengan pemergian Yesus, Roh Kudus dapat datang. Kesengsaraan perpisahan akan diganti tidak lama lagi dengan kegembiraan yang diberi oleh Roh Kudus kepada kita. Dalam Injil hari ini, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: "Pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus, dan ajarlah mereka melakukan segala sesuatu yang telah Kuperintahkan kepadamu. Dan ketahuilah, Aku menyertai kamu senantiasa sampai kepada akhir zaman." Ini adalah misi yang diamanahkan Yesus kepada murid-murid-Nya; ini adalah misi yang sama diamanahkan-Nya kepada kita sekarang. Kita sekarang dihantar untuk pergi dan mewartakan Khabar Baik, tetapi kita tidak ditinggalkan bersendirian. Yesus sentiasa menyertai kita, dan Roh Kudus akan membimbing kita dan membantu kita. Adakah kita bersedia untuk menyempurnakan kewajipan kita sebagai pembawa Khabar Baik kepada semua orang? Janganlah kita berasa takut, sebab Allah menyertai kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...