Sabtu, 10 Jun 2017

Hari Minggu Tritunggal

Percaya kepada Tritunggal adalah asas keimanan Kristian kita. Ini bermakna bahawa jika ada kumpulan Kristian tertentu mendakwa adalah Kristian tetapi menolak Tritunggal, maka rupa-rupanya kumpulan itu bukanlah Kristian. Tetapi untuk menjelaskan mengenai Tritunggal sudah pasti bukan mudah. Bagaimanakah kita boleh menjelaskan bahawa satu adalah tiga dan tiga adalah satu? Seolah-olah mustahil, terutama dari sudut pandangan matematik atau logik. Walau bagaimanapun, kita masih boleh mendapatkan sedikit pemahaman tentang Tritunggal dan malah mengetahui Tritunggal dari segi hubungan.

Untuk memahami tentang Tritunggal dan malah mengetahui Tritunggal, kita boleh melihat imej Allah yang berbeza yang membantu kita memahami bagaimana Allah berhubung dengan kita sebagai Tritunggal. Pertama, kita melihat imej Allah Bapa mencipta bumi, dan Dia menciptakan segala sesuatu yang baik. Percaya kepada Allah Bapa ialah mempercayai bahawa semua perkara yang berlaku mempunyai sebabnya, dan Allah ingin hanya perkara yang baik bagi kita. Kedua, kita melihat imej Yesus, Anak Allah. Yesus menampakkan kepada kita tiga orang daripada Tritunggal: Allah Bapa, Allah Roh Kudus dan dirinya, Anak Allah. Melalui Yesus, kita mengenali Allah sebagai seorang Tuhan secara personal yang amat mengasihi kita lalu menjadi seorang manusia, seorang daripada kita dalam semua perkara kecuali dosa, untuk mengorbankan nyawanya sendiri dan menyelamatkan kita dari dosa-dosa kita. Ketiga, kita melihat imej Roh Kudus, yang datang untuk hidup dalam diri kita, untuk menjadi panduan dan bantuan kita, serta untuk memimpin kita kepada kebenaran yang sempurna. Semasa pembaptisan kita, kita menerima kurnia Roh Kudus dan kurnia ini diperkuat dalam diri kita semasa Sakramen Penguatan.

Jadi apa maknanya kepada kita? Ia bermakna bahawa kita mengetahui dan memahami Tritunggal Mahakudus bukan sebagai suatu misteri teologi, tetapi bagaimana Allah berhubung dengan kita sebagai individu dan sebagai satu komuniti Allah adalah Tritunggal Mahakudus sebab Allah adalah kasih; Allah adalah hubungan; dan Allah adalah komuniti. Begitu juga, kita turut dipanggil untuk mengikut teladan Allah, dan mengasihi orang lain bukan semata-mata sebagai individu, tetapi terutamanya sebagai satu komuniti. Semoga kita berkembang bersama-sama sebagai satu keluarga Allah, dikelilingi dengan kasih Tritunggal Mahakudus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Minggu Biasa Ke-6 Tahun B

Apakah yang dimaksudkan dengan diperlakukan sebagai sampah masyarakat atau orang buangan daripada masyarakat? Pernahkah anda mengalami laya...